Rabu, Julai 29, 2009

Nikmat Gaji Untuk Ibu Bapa

Gambar hiasan

Bismillah...

Alhamdulillah, hari ni dah 30 Julai 2009 dan selang beberapa hari lagi kita akan berpindah ke bulan baru. Bagi mereka yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan, mesti mereka ini sudah pun menikmati gaji yang telah masuk beberapa hari yang lepas.

Saya teringat satu pesanan daripada seorang pensyarah saya masa mula - mula beliau masuk mengajar Madah Sejarah Perundangan Islam. Memandangkan ramai pelajar kuliah syariah yang asalnya daripada semenanjung, beliau berkata:

" kamu sungguh bertuah kerana Allah campakkan kamu di bumi Sabah ini yang ruang dakwahnya cukup luas untuk kamu. Sudah pastinya kamu berjauhan dengan keluarga, kekadang boleh bersama ibu bapa ataupun sebaliknya. Mungkin raya pun tak dapat nak balik. Hatta ibu bapa sakit pun belum tentu kamu dapat jenguk. Oleh itu, sebagai anak kena ambil berat tentang ibu bapa, setidak-tidaknya hantarlah sedikit wang untuk ibu bapa. Kalau tak dapat hantar banyak, hantarlah sedikit yang penting ada. Ibu bapa mungkin tak minta tapi biarlah kita beri sekurang - kurangnya mereka rasa mereka dihargai. Apa yang terjadi sekarang, kekadang kita berikan wang kepada ibu bapa sekiranya ada wang lebih daripada gaji kita, kalau tak ada maka tak berilah. Sudah bukan jadi keutamaan kepada kita bahawa memberikan wang kepada ibu bapa adalah lebih utama. Jika ini berlaku, maka inilah juga faktor rezeki yang diperolehi tidak ada keberkatan. Terutamanya bagi para suami, kerana kewajipan suami kepada ibu bapa adalah lebih awla berbanding dengan si isteri yang mana kewajipannya adalah kepada suami walaupun si isteri masih ada ibu bapa. Para isteri kena dorong dan tolong para suami agar mereka lebih bertanggungjawab dan berperanan kepada ibu bapa mereka, jangan para isteri menjadi penyebab para suami tidak bertanggungjawab dan tidak memperdulikan ibu bapa mereka".

Walaupun pensyarah saya mengatakan sedemikian mungkin juga dikhususkan kepada pelajar yang berasal dari semenanjung, namun saya juga turut tersentuh dan bermuhasabah diri. Apa yang dikatakan itu ada benarnya. Kekadang kita menghitung gaji, jawapannya memang tak cukup kerana banyak perkara lagi yang perlu dibayar dan berbagai - bagai alasan lagi. Saya yakin itulah antara jawapan mojiriti. Walaupun hakikatnya dengan pemberian kita itu tidak akan menyemai jasa mereka yang membesarkan kita sehingga kita menjadi orang ketika ini.

Jika nak tunggu cukup memang tak cukup - cukup. Cuma kita sahaja yang tidak menjadikan pemberian wang kepada Ibu bapa itu sebagai keutamaan. Amat beruntung jika itu kita jadikan keutamaan kerana itulah satu kaedah bagaimana gaji yang kita nikmati tiap - tiap bulan itu menjadi berkat yang pastinya ada kesenangan dan ketenangan hati.

Setelah mendengar tazkirah pensyarah saya itu, saya bermuhasabah dan tidak dinafikan kekadang hati kita ini lalai dan terlupa bahawa pemberikan wang kepada ibu bapa sempena kita menikmati gaji yang diterima tiap - tiap bulan tidak dijadikan sebagai satu keutamaan. Oleh itu, saya perbaiki keadaan dan beriltizam bahawa saya memperuntukkan satu jumlah khusus daripada gaji saya untuk saya berikan kepada ibu bapa dan ianya diutamakan sebelum saya melangsaikan bayaran - bayaran yang lain dalam keadaan saya senang ataupun dalam kesempitan. Kerana saya yakin soal rezeki adalah milik Allah SWT dan gaji yang dinikmati itu sebenarnya bukan bermakna untuk kita semata - mata tetapi mungkin ianya adalah rezeki orang lain yang hanya melalui kita sahaja.

Moga ada manfaat apa yang saya kongsikan melalui artikel ini kepada diri kita, yang baik adalah datangnya daripada Allah SWT dan lemah serta kekurangan itu adalah daripada diri saya yang faqir ini. Saya memohon ampun kepada Mu ya Allah dan maaf kepada yang membaca.

" Sesungguhnya kita insan daif, lemah dan kealpaan, segala nikmat datang dan pergi mengundang kita bersyukur, nikmat ditambah bagi yang syukur, azab disedia bagi yang kufur, rezeki melimpah beringatlah agar tiada hilang keberkatannya, dapat sedikit pun tidak mengapa diberi pahala berkatnya ada ".

Wallahua'alam.

Dosa minum arak lebih berat berbanding manfaat

Bismillah...

Dosa minum arak lebih berat berbanding manfaat

Oleh Musa Awang

Ulama fekah berbeza pendapat jumlah sebatan bagi kesalahan ambil minuman keras

SUATU masa dulu kita pernah dikejutkan dengan berita tiga anak Melayu menjuarai serta menduduki tempat kedua dan ketiga pertandingan membancuh arak vodka, iaitu pertandingan Belvedere Bartender of the Year 2007 (Malaysia). Pertandingan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran seorang artis Melayu.

Awal Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak.

Isnin lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman sama terhadap seorang model pelancongan selepas mengaku salah meminum arak. Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di sebuah pusat pelancongan di Kuantan kira-kira jam 11.40 malam, 11 Julai tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan hakim adalah hukuman maksimum mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, walaupun hukuman sebenarnya menurut pendapat fuqaha adalah lebih berat.

Ulama fekah sependapat mengenai hukuman bagi orang minum arak ialah disebat. Cuma, mereka berbeza pendapat jumlah sebatan. Ada yang mengatakan 80 sebatan, iaitu menurut pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.

Imam Syafie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad pula mengatakan kadar hukumannya adalah 40 sebatan.

Punca perselisihan pendapat ini kerana sungguhpun dalam al-Quran jelas mengenai pengharaman arak tetapi tidak ada ketetapan kadar atau had hukuman yang boleh dikenakan kepada peminum arak.

Begitu juga hadis Nabi SAW dan riwayat sahabat. Ada kalanya Baginda menyebat pesalah hanya beberapa kali sebatan dan ada masa dengan banyak kali tetapi tidak melebihi 40 kali sebatan.

Riwayat daripada Ibn Said al-Khudri dan Ali bahawa Nabi Muhammad menghukum orang yang minum arak sebanyak 40 sebatan. Ketika zaman Saidina Abu Bakar pula, peminum arak disebat 40 sebatan.

Pada zaman Saidina Umar, beliau meminta nasihat daripada sahabat, lalu Abdul Rahman bin Auf berkata: “Seringan-ringan hudud ialah 80 kali sebat.” Kemudian Umar menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan dan sahabat setuju dengan Umar yang mengambil pendapat Abdul Rahman sebagai satu ijmak.

Diriwayatkan daripada Husain bin al-Munzir, ketika Saidina Ali ditugaskan oleh Saidina Uthman untuk menghukum sebat ke atas al-Walid bin Uqbah, beliau berkata: “Rasulullah SAW menghukum sebanyak 40 sebatan begitu juga Saidina Abu Bakar tetapi Saidina Umar menghukum sebanyak 80 sebatan, semuanya adalah sunnah yang ini aku lebih sukai.”

Menyorot sejarah, Islam mengharamkan meminum arak sejak 14 abad lalu. Realitinya, sebelum kedatangan Islam, orang Arab jahiliah adalah peminum arak tegar. Arak dianggap sejenis minuman yang memberikan keseronokan hidup.

Bukan mudah bagi Nabi SAW menghapuskan resam budaya yang sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Arab jahiliah, seperti kata-kata isteri Baginda, Saidatina Aisyah yang diriwayatkan Imam Bukhari: “Jika al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab supaya jangan meminum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata: Tidak, kami tidak akan patuh. Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan tamannya yang indah bagi sesiapa yang patuh serta seksaan api neraka bagi yang ingkar hingga hati menjadi lembut, selepas itu diperintahkan berhenti daripada meminum khamar, melakukan perzinaan dan berjudi, maka mereka mematuhinya.”

Oleh itu, arak tidak terus dilarang serta-merta. Ia mengambil tempoh tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya. Allah menurunkan ayat menerangkan bahawa arak yang diambil daripada buah kurma dan anggur adalah bukan daripada rezeki yang baik.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan daripada buah-buahan kurma dan anggur kamu jadikan daripada minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik.”

Mengenai keburukan arak, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kamu (Muhammad) mengenai khamar dan judi, katakanlah bahawa pada kedua-duanya dosa yang besar dan bermanfaat kepada manusia tetapi dosa kedua-duanya itu lebih besar daripada manfaat.” – (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Kajian saintifik dan ilmiah membuktikan bahawa keburukan arak adalah jauh lebih besar daripada kebaikannya. Arak bukan ubat tetapi sebagai perosak penyakit. Arak boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang masuk meresap dengan cepat ke dalam bahagian tubuh manusia terutama jantung dan buah pinggang.

Penyusun Ensiklopedia Islam, Profesor Muhammad Farid Wejdi menjelaskan: “Tidak pernah manusia menerima pukulan paling hebat seperti pukulan arak. Orang terkorban juga ramai disebabkan oleh arak. Jika dibanci orang sakit dalam hospital di seluruh dunia, nescaya yang paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan penyakit urat saraf yang disebabkan arak. Orang yang menderita kesakitan urat saraf, kesakitan pundi makanan, kesakitan tali perut adalah disebabkan arak.”

Bagi memastikan umat Islam dikawal dan dijauhi daripada arak, pihak berkuasa perlu memastikan pemberian lesen penjualan arak terkawal dan tidak membabitkan orang Islam secara langsung atau tidak langsung.

Orang Islam sama sekali perlu dilarang bekerja di mana-mana kedai yang ada menjual arak. Menurut syarat pemegang lesen di bawah Seksyen 36 Akta Eksais 1976 (Akta 176), setiap pemegang lesen rumah awam, lesen rumah bir, lesen kedai runcit, atau lesen peniaga borong hendaklah tidak membenarkan pelanggannya meminum arak di kedainya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat mengenai arak, 10 golongan: yang memerahnya, minta diperahkannya, meminumnya, membawanya, minta dihantarnya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya, minta dibelikannya.” – (Hadis riwayat Tarmidzi dan Ibn Majah)

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

sumber : Klik di sini...


Ahad, Julai 26, 2009

Majlis Makan AMAL

Bismillah...

24hb Julai 2009 seperti mana yang telah dirancang oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah sebulan lalu iaitu Majlis Makan Malam bersama Azhan Atan, Juara Akademi Nasyid TV9 di Restoran Sinar Mustika, Putatan, Sabah berjalan lancar.


Kehadiran seramai 80 orang jika berdasarkan jumlah meja yang di tempah sebanyak 8 buah. Berkesempatan berjumpa dengan Azhan Atan secara live memang menghiburkan. Sabah merupakan destinasi dakwahnya bersama Yayasan Amal Malaysia. Orangnya mudah didampingi dan bersembang dengannya macam dah kenal beberapa tahun. Penampilannya sample, ramah dan semangat bersembang bab perjuangan.




Sudah beberapa hari di Sabah, beberapa destinasi telah dikunjungi dan jadualnya penuh sempena datangnya ke Sabah. Ranau, sekitar Kota Kinabalu, Tambunan dan Tuaran destinasi dakwahnya yang telah diatur oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah.


Persembahannya memang menghiburkan dengan kelunakan suaranya yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya. Album sulungnya pula baru terbit dan beberapa lagu yang telah didendangkannya adalah daripada album tersebut. Alhamdulillah, saya telah memilikinya pada malam tersebut dan saya cukup tertarik dengan lagu di trak ke 2 bertajuk Di Sebalik Bayangmu-Fatimah & Ali juga turut dinyanyikan oleh beliau pada malam tersebut.



Malam itu juga, Abg Nazrey Johani ex-Raihan turut hadir dan telah membeli tiket sebuah meja sebagai komitmen dan sumbangan beliau bagi merealisasikan tujuan majlis ini diadakan untuk mendapatkan dana bagi membeli Water Graviti Pump untuk disumbangkan kepada 3 buah kampung di Daerah Keningau yang hampir - hampir di isytihar darurat disebabkan tiada sumber air untuk penduduknya. Abg Nazreyj juga turut mendendangkan beberapa lagu tanpa sebarang bayaran dan telah memperkenalkan bisnesnya mengajak semua agar berjihad dalam bisnes bagi sama - sama memperjuangkan Islam. Antara kata-katanya " Kita perlu ada revolosi, masakan songkok hitam boleh bertukar putih jika tidak ada revolosi". Dalam maksudnya tu... Anda boleh mendapatkan maklumat bisnesnya di sini...

Duet Azhan dan Akhwan

Kehadiran saudara Akhwan Afandi juga turut menyerikan majlis malam tersebut. Beliau berperanan sebagai pengacara majlis. Beliau adalah aktivis Yayasan Amal Malaysia (Pusat) dan salah seorang ahli lembaga YAM serta menjadi Pengarah satu syarikat yang berkaitan dengan motivasi iaitu Syarikat Adnin. Telah berpengalaman masuk keluar kampung di Sabah sejak beberapa tahun lalu dan akhirnya beliau telah mengukuhkan tapak dakwah dan perjuangannya di Sabah ini dengan menikahi isteri keduanya yang berasal dari Lahad Datu, Sabah. Fuh hebat...

Duet.. Akhwan, Nazrey dan azhan.. lagu solawat.

Saya sempat bersembang dengan Azhan Atan, dia amat senang hati datang ke Sabah dan menceritakan serba sedikit pengalaman beliau masuk ke kampung - kampung bersama saudara Akhwan yang membuka ruang untuknya terus berdakwah di bumi Sabah ini. Beliau menyatakan bahawa beliau ingin sangat mendapatkan kenderaan khas bagi membolehkan beliau bergerak lebih aktif dan ketika itu beliau telah mendapatkan sumbangan sebanyak RM15 ribu dan akan berusaha lagi mendapatkan sumbangan bertujuan memiliki kenderaan Four Weel untuk dakwah di Sabah apabila balik ke semenanjung.

Barisan kepimpinan YAM Cawangan Sabah bersama Azhan dan Akhwan..

InsyaAllah, dalam mengimarahkan lagi kedatangan ramadhan akan datang Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah telah mengatur beberapa program ihya' ramadhan bersama - sama dengan Azhan Atan dan Saudara Akhwan Afandi... nantikan..

Wassalam.

Kebesaran ALLAH SWT

Bismillah...

Maha suci Allah, segala puji bagi Allah, Allah maha besar. Itulah ungkapan yang dapat di lafazkan apabila saya memerhatikan satu lagi kebesaran Allah SWT mengenai dengan imej yang berkaitan dengan gerhana matahari baru - baru ini.

Perhatikan :

Kebesaran Allah

saran mehzalan


Renungkanlah, disaat umat Islam China ( Etnik Han) di tindas dan dibunuh, Allah tiba-tiba menunjukkan kebesarannya di bumi bertuah tersebut. Gambar ini gerhana matahari ini dikeluarkan oleh China's Xinhua News Agency. Gambar menunjukkan fenomena gerhana separuh ( kelihatan seperti bulan sabit) di puncak kubah sebuah Masjid di Yinchuan, ibu kota Wawasan Autonomi Ningxia Hui, China. Takbir........

In this photo released by China's Xinhua News Agency, the minaret of a mosque is silhouetted against the solar eclipse in Yinchuan, capital of northwest China's Ningxia Hui Autonomous Region, at 8:43 a.m. on Wednesday, July 22, 2009. Scientists, students and nature enthusiasts gathered in open spaces in parts of India Wednesday to watch the longest total solar eclipse of the 21st century, although heavy cloud cover and overnight rains threatened to spoil the party.(AP Photo/Xinhua, Wang Peng)

Sumber : klik di sini...

Jumaat, Julai 24, 2009

Bersangka BAIK

Bismillah...


BERSANGKA BAIK

Oleh : anuarani

BERSANGKA BAIK LAWAN BERSANGKA BURUK

Manusia hari ini suka bersangka-sangka
Ada sangkaan baik...Ada sangkaan buruk...

Orang yang suka beribadah disangka riak
Orang yang relax disangka malas
Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk
Orang yang pakai baju buruk disangka zuhud (hina)

Orang yang makan banyak disangka pelahap
Orang yang makan sikit disangka diet
Orang yang baik disangka buruk
Orang yang buruk disangka baik

Orang yang suka senyum disangka mengejek
Orang yang masam disangka merajuk
Orang yang bermuzakarah disangka mengumpat
Orang yang diam disangka menyendiri

Orang yang nampak menawan disangka pakai susuk
Orang yang nampak ceria disangka membela hantu raya

OLEH ITU...... MARI KITA BERSANGKA BAIK

Mana kita tahu ...
Yang suka beribadat itu kerana hatinya dekat dengan Allah

Mana kita tahu ...
Yang diam itu kerana berzikir kepada Allah

Mana kita tahu ...
Yang senyum itu kerana tujuan bersedekah

Mana kita tahu ...
Yang diam itu kerana mengenangkan nasib masa depan dirinya

Mana kita tahu ....
Yang menawan itu kerana bersih hati dan mindanya

Mana kita tahu ...
Yang ceria itu kerana cergas cerdas otaknya

p/s : sumber klik di sini dan sedikit editing daripada albelurani.

Khamis, Julai 23, 2009

En. Rahman CEMERLANG

Bismillah...Imbang Penuh
22 Julai 2009 : Telah di adakan Majlis Perhimpunan Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan Bil. 1/2009 bertempat di Auditorium Tun Rafae, Menara Tun Mustafa, Kota Kinabalu Sabah.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah dan YAB turut menyampaikan amanat kepada semua penjawat awam di negeri Sabah. Pada Majlis ini juga YAB Ketua Menteri telah menyampaikan anugerah khidmat cemerlang tahun 2008 kepada penjawat awam yang terpilih di setiap jabatan.

En. Rahman (abg man berbaju putih) tengah, menerima ucapan tahniah daripada staf PMNS.

Alhamdulillah, bagi Pejabat Mufti Negeri Sabah En. Rahman Sarman (panggilan manjanya di pejabat sebagai abg man) telah terpilih di atas khidmat cemerlangnya pada tahun 2008. Beliau telah menerima sijil khidmat cemerlang berserta wang rm1000 daripada kerajaan.

Kelihatan YAB Ketua Menteri Sabah bersalaman dengan penjawat awam yang menerima anugerah khidmat cemerlang.

Saya berserta warga Pejabat Mufti Negeri Sabah mengucapkan setinggi - tinggi tahniah kepada abg. man di atas anugerah tersebut dan didoakan agar abg. man sentiasa diberikan keafiatan, rahmah dan maghfirah Allah SWT dalam menjalankan amanah Allah SWT agar beroleh lagi anugerah yang paling istimewa daripada Allah SWT apabila bertemu denganNYA di akhirat kelak.

Sekian.

Rukyah Hilal Sya'aban 1430H

Bismillah...

22 Julai 2009 bersamaan 29 Rejab 1430 H kru - kru Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah bersama dengan Unit Istinbath dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Cawangan Sabah (JUPEM) telah turun merukyah hilal sya'aban 1430H bertempat di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Tg. Dumpil, Putatan, Sabah. Aktiviti rukyah kali ini turut diserikan dengan kehadiran S.S Datuk Hj. Ahmad Alawi Hj. Adnan, Mufti Kerajaan Negeri Sabah.


Sebelah pagi di tempat yang sama diadakan juga cerapan gerhana matahari. Jika berdasarkan dengan hisabiah, ketinggian anak bulan di atas ufuk adalah 2 darjah 40 minit 17 saat ketika matahari terbenam. Mengikut kajian dan rekod amat sukar untuk hilal kelihatan sekiranya ketinggian hilal kurang daripada 3 darjah. Kebetulan pula cuaca kelmarin kurang baik dengan keadaan ufuk yang dipenuhi dengan awan tebal.


Walaubagaimanapun, berdasarkan dengan kriteria imkanur-rukyah maka hilal tersebut telah memenuhi ketetapan imkanur-rukyah iaitu umur hilal telah melebihi 8 jam ( hilal kelmarin 8 jam 15 minit ) dan jarak lengkung k matahari tidak kurang daripada 3 darjah ( hilal kelmarin 3 darjah 34 minit 54 saat ). Oleh itu, 01 Sya'aban 1430H jatuh pada 23 Julai 2009 (khamis).



Sedar tak sedar hanya tinggal tak sampai sebulan lagi kita akan bertemu dengan Ramadhan. Moga Allah SWT pilih kita agar kita diketemukan ramadhan tahun ini.

" Ya Allah berkatilah kami pada bulan rejab dan sya'aban dan sampaikanlah kami pada bulan ramadhan ".

Wallahu'alam.

Rabu, Julai 22, 2009

Imej Gerhana Penuh Matahari

Bismillah...


GERHANA... Kejadian gerhana berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang di abad ini. Gambar menunjukkan cerapan proses gerhana matahari yang dirakamkan di utara India.

Sumber... klik di sini.


SOLAR ECLIPSE IMAGE CAPTURED FROM CHINA

Siaran Media - "Gerhana Matahari Terpanjang Pada Abad Ini, 22 Julai 2009"

Sumber : Di sini..


Laluan Gerhana

Laluan Gerhana Matahari Penuh pada 22 Julai 2009

Laluan Gerhana Matahari Penuh di China

Sumber : di sini..


Gerhana Matahari 22 Julai 09

Bismillah...

22 Julai 2009 bersamaan 29 Rejab 1430H (rabu) berlaku satu lagi tanda - tanda kebesaran Allah SWT iaitu gerhana matahari. Alhamdulillah, Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah yang diwakili oleh Al-Fadhil Ust. Mohd. Salam Md. Salleh telah melakukan cerapan gerhana matahari yang turut dihadiri oleh Al-Fadhil Ust. Mohd. Ariffin Ali, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Al-Fadhil Ust. Bongsu Aziz, Pensyarah UITM Sabah. Cerapan ini diadakan di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Tg. Dumpil, Putatan Sabah.

Dari kiri, Ust. Salam, Ust. Bongsu dan Ust. Ariffin

Dalam cerapan tersebut alat yang digunakan adalah dengan menggunakan tedeolit dan total station. Gerhana matahari bermula jam 8:46:15 sehingga 10:30:05 pagi bagi Kota Kinabalu, Sabah dan ianya berlaku dalam tempoh kira - kira 1 jam setengah.


Fenomena gerhana matahari adalah suatu fenomena yang jarang-jarang berlaku iaitu satu kali atau dua kali dalam satu tahun kalendar. Gerhana matahari terbahagi kepada 4 jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh+cincin) dan gerhana separa (sebahagian). Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin. Gerhana penuh matahari pada 22 Julai 2009 merupakan gerhana yang paling lama untuk abad ke 21. Bill Kramer dalam laman webnya menyebut:

"The eclipse passes over the Chinese cities of Chengdu, Suining, Chonging, Wuhan, Xiaogan, Hangzhou, and Shanghai by which time the duration of the eclipse is over five minutes of totality. Leaving Shanghai the path continues into the ocean encountering islands such as Toshima and Akusaki south of Japan and eventually the Marshall islands.The maximum eclipse duration of 6 minutes and 43 seconds occurs far off the coast in the Pacific Ocean."

Bagi penduduk Malaysia, mereka hanya berpeluang menyaksikan gerhana tersebut dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara 3% hingga 18% sahaja dari kebanyakan bandar-bandar utama di Malaysia. (sumber... klik di sini).


Di kesempatan itu, solat sunat gerhana telah dilaksanakan di surau Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah yang telah diimamkan oleh Al-Fadhil Ust. Bongsu Aziz dan beliau turut menyampaikan tazkirah ketika itu.

Beberapa Imej gerhana matahari yang sempat dirakam :


























Moga dengan fenomena ini akan bertambah lagi keimanan kita kepada Allah SWT di atas tadabbur kita terhadap tanda - tanda kekuasaannya. aminn...

Sekian.

Isnin, Julai 20, 2009

MUKJIZAT ISRA’ DAN MIKRAJ

Bismillah...

(artikel: oleh ust.budak Besar )/Email: Nik Ipoh.

Satu lagi perayaan yang disambut oleh umat Islam ialah perayaan israk’ dan mikraj,
peristiwa yang besar ini berlaku sendiri pada batang tubuh nabi s.a.w. Mari lah kita sama-sama mengambil pengajaran dari peristiwa mukjizat ini.

Isra’ ialah perjalanan Nabi s.a.w dari Masjidil Haram ke Majidil Aqsa. Mikraj pula ialah perjalanan Nabi s.a.w dari Masjidil Aqsa menembusi langit-langit ke sidratul muntaha yang tidak pernah di jejaki oleh sebarang makhluk untuk bertemu dengan Allah Taala… Semua perjalanan ini berlaku dalam tempoh sehari semalam…

Terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama’ tentang terjadinya mukjizat ini. Adakah pada tahun kesepuluh atau tahun sesudahnya. Perkara ini menjadi khilaf di kalangan ulama’. Menurut riwayat Saad peristiwa ini berlaku lapan bulan sebelum peristiwa hijrah Nabi s.a.w.

Jumhur ulama’-ulama’ Islam bersependapat bahawa pristiwa ini berlaku dengan jasad dan roh Nabi s.a.w. Ini merupakan satu mukjizat yang di kurniakan oleh Allah kepada Nabi s.a.w.

Kisah perjalanan ini disebutkan secara jelas oleh Muslim di dalam sohehnya. Di sebutkan bahawa perjalanan Nabi ini dengan menaiki seekor binatang yang dipanggil sebagai Burak.Binatang ini lebih beser dari keldai dan kecil sedikit dari unta.
Binatang ini berjalan dengan pantas ibarat sekelip mata sahaja.Disebutkan pula nabi s.a.w memasuki Masjidil Aqsa dan bersolat dua rakaat bersama dengan roh nabi-nabi.
Lalu jibril datang kepadanya dengan membawa segelas arak dan segelas susu, lalu Nabi s.a.w memilih susu sebagai minumannya.

Lalu jibril berkata kepadanya “bahawa engkau wahai Muhammad telah memilih suatu perkara yang menjadi fitrah bagi manusia. Kemudian di teruskan lagi perjalanan ke langit pertama, kedua, ketiga sampai lah seterusnya hinggalah ke Sidratul Muntaha.
Disana lah di wahyukan kepada nabi syariat solat yang pada awalnya sebanyak lima puluh waktu.

Keesokkan harinya Nabi s.a.w menceritakan kepada penduduk Mekah tetapi ramai yang tidak mempercayai kata-kata nabi s.a.w. lalu Nabi di tertawakansehingga Nabi s.a.w menceritakan gambaran di dalam Masjidil Aqsa secara jelas.

Bukhari telah meriwayatkan secara jelas dalm sahihnya.

لما كذبتني قريش قمت فى الحجر فتجلى الله لى بيت المقدس فطفقت أخبرهم عن آيته وأنا أنظر إليه....

Maksudnya:
Ketika kaum quraisyh mendustakan aku, aku berdiri di hadapan Hijir (ismail). Lalu Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepada ku. Kemudian aku khabarkan kepada mereka tentang tiang-tiangnya dari apa yang aku lihat.

Sebahagian daripada kaum musyrikin mengambil peluang dari peristaiwa ini untuk menggoncang aqidah umat Islam pada ketika itu. Mereka juga mengkhabarkan kepada sahabat nabi s.a.w iaitu Abu Bakar r.a. Tetapi jawapan Abu Bakar mengecewakan mereka iaitu “jika Muhammad yang berkata demikian nescaya aku percaya, malah lebih dari itu pun aku percaya.” Dengan peristiwa ini lah Abu Bakar di gelar sebagai As-siddiq

BEBERAPA PENJELASAN

Pertama: penjelasan tentang Rasul dan MukjizatRamai diantara penulis cuba menggambarkan Nabi Muhammad ini sebagai insan biasa.Penulis-penulis barat juga cuba mempamerkan Nabi s.aw ini sebagai pemimpin biasa serupa dengan diktator-diktator lain. Gambaran yang salah ini sedikit sebanyak menggugat aqidah umat Islam. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w dikuniakan dengan banyak mukjizat yang tidak boleh di fikir oleh akal manusia.

Fiman Allah Taala:

قل إنما الأيت عند ألله

Maksudnya:
“sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu hanya pada sisi Allah”

Di antara mukjizat nabi lagi ialah, memancarkan air dari celah-celah jari nabi saw.
Peristiwa ini di riwayatkan oleh Bukhari di dalam bab wudhuk, muslim di dalam bab al-fadha’il (keutamaan). Imam Malik dalam al-muwaththa’. Mukjizat yang lain pula ialah peristiwa bulan terbelah. Peristiwa ini bukan di saksikan oleh musyrikin mekah sahaja tetapi disaksikan juga oleh seluruh alam. Satu riwayat menceritakan seorang sahabat nabi dari India datang berjumpa dengan nabi saw ketika melihat peristiwa ini di negaranya.Lalu beliau merantau lalu datang berjumpa dengan nabi dan menghadiahkan nabi dengan sedikit halia, lalu nabi ambil dan memakan halia tersebut.

Israk dan Mikraj ini juga merupakan salah satu daripada mukjizat nabi saw.Malahan ia merupakan mukjizat yang paling besar mengikut pendapat sebahagian ulama’.Tetapi ada sebahagian umat islam memekakkan telinga mereka dari mendengar hadis-hadis yang mutawatir dalam peristiwa ini yang menyebabkan mereka mempertikai peristiwa yang agong ini. Mana pergi ASTORA JABAT LAKNATULLAH??? Yang mempertikai peristiwa ini satu ketika dahulu. Ini merupakan saki baki daripada pengikut-pengikut Abu Jahal dan Abu Lahab kerana mereka tidak percaya dengan peristiwa ini.

Makna di sebalik perjalanan Isra’ ke Baitul Maqdis ialah ingin menggambarkan betapa tinggi nya kedudukan tanah suci umat Islam ini.Baitul Maqdis bukan sahaja tanah bagi orang palestin tetapi ianya juga merukan tanah suci bagi umat Islam keseluruhan nya.

Kita perlu sedar betapa pentingnya kita mempertahankan tanah suci ini dari di ceroboh oleh Yahudi yang tidak bertanggungjawab yang di sokong oleh Amerika dan negara-negara yang sekafir dengannya!!!! Adakah kita membutakan mata dan memekakkan telinga dalam masalah ini?? Apa sumbangan kita bagi membebaskan bumi palestin ini dari Zionis Yahudi laknatullah?? Kita WAJIB memboikot semua barangan-barangan Yahudi dan sekutunya. Apakah umat Islam sedar masalah ini?Kita kihat pada hari ini dalam negara kita ramai mereka-mereka yang masih lagi tidak memboikot barangan-barangan ini.

Professor Dr Yusoff Al-Qaradhawi dalam fatwanya menyebut, “ satu sen kita sumbangkan untuk zionis yahudi ini di ibaratkan kita telah memasukkan satu peluru untuk menembak umat Islam di Palestin. Kita harus merasakam bahawa tanah suci Baitul Maqdis merupakan tanah suci seluruh umat Islam!!!!!

Perajalanan dari Baitul Maqdis dan terus berjumpa dengan Allah Taala bagi menerima fardhu solat.

Ini memberi faham kepada kita bahawa penting solat dalam kehidupan ini dan pentingnya menjaga solat. Bayangkan susahnya nabi saw hendak menerima solat ini, tetapi malang ada diantara kita yang ambil sikap sambil mlewa dalam solat ini.
Cuba kita fikir, dalam usia yang Allah Taala beri kepada kita ini berapa kalikah kita rasa lazat ketika berjumpa dengan Allah swt. Jika kita tidak rasa lazat, bayangkan jika kita dimatikan oleh Allah swt esok hari??? Satu persoalan yang harus kita jawab. Kadang-kadang kita lebih mementingkan kerja dunia berbanding dengan solat.

Tahukah anda semua, bahawa solat ini merupakan hubungan kita dengan Allah secara langsung.Betapa kasihnya Allah kepada kita semua sehingga Allah memberi peluang hambanya merayu untuk mengabdikan diri kepadaNya.Nabi saw di beri pilihan oleh Jibril sama ada hendak meminum arak ataupun susu,namun Nabi saw memilih susu kerana ianya sesuai dengan fitrah dan naluri manusia itu.

Semua agama melarang penganutnya minum arak, ini kerana ia sudah terkeluar daripada sifat manusia yang sebenar.Jumhur ulama’ salaf dan khalaf bersependapat bahawa peristiwa ini berlaku dengan jasad dan roh. Imam Nawawi berkata di dalam SYARHU MUSLIM “ pendapat yang benar menurut kebanyakan ulama’ salaf,semua fuqaha, ahli hadis dan ahli ilmu tauhid, adalah bahawa Nabi saw di isra’kan dengan jasad dan rohnya, semua nas merujuk perkara ini,dan ia tidak boleh di takwil kecuali dengan dalil”.

Diantara dalil yang jelas mengenai peristiwa ini sebagaimana di sebutkan sendiri oleh Allah swt di dalam Al-quran surah Al-Isra’ ayat pertama. Disini dapat dinyatakan bahawa mereka yang menolak peristiwa ini adalah terkeluar daripada agama Islam (KAFIR)

HAYATI SUNNAH, JAUHI BIDA’AH

Sumber : http://idhamlim.blogspot.com/2009/07/mukjizat-isra-dan-mikraj.html

Mikraj ke Sidratul Muntaha


Mikraj ke Sidratul Muntaha

PERISTIWA Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram menuju Masjidil Aqsa, kemudian ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian kerohanian Rasulullah pada masa lalu.

Ia sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.

Hanya dalam satu malam, Allah SWT mencipta perjalanan Rasulullah SAW untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya; mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkannya perintah solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang dilakukan dengan jasad dan roh Rasullullah SAW dalam keadaan jaga itu (bukan mimpi).

Perjalanan ini memiliki makna yang sangat khusus, terutama bagi diri Rasulullah.

Ia berlaku kerana Allah hendak menunjukkan kepada Muhammad tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya, seperti yang disebut dalam al-Quran: Agar Kami tunjukkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kekuasaan Kami (Surah Al-Isra ayat 1).

Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang paling benar (Surah Najm ayat 18).

Meskipun terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.

Banyaknya pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi SAW, pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.

Sebagai contohnya tentang hakikat buraq dimana sifat-sifatnya menjadi perbincangan menarik sepanjang masa. Timbul pertanyaan pada setiap Muslim kenapa dalam perjalanan Israk dan mikraj nabi harus ada perantara (wasilah) Buraq dan bukan binatang lainnya. Walhal tanpa media Buraq pun Allah SWT berkuasa untuk menperjalankan Nabi SAW dalam perjalanan yang agung ini.

Dalam hal itu maka pendapat yang diyakini jumhur ulama adalah pendapat yang paling baik untuk diikuti. Kita harus menolak dalil-dalil yang sesat dan sebaliknya mengunakan dalil yang sahih sebagai dasar pegangan bagi menunjukkan nilai-nilai keislaman dan sikap keberagamaan.

Sayyid Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan, ‘‘Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad SAW.

Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk memberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu.

Muhammad

Begitu juga dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.

Banyak berlaku perdebatan yang terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan Israk Mikraj itu dengan roh sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir majoriti ulama mengatakan bahawa ia terjadi dengan jasad dan roh. Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular di kalangan umat Islam.

Sebenarnya, peristiwa Israk dan Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru tentang Israk dan Mikraj.

Ia menunjukkan secara jelas tentang adanya penambahan atau penceritaan versi baru yang lahir dari perawinya dan sama sekali tidak berkaitan dengan sabda Rasulullah atau dari dalil-dalil yang sahih.

Sejarah membuktikan banyak kitab yang membahaskan tentang perjalanan kenabian dan menunjukkan sedikitnya hadis yang membicarakan perihal Israk Mikraj. Setidak-tidaknya ia dapat dilihat dalam kitab As-Sirah karya Muhammad Bin Ishaq (85 H -151 M). Kitab ini adalah karya tertua dan pertama yang berisi dalil-dalil sahih atau dapat dipertanggungjawabkan bagi membicarakan perihal Israk dan Mikraj.

Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi kesahihannya tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Dengan demikian, maka lahirlah pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah SAW, selebihnya dengan roh.

Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang bersungguh untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah SAW tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu semata.

Apakah sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW? Dan apa yang lebih penting ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah ketika peristiwa itu terjadi.

Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun dari kalangan orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini.

Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghiburkan Rasulullah SAW yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawanya.

Tahun yang dianggap tahun kesedihan ini akhirnya dengan kekuasaan Allah SWT telah ‘mengisrak mikrajkan’ Rasulullah SAW. Allah SWT telah menperjalankan hamba-Nya untuk memperlihatkan tanda- tanda kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melihat sebahagian tanda- tanda kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung.

Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.

Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar al-Islam, “Ketika Rasulullah kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah SAW.” Malah dikatakan bertambah yakinlah Rasulullah akan kekuasaan Allah dan ini memberi semangat yang lebih kuat untuk meneruskan tugas kenabiannya.

Namun begitu, ada juga yang mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan ‘tahun kesedihan’ Rasulullah kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi semata-mata atas kehendak Allah SWT, sesuai dengan kekuasaan dan kudrat-Nya. Ia merupakan sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaa-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Mohd Shauki Abd Majid
Penulis adalah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Sumber : http://epondok.wordpress.com/2009/07/19/mikraj-ke-sidratul-muntaha/

Jumaat, Julai 17, 2009

Islam di China , di negara lain bagaimana ?


Bismillah...

Islam di China , di negara lain bagaimana ?

Umat Islam di Malaysia ini hanya bangkit menyatakan kemarahan apabila media massa mendedahkan sesuatu peristiwa seperti rusuhan di Xinjiang , China. Sebelum ini ramai umat Islam di Malaysia ini tidak tahu menahu mengenai kewujudan Xinjiang apatah lagi umat Islam di sana.

Pertubuhan Islam di Malaysia ini harus konsisten membela umat Islam di seluruh dunia bukan menunggu sesuatu isu itu diketengahkan dalam media. Apatah lagi media tersebut bukan dari media Islam.

Keutamaan juga harus diletakkan akan negara mana umat Islam di Malaysia ini harus memberikan tumpuan. Sudah pasti ialah jiran yang terdekat apatah lagi serumpun bangsa.

Bagaimana rumpun bangsa Melayu yang beragama Islam di selatan Thailand , mereka dibunuh ketika solat dalam masjid ? Bagaimana pula umat Islam rumpun Melayu di selatan Filipina , masjid mereka digunakan sebagai markas tentera.

Setiap hari penindasan terhadap umat Islam berlaku. Media yang dikuasai oleh orang Islam harus memainkan peranan untuk mengetengahkan isu ini. Bukan menunggu media asing yang mempunyai agenda mereka tersendiri.

Kenapa berita penindasan umat Islam di Xinjiang menjadi tajuk utama sedangkan umat Islam di Aghanistan di bom menggunakan peluru berpandu dan “drone” (pesawat tanpa juruterbang) , begitu juga di Palestin ?

Pertubuhan Islam di Malaysia ini harus menjuarai isu hak asasi manusia dan demokrasi dalam mempertahan hak umat Islam di serata dunia, tanpa perlu menggunakan kekerasan. Ruang untuk diplomasi , muzakarah , publisiti , dialog masih banyak belum diteroka.

Kesimpulannya ialah isu pembelaan umat Islam di seluruh dunia tidak sepatutnya dijadikan bermusim apabila ianya diketengahkan oleh media asing. Ianya sepatutnya satu usaha yang berterusan melalui sumber media Islam yang boleh dipercayai.

Rozmal bin Malakan, Seremban
http://waghih. blogspot. com

Alhamdulillah, Di Kota Kinabalu pada hari ini
Satu himpunan aman bagi membantah kerajaan China terhadap pembunuhan umat Islam di Xinjiang telah diadakan di perkarangan Masjid Bandaran Kota Kinabalu, tengahari tadi selesai solat fardhu Jumaat.


Himpunan itu diketuai oleh Lahirul Latigu selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah dan Abd Hamid Abu Bakar (YDP PAS Putatan) bersama kira-kira 100 ahli mereka, menarik perhatian 400 jamaah yang selesai menunaikan solat di masjid berkenaan. Seperti yang telah dilaporkan oleh...klik di sini..

Walaupun perhimpunan ini dianjurkan oleh PAS namun orang yang hadir pada perhimpunan tersebut terdiri daripada mereka yang berbeza parti politik dan kehadiran mereka adalah di atas dasar persaudaraan dan pembelaan serta rasa sokongan mereka terhadap saudara seISLAM yang di tindas dan dizalimi di seluruh dunia terutama umat Islam di Xinjiang, China ketika ini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Khamis, Julai 16, 2009

Travelog Falak (siri 3)

Peserta muslimat cuba untuk mengendalikan alat iaitu kompas prasmetik

Bismillah...


14/07/2009 : Para peserta kursus ini telah diperkenalkan bagaimana menghitung azimut kiblat, pengenalan dan amali penggunaan kompas dan tedeolit dan taklimat mengenai Garis Panduan Penentuan Arah Kiblat Negeri Sabah serta Manual Praktikum Kiblat.


HITUNGAN AZIMUT KIBLAT


Dr. Baharuddin (sifu falak saya) memeriksa kerja - kerja pengiraan azimut kiblat yang dikira oleh peserta

Setelah peserta mahir dalam pencarian koordinat sesuatu lokasi dengan menggunakan peta maka peserta telah dapat menghitung azimuth kiblat dengan menggunakan rumuz (formula).

PENGENALAN DAN AMALI PENGGUNAAN KOMPAS DAN TEDEOLIT



En. Ahmad Taupan (sifu falak saya) menerangkan tatacara penggunaan kompas prasmetik dan tedeolit

Para peserta telah didedahkan alat - alat yang digunakan bagi kerja - kerja penentuan arah kiblat seperti Kompas dan Tedeolit. Pendedahan ini penting bagi persediaan slot praktikal pada esok hari.

Peserta muslimat cuba mengendalikan tedeolit

TAKLIMAT GARIS PANDUAN PENENTUAN ARAH KIBLAT NEGERI SABAH

Pengendalian tedeolit oleh para peserta muslimin

Pada taklimat ini saya telah menyampaikan garis panduan tersebut atau dikenali dengan prosedur penentuan arah kiblat. Tujuannya, agar semua para peserta mengetahui garis panduan tersebut dan segala tindakan bagi menentukan arah kiblat sesuatu masjid atau surau dan permis sendiri dapat mengikut saluran yang sebenar. InsyaAllah saya akan jelaskan dan makumkan kepada pembaca mengenainya pada tulisan akan datang. Alhamdulillah, para peserta semakin berminat dengan slot - slot tersebut.

Sekian.

Rabu, Julai 15, 2009

9 SEBAB HATI TIDAK BAHAGIA

Bismillah...

9 SEBAB HATI TIDAK BAHAGIA

Email Oleh : Zamri Keciks

Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.

2. Pendendam tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3. Hasad dengki- amalannya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama-derma) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui maknusia

5. Tamak orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut....walau berapa banyak yg diminum tetap tak abis jugak...lagipun org tamak selalu rugi.. ** Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan..cthnyer time keja banyak..tetap maintain vogue walau keja bertimbun atas meja..heh..heh..)

7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

8. Riak terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun-lakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. -Allah marah kalau kita riak..takabbur dgn aper yg kita ada..

9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, ....dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. biler mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah... Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.


Kesimpulan

Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dllnya. tetapi ialah MAZMUMMAH.

Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak BAHAGIA. Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. So..sama-samalah kite sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain...andai kita terleka dengan dunia buruklah padahnya.

Sumber sila klik di sini.

Wallahu'alam.

Isnin, Julai 13, 2009

Travelog Falak (siri 2)


Bismillah...

Slot kuliah 1 bermula jam 2 - 4 petang iaitu mengenai GLOB BUMI (Penentuan Arah Utara dan & Penggunaan Kompas/tedeolit). Saya melihat peserta - peserta masih lagi dalam keadaan cuba memahami mengenai tajuk ini.

Mencari koordinat sesuatu lokasi menggunakan PETA

Secara ringkasnya, kuliah ini menekankan tentang asas sebelum pengiraan azimut arah kiblat. azimut adalah arah yang diukur dari utara mengikut jam. Sebelum nilai azimut arah kiblat diperolehi maka koordinat sesuatu lokasi perlu diketahui. Untuk mendapatkan koordinat, sekarang ini sudah terdapat perisian mengenainya. Namun dalam kursus ini para peserta diajar secara manual dengan menggunakan peta bagi mendapatkan koordinat. Nampaknya ada juga peserta berkerut dahi.

Selain itu, penentuan arah utara juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan arah kiblat. Ada beberapa kaedah bagi mendapatkan arah utara :

1. Garis Tengahari Dengan Kaedah Tongkat Istiwa

Kaedah tradisional ini adalah bagi mendapatkan arah utara/selatan. Jika kaedah ini dipraktikkan, arah kiblat yang tepat akan diperolehi. Nanti saya akan ceritakan kaedah ini pada kesempatan akan datang.

2. Menggunakan Kedudukan Istiwa Bintang dan Buruj.

Tentu anda pernah mendengar bintang POLARIS atau QUTBI. Bintang ini menunjukkan arah utara tepat. Buruj Orion adalah bintang yang berderek tiga yang mana satu menghala ke timur dan satu lagi ke barat. Jika kita di Malaysia maka buruj orian menghala ke barat itulah arah kiblat kita.

Kedudukan buruj orion yang menghala ke barat (kiblat)

3. Utara Benar Melalui Cerapan Matahari

Ini hanya dapat ditentukan dengan menggunakan peralatan moden seperti tedeolit atau total station. Kaedah ini banyak diguna pakai oleh Juru ukur tanah di Malaysia.

Itu secara ringkasnya bagi mendapatkan kedudukan utara yang mana kedudukan ini amat penting untuk mendapatkan kedudukan arah kiblat sebenar.

Peserta Muslimat pun ada

Slot malamnya pula kuliah 2, jam 7.30 - 9.30 malam bertajuk BACAAN / GUNAAN PETA DAN HITUNGAN AZIMUT KIBLAT. Slot ini melatih peserta untuk mendapatkan koordinat sesuatu lokasi menggunakan peta Sabah yang disediakan secara manual. Alhamdulillah setelah melalui slot kuliah 1 maka nampak la juga peserta sudah mula memahami asas pengiraan azimut kiblat.


2 slot pada hari ini hanyalah asas bagi memahami macam mana pengiraan arah kiblat dilakukan walaupun sebenarnya pengiraan arah kiblat belum dilakukan. InsyaAllah esok bermulalah pengiraan arah kiblat seterusnya bagaimana penandaan arah kiblat di sesuatu lokasi dan akan melatih para peserta menggunakan alat - alat (instrumen) dalam penentuan arah kiblat.

Wallahu'alam.

Travelog Falak (siri 1)



Bismillah...

13 Julai 2009 : jam 8-10 pendaftaran bermula. Peserta - peserta yang mengikuti kursus adalah terdiri daripada beberapa jabatan seperti JHEAINS sendiri terdiri daripada imam - imam kariah dan daerah, Jabatan Tanah & Ukur, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Cawangan Sabah, Polis (BAKA), KAGAT, Jabatan Penjara. Seramai 46 orang peserta. Hotel King Park, Tawau tempat kursus kali ini.


Kursus ini telah dirasmikan oleh Ust. Omar Said, Timbalan Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Kursus ini adalah kursus kali ke 2 di buat di negeri Sabah. Pertamanya pada tahun 2007 lalu yang telah diadakan di Kota Kinabalu.


Penganjur utama kursus ini adalah ILIM dan tenaga penceramahnya adalah daripada Universiti Darul Iman, Terengganu iaitu Dr. Baharuddin Zainal dan En. Ahmad Taupan yang merupakan sifu saya ketika saya mengambil persijilan Falak di UDM tahun 2006 lalu.


Rata-ratanya, ramai peserta kali ini yang akan menemui pengalaman dan ilmu baru melalui kursus kali ini berdasarkan latar belakang yang saya perhatikan terdiri daripada mereka yang tidak pernah mengikuti kursus sebelum ini. Mudah-mudahan ada manfaatnya ... ameen.