Ahad, April 25, 2010

Bengkel Kaedah Penentuan Arah Kiblat

Bismillah...

Pada 23hb April 2010 jumaat, saya dan seorang sahabat Ust. Mohd. Salam telah mengendalikan Bengkel Kaedah Penentuan Arah Kiblat yang di adakan di Politeknik Kota Kinabalu.

Dianjurkan oleh bahagian latihan Politeknik. Seramai 40 orang peserta terdiri daripada pensyarah - pensyarah dan kakitangan Politeknik.

Asalnya program ini dianjurkan selama 2 hari yang akan membincangkan ilmu falak namun kesempatan yang ada hanya satu hari sahaja dan hanya memfokuskan tajuk kaedah penentuan arah kiblat. Sebenarnya dengan sehari memang tidak mencukupi bagi membincangkan mengenai tajuk tersebut.


Ini merupakan pusat pengajian kedua yang telah menjemput kami dalam membicarakan ilmu falak yang mana sebelum ini pihak MRSM Kota Kinabalu menjemput kami bagi membicarakan tajuk mengenai dengan cerapan malam.


Tiga slot saya telah saya bahagikan dalam bengkel ini :

Slot Pertama : jam 8.30 sehingga 10 pagi ( huraian mengenai taarif, hukum, kepentingan dan kaedah penentuan arah kiblat )


Slot Kedua : jam 10.30 sehingga 11.30 pagi ( bengkel : cara mendapatkan koordinat sesuatu lokasi dengan menggunakan bacaan peta dan google earth. Cara mendapatkan azimuth / bering kiblat dan bayang matahari harian searah kiblat menggunakan perisian khas. )


Slot Ketiga : 2.30 - 3.30 Petang ( Praktikal penetapan arah kiblat di perkarangan masjid Politeknik dan praktikal semakan masjid tersebut)


Slot Keempat : 4.00 - 4.30 petang ( Penjelasan Prosedur Pengesahan Arah Kiblat di Negeri Sabah dan kesimpulan keseluruhan bengkel ini).


Alhamdulillah, dalam bengkel ini saya rasa mudah mengendalikannya kerana ianya adalah terdiri daripada pensyarah yang ramainya daripada jurusan kejuruteraan awam yang ada kaitannya dengan pengukuran tanah secara langsung juga berkaitan dengan arah kiblat.

Maknanya penerangan dari segi peralalatan tidak perlu diperincikan hanya sekadar diperingatkan semula. Walau bagaimanapun tidak semua orang tahu bagaimana arah kiblat ditentukan dengan pelbagai cara selain daripada menggunakan peralatan (instrumen) moden ketika ini.

Oleh itu, seawalnya saya telah meletakkan sasaran bahawa selepas bengkel ini para peserta dapat menentukan arah kiblat sendiri dalam apa keadaan samaada ketika bermusafir atau bermukim. InsyaAllah saya berkeyakinan ianya tercapai kerana saya perhatikan setiap peserta memberikan perhatian dengan penuh minat dalam bengkel ini, begitu juga yang telah dinyatakan oleh Tuan Haji Fikri, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Kota Kinabalu.


Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Politeknik Kota Kinabalu kerana sudi menjemput Pejabat Mufti Negeri Sabah dalam membincangkan ilmu falak ini. Moga ianya bermanfaat dan itulah sebenarnya misi pejabat kami iaitu memsyarakatkan ilmu falak di negeri Sabah ini.


Waallahua'alam.

0 ulasan:

Catat Komen