Ahad, Mac 27, 2011

Tubuh Seorang Perokok

Bismillah...

Klik gambar untuk paparan lebih jelas

Kepada perokok tegar atau yang kurang tegar atau yang cuba - cuba mentegarkan diri. Lihatlah tubuh anda yang sebenar.

Mungkin anda merasa nikmat dengan rokok tapi hakikatnya anda telah membunuh rakyat dan saudara seIslam kita di bumi Palestin. Maaf, mungkin kata - kata ini menyakitkan hati anda sebagai perokok tapi itulah hakikatnya.

Rokok antara penyumbang terbesar kepada Israel laknatullah, tidak mustahil rokok yang berharga RM8 lebih itu anda sumbangkan untuk negara Yahudi itu dalam rangka mereka menghancurkan umat Islam.

Fikir dan bermuhasabah untuk sedia berubah.

YAM di Masjid As- Salam Kg Contoh

Bismillah...

Agak lama saya ingin memasukkan cerita ini namun tidak berpeluang dengan hambatan tugas yang lain.

Rancangan amat singkat untuk membawa Saudara Jamaluddin Elias, Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia berceramah ke Masjid As-Salam Kg. Contoh Petagas Kota Kinabalu. Beliau bermusafir ke Labuan atas urusan YAM di sana.

Seminggu sebelum kedatangan beliau saya telah maklumkan kepada ahli jemaah masjid melalui kuliah maghrib mingguan saya setelah mendapat lampu hijau oleh pihak jawatankuasa masjid.

Hari ahad, 20 Februari 2011 tengahari tibanya saya bermusafir dari Mersing, Johor dan jam 5 petang menjemput beliau dari Hotel penginapan ke masjid tersebut.

Kehadirannya dinantikan oleh para jemaah kerana mereka ingin mendengar sendiri apa yang berlaku ketika mana tentera Israel menyerang secara brutal kapal Mavi Marmara tahun lepas dan salah seorang yang berada di kapal tersebut adalah Saudara Jamaluddin Elias.

Ceramah ditayangkan besama beberapa slide memaparkan kegiatan YAM, misi - misi bantuan di negara-negara di timpa bencana, isu palestin dan misi serangan kapal mavi marmara oleh tentera Israel laknatullah.

Saya memerhatikan jemaah, ada satu babak yang menceritakan penderitaan rakyat Palestin sehingga ada yang menitiskan air mata.

Selesai cermah tersebut, penasihat Masjid Datuk Hasbullah telah mengumumkan bahawa kutipan tabung masjid untuk jumaat akan datang adalah khas untuk Palestin. Perkara ini telah dimaklumkan kepada penduduk kampung.

Hasilnya sebanyak RM700 lebih telah berjaya dikutip dan saya turut dimaklumkan bahawa kutipan pada jumaat tersebut naik 3 kali ganda berbanding kutipan sebelumnya.

Alhamdulillah, mudah - mudahan Isu Palestin sentiasa segar dalam jiwa umat Islam untuk terus memberi sumbangan dalam apa bentuk sekalipun dan YAM adalah sebuah NGO yang diberikan kepercayaan oleh pihak kerajaan dalam menjalankan misi ini.




Baik itu Mulia dan Dosa itu Meragukan - Politik Lucah

Bismillah...

Dalam kitab Hadis Matan Arba'in Imam Nawawi Rahimullah hadis ke 27 :

" Kebaikan itu ialah elok budi pekerti , dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam diri engkau dan engkau benci bahawa di lihat oleh manusia kepadanya. " - Riwayat Muslim.

Dalam riwayat lain :

" Dari Wabisat bin Ma'bad Rasiyaallahu 'anhu, katanya : Aku datang kepada Rasulullah SAW lalu ia bertanya : Engkau datang bertanya dari kebaikan ? Aku menjawab : Ya! ia berkata : Mintalah fatwa hati engkau. Kebaikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya dan mententeramkan juga kepadanya hati. Dan Dosa itu ialah apa yang bergetar dalam diri dan ragu dalam dada, sekalipun berfatwa kepada engkau oleh manusia dan telah berfatwa dengan menyalahinya. "

Hadis hasan : kami riwayatkannya dalam Musnad dua Imam iaitu Imam Ahamd bin Hanbal dan al-Darimi dengan sanad yang baik.

KEBAIKAN

berdasarkan hadis di atas bahawa kebaikan itu ialah elok budi pekerti atau dalam bahasa yang lain dipanggil baik akhlaknya.

Kebaikan itu turut dihuraikan dan diberikan kepada 2 pengertian :

1. Kebaikan digunakan sesama makhluk :

Hubungan antara sesama mahkluk bukan hanya terbatas sesama manusia sahaja bahkan kepada makhluk - makhluk Allah yang lain seperti binatang, tumbuh - tumbuhan dan sebagainya.

Termasuklah kebaikan yang dilakukan seorang anak terhadap kedua ibu bapanya.

2. Kebaikan sebagai tanda taat kepada Allah SWT.

Ketaatan kepada Allah SWT terhadap perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA adalah suatu kebaikan hakiki.

Taat secara zahir atau batin adalah petunjuk kebaikan kepada Allah SWT. Taat secara zahir seperti membelanjakan harta ke jalan Allah, solat, zakat, sabar menghadapi dugaan dan sebagainya.

Taat secara batin adalah keimanan sepenuhnya kepada Allah, malaikat, kitab-kitab dan rasul-rasulnya.

Oleh itu, segala ketaatan itu adalah kebaikan yang terangkum dalam keperibadian seorang yang mempunyai akhlaqul karimah ( berakhlak mulia ). Juga kebaikan itu dapat dilakukan selain daripada perkara tersebut di atas selagimana tidak bertentangan dengan petunjuk agama.

Orang yang melakukan kebaikan hatinya akan merasa bahagia dan tenang dan terserlah kebaikan itu di wajahnya.

bak kata Ibn Umar :

" Kebaikan suatu perkara yang mudah, muka yang berseri- seri, dan cakapnya yang lemah lembut ".

KEJAHATAN ( DOSA )

Abu darda' berkata :

" Kebaikan itu adalah ketenteraman dan kejahatan itu dalam keraguan ".

Ciri sesuatu dosa itu adalah apabila melakukannya hati akan merasa gelisah, berdebar - debar, bimbang, cemas, takut dan tidak suka dilihat atau diketahui atau pun diceritakan orang lain tentang halnya itu.

Antara kaedah untuk mengesan sesuatu itu baik atau jahat seperti yang diajar oleh Nabi SAW kepada Wabisat ialah dengan berbisik dan merasai kedudukan hati samada sesuatu yang lakukan itu mendatangkan ketenangan atau ketenteraman hati atau hati akan gelisah, cemas dan gundah gulana. Hati tenteram dan tenang itulah kebaikan, jika cemas, gelisah, takut sesungguhnya perbuatan itu adalah jahat dan dosa.

Sedikit kaitan isu semasa ketika ini apabila rakyat didedahkan dengan vedio seks melibatkan orang - orang politik. Jika dilihat daripada 2 sudut iaitu yang dituduh dan yang menuduh, mungkin yang dituduh itu sehabisnya ingin menafikan perkara tersebut dan ingin mendapatkan pembelaan seadil-adilnya kerana ianya adalah fitnah. Sejauhmana keadilan dapat dicapai, amat sukar untuk dicapai kerana undang - undang yang ada banyak keraguannya dan tidak sehebat undang - undang Islam khususnya dalam isu ini (qazaf) yang sering dipandang sinis oleh pihak - pihak tertentu.

Yang menuduh pula, sesungguhnya kehebatan perancangan dan tindakan yang teliti memastikan yang dituduh disabitkan dengan isu ini. Jika dilihat kepada hadis tersebut, sejauhmana pelakuan mereka dalam isu ini dan jika ini suatu perancangan jahat sudah semestinya hati mereka akan bercelaru walau nampak gembira dan ceria raut wajah mereka. Mungkin tidur mereka tidak lena, makan tak lalu dan bermacam - macam hambatan perasaan cemas, takut dan sebagainya.

Akhirnya nanti, perancangan jahat ini akan terserlah dan akan memakan tuannya sendiri. Ketika itu sepotong ayat pun yang keluar daripada mulutnya orang tak akan percaya. Inilah akibat jika berpolitik berlandaskan sekular dan meminggirkan Islam sejauh - jauhnya.

Dalam isu tersebut sebaiknya kembalikan ia kepada undang - undang Islam, jangan beralasan bahawa Malaysia tidak ada undang - undang Islam. 2/3 ahli parlimen adalah yang beragama Islam dan yang berkuasa pun orang - orang Islam, adakah mustahil undang - undang Islam tidak boleh dilaksanakan?. kerana orang - orang Islam yang berstatus MUNAFIQ inilah yang menjadi penghalang besar kepada pelaksanaannya.

KESIMPULAN

Ruang kebaikan dan pintu rahmat Allah SWT telah dibuka seluas-luasnya untuk kita laksanakannya demi kebaikan hakiki yang akan kita raikan di akhirat kelak.

Segala bentuk kejahatan dan dosa telah diketahui oleh kita agar kita mengelakkan diri daripadanya supaya diri dan keluarga kita tidak dicampakkan ke api neraka yang teramat pedih seksanya.

Gerak geri, kerja laku dan sebagainya hanya neraca Allah SWT yang menilai dan menimbang seadil -adilnya untuk kita yang semestinya termaktub dalam al-Quran as-Sunnah.

Allah SWT berfirman ayat 36 surah al-Ahzab :

" Dan tidak sayugianya bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNYA memutuskan (sesuatu hukum) ada lagi bagi mereka (hak) memilih dari urusan mereka".

Oleh itu segala isu dan permasalahan kembalikan ia kepada syariat Allah kerana Syariat Allah menjamin sesorang itu terhadap nyawanya, maruahnya, hartanya dan keturunannya.

Waallahua'lam.

Jumaat, Mac 18, 2011

Bulan Perigee 2011 dan kaitan Thunami di JEPUN

Bismillah...


InsyaAllah malam ni 19 Mac 2011 sekali lagi kita akan menyaksikan tanda keagungan Allah SWT. Apa yang anda akan saksikan? ialah apabila bulan lebih hampir kepada bumi dikenali sebagai PERIGEE.

Saya pernah mencatatkan mengenai bulan perigee ini pada tahun lepas dan anda boleh merujuknya di sini.

InsyaAllah jika cuaca baik malam esok kita akan dapat memerhati bulan mengembang daripada biasa dan cahayanya lebih terang.

Maklumat infimosi mengenai bulan perigee dan kaitannya dengannya thunami di Jepun, saya sertakan artikel daripada falakonline.com ( terima kasih saudara Shahrin ).

Nak! Ce cite, ce cite..


Esok malam ( mlm ni ), Bulan akan berada pada kedudukan paling hampir dengan orbit, iaitu dipanggil sebagai perigee. Di dalam setiap satu kitaran atau pusingan bulan mengelilingi Bumi, disebabkan orbit bulan bukan berbentuk bulat, tetapi elips, maka akan ada ketikanya ia berada hampir dengan bumi (perigee) dan ada ketika ia berada jauh dari bumi (apogee). Jaraknya dengan bumi di sepanjang laluan orbitnya tidak sama.

(Image credit )

Berapa jauh Bulan masa tu?


Pada 19 Mac ini nanti, ia akan berada pada jarak 357,000 km.


Ada ke, ketikanya ia lagi dekat dari jarak tu?

Memang ada pun. Setiap kali bulan perigee, jaraknya tidak sentiasa sama. Paling dekatpun ialah pada 354,000 km. Masa Bulan apogee (paling jauh), ia boleh mencecah 410,000km.


Apa kesannya dengan Bumi?

Seperti yang kita selalu mengalaminya setiap hari, iaitu pasang surut air laut. Cuma dalam kes-kes tertentu seperti ketika bulan dalam kedudukan perigee ini, air pasangnya lebih tinggi daripada biasa (tetapi tak adalah sampai tahap bencana).


Gempa di Jepun?

Ramai bertanya bab ni, dan suka saya sebut dalam bentuk fakta.

Ketika gempabumi di Jepun, tarikhnya ialah 11 Mac 2011. Ketika itu, jarak Bulan ialah 390,644 km !! Maknanya, ia bukan berada pada kedudukan paling hampir pun, malah ia nak berada hampir pada titik yang paling jauh di dalam orbitnya! Pada 19 Mac nanti, ketika ia di perigee, jaraknya 355,167km. Beza jarak hampir 9%. Cuba bandingkan dengan perigee bulan penuh yang lepas, iaitu 30 Jan 2010, jarak masa tu 356,607 km. Beza 1% je. Apa yang berlaku pada masa tu?

Jadi, saya tanya kembali, kenapa ramai yang kaitnya gempa ini dengan supermoon 19 Mac ini? Saya pun tak faham.


Supermoon? apa tu?

Istilah supermoon ni tiba-tiba jadi popular sejak dua menjak ni. Ia sebenarnya asal dari seorang ahli astrologi (ahli nujum) Richard Nolle, yang meramalkan akan berlaku bencana pada 19 Mac ini kerana Bulan berada pada kedudukan amat hampir dengan bumi.

Yang hairannya, ramai pula orang malaysia yang lebih percaya ramalan seorang ahli nujum, berbanding fakta.


Ye ke? Tapi masa bencana tsunami dulu tu, bulan pun dekat dengan perigee!

Ye ke? Cuba periksa balik. Pada ketika bencana 2005 tu berlaku, tarikhnya ialah 26 Dec. Bulan ketika itu pun paling jauh dengan bumi, malah tarikh perigeenya pun 2 minggu SELEPAS bencana tersebut.

Kemudian berdasarkan kiraan di laman web http://www.fourmilab.ch/earthview/pacalc.html

Kita boleh lihat pada 19 Mac ini, bulan berada 356,577 km. Dekat ke tu? Ehem, cuba tengok lagi, pada tarikh 12 Disember 2008, bulan masa tu berada 356,567km! Lagi dekat. Tarikh 8 Mac 1993 (18 tahun dulu), lagi dekat... 356,529km.


Oh begitu. Jadi apa yang menarik akan berlaku malam tu?

Bulan penuh masa tu akan kelihatan 15% lebih besar daripada biasa. Dan bersinar 30% lebih terang dari biasa.


Ye ke? Tak percaya la.

OK la. Kalau tak percaya, cuba ambil gambar bulan pada malam tersebut, guna lens 200-500mm. Kemudian sebulan kemudian, pada bulan penuh akan datang, ambil lagi sekali gambar bulan penuh masa tu, dan buat perbandingan. Ini bukan cakap kosong, tetapi eksperimen yang amat mudah dan boleh dibuat oleh sesiapa pun.


Gambar kat internet semua dari orang barat. Boleh percaya ke? Entah-entah copy paste je.

Kalau masih ragu-ragu, tengok forum Falak Online di SINI. Ramai dah ambil gambar bulan penuh perigee tahun lepas


Ok, ok,Dah faham dah sekarang. Apa rujukan lain yang boleh dibaca?

Cuba tengok sini http://transit.savage-garden.org/en/the-biggest-full-moon.html Ada jadual yang menunjukkan tarikh Bulan Penuh Perigee untuk abad ini.

Lagi rujukan di sini

http://earthsky.org/earth/73765.

http://hudsonvalleygeologist.blogspot.com/2011/03/supermoon.html

http://www.universetoday.com/83960/march-19-2011-supermoon-or-superhype/

Kesimpulannya, gempa bumi memang telah,sedang dan terus berlaku, malah makin banyak setiap hari, itu saya tak nafikan.

Namun, ia tidak berlaku akibat pergerakan bulan atau bulan perigee. Belum pernah ada kajian menunjukkan kaitan antara keduanya. Kalau ada sesiapa yang dapat kemukakan kaitannya, sila email atau bincang di forum, facebook atau twitter. Bolehlah kita sama-sama belajar dan menkajinya.

Wallahualam.

Ceramah Maulidurrasul 1432H (2)

Bismillah...


Saya tutup ceramah dengan mengajak para pendengar beramal 7 diantara sunnah Rasul SAW sebagai berita baik “ Bashira” :

1. Dirikanlah Sunat Tahajjud ( Solat Malam ).

Surah al-Isra’ ayat 79 menjelaskan perihal ini. Nabi seorang yang maksum tidak pernah tinggal solat tahajjud dan ke atas diri nabi SAW itu adalah menjadi kewajipan baginda melaksanakan nya.

Hikmahnya, jaga solat malam di situ Allah kurniakan kekuatan diri dan kekuatan hubungan hamba dengan pencipta. Kisah Salahuddin ayubi bersama tenteranya bagi membuka palestin menceritakan kelebihan tahajjud.

2. Solat Subuh Berjemaah di Masjid.

“ Dihimpunkan malaikat malam dan malaikat siang itu di waktu solat fajar (subuh)”- hadis riwayat bukhari.

Saya pernah mendengar kata – kata seorang ulama, “ jika anda ingin melihat kekuatan ummah maka anda lihatlah solat subuh mereka di masjid “. Jika hanya beberapa soff sahaja ini menunjukkan kita masih lemah dan jika solat subuh semacam solat jumaat saat itulah Islam kembali kuat dan mantap.

3. Baca, fahamilah dan amalkan Al-Quran.

Penurunan wahyu langsung kepada nabi SAW, sudah semestinya segala keperibadian nabi SAW adalah hasil corakkan wahyu tersebut yang langsung di bawah tarbiyyah Allah SWT.

Jika hendak selamat dunia akhirat, jadikan al-Quran dustur hidup di setiap masa jangan hanya membaca secara bermusim, lari daripada masjlis ilmu yang mengakibatkan jahil untuk beramal dengannya.

4. Sentiasa Memohon Keampunan Kepada Allah SWT.

“ Demi Allah, sesungguhnya aku memohon keampunan dan bertaubat kepadaNYA tiap – tiap hari seratus kali” – Riwayat Abu Hurairah.

Nabi SAW seorang maksum pun memohon ampun kepada Allah dengan beristigfar seratus kali tiap – tiap hari. Bagaimana kita yang bukan maksum ini ?.....

5. Banyakkan Sedekah.

“Aku tak banyak harta yang ada pun cukup – cukup saja”. Antara alasan bagi mereka yang benar tiada harta dan buat – buat tidak ada harta tetapi bakhil bin kedekut.

Baca hadis ke 25 Matan Arba’in Imam Nawawi Rahimullah. Tahmid, tasbih, tahlil, takbir, suruh orang buat baik, tegah orang daripada melakukan mungkar dan maksiat, hatta jimak antara suami isteri yang halal itupun dikira sedekah.

Banyak jalan untuk kita menghulurkan sedekah…..

6. Solat Sunat Dhuha

Mafhum Hadis yang diriwayatkan oleh termizi dan nasa’i :

Rasul SAW berwasiat 3 perkara :

1. Tidak tidur sebelum melakukan solat witir

2. Tidak meninggalkan 2 rakaat solat sunat Dhuha

3. Berpuasa 3 hari dalam sebulan.

Solat sunat Dhuha juga sebagai cara untuk mencukupi keperluan sehingga akhir hayat.

7. Banyakkan Zikir

Surah al-Ahzab ayat 41-42 : Allah menyarankan agar banyak ingat kepadaNYA pada pagi dan petang.

Betapa dekatnya Rasul dengan penciptanya, kita pun sewajibnya ikut apa yang Rasul SAW telah tunjukkan kepada kita.

Alhamdulillah, semoga dengan cara ini kita dapat hidupkan sunnah Rasul SAW, Allah SWT anugerahkan kita “Cinta ( RedhaNYA ) “ kepada kita. Amin ya Rabb…

Sekalung ucapan terima kasih kepada TLDM terutamanya kepada Panglimanya di atas undangan ke masjlis yang cukup bermakna ini. Jazakumullah Khairal Jaza’...


Isnin, Mac 14, 2011

Ceramah Maulidurrasul 1432H (1)



Bismillah...

Pada tahun 2006 saya telah hadir ke lokasi pangkalan TLDM Sepanggar atas urusan menentusahkan arah kiblat masjid yang diberi nama ketika ini ialah Masjid Ibn Batutah. Keadaan jalan dan persekitaran ketika itu yang masih dalam pembinaan amat menyukarkan. Kami terpaksa melalui jalan kampung. Jarak dari jalan besar ke lokasi tersebut hanya 4 KM (lebih kurang) tetapi memandangkan jalan yang teruk tempoh masa yang diambil adalah setengah jam untuk sampai ke tapak pembinaan masjid.

Alhamdulillah hari ini jauh lebih baik dan selesa, jalan highway telah dibina, kompleks TLDM dilengkapi beberapa prasarana dan kemudahan untuk anggotanya seramai 4000 orang lebih dan juga di tempat ini berlabuhnya 2 buah kapal selam aset pertahanan Malaysia yang canggih.

Kehadiran saya sekali lagi ke kompleks TLDM adalah atas jemputan ceramah sempena Sambutan Maulidurrasul 1432H peringkat TLDM Sepanggar. Undangan datang ke pejabat dan SS Mufti Kerajaan Negeri Sabah telah memberi kepercayaan kepada saya bagi memenuhi undangan ini.

Selain berceramah saya juga turut diamanahkan bagi mengadili pertandingan sepanduk. Para anggota turut berarak dan berselawat beramai – ramai.

Sesi ceramah diadakan di dalam Masjid Ibn. Batutah yang cukup indah. 3 ayat al-Quran saya petik dan huraikan berkaitan dengan keputeraan Baginda SAW. Surah al-Baqarah ayat 119 :

“ Sesungguhnya kami (Allah ) utuskan engkau Muhammad dengan kebenaran iaitu berita gembira dan peringatan, dan janganlah engkau persoalkan tentang golongan ahli – ahli neraka”.

Antara tujuan Allah utuskan Muhammad SAW adalah pembawa berita gembira dan peringatan. Sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Tafsir Ibn Kathir bahawa Ibn Hatim daripada Ibn Abbas meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda : “ berita gembira itu adalah syurga dan peringatan itu adalah peringatan daripada api neraka”.

Sayugianya, gerak kerja nabi SAW inilah yang sewajibnya kita teruskan iaitu memberi khabar gembira iaitu hal – hal syurga Allah SWT kepada semua manusia dan peringatkan mereka tentang peritnya seksa api neraka Allah SWT. Bukti kita sayang nabi SAW maka laksanakanlah tugas ini.

Ulasan Ayat kedua iaitu surah ali ‘imran ayat 31 :

Katakanlah (Muhammad SAW ) kepada mereka jika mereka cinta akan Allah SWT maka ikutilah aku (Muhammad SAW) dan Allah akan mengampuni dosa – dosa kamu dan Allah SWT itu maha pengampun lagi maha penyang “.

Huraian mengenai ayat ini di Tafsir Ibn Kathir mengatakan bahawa ayat ini adalah pemutus hukum bagi mereka yang mengatakan cinta kepada Allah tetapi tidak mahu menempuh jalan yang dilalui oleh nabi SAW.

Diterangkan pada surah at - taubah ayat 42 yang mafhumnya bahawa ayat ini menjelaskan sifat orang munafik yang enggan bersama Rasulullah SAW ketika peperangan tabuk. Malah mereka memberikan alasan bermacam – macam.

Bukti kecintaan kita kepada Allah SWT adalah jika kita sanggup menempuh perjalanan dan kehidupan seperti nabi SAW. Kalimah “ IKUTILAH AKU “ dalam ayat di atas adalah mengikut segala syariat yang dibawa oleh Rasul SAW.

Tidak memberi kesan walaupun sedikit “cinta” itu kepada Allah SWT, tetapi perlu diingat satu bala dan bahana jika Allah SWT tidak “cinta (redha)” kepada kita. Oleh itu, ikut dan laksanakan segala syariat Allah SWT yang dibawa oleh nabi SAW kerana itu jalan untuk kita mendapat “cinta” daripada Allah SWT.

Ada 1 ayat lagi iaitu ayat 107 surah al-Anbia’ yang cukup terkenal sering diungkapkan oleh umat Islam pada bila – bila masa terutama ketika Maulidurrasul. Mungkin anda boleh merujuka tafsirnya di kitab - kitab tafsir …

bersambung....






Khamis, Mac 10, 2011

Re-Treat Hala Tuju JAKIM Sabah

Bismillah...


3 hari 2 malam saya berkampung di Hotel Berjaya Palace, Kota Kinabalu bagi menghadiri kursus Re – Treat Hala Tuju JAKIM Cawangan Sabah bermula 06 sehingga 08 Mac 2011 dianjurkan oleh JAKIM Cawangan Sabah. Walaupun perbincangan ini lebih tertumpu dengan hala tuju JAKIM namun kursus tersebut turut dihadiri wakil di setiap jabatan dan agensi Kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO’S) Islam yang lain.

Kehadiran saya adalah mewakili Pejabat Mufti Negeri Sabah dan antara jabatan dan institusi agama yang hadir adalah JHEAINS, Pusat Zakat Sabah, Baitulmal, manakala NGO’S seperti CONCERN, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, SAHABAT, ABIM, USIA, Persatuan Ulama Malaysia Sabah (PUM) dan Universiti Malaysia Sabah serta UiTM wakil institusi pengajian tinggi yang ada di negeri ini.

Turut hadir pengarah – pengarah bahagian dan pusat – pusat latihan JAKIM di seluruh negeri. Pengisian kursus ini adalah lebih tertumpu dengan program dan agenda JAKIM Cawangan Sabah ( Plan Strategik ) bagi tempoh 5 tahun bermula 2011 sehingga 2016. Satu sesi ceramah dan 3 kali berbengkel dalam kumpulan merupakan pengisian kursus ini. Dimulakan dengan ceramah yang disampaikan oleh En. Musaddik Abd Masjid, Timbalan Pengarah Bahagian Saraan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Setelah itu kami dibahagikan 3 kumpulan yang terdiri daripada kumpulan 1 iaitu kumpulan Dakwah, Pengarah JAKIM Sabah sebagai ketuanya dan ahlinya di kalangan pengerusi – pengerusi NGO’S, pengarah – pengarah jabatan serta pengawai – pegawai JAKIM. Kumpulan 2 pula kumpulan PUSAT LATIHAN yang diketuai oleh Ust. Razali Shahbudin dan ahli – ahlinya di kalangan pegawai – pegawai JAKIM yang berkhidmat di Pusat –Pusat Latihan JAKIM seluruh Malaysia bersama wakil – wakil NGO’S. Saya pula di kumpulan 3 kumpulan KAFA dan TAKMIR yang diketuai oleh mantan pengarah JAKIM Sabah.

Alhamdulillah, walaupun bengkel ini adalah hanya membincangkan hala tuju JAKIM tetapi saya cukup kagum pendekatan JAKIM Sabah di atas sifat kerjasamanya terhadap jabatan, agensi dan NGO’S dalam merealisasikan hala tuju mereka dengan menjemput mereka ini untuk duduk semeja bagi mendapatkan pandangan dan idea memantapkan strategik seterusnya tindakan yang bakal diambil.

Merenung dan memahami bait kata – kata ucapan Ketua Pengarah JAKIM Y.Bhg Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, mesranya saya memanggilnya Ust. Wan ketika beliau Pengetua ( kini pengarah ) Darul Quran akhir tahun 1999 lalu yang menekankan bahawa JAKIM Sabah dalam melaksanakan kerja – kerja Dakwah di bumi Sabah ini jangan lupa sahabat – sahabat ( istilah yang digunakan menunjukkan jiwa yang tawadhuk – pandangan albelurani ) samaada di kalangan jabatan dan agensi agama atau NGO’S Islam yang lain. Dibuktikan sendiri oleh Y.Bhg Dato’ dengan pemerhatian saya selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah JAKIM turun ke setiap negeri bertemu dengan pengarah jabatan dan agensi serta ketua – ketua NGO’S termasuklah kunjungan beliau ke Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Secara peribadi saya amat kagum kepimpinan Ust. Wan sebabnya saya pernah menjadi anak murid beliau walaupun dalam tempoh masa yang singkat. InsyaAllah di lain masa saya akan catatkan sedikit memori ketika bersama beliau.

Akhirnya, saya merakamkan tahniah dan syabas kepada sahabat – sahabat di JAKIM Sabah terutamanya mantan pengarahnya Ust. Aziz Mohammad yang telah bertukar ke ibu pejabat dan telah digantikan oleh Y.Bhg Ust. Haji Ahmad Zaki Hj. Arshad di atas undangan kepada Pejabat Mufti Negeri Sabah bersama – sama memerah fikiran untuk menghasilkan natijah terbaik bagi memantapkan dakwah di bumi Sabah ini yang sewajibnya menjadi amanah kita bersama.

Jazakumullah Khairal Jaza’..


















p/s : kepada sahabat – sahabat terutamanya Ust Fadhli bin Ahmat bersama barisan urusetianya ana ucapkan syabas dan tahniah moga Allah memberkati antum sekalian. Barakaallahu fikum….