Isnin, Januari 31, 2011

Suhail Suhaimi

Bismillah...


Setelah hampir 3 tahun bermula Iqra' 1 sehingga iqra' 6, akhirnya Mohd. Suhail Suhaimi telah mengkhatamkan buku iqra' pada 27 Januari 2011 bersamaan 22 Safar 1432H. Kini Suhail telah berumur 10 tahun di darjah 5 Sekolah Rendah Kebangsaan Putatan.

Datang mengaji bersama adiknya dan insyaAllah dalam tempoh terdekat adiknya pula akan menyusul untuk berpindah pengajian Al-Quran. Saya pun tidak berapa pasti Suhail anak murid keberapa yang telah berpindah Al-Quran.

Setakat ini Bustanul Huffaz mempunyai 30 orang murid, beroperasi semenjak 2005 bertempat di teratak kami 476 Taman Pasir Putih Putatan. Bustanul Huffaz nama yang saya berikan dan tenaga pengajarnya saya dan isteri sebagai memenuhi kehendak masyarakat untuk anak - anak mendapat pendidikan al-Quran.

Setiap anak murid yang berpindah al-Quran saya akan hadiahkan sebuah al-Quran yang telah diwakafkan oleh pewakaf untuk dimanfaatkan sebaik - baiknya oleh anak - anak murid saya.

Alhamdulillah, dengan dapatnya Suhail meneruskan pengajiannya dalam pembacaan al-Quran akan memberikan motivasi kepada rakan - rakannya yang lain yang masih di buku iqra'.

InsyaAllah, jika saya diberikan kemampuan dan kekuatan oleh Allah SWT untuk tahun ini Bustanul Huffaz akan membuka ruang kepada murid - murid al-Quran untuk menghafaz al-Quran. Tinggal nak cari masa yang bersesuaian sahaja lagi. Memang itu menjadi idaman saya dan isteri mempunyai pusat pengajian al-Quran sendiri medan melahirkan generasi huffaz.

Doakan.. Jazakumullah Khairal Jaza' dan tahniah untuk adik Mohd. Suhail Suhaimi.

p/s : sesiapa yang hendak mewakafkan al-Quran dan Iqra' bolehlah hubungi saya melalui blog ini atau facebook saya.


Khamis, Januari 20, 2011

Suraqah Bin Malik

Bismillah...

Saya tertarik dan mengagumi kisah Suraqah Bin Malik. Beliau merupakan antara orang yang kuat menentang dakwah Rasul SAW dan hampir membunuh Rasul SAW ketika perjalanan hijrah baginda ke Madinah.

Ketika pembesar kaum musyhrikin mekah menawarkan 100 ekor unta betina yang baik dengan syarat membawa Muhammad SAW samada hidup atau mati di hadapan pembesar mereka, Suraqah pun pantas menggapai pedang, panah dan kudanya tanpa diketahui oleh orang lain meluru menuju dimana Rasul SAW berada. Suraqah juga antara kabilah yang mahir menjejak seseorang di padang pasir dikenali sebagai penjejak yang hebat.

Kemahiran Suraqah dalam menjejak akhirnya dia bertemu dengan rombongan baginda Nabi SAW bersama dengan Abu Bakar dan penunjuk jalannya Abdullah Bin Uraiqith. Suraqah pun meluru ke arah mereka namun 3 kali percubaannya gagal kerana kaki kudanya terperosok menyebabkan dia terjatuh daripada kudanya.

Rasulullah SAW datang ke arahnya lalu memberikan pertolongan kepada Suraqah menyebabkan dia merasa teruja dengan sifat Nabi SAW ketika itu sedangkan Nabi SAW tahu kedatangan Suraqah adalah bertujuan untuk menangkapnya atau membunuhnya.

Melihat situasi itu maka berkata Suraqah " Ya Muhammad! Aku pasti agama engkau akan menang. Berjanjilah kepadaku, jika suatu hari nanti aku datang ke kerajaan engkau, maka engkau akan bermurah hati kepada aku. Tuliskanlah itu untukku" pinta Suraqah.

Rasulullah SAW mengarahkan Abdullah Bin Uraiqith menulisnya sesuatu mengenainya di atas sepotong kulit dan diberikan kepada Suraqah lalu Rasulullah SAW menawarkan sesuatu kepada Suraqah ;

" Bagaimana wahai Suraqah, jika pada suatu waktu engkau mengenakan mahkota kebesaran Kisra? " mahkota kebesaran Kisra bin Hurmuz ? kata Suraqah terkejut. " Ya, pakaian kebesaran Kisra bin Hurmuz!" jawab Rasulullah SAW menyakinkan.

Satu tawaran yang sukar untuk dipercayai dan menambahkan kebingungan Suraqah. Kemudian Suraqah kembali dan memberitahu sekumpulan orang yang sedang mencari Nabi SAW bahawa baginda tidak ditemui di jalan - jalan yang dilaluinya. Itu kata daripada seorang yang mahir menjejak dan sudah semestinya mereka mempercayai kata - kata itu.

10 tahun selepas itu, Suraqah bertemu Rasulullah SAW setelah Madinah di bawah pemerintahan baginda menyatakan keislamannya di hadapan baginda. Semenjak itu, Suraqah menjadi pendukung setia gerakan dakwah walaupun hanya berkesempatan bersama dengan baginda selama 9 bulan.

Suraqah sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyebarkan Islam. Sehinggalah di zaman pemerintahan Umar bin Khattab kerajaan parsi telah tewas dan telah ditakluk oleh kerajaan yang dipimpin oleh khalifah kedua itu.

Longgokan harta rampasan perang terlalu banyak melimpah ruah, di saat itu juga khalifah Umar menemui mahkota dan gelang kebesaran Kisra bin Hurmus lalu memanggil Suraqah bin Malik mengenakan pakaian kebesaran Kisra itu di tubuh Suraqah lengkap dengan seluar dan kasut. Kemudian Umar menyisipkan pedang dengan tali pinggang kebesaran Kisra. Mahkota diletakkan di kepala Suraqah dan memakaikannya gelang kebesaran itu ke dua - dua tangan Suraqah dengan diiringi laungan takbir.

Suraqah bin Malik terdiam mematung mengenang kebenaran ucapan Rasulullah SAW belasan tahun yang lalu.

Daripada kisah Suraqah ini banyak pengajaran yang dapat kita perolehi :

1. Sifat Rasulullah SAW yang pemaaf, sewajar ia menjadi contoh dan ikutan untuk kita.

2. Benarnya janji Rasulullah SAW. Khas untuk Suraqah yang mendapat janji yang baik untuknya daripada Rasulullah SAW. Perlu diingat Rasulullah SAW sering mengingatkan kita melalui sabdaannya mengenai peristiwa - peristiwa akhir zaman yang bakal berlaku. Oleh itu, ingatan untuk kita agar Allah pelihara kita daripada kejahatan dan bala bencana.

3. Hebatnya strategik Rasulullah SAW. Walau ditentang hebat namun Rasulullah SAW tetap mencari peluang agar musuh tunduk kepadanya kerana musuh - musuh yang menentang dakwahnya itu berbagai - bagai peringkat yang sedia untuk disemai hati mereka dengan dakwah baginda sesuai dengan fitrah kemanusiaannya.

Selebihnya... saya serahkan kepada pembaca untuk mengorek 'ibrahnya agar kebaikan dan manfaat itu diperolehi untuk diri, keluarga dan masyarakat... pakat - pakat sebarkan..

Waallahua'lam.

* Kisah ini saya petik daripada buku " Belajar Dari Dua Umar " karya Hepi Andi Bastoni. Secara jujur, membaca buku ini membangkitkan jiwa agar thabit dengan kerja - kerja dakwah... Allahu Rabbi.

Rabu, Januari 19, 2011

14A @ 14F

Bismillah...


Kekerapan saya bermusafir di luar daerah Kota Kinabalu membuatkan diri terasa lapang seketika atas tujuan kerja - kerja yang telah diamanahkan terutama dalam kerja yang berkaitan penentuan dan semakan arah kiblat bagi masjid, surau, permis - permis kerajaan atau swasta, hotel dan resort.

Jika dihayati sebenarnya bermusafir ini mempunyai kelebihan dan keseronokan kerana doa orang musafir Allah makbulkan, boleh tengok tempat orang, dapat kawan baru dan berbagai lagi.

Perjalanan musafir saya ada yang melalui jalan darat dan udara. Suka saya inginkan kongsi bersama mengenai musafir melalui udara. Apa yang saya maksudkan adalah bermusafir menaiki kapal terbang.

Biasanya saya akan cuba mendapatkan tempat duduk 14A atau 14F. Kerana banyak kelebihan ditempat tersebut :

1. Tempatnya di tepi tingkap, memudahkan kita melihat pemandangan melalui udara.
2. Ruangnya yang luas, boleh mengunjur kaki sehabis panjang kaki anda.
3. Ruangnya yang selesa boleh menyaingi tempat duduk bisnes class.
4. Berhampiran dengan pintu kecemasan. Pramugari atau pramugara bagitau awal-awal kat kita, jika berlaku kecemasan dia minta tolong kita yang bukakan pintu.

Mungkin sedikit tips bagi sesiapa yang hendak bermusafir tertutamanya ke Sandakan dari Kota Kinabalu, anda cubalah dapatkan tempat duduk 14A jika hendak selesa atau mana - mana nombor mulanya dengan A letaknya sebelah kiri pesawat. Ini kerana, jika cuaca cerah dan baik anda akan berpeluang melihat gunung kinabalu dan untuk kaki - kaki photogrphy ini view paling baik jika dapat shoot gunung kinabalu daripada pesawat.

Jika destinasi dari Sandakan ke Kota Kinabalu dapatkan tempat duduk 14F atau mana - mana nombor ada "F" letaknya sebelah kanan pesawat. InsyaAllah, gunung kinabalu akan kelihatan.

Cuma perlu diingat untuk mendapatkan tempat duduk 14A atau 14F hendaklah daftar masuk melalui kaunter bukan melalui internit atau kios. Kerana tempat duduk tersebut adalah tempat duduk berhampiran pintu kecemasan. Jadi orang yang hendak duduk di sana mestilah yang gagah perkasa yang dapat buka pintu kecemasan jika berlaku kecemasan. Yang tak gagah tu kena gagahkan dirilah supaya boleh duduk ditempat yang selesa.

Semoga permusafiran anda dirahmati Allah dengan mendapat tempat duduk yang selesa walaupun bukan di bisnes class.

Pramugari kata :

" tuan - tuan dan puan - puan kita telahpun mendarat di lapangan terbang Sandakan, sebarang peralatan elektronik dan telefon bimbit tidak dibenarkan sehingga tiba di bangunan terminal. Semoga anda selesa bersama penerbangan ini dan kita jumpa lagi dipenerbangan akan datang ".

Alhamdulillah, sampai pun di sandakan mau atur kiblat ni.......




Isnin, Januari 17, 2011

Beluran

Bismillah...


Beluran adalah salah satu daerah di Sabah di bahagian Sandakan. Terletak kira-kira 300KM lebih dari Kota Kinabalu dan 93KM dari bandar Sandakan.

Pekan Beluran adalah pekan tumpuan bagi penduduk di daerah Beluran. Pekan Beluran tidaklah besar tetapi kemudahan - kemudahan asas itu ada seperti sekolah, hospital, pejabat pos dan kemudahan bank sahaja yang belum ada.

Dari segi sesioekonomi, rakyat beluran ada juga yang kerja sebagai kakitangan kerajaan, bisnes sendiri, bercucuk tanam, nelayan, berkelapa sawit.

Infrastruktur sedang giat juga dibangunkan di pekan ini. Tetapi tidak serancak sebagaimana harapan penduduk di pekan ini. Dari segi politik pula, setakat ini Beluran dibawah pemerintahan Barisan Nasional seingat saya semenjak kecil lagi... ( semenjak 80 an ). Jika dihitung masanya mungkin sudah berpuluh tahun dan sudah kenampakan banyak bangunan yang boleh disiapkan dan didirikan. Tetapi realitinya hanya penduduk dan rakyat beluran yang lebih mengetahui.

Ramai yang berkunjung ke Beluran antaranya untuk membeli udang yang sememangnya terkenal dengan udang gala. Selain itu juga Beluran terkenal dengan ikan PATIN, jika di semenanjung ikan PATIN terkenal di negeri Pahang. Ikan PATINnya memang fersh bukan dibela atau dipelihara tetapi hidup liar di sungai labuk dan sugut yang menjadi sumber rezeki kepada penduduk di daerah ini. Ketam juga tersohor di daerah ini.

Alhamdulillah, kekerapan saya outsatition ke Sandakan sempat juga saya balik ke Beluran yang merupakan tanah tumpah darahku ini meninjau keadaan dan situasi di sana. Jika dilihat dari segi dakwah pula, Beluran tidak ketinggalan dalam menerima dakwah Islamiah yang disampaikan oleh pelbagai pihak samaada pihak luar atau anak tempatan sendiri.

Perlumbaan dalam membangunkan fizikal di daerah ini begitu agresif seperti yang dimahukan oleh para pemimpin di sini cukup dialu-alukan tetapi dalam masa yang sama pembangunan rohani turut dibangunkan secara agresif agar Beluran tidak hanya dibanggakan dengan bangunan tinggi mencakar langit bahkan dibanggakan kerana tingginya akhlak dan moral rakyatnya sama ada dari segi berPOLITIK, BerSOSIAL dan berEKONOMI.








Beluran = albelurani alfalaki = www.albelurani.blogspot.com

Khamis, Januari 13, 2011

Kiblat : Kg. Naluyan Sipitang

Bismillah...


Kg. Naluyan Sipitang terletak kira - kira 120KM dari Bandaraya Kota kinabalu. 11 Januari 2010 (selasa) saya bermusafir ke kampung tersebut atas tujuan semakan arah kiblat Surau Kg. Naluyan.

Permohonan telah diterima dan khabarnya berlaku sedikit percanggahan di antara penduduk kampung mengenai arah kiblat di surau tersebut. Ahli Jawatankuasa masjid telah mengambil langkah untuk menyelesaikan isu ini dengan memanjangkan perkara ini kepada JHEAINS dan seterusnya JHEAINS memanjangkan perkara ini kepada pihak kami.

Saya telah tiba di lokasi tersebut dan di sambut oleh ajk masjid. Kerja semakan arah kiblat terus dilakukan. Saya menggunakan kaedah bayang matahari dan kebetulan cuaca ketika itu amat baik.

Setelah dibuat semakan didapati kiblat asal bagi surau ini berada pada 272 darjah berbanding dengan kiblat sebenar iaitu 290 darjah 49 minit 53.9 saat maka berlaku selisih sebanyak 18 darjah 49 minit 53.9 saat maknanya arah ke kiblat sebenar adalah ke kanan sebanyak 18 darjah.

Alhamdulillah, pihak ajk masjid telah dapat menerima di atas semakan kiblat ini dengan membetulkan saf (sejadah) berdasarkan arah kiblat sebenar yang telah ditanda.

Di kesempatan yang ada, saya juga turut menjelaskan beberapa kaedah penentuan arah kiblat di samping bersoal jawab mengenai dengan isu - isu arah kiblat yang menarik minat ajk masjid kampung tersbut.

" Ust, kalau nak jemput ceramah mengenai falak bolehkah" tanya setiausaha masjid, saya jawab "boleh" kemukakan surat saja.


Hampir Siap

Bismillah...

Masjid Al-Hilal Tg. Dumpil, Putatan Sabah berhampiran dengan Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah. Masjid tersebut masih dalam pembinaan untuk dibesarkan.

Sehingga hari ini kerja - kerja pembinaan tersebut rancak berjalan dan nampaknya semacam hampir siap.

Semoga ianya cepat siap.... insyaAllah.


Imej 13/01/2011

Isnin, Januari 10, 2011

Rukyah Hilal Safar 1432H

Bismillah...

Kerja - kerja falak masih lagi diteruskan walaupun di tahun baharu samaada tahun hijrah atau tahun masihi.

Kerja merukyah hilal bagi tahun 2011 telah dilaksanakan buat kali pertama di tahun baharu ini iaitu rukyah hilal safar 1432H pada 05 Januari 2011 bersamaan 30 Muharram 1432H lalu.

Seperti biasa kru Unit falak Syarie Pejabat Mufti Negeri Sabah bersama kru - kru daripada JUPEM Sabah turun mencerap di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah. Turut hadir SF Ust. Mohd. Ariffin Ali, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

Jika mengikut data yang diperolehi secara hisab, ketinggian anak bulan melebihi 10 darjah dan peluang untuk kenampakkan amat cerah. Namun dengan keadaan awan tebal ketika itu hilal tidak kelihatan.

Sempat saya berhubung dengan sahabat - sahabat falak di negeri - negeri lain, mereka juga menghadapi keadaan awan yang sama.

InsyaAllah, kerja - kerja merukyah hilal akan di teruskan untuk Rabi'ulawwal akan datang.