Selasa, April 27, 2010

Elektrik terputus: Solat Jumaat dua imam

Bismillah...

23hb April 2010 ( jumaat ) lalu jika mengikut jadual asal saya diamanahkan sebagai khatib dan Imam di Masjid Negeri Sabah. Namun jadual telah berubah dan saya telah dimaklumkan bahawa Ust. Abu Hurairah yang akan bertugas ketika itu.

Satu hikmah kerana saya juga ketika itu mengendalikan bengkel kaedah penentuan arah kiblat di Politeknik Kota Kinabalu.

Saya juga turut dimaklumkan oleh beberapa sahabat bahawa berlaku satu kejadian yang barangkali jarang - jarang berlaku apabila khatib sedang berkhutbah tetiba bekalan elektrik terputus menyebabkan jemaah di tingkat bawah tidak mendengar suara dan pergerakkan khatib seterusnya. Situasi ini telah dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 24hb dan anda boleh merujuknya di sini.

Oleh itu berlakunya 2 imam dalam solat jumaat tersebut apabila jemaah di tingkat bawah berimamkan seorang lagi disebabkan pergerakkan imam di tingkat atas sudah tidak diketahui oleh jemaah di tingkat bawah.

Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai adakah sah solat jumaat jemaah di tingkat bawah tersebut? dan apakah alasan jika ia dikatakan sah atau sebaliknya? perkara ini perlu diteliti dan disarankan agar anda dapat bertanya kepada orang yang lebih mengetahui dan dalam konteks negeri Sabah mungkin bolehlah dirujuk mengenai perkara ini ke Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Secara peribadi, adakah benar statment yang dilaporkan oleh akhbar utusan mengenai perkara ini yang menunjukkan SS Mufti Negeri Sabah telah mengeluarkan kenyataan berkaitan hukum solat jumaat di masjid tersebut ketika berlakunya kejadian itu?

Ekoran daripada itu satu kenyataan rasmi daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah berhubung perkara ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Waallahua'alam.



Laporan penuh berita daripada utusan malaysia mengenai perkara ini :

Elektrik terputus: Solat Jumaat dua imam

KOTA KINABALU 23 April - Jika sebelum ini beberapa masjid di Terengganu dan Kelantan melakukan solat berimamkan dua imam disebabkan perbezaan fahaman politik, lain pula di negeri ini.

Solat Jumaat di Masjid Negeri di Jalan Sembulan di sini hari ini berlangsung dengan dua imam kerana bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba pada pukul 12.50 tengah hari ketika khatib membaca khutbah.

Keadaan itu menimbulkan kelam kabut apabila hampir sebahagian besar jemaah di saf depan, di tingkat bawah masjid berkenaan tidak menyedari solat sudah dimulakan.

Ekoran kejadian itu, seorang lelaki tampil mengimamkan solat yang kemudiannya diikuti kira-kira lapan saf jemaah di tingkat bawah.

Pada ketika itu, solat yang dipimpin imam tingkat atas sudah memasuki rakaat kedua.

Apa yang menjadikan keadaan kelam-kabut adalah sebahagian jemaah di saf belakang, di tingkat bawah sudah mengikuti solat yang dipimpin imam di tingkat atas.

Jemaah di saf belakang, tingkat bawah dapat mengikuti solat yang dipimpin imam di tingkat atas kerana pada kedudukan itu, mereka mampu melihat pergerakan jemaah saf belakang, di tingkat atas masjid berkenaan.

Selain itu, mereka juga dapat mendengar suara jemaah di tingkat atas yang bertindak bijak dengan menguatkan suara ketika rukuk, sujud dan iktidal.

Turut menunaikan solat di masjid itu pada hari ini ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah; Mufti Sabah, Datuk Ahmad Alawi Adnan dan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali.

Sementara itu, imam di tingkat bawah ketika ditemui berkata, solat Jumaat pada hari ini sah di kedua-dua bahagian kerana disifatkan dalam keadaan darurat.

Dia yang enggan dikenali berharap pada masa akan datang pihak pengurusan masjid harus menyedia pelan kecemasan jika berlaku gangguan bekalan seperti yang terjadi hari ini.

Dalam pada itu, Alawi ketika ditemui, turut menyatakan bahawa solat Jumaat pada hari ini di tingkat atas dan bawah, sah atas alasan yang sama iaitu darurat.

0 ulasan:

Catat Ulasan