Sabtu, Februari 26, 2011

Mesyuarat Agong YAM Sabah

Bismillah..


Alhamdulillah pada 19 Februari 2011 (sabtu) telah berlangsungnya mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah di Permai D'Velley Ratau, Kota Kinabalu. Turut hadir bagi merasmikan mesyuarat adalah En. Abd. Hamid, Setiausaha Agong YAM.

Kehadiran hampir keseluruhan jawatankuasa ke mesyuarat ini menggambarkan kesediaan mereka untuk memikul tanggungjawab yang bakal digalas.

Mesyuarat Agong YAM Sabah bertujuan untuk melantik kepimpinan baru bagi sesi 2011-2013 dan persediaan bagi mesyuarat agong pusat yang akan berlangsung pada bulan April.

Tuan Haji Khairan Untoh terus diberikan kepercayaan sebagai amanah bagi memimpin YAM Sabah bersama dengan beberapa orang jentera baru bagi memantapkan lagi YAM Sabah dalam mengerakkan kerja - kerja kebajikan dan dakwah di negeri Sabah ini.

Seronok melihat sahabat - sahabat bermesyuarat yang sedia untuk mewakafkan diri masing - masing dalam melaksanakan misi dan visi YAM Sabah. Saya tidak dapat hadir bersama mereka kerana ketika itu saya masih lagi di Mersing, Johor.

Barisan kepimpinan yang baru akan saya paparkan di intri ini kerana masih lagi menunggu maklumat tersebut daripada setiausaha YAM Sabah.

Doa kami harapkan daripada tuan - tuan / puan - puan agar kami diberikan keafiatan, keberkatan, kerahmatan oleh Allah SWT untuk kami melaksanakan amanah ummah ini seterusnya untuk kemaslahatan ummah keseluruhannya.

" AMAL KERANA ALLAH "

Barakallahu fikum...

p/s : gambar - gambar di bawah adalah ehsan daripada FB sahabat saya Ahmad Fawwaz Shahabuddin.






Rabu, Februari 23, 2011

Aku dan Ikhwan Muslimun ( Yusof Qardhawi )

Bismillah...


Buku " AKU DAN AL IKHWAN AL MUSLIMUN " karya Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi baru saya terima kiriman sahabat saya Ust. Zakaria, D' Halal Shope dari Kelantan. Baru 2 hari bersama buku ini dan dalam proses untuk menghabiskannya yang mempunyai 364 muka surat.

Buku ini telah dicetak pada disember 2010 berbahasa Malaysia dan sebelum ini ianya telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia. Asalnya adalah berbahasa arab.

Alhamdulillah, saya membaca dan menghayatinya menimbulkan motivasi dalam diri. Buku ini menceritakan bagaimana Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi mendapat tarbiyyah dan didikan daripada Ikhwan Muslimin seperti kata - katanya ini :

" Aku ingin berterus terang mengatakan, bahawa aku memperolehi manfaat agama yang begitu besar dari Al-Ikhwan Al-Muslimun. Aku memperoleh faedah yang sangat banyak dari dakwah ikhwan. Dakwah Ikhwan telah memperluas cakerawala fikiranku memahami Islam secara utuh, sebagaimana disyariatkan Allah SWT, sebagaimana tertera dalam kitab-NYA, seperti diserukan Rasul-NYA dan difahami oleh para sahabatnya. Islam adalah agama dan dunia, dakwah dan negara, aqidah dan syariat, ibadah dan kepimpinan, mushaf dan.....".

Seusia muda beliau telah menerima tarbiyyah al-Ikhwan dan bertemu dengan ulama - ulama besar Ikhwan seperti Hasan al-Banna, Muhammad al-Ghazali, Muhammad al-Bahi, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb dan ramai lagi.

Saya cukup tertarik kata - kata Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi ketika mana mereka menerima berita mengenai syahidnya Hasan al-Banna ditembak dalam usia 42 tahun :

" Al-Banna tidak berkesempatan untuk mengarang atau menulis buku ilmiah yang besar. Tetapi beliau telah mencetak ribuan tokoh besar yang mengisi dunia dengan buku-buku dan ilmu yang bermanfaat. Cukuplah ribuan tokoh yang dicetak oleh Hasan Al-Banna itu telah memenuhi seluruh pelusuk dunia. Cukuplah dakwah menyeluruh yang disampaikannya tersebar ke setiap penjuru Timur dan Barat, Utara dan Selatan! Cukuplah nama baik yang ditinggalkannya telah menambah usianya seolah - olah beliau memiliki usia yang panjang ".

Jika diimbau kata - kata di atas maka realiti hari ini sepertimana yang terjadi di Mesir ada benarnya. Hasan al-Banna telah menanamkan benih dalam memperjuangan Islam dan menggerakkan umat Islam yang tidur ibaratkan buih - buih di lautan untuk bangun menentang penjajah barat dan musuh Islam. Bermula era 1940 an dan akhirnya Hosni Mubarak jelmaan pemimpin sekular di antara pemimpin di Mesir tumbang tersungkur awal tahun 2011.

Maknanya kemenangan itu bukan diimpikan secepat kilat tetapi biarlah gerak kerja Islam itu tetap berterusan walaupun sehabis nyawa kita.

Saya mengesyorkan agar kalian dapat memiliki buku ini untuk memotivasikan diri anda samada anda seorang pelajar, mahasiswa, penjawat awam, ahli akademik, pemimpin atau anda yang menganggap Ikhwan Muslimin itu pengganas atau sebagainya. Dengan membacanya anda akan ketemu jawapannya.... insyaAllah.

Selasa, Februari 22, 2011

Falak : PLKN Kota Belud

Bismillah...


Arahan yang datang tidak sampai 24 jam menghendaki saya berceramah mengenai ilmu falak di PLKN Kota Belud. Jadual asal majlis ini akan diadakan pada 14 Februari 2011 ( Isnin ) namun ianya dicepatkan pada 12 Februari. Saya dimaklumkan pada petang sehari majlis ini bermula.

Tajuk diberikan mengenai dengan ilmu falak. Ilmu falak ini agak umum. Walau bagaimanapun, dalam ceramah tersebut saya cuba menjelaskan dengan ringkas mengenai arah kiblat, cerapan (rukyah) anak bulan dan waktu solat dengan tempoh masa hanya 2 jam. Slide sempat juga saya sediakan.

Ketibaan kami disambut oleh komanden PLKN bersama kakitangan di sana. Saya dipahamkan jumlah keseluruhan pelatih adalah seramai 315 orang yang terdiri daripada pelbagai agama yang datang dari negeri - negeri seluruh Malaysia.

Ceramah bermula di hadapan pelatih - pelatih termasuk para kakitangan yang diketuai Komanden. Ilmu falak diperkenalkan dengan menghuraikan maksud ilmu falak berdasarkan definasi “ Ilmu falak ialah Salah satu cabang ilmu sains tabie yang mengkaji tentang perjalanan badan – badan cekerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang – bintang “.

Melalui definasi tersebut huraian saya dikaitkan dengan cerapan anak bulan , arah kiblat dan taqwim. Huraian dan penerangan hanya secara umum sebagai pengenalan ilmu falak yang memakan masa hampir 2 jam. Diakhir ceramah saya menayangkan simulasi cerapan bagi menguji pskologi dan mental para pelatih sebagai persediaan seorang pencerap. Sedikit praktikal bersama peralatan yang kami bawa seperti tedeolit dan kompas prasmatik.

Alhamdulillah, 2 jam lebih saya bersama mereka amat menyeronokkan di samping mendengar beberapa kisah dan cerita komanden mengenai PLKN Kota Belud. Di samping itu, promosi untuk kunjungan ke Balai Cerap al-Biruni turut saya jelaskan kepada mereka untuk aktiviti cerapan (rukyah bulanan). Komanden amat berminat untuk mengikuti rukyah hilal rabi'ulakhir akan datang dan mereka akan mengutus surat bagi maksud tersebut. Ahlan wa sahlan...







Isnin, Februari 21, 2011

Pokok VIP

Bismillah...


Suatu ketika saya bermusafir ke Tawau atas tujuan menentusahkan arah kiblat di sebuah ladang kelapa sawit milik SABAH SOFTWOOD BERHAD ( Yayasan Sabah Group ). Lokasinya di Brumas Tawau.

Saya dibawa ke lokasi tersebut bersama dengan Ust. Sobri daripada JHEAINS Tawau. Ladang yang cukup luas menyebabkan kami turut tersesat. Saya mengejar masa kerana terdapat satu lokasi lagi yang bakal saya kunjungi iaitu sebuah masjid di daerah Kunak.

Alhamdulillah akhirnya kami ketemu juga lokasi masjid tersebut dan sebelum itu kami dibawa singgah sebentar di Brumas Countryside Lodge untuk menikmati pemandangan dan sedikit jamuan.

Di samping itu saya memerhati keseluruhan pemandangan di sini yang cukup indah dengan hiasan pokok semulajadi yang menghijau. Saya tertarik dengan beberapa batang pokok yang tercatat nama - nama VIP dikalangan pembesar negara kita.

Rupa - rupanya pokok tersebut adalah pokok kenangan yang ditanam oleh pembesar - pembesar yang datang berkunjung ke sini. Maknanya itulah pokok VIP yang saya maksudkan.




Sabtu, Februari 05, 2011

KASIH

Bismillah...

Kasih seorang ibu kepada anaknya memang tidak dapat dinafikan dan ianya suatu fitrah dan kita merasainya. Alhamdulillah, saya masih lagi dikurniakan oleh Allah SWT seorang Ibu yang masih sihat untuk merasai KASIHnya.

Bapa atau suami, KASIH mereka kepada anak juga suatu fitrah tetapi tidak sehebat seorang ibu atau isteri kerana itu Nabi SAW pernah nyatakan bahawa " SYURGA ITU DI BAWAH KAKI IBU".

Amat pelik dan luar biasa sekiranya IBU tidak bersifat sedemikian. Anaknya dimarahi tanpa belas kasihan sehingga ada yang didera dan amat dahsyat ada yang sanggup membunuhnya dengan berbagai - bagai cara... tikam dengan pisau, merejamnya ke lubang tandas, dicampak ke tong sampah, dicampak dari atas bangunan, itu antaranya.

Anak satu anugerah Allah yang cukup bernilai di dunia hingga ke akhirat. Hargailah, moga Allah SWT anugerahkan syurga dengan sebab mereka.

Di kesempatan rehlah bersama sahabat - sahabat seusrah baru - baru ini, di hutan lipur kawang sempat juga saya shoot beberapa keping gambar menggambarkan KASIH ibu dan bapa kepada si anak.

KASIH ibu kepada anak :


KASIH seorang bapa :


KASIH seorang anak :

Jumaat, Februari 04, 2011

Rehlah

Bismillah...

Gambar kenangan

Kesempatan cuti selama 2 hari bersempena tahun baru cina, Usrah ibu-ibu (deskusi helwa) Taman Pasir Putih mengadakan rehlah bertempat di Hutan Lipur Kawang. Turut hadir para suami juga sahabat - sahabat seusrah memeriahkan rehlah ini.

Bukan hanya menadah kitab dan perbincangan ilmiah sebagai manhaj usrah bahkan pelaksanaannya direalisasikan dalam bentuk rehlah agar rukun usrah itu dapat dirasai oleh ahli-ahlinya.

Alhamdulillah, rehlah kali ini cukup ringkas tapi padat dengan mesej kepada sahabat - sahabat. "Tafahum" dan " Takaful" mungkin itu mesejnya.

Menu beraneka rasa, masing - masing bawa. Bakar membakar juga ada. Ikan, ayam dan sosej pun dibakar. Ops... perkataan "bakar" tu baiknya diubah kepada "panggang" baru sedap didengar kata seorang sahabat. Ikan, ayam dan sosej panggang. Para suami la yang berperanan memanggang.

Si anak - anak pula bermandi manda dengan pelbagai gaya. Di letakkan dalam satu kolam kedalaman airnya sesuai dengan mereka. Abe Long ( anak sulung saya ), " abi ! along tak takut pantai " katanya ketika kami dalam perjalanan ke lokasi ini. Abe long payah sangat nak mandi samada pergi ke pantai atau kawasan mandi manda, katanya dia takut. Tetapi akhirnya dia mandi juga walaupun ditepian aliran air terjun.

Rasa seronok tengok gelagat anak - anak di samping sahabat - sahabat yang lain dalam suasana memupuk silaturrahim. Walau kesibukan dalam dunia dan kerjaya masing - masing tetapi rasa tanggungjawab kepada ummah digalas bersama. Melihat anak - anak dalam dunia mereka yang hanya mengerti "keseronokan" sebenarnya merekalah yang wajib dipupuk agar mereka meneruskan kerja - kerja yang ditinggalkan oleh Rasul SAW.

Memanggang, bermandi manda, makan-makan pun sudah, maka berakhirlah rehlah kali ini dan akan diteruskan pada masa akan datang di tempat mungkin lagi menarik. Tetapi, jangan lupa pertemuan akan datang perbincangan ilmiah, isu - isu semasa dan mathurat seperti lazimnya.

Sekian...

Panggang jangan tak panggang... manis senyum tu atau senyum kat ayam dipanggang tu..

Ikan pun turut dipanggang... macam menjeleng ja ikan tu kat kamera ni...

Murahnya rezeki... teringat saudara2 kat Palestin..

Yang ibu - ibu duk usai apa yang boleh dimakan, si bapa pula tengah memanggang..

Walau duduk di atas longkang makan tetap berselera....

Sedapnya makan... Aiskrim pun ada.

Cantik baju ni... bapanya kata " promosi ni ada kat http://gerairizqi.blogspot.com/.. ba kunjung2 la..

na... buatlah mau gaya apa.. gelagat anak - anak kecuali abe long je tak berani masuk dalam ni..

Iman juga dimandikan di samping abe longnya. Yang macam power rangers tu turut memeriahkan manda mandi dorang ni..