Khamis, April 29, 2010

Kiblat di Sekitar Putatan

Bismillah...

Hari ini saya bersama kru di Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah mengadakan lawatan kerja bagi menentusahkan arah kiblat sebuah masjid dan surau di sekita Putatan.

1. Masjid Al-Hilal, Tg. Dumpil, Putatan

Ust. Salam dan En. Suriansah sedang memerhatikan plan

Lokasinya adalah berdekatan dengan Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah di Tg. Dumpil, Putatan. Senonimnya dengan nama Masjid Al-Hilal kerana lokasi aktiviti rukyah hilal adalah dalam kawasan masjid tersebut pada ketika dahulu.

koordinatnya Latitud : 5˚ 54’ 17” Longitud : 116˚ 02’ 22” dan Azimuth Kiblatnya adalah 290˚ 38’ 05”.



Alhamdulillah dengan adanya balai cerap tersebut maka masjid Al-Hilal dinaik taraf dan dibina semula dengan reka bentuk terkini.

Setibanya kami dilokasi jam 8.40 pagi masih belum kelihatan juruukur yang dilantik oleh kontraktor bagi kerja - kerja layout kedudukan masjid mengikut bering arah kiblat yang telah kami berikan.

Sebelum lawatan, saya telah maklumkan kepada kontraktor agar segala keperluan disediakan termasuklah juruukur agar kerja - kerja tersebut dapat diselesaikan sebelum kami tiba. Sekiranya perkara ini belum disediakan menyebabkan masa akan terbuang dan pengesahan tidak akan dapat diberikan.

Namun saya menyatakan kepada pihak kontraktor agar dapat menyiapkan kerja - kerja tersebut pada hari ini dan sementara itu kami ke lokasi berikutnya dan saya berharap ianya selesai setelah kami kembali semula ke lokasi tersebut.

Malangnya, kerja -kerja tersebut juga belum selesai dan kami tidak boleh menentusahkan lagi arah kiblat masjid tersebut.

2. Surau Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Ketiau - Tombovo


Lokasi surau tersebut terletak di daerah Putatan jalan Ketiau - Tombovo berhampiran dengan taman Ketiau dan SMK Tansau.

Koordinat surau tersebut adalah Latitud : 5˚ 52’ 22.09” dan Longitud : 116˚ 03’ 21.82” dan Azimuth arah kiblat adalah 290˚ 38’ 34.9”.


Sekolah ini adalah khas untuk golongan OKU dan satu - satunya sekolah OKU yang lengkap dengan asrama, surau, dewan dan beberapa lagi prasarana sesuai dengan golongan tersebut di negara ini.

Alhamdulillah, sekolah ini punyai surau tetapi pelik sebab binaan surau tersebut telah pun ditetapkan bangunannya yang berkedudukan 303˚ dan tidak boleh diubah walaupun kedudukan azimuth kiblat berada pada 290˚. Maknanya arah kiblat telah terserong dalam 13˚.

Saya dimaklumkan bahawa, kedudukan bangunan surau tidak boleh diubah kerana sudah termasuk dalam pakej keseluruhan sekolah tersebut dan ruang yang ada adalah terhad.

Keadaan ini juga menyukarkan kami untuk memberikan pengesahan. Setiap surau atau masjid yang dibina hendaklah mengikut azimuth kiblat yang telah ditetapkan berdasarkan koordinat di lokasi surau atau masjid itu dibina.

Jika bangunan surau telah ditetapkan dengan bering tertentu bukan mengikut azimuth kiblat sudah pasti pengesahan tidak akan diberikan dan ini bukanlah pengesahan untuk pembinaan baru tetapi kerja seperti ini adalah kerja - kerja semakan sahaja.

Oleh itu, kami tidak berikan pengesahan kepada surau tersebut bahkan kami mencadangkan agar pihak pemaju memaklumkan kepada kami semula jika bangunan surau tersebut siap dan kerja - kerja pemasangan karpet hendak dilaksanakan. Agar pemasangan karpet di surau tersebut benar - benar mengikut azimuth kiblat yang telah kami berikan.

Kesimpulan

Inilah antara situasi yang menyukarkan kami menentusahkan arah kiblat sesuatu masjid dan surau baru yang hendak dibina. Kami telah bersedia dan telah memaklumkan segala keperluan kepada pihak pemaju namun jika situasi sebegini berlaku menunjukkan pihak pemaju tidak bersedia dan ini akan melambatkan lagi pengesahan arah kiblat tersebut.

Perlu difahami, kerja - kerja arah kiblat ini hendaklah dilaksanakan dengan teliti dan cermat. Pihak kami wajib memastikan ianya terlaksana mengikut garis panduan yang telah dikuatkuasakan.

Kekadang terdengar kata - kata orang bahawa pihak kami lambat mengambil tindakan tetapi sebenarnya faktor kelambatan itu tidak diketahui orang. Contohnya apa yang telah berlaku pada hari ini.

Banyaknya faktor kelambatan ini adalah berpunca disebabkan pihak pemohon tidak mengikuti garis panduan yang telah bekali - kali pihak kami maklumkan.

Oleh itu, sesiapa yang hendak membina surau dan masjid khasnya di negeri Sabah pastikan anda benar - benar mengerti akan garis panduannnya dan bolehlah merujuknya ke Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Waallahua'alam.


Rabu, April 28, 2010

Isteri berkerja

Bismillah...

Saya tertarik dengan entri yang ditulis oleh seorang sahabat mengenainya dan apa yang sahabat saya tulis itu ianya juga saya alami. Oleh itu saya memberikan sedikit pandangan mungkin juga ianya bermanfaat. Ini pandangan ringkas saya :

" Syekh macam tu la keadaan bagi mereka yang berkerja. ana pun mengalaminya namun mungkin tidak sehebat enta.

Ana telah memerhati ramai para ilmuan silam, ulama2, ulama2 gerakan dakwah dahulu juga terkini, kebanyakkannya isteri mereka berkhidmat sepenuh masa kepada keluarga terutama kepada anak2 dan juga suami.

Mungkin juga itulah sebabnya rasulullah pernah bersabda yang mafhumnya golongan para isteri ramai yang masuk syurga disebabkan mereka ini hanya taat dan berbakti kepada suami.

Desakan hidup dan keperluan hidup ketika ini juga faktor kita tidak setahap golongan para ulama dan ilmuan terdahulu.

Sekarang ana dalam rangka untuk memberhentikan isteri daripada berkerja diluar untuk tumpukan keluarga dan anak2. tunggu masa dan keadaan yang sesuai. itulah niat ana.

Anak2 adalah aset teramat penting apabila kita mati. didikan sewajibnya sedari awal, mendidik pula kena ada penumpuan. maka sayugianya si isteri adalah pendidik yang terbaik bersama suami.

Si suami pula dapat menerima nikmat kerana si isteri berkhidmat sepenuhnya untuk suami. Sudah pasti si suami memandu isteri menuju ke syurga.

Ana merasai apa yang enta rasa dan juga orang - orang yang segolongan dengan kita. Keperluan hidup tetap dicari namun kita kena bijak bagaimana mendapatkan keperluan hidup tanpa meminggirkan keperluan hidup yang abadi apabila kita berhadapan dengan Rabbuljalil..

sekadar pandangan dan luahan moga ianya manfaat. "

Moga Allah SWT permudahkan urusannya dan sama-sama menikmati hidup berkeluarga.

waallahualam.

Selasa, April 27, 2010

Elektrik terputus: Solat Jumaat dua imam

Bismillah...

23hb April 2010 ( jumaat ) lalu jika mengikut jadual asal saya diamanahkan sebagai khatib dan Imam di Masjid Negeri Sabah. Namun jadual telah berubah dan saya telah dimaklumkan bahawa Ust. Abu Hurairah yang akan bertugas ketika itu.

Satu hikmah kerana saya juga ketika itu mengendalikan bengkel kaedah penentuan arah kiblat di Politeknik Kota Kinabalu.

Saya juga turut dimaklumkan oleh beberapa sahabat bahawa berlaku satu kejadian yang barangkali jarang - jarang berlaku apabila khatib sedang berkhutbah tetiba bekalan elektrik terputus menyebabkan jemaah di tingkat bawah tidak mendengar suara dan pergerakkan khatib seterusnya. Situasi ini telah dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 24hb dan anda boleh merujuknya di sini.

Oleh itu berlakunya 2 imam dalam solat jumaat tersebut apabila jemaah di tingkat bawah berimamkan seorang lagi disebabkan pergerakkan imam di tingkat atas sudah tidak diketahui oleh jemaah di tingkat bawah.

Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai adakah sah solat jumaat jemaah di tingkat bawah tersebut? dan apakah alasan jika ia dikatakan sah atau sebaliknya? perkara ini perlu diteliti dan disarankan agar anda dapat bertanya kepada orang yang lebih mengetahui dan dalam konteks negeri Sabah mungkin bolehlah dirujuk mengenai perkara ini ke Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Secara peribadi, adakah benar statment yang dilaporkan oleh akhbar utusan mengenai perkara ini yang menunjukkan SS Mufti Negeri Sabah telah mengeluarkan kenyataan berkaitan hukum solat jumaat di masjid tersebut ketika berlakunya kejadian itu?

Ekoran daripada itu satu kenyataan rasmi daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah berhubung perkara ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Waallahua'alam.



Laporan penuh berita daripada utusan malaysia mengenai perkara ini :

Elektrik terputus: Solat Jumaat dua imam

KOTA KINABALU 23 April - Jika sebelum ini beberapa masjid di Terengganu dan Kelantan melakukan solat berimamkan dua imam disebabkan perbezaan fahaman politik, lain pula di negeri ini.

Solat Jumaat di Masjid Negeri di Jalan Sembulan di sini hari ini berlangsung dengan dua imam kerana bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba pada pukul 12.50 tengah hari ketika khatib membaca khutbah.

Keadaan itu menimbulkan kelam kabut apabila hampir sebahagian besar jemaah di saf depan, di tingkat bawah masjid berkenaan tidak menyedari solat sudah dimulakan.

Ekoran kejadian itu, seorang lelaki tampil mengimamkan solat yang kemudiannya diikuti kira-kira lapan saf jemaah di tingkat bawah.

Pada ketika itu, solat yang dipimpin imam tingkat atas sudah memasuki rakaat kedua.

Apa yang menjadikan keadaan kelam-kabut adalah sebahagian jemaah di saf belakang, di tingkat bawah sudah mengikuti solat yang dipimpin imam di tingkat atas.

Jemaah di saf belakang, tingkat bawah dapat mengikuti solat yang dipimpin imam di tingkat atas kerana pada kedudukan itu, mereka mampu melihat pergerakan jemaah saf belakang, di tingkat atas masjid berkenaan.

Selain itu, mereka juga dapat mendengar suara jemaah di tingkat atas yang bertindak bijak dengan menguatkan suara ketika rukuk, sujud dan iktidal.

Turut menunaikan solat di masjid itu pada hari ini ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah; Mufti Sabah, Datuk Ahmad Alawi Adnan dan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali.

Sementara itu, imam di tingkat bawah ketika ditemui berkata, solat Jumaat pada hari ini sah di kedua-dua bahagian kerana disifatkan dalam keadaan darurat.

Dia yang enggan dikenali berharap pada masa akan datang pihak pengurusan masjid harus menyedia pelan kecemasan jika berlaku gangguan bekalan seperti yang terjadi hari ini.

Dalam pada itu, Alawi ketika ditemui, turut menyatakan bahawa solat Jumaat pada hari ini di tingkat atas dan bawah, sah atas alasan yang sama iaitu darurat.

Isnin, April 26, 2010

Kejamnya Manusia Macam Binatang ini

Bismillah...


Saya perolehi gambar ini apabila menjelajah di FB, katanya :

" Saya tak pasti sama ada ia gambar betul atau superimpose, tiada maklumat melainkan gambar sahaja. Khabarnya dari Taiwan......saya harap ianya tidak benar.

#Kalau anda lemah semangat, sila abaikan gambar ini....:) "

Ulasan :

Ini lah Allah SWT gambarkan perangai manusia di ayat 179 surah al-'Araf yang lebih teruk daripada binatang sesat lagi menyesatkan dan ayat 5 surah at-tin perangai manusia yang lebih teruk daripada binatang walaupun manusia itu adalah sebaik-baik kejadian.

Na'uzubillah, kita mohon perlindungan daripada Allah SWT agar kita tidak tergolong dalam golongan orang - orang yang disebutkan itu.

Senarai Dosa2 Besar dari Kitab al-Kaba`ir

Bismillah...

Al-Imam Azzahabiyy menyenaraikan dalam kitabnya "Al-Kabaair" jenis dosa-dosa besar melibatkan perkara-perkara seperti berikut:

01 - Belajar ilmu lalu tidak menerangkannya
02 -Persaksian palsu
03 - Berjudi
04 - Bersumpah palsu dan bohong
05 - Berbohong
06 - Tidak istinjak selepas kencing
07 - Perempuan pelacur
08 - Berbuat zalim terhadap yang lemah
09 - Berdebat dan memusuhi
10 - Bersifat dayus
11 - Bercakap kasar dengan orang tua
12 - Dusta nama Allah dan rasulnya
13 - Derhaka pada suami
14 - Derhaka pada hamba Allah
15 - Hakim yang zalim
16 - Homoseks
17 - Menipu dalam timbangan
18 -al-Abd al-Aabiq /iaituhamba yang lari dari tuannya
19 - Lelaki menyerupai wanita ( al-mutasyabbihin binnisak )
20 - Lari dari medan perang di jalan Allah
21 - Membunuh manusia
22 - Membunuh diri sendiri
23 - Mengamalkan sihir
24 - Meninggalkan sembahyang lima waktu
25 - Meninggalkan sembahyang jumaat
26 - Menderhaka ibu bapa
27 - Memutuskan hubungan silaturrahim
28 - Melakukan zina
29 - Makan harta anak yatim secara tidak betul
30 -Mengumpulkan kekayaan haram
31 - Memberi dan menerima rasuah
32 - Melabuhkan pakaian kerana berlagak sombong
33 -Berurusan dengan riba
34 - Minum arak
35 - Mencuri
36 - Merompak
37 - Melakukan kezaliman
38 - Melakukan pengkhianatan
39 - Mengungkit-ungkit pemberian
40 - Mengingkari janji
41 - Memfitnah
42 - Mengutuk orang islam
43 - Merasa aman dari kemurkaan Allah
44 - Menipu harta rampasan
45 - Melampaui batas
46 - Menuduh zina terhadap orang baik
47 - Memakai emas dan sutera (bagi lelaki)
48 - Mempercayai nujum dan sihir
49 - Wanita menyerupai lelaki ( al-Mutasyabbhihatu birrijal )
50 - Mencari-cari kesalahan orang lain
51 - Menganggu orang lain
52 - Menganggu tetangga
53 - Menyakiti dan memaki orang islam
54 - Mengintip dan membuka rahsia orang
55 - Mencaci sahabat Nabi
56 - Mengurangi wasiat
57 - Mengingkari takdir
58 - Putus asa dari rahmat Allah
59 - Penipuan dan kezaliman terhadap orang bawahan
60 - Riak dan menunjuk-nunjuki
61 - Syirikkan Allah dengan sesuatu yang lain
62 - Sombong serta angkuh
63 - Sembelih untuk selain Allah
64 - Tidak mengeluarkan zakat
65 - Tidak berpuasa di bulan ramadhan
66 - Tidak mengerjakan haji sedangkan bermampuan

Sumber : facebook Ust. Zahazan

Abdullah Bin Mas'ud

Bismillah...

Siapa Abdullah Bin Mas'ud?

Latang Belakangnya

Nama penuhnya ialah Abu Abd al-Rahman Abdullah Bin Mas'ud Bin Ghafil Bin Habib al-Hazali. Di antara orang - orang yang mendahului memeluk agama Islam serta termasuk di kalangan pembesar sahabah Rasulullah SAW dan beliau adalah orang yang amat berani membaca al-Quran di Mekah secara terang - terangan hingga dia pernah terseksa.

Pekerjaannya

Merupakan khadam kepada Rasulullah SAW yang setia, ke mana sahaja Rasulullah SAW pergi, beliau tidak ketinggalan dan tidak pernah berenggang daripada Rasulullah SAW sama ada di rumah mahupun di jalanan. Juga terkenal di kalangan para sahabat yang menyimpan rahsia Rasulullah SAW.

Bentuk Tubuh Badannya

Seorang yang kurus badannya, hitam warnanya lagi pendek. Tetapi bukan itu menjadi satu keaiban kepada dirinya bahkan beliau adalah lautan ilmu dan karung yang penuh tepu dengan pengetahuan sepertimana yang diakui oleh Sayyidina Umar sendiri.

Kehebatannya

Pada suatu hari pernah para sahabat tertawa melihat kedua belah kakinya yang kurus. Rasulullah SAW pada saat itu juga berkata :

" Bahawa kaki Abdulllah dalam timbangan adalah lebih berat dari bukit uhud. Sebab itu tak usahlah diketawakan kerana kurus kedua belah kakinya, kerana yang menjadi ukuran ialah amalnya dan buka kedua belah kakinya".

Beliau juga pernah dilantik menjadi pengurus Bayt al-Mal di Kufah setelah Rasulullah SAW wafat dan beliau antara sahabat yang banyak meriwayatkan hadis. Menurut riwayat ada sebanyak 848 hadis yang disebut dalam Bukhari dan Muslim.

Waallahua'alam.

Sumber :

Imam Nawawi RH, Hadis 40 ( terjemahannya dan Syarahnya oleh Mustafa Abd Rahman), Hadis ke - 4, muka surat 127-128. ( disampaikan ketika kuliah maghrib mingguan di Masjid As-Salam Kg. Contoh, Petagas).

Ahad, April 25, 2010

Bengkel Kaedah Penentuan Arah Kiblat

Bismillah...

Pada 23hb April 2010 jumaat, saya dan seorang sahabat Ust. Mohd. Salam telah mengendalikan Bengkel Kaedah Penentuan Arah Kiblat yang di adakan di Politeknik Kota Kinabalu.

Dianjurkan oleh bahagian latihan Politeknik. Seramai 40 orang peserta terdiri daripada pensyarah - pensyarah dan kakitangan Politeknik.

Asalnya program ini dianjurkan selama 2 hari yang akan membincangkan ilmu falak namun kesempatan yang ada hanya satu hari sahaja dan hanya memfokuskan tajuk kaedah penentuan arah kiblat. Sebenarnya dengan sehari memang tidak mencukupi bagi membincangkan mengenai tajuk tersebut.


Ini merupakan pusat pengajian kedua yang telah menjemput kami dalam membicarakan ilmu falak yang mana sebelum ini pihak MRSM Kota Kinabalu menjemput kami bagi membicarakan tajuk mengenai dengan cerapan malam.


Tiga slot saya telah saya bahagikan dalam bengkel ini :

Slot Pertama : jam 8.30 sehingga 10 pagi ( huraian mengenai taarif, hukum, kepentingan dan kaedah penentuan arah kiblat )


Slot Kedua : jam 10.30 sehingga 11.30 pagi ( bengkel : cara mendapatkan koordinat sesuatu lokasi dengan menggunakan bacaan peta dan google earth. Cara mendapatkan azimuth / bering kiblat dan bayang matahari harian searah kiblat menggunakan perisian khas. )


Slot Ketiga : 2.30 - 3.30 Petang ( Praktikal penetapan arah kiblat di perkarangan masjid Politeknik dan praktikal semakan masjid tersebut)


Slot Keempat : 4.00 - 4.30 petang ( Penjelasan Prosedur Pengesahan Arah Kiblat di Negeri Sabah dan kesimpulan keseluruhan bengkel ini).


Alhamdulillah, dalam bengkel ini saya rasa mudah mengendalikannya kerana ianya adalah terdiri daripada pensyarah yang ramainya daripada jurusan kejuruteraan awam yang ada kaitannya dengan pengukuran tanah secara langsung juga berkaitan dengan arah kiblat.

Maknanya penerangan dari segi peralalatan tidak perlu diperincikan hanya sekadar diperingatkan semula. Walau bagaimanapun tidak semua orang tahu bagaimana arah kiblat ditentukan dengan pelbagai cara selain daripada menggunakan peralatan (instrumen) moden ketika ini.

Oleh itu, seawalnya saya telah meletakkan sasaran bahawa selepas bengkel ini para peserta dapat menentukan arah kiblat sendiri dalam apa keadaan samaada ketika bermusafir atau bermukim. InsyaAllah saya berkeyakinan ianya tercapai kerana saya perhatikan setiap peserta memberikan perhatian dengan penuh minat dalam bengkel ini, begitu juga yang telah dinyatakan oleh Tuan Haji Fikri, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Kota Kinabalu.


Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Politeknik Kota Kinabalu kerana sudi menjemput Pejabat Mufti Negeri Sabah dalam membincangkan ilmu falak ini. Moga ianya bermanfaat dan itulah sebenarnya misi pejabat kami iaitu memsyarakatkan ilmu falak di negeri Sabah ini.


Waallahua'alam.

Selasa, April 20, 2010

Ringkas Jawapannya

Bismillah...

Dalam kehangatan PRK di Hulu Selangor saya terbaca sedikit catatan ini daripada rakan - rakan FB, mungkin anda boleh menerimanya atau sebaliknya? terpulang kepada individu masing - masing dan nilailah sendiri kerana anda adalah bertanggungjawab membuang UNDI samada pilihan raya umum akan datang atau para pengundi di Hulu Selangor hujung minggu ni :

" Tuan Guru bertanya khabar tentang perkembangan di tanah air, terutamanya Kelantan. Langsung ditanya juga perkembangan PRK Kecil Hulu Selangor. Saya menyatakan, pihak lawan sudah menyerang peribadi Datuk Zaid Ibrahim atas isu arak & pengakuannya. Spontan Tuan Guru mengungkap "Ramai sahabat Nabi sebelum Islam merupakan peminum arak, tetapi selepas menerima Islam mereka sudah tak minum lagi." - Setiausaha Politik MB, Wan Nik Wan Yussof*

Jawapannya yang ringkas membuatkan kita terfikir mungkin ada benarnya. Jalan untuk mencari jawapannya sulusurilah sirah Nabawiyyah dan diharap tuan punya badan yang mewakili PKR benar-benar insaf dan pengakuannya itu adalah ikhlas untuk kembali ke jalan Allah SWT.

Kali ini Datuk Zaid dibongkar rahsianya yang lalu, bagaimana yang lain?

Waallahua'alam.

Rabu, April 14, 2010

Sudahku miliki

Bismillah...


Alhamdulillah, pada 28 Rabi'ulakhir 1431 bersamaan 13 April 2010 saya telah memiliki sebuah kitab tafsir muktabar iaitu tafsir ibn kathir ( Tafsir QuranilA'zim ) yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa melayu Indonesia. Terbitan Pustaka Imam Syafie.

Memang sudah lama saya ingin memilikinya semenjak mula - mula saya berkunjung ke Pustaka Aslam. Tetapi masih berfikir tentang budget kerana harganya yang menyebabkan saya kena kira budget.

Alhamdulillah, kelmarin dengan tekad semata - mata demi ilmu dan dengan galakan isteri serta kepercayaan bos Pustaka Aslam iaitu Abu Aslam yang telah memberikan kelebihan kepada saya menyebabkan saya begitu yakin untuk memiliknya.

Dengan ini juga saya dapat membaca kitab tafsir ibn kathir berbahasa arab bersama tafsir terjemahan ini untuk memantapkan lagi pemahaman agar setiap ayat kalamullah ini dapat dihayati dan ditadabbur.

Sinopsis Kitab Tafsir Ibn Kathir


Mempunyai 2 versi iaitu satu versi besar yang mempunyai 8 jilid dan satu lagi versi kecil mempunyai 10 jilid (ini yang saya miliki). Terbitan oleh Pustaka Imam Asy-Syafi'i penerbit penyebar sunnah daripada Indonesia dan diedarkkan di Malaysia oleh Telaga Biru.

Penterjemahnya adalah Dr. "Abdullah Bin Muhammad Bin 'Abdul Rahman Bin Ishaq Alu Syaikh.


Kitab Tafsir ini memang tersohor di dunia Islam dan merupakan Kitab muktabar dalam ilmu tafsir. Tersohor kerana beberapa faktor :

1. Kepakaran Penulisnya :

Penulisnya ialah al-Hafiz 'Imaduddin Abdul Fida' Ismail Bin Umar Bin Katshir al- Quraisyi ad-Dimasyqi seseorang yang mahir dalam ilmu agama di abad VIII H. Tafsir adalah bidang kepakarannya. Gelaran Al-Hafiz kerana dia telah menghafal berpuluh - puluh ribu teks hadis. Seorang penulis dan telah banyak hasil tulisannya seperti al-Bidayah wan Nihayah.

2. Metode Penulisan :

Telah menggunakan metode penulisan Tafsir bil Ma'tsur iaitu sebuah penulisan tafsir yang diakui valid, shahih, tepat dan lurus iaitu penafsiran al-quran dengan al-quran, penafsiran al-quran dengan hadis, penafsiran al-quran dengan pendapat para ulama tafsir Salafus Soleh daripada kalangan sahabat dan tabi'in.

3. Pemahaman Penulis Yang Lurus, Terutama Dalam Masalah Aqidah :

Penulis adalah ulama yang beraliran Ahlus Sunnah wal Al-Jamaah dan mengikut manhaj Salafus Soleh dalam beragama, baik dalam masalah aqidah, ibadah, maupun akhlak.

4. Keumuman dan Kemurnian Tafsir :

Tafsir ini hanya menjelaskan maksud Allah SWT dan bersifat umum tidak menitikberatkan pada salah satu bidang penafsiran sahaja.

5. Validitas Tafsirnya :

Tafsir ini menggunakan kaedah tafsir bil ma'thur yang membuatkan kitab tafsir ini menjadi rujukan bagi semua kitab tafsir dan telah dikaji oleh hampir setiap kalangan ummat Islam di seluruh dunia.


Jika sesiapa yang berminat kepada terjemahan tafsir ini bolehlah berkunjung ke Pustaka Aslam, Kingfisher, Likas. Harga Versi Besar RM940 dan Versi Kecil RM740 ataupun melalui saya di talian 0195367902 dan insyaAllah harganya ada diskaun.

Nampaknya koleksi kitab tafsir saya telah bertambah. Sebelum ini saya membeli terjemahan tafsir al-munir karya Dr. Wahbah Az-Zuhaili yang diterbitkan oleh Persatuan Ulama Malaysia. Namun keluarannya masih belum lengkap dan dalam proses penterjemahan dan saya perolehi setakat hanya Juz 30 dan Juz 1.

Segala-galanya demi ilmu untuk mengikis dan membuang kejahilan dalam diri. Kerana kejahilan itulah yang akan menjadikan kita dibutakan oleh dunia dan melupakan akhirat... nau'uzubillah...

Syukran kepada Abu Aslam kerana memberi kepercayaan kepada albelurani.

Agak-agak bila kita boleh 'couple'.... ?

Bismillah...


Walaupon copy paste ja..moga jd panduan hidup kita yg sntiasa dikerumuni syaitan. sebarkan demi dakwah kerana kita adalah khalifah.sebarkan demi Islam kerana kita sbnrnya full time da'ie Islam.. Bacalah dengan penuh sabar dan tenang moga ianya mendatangkan manfaat....


1) Kami tidak berzina !

Maaf, saya tidak menuduh awak berzina, tetapi awak menghampiri zina.

2) Kami hanya barbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum di kafe. Adakah itu menghampiri zina?

Ya,perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.

3) Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.

Hari ini ya. Esok mungkin kamu kecundang.Iblis akan memerangkap kamu. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama,Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan(Tabrani) . Kita lemah menghadapi tipu daya Iblis.

4) Tidak semestinya semua orang bercinta* menjurus kepada penzinaan. Ada yang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tidak pernah bersua muka pun!

Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja.Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

5) Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itupun zina ke?

Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Zina hati iaitu dengan khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan.

6) Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!(bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)*

Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia,akhirat lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.

7) Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni Study Group.(bagi kes berdua-duaan SAHAJA)

Study Group…? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana-manapun berdua. Kalau yea pun, carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni… betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu… banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

8) Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.

Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

9) Kami berdua sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.

Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula .

10) Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta?
Adakah Islam membunuh terus naluri cinta? Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tudukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu.

11) Islam takde ke couple-couple ni?

Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia. Kalau begitu, cinta* remaja semua menghampiri kepada penzinaan? Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam bukankah mereka semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

12) Tanya sikit,.. adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta….

Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina. Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri? Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.

13) Adakah orang yang bercinta hilang maruah?

Antara kemuliaan manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina. Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.(Surah An-Nur: 3)

14) Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan? Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?

Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

15) Kami telah berjanji sehidup semati…..

Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

16) Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab.

Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

17) Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?

Tentu! Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja. Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan? Itulah hakikatnya!

18) Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini?

Ya! Masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina)… Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: 35 )

19) Bagaimana kami?

Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha-Nya. Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha. Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi tiga syarat: i) Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini. ii) Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan. iii) Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab kabul.

Moga Allah terima taubat mu. Kita berpisah kerana Allah , kalau ada jodoh , tidak ke mana! Ya, Allah! Bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat mereka ”

p/s: So, bila agaknya kita boleh 'couple' agak2nya?

Sudah tentu selepas kita menjadi pasangan suami isteri yang sah!

Islam itu indah. Yakinlah kebenarannya dan janjinya.

p/s/s: Tahniah kepada anda kerana berjaya baca sampai habis. Anda dah ber'couple'? Baik 'couple' selepas berkahwin! Bahagia dan tak perlu risau pandangan manusia dan pandangan pencipta manusia!

Sumber : telah diemailkan kepada saya...

Selasa, April 13, 2010

Selamat Kembali Ke Fitrah

Bismillah...

Kelmarin 27 Rabi'ulakhir 1431 H bersamaan 12 April 2010 satu lagi tarikh keramat untuk saya dan adik Janet.

Sekembalinya saya menghadiri raptai bagi pembukaan Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan berlangsung pada 15 April 2010 ini, saya telah dihubungi oleh Cikgu Hashim ( antara orang kuat PUM Sabah ) untuk menghadiri satu majlis ringkas bagi mengislamkan seseorang.

Majllis tersebut diadakan di Masjid Negeri Sabah juga turut dihadiri oleh Ust. Murtadza, Tn. Hj. Janis dan 2 orang Ustazah dari Sekolah Menengah yang mengiringi seorang pelajar mereka untuk memeluk Islam.

Anggapan saya, kehadiran saya hanya untuk meramaikan dan memeriahkan majlis ringkas tersebut tetapi Cikgu Hashim meminta saya untuk mengislamkan pelajar tersebut.

Maklumat diri


Pelajar ini seorang perempuan bernama Janet yang menuntut di Sekolah Menengah SANZAC, Kota Kinabalu. Semua adik beradiknya telah memeluk agama Islam kecuali dia dan maknya. Atas kesedaran, dia hendak memeluk Islam dan telah memaklumkan maknya dan Alhamdulillah maknya tidak menentang mengenai hasratnya itu.

Acaranya

Saya mulakan dengan tazkirah ringkas berkaitan dengan Islam dan kelebihannya. Seawal soalan yang saya ajukan kepada pelajar tersebut adalah... adakah anda masuk Islam ini dengan kerelaan hati sendiri dan tanpa paksaan?... jawabnya YA... dan mimik wajahnya menggambarkan keikhlasan dan kesediaan untuk kembali kepada fitrah.

Sudah di taqdirkan

Memang bertepatan dengan hadis ke-3 Matan Arba'in karya Imam Nawawi RH yang menjelaskan mengenai Islam dibina atas 5 sendi (tiang) yang saya telah huraikan di kuliah maghrib mingguan di Masjid As-Salam Kg. Contoh, Petagas, Kota Kinabalu ahad lepas.

Kuncinya adalah SYAHADAH sebelum kewajipan - kewajipan yang lain seperti solat, puasa, zakat dan haji diamalkan. Huraian saya ringkas agar SYAHADAH yang akan dilafazkan lahir daripada hati yang luhur dan ikhlas melalui penyaksian yang hakiki yang dipandu dengan aqal yang waras.

Kembali kepada Fitrah


Selesai tazkirah tersebut, maka saya mengajak dan membimbing pelajar ini untuk berSYAHADAH. Sejurus Kalimah أشهد أن لاإله إلا الله dilafazkan maka bercucuranlah air matanya tanda ia memahami maksud apa yang dilafazkannya.

Saya katakan kepada dia, anda adalah orang yang terpilih menerima hidayah Allah dan telah kembali kepada fitrah bagaikan seorang bayi yang baru dilahirkan tanpa ada sedikit dosa ibarat kain putih (fitrah). Oleh itu jagalah kain putih itu daripada dikotori daripada noda dan dosa.


Dia juga telah memilih nama Islamnya tetapi saya nasihatkan pilihlah nama yang membawa maksud yang baik dengan meminta nasihat ustaz dan ustazahnya.

ALhamdulilah, ini adalah orang yang ke - 2 yang telah saya Islamkan hasil usaha yang gigih para ustaz dan ustazah. Mudah-mudahan adik ini terus mendapat bimbingan daripada ustaz dan ustazahnya di sekolah di samping dia mengikuti kelas - kelas agama yang telah dimaklumkan kepadanya.

" Ya Allah, engkau bantulah saudara baru kami ini agar terus thabat dalam keimanan dan senantiasa di bawah bimbinganMU dan berikanlah ganjaran di atas usaha kami ini...amin"