Ahad, Mac 27, 2011

Baik itu Mulia dan Dosa itu Meragukan - Politik Lucah

Bismillah...

Dalam kitab Hadis Matan Arba'in Imam Nawawi Rahimullah hadis ke 27 :

" Kebaikan itu ialah elok budi pekerti , dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam diri engkau dan engkau benci bahawa di lihat oleh manusia kepadanya. " - Riwayat Muslim.

Dalam riwayat lain :

" Dari Wabisat bin Ma'bad Rasiyaallahu 'anhu, katanya : Aku datang kepada Rasulullah SAW lalu ia bertanya : Engkau datang bertanya dari kebaikan ? Aku menjawab : Ya! ia berkata : Mintalah fatwa hati engkau. Kebaikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya dan mententeramkan juga kepadanya hati. Dan Dosa itu ialah apa yang bergetar dalam diri dan ragu dalam dada, sekalipun berfatwa kepada engkau oleh manusia dan telah berfatwa dengan menyalahinya. "

Hadis hasan : kami riwayatkannya dalam Musnad dua Imam iaitu Imam Ahamd bin Hanbal dan al-Darimi dengan sanad yang baik.

KEBAIKAN

berdasarkan hadis di atas bahawa kebaikan itu ialah elok budi pekerti atau dalam bahasa yang lain dipanggil baik akhlaknya.

Kebaikan itu turut dihuraikan dan diberikan kepada 2 pengertian :

1. Kebaikan digunakan sesama makhluk :

Hubungan antara sesama mahkluk bukan hanya terbatas sesama manusia sahaja bahkan kepada makhluk - makhluk Allah yang lain seperti binatang, tumbuh - tumbuhan dan sebagainya.

Termasuklah kebaikan yang dilakukan seorang anak terhadap kedua ibu bapanya.

2. Kebaikan sebagai tanda taat kepada Allah SWT.

Ketaatan kepada Allah SWT terhadap perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA adalah suatu kebaikan hakiki.

Taat secara zahir atau batin adalah petunjuk kebaikan kepada Allah SWT. Taat secara zahir seperti membelanjakan harta ke jalan Allah, solat, zakat, sabar menghadapi dugaan dan sebagainya.

Taat secara batin adalah keimanan sepenuhnya kepada Allah, malaikat, kitab-kitab dan rasul-rasulnya.

Oleh itu, segala ketaatan itu adalah kebaikan yang terangkum dalam keperibadian seorang yang mempunyai akhlaqul karimah ( berakhlak mulia ). Juga kebaikan itu dapat dilakukan selain daripada perkara tersebut di atas selagimana tidak bertentangan dengan petunjuk agama.

Orang yang melakukan kebaikan hatinya akan merasa bahagia dan tenang dan terserlah kebaikan itu di wajahnya.

bak kata Ibn Umar :

" Kebaikan suatu perkara yang mudah, muka yang berseri- seri, dan cakapnya yang lemah lembut ".

KEJAHATAN ( DOSA )

Abu darda' berkata :

" Kebaikan itu adalah ketenteraman dan kejahatan itu dalam keraguan ".

Ciri sesuatu dosa itu adalah apabila melakukannya hati akan merasa gelisah, berdebar - debar, bimbang, cemas, takut dan tidak suka dilihat atau diketahui atau pun diceritakan orang lain tentang halnya itu.

Antara kaedah untuk mengesan sesuatu itu baik atau jahat seperti yang diajar oleh Nabi SAW kepada Wabisat ialah dengan berbisik dan merasai kedudukan hati samada sesuatu yang lakukan itu mendatangkan ketenangan atau ketenteraman hati atau hati akan gelisah, cemas dan gundah gulana. Hati tenteram dan tenang itulah kebaikan, jika cemas, gelisah, takut sesungguhnya perbuatan itu adalah jahat dan dosa.

Sedikit kaitan isu semasa ketika ini apabila rakyat didedahkan dengan vedio seks melibatkan orang - orang politik. Jika dilihat daripada 2 sudut iaitu yang dituduh dan yang menuduh, mungkin yang dituduh itu sehabisnya ingin menafikan perkara tersebut dan ingin mendapatkan pembelaan seadil-adilnya kerana ianya adalah fitnah. Sejauhmana keadilan dapat dicapai, amat sukar untuk dicapai kerana undang - undang yang ada banyak keraguannya dan tidak sehebat undang - undang Islam khususnya dalam isu ini (qazaf) yang sering dipandang sinis oleh pihak - pihak tertentu.

Yang menuduh pula, sesungguhnya kehebatan perancangan dan tindakan yang teliti memastikan yang dituduh disabitkan dengan isu ini. Jika dilihat kepada hadis tersebut, sejauhmana pelakuan mereka dalam isu ini dan jika ini suatu perancangan jahat sudah semestinya hati mereka akan bercelaru walau nampak gembira dan ceria raut wajah mereka. Mungkin tidur mereka tidak lena, makan tak lalu dan bermacam - macam hambatan perasaan cemas, takut dan sebagainya.

Akhirnya nanti, perancangan jahat ini akan terserlah dan akan memakan tuannya sendiri. Ketika itu sepotong ayat pun yang keluar daripada mulutnya orang tak akan percaya. Inilah akibat jika berpolitik berlandaskan sekular dan meminggirkan Islam sejauh - jauhnya.

Dalam isu tersebut sebaiknya kembalikan ia kepada undang - undang Islam, jangan beralasan bahawa Malaysia tidak ada undang - undang Islam. 2/3 ahli parlimen adalah yang beragama Islam dan yang berkuasa pun orang - orang Islam, adakah mustahil undang - undang Islam tidak boleh dilaksanakan?. kerana orang - orang Islam yang berstatus MUNAFIQ inilah yang menjadi penghalang besar kepada pelaksanaannya.

KESIMPULAN

Ruang kebaikan dan pintu rahmat Allah SWT telah dibuka seluas-luasnya untuk kita laksanakannya demi kebaikan hakiki yang akan kita raikan di akhirat kelak.

Segala bentuk kejahatan dan dosa telah diketahui oleh kita agar kita mengelakkan diri daripadanya supaya diri dan keluarga kita tidak dicampakkan ke api neraka yang teramat pedih seksanya.

Gerak geri, kerja laku dan sebagainya hanya neraca Allah SWT yang menilai dan menimbang seadil -adilnya untuk kita yang semestinya termaktub dalam al-Quran as-Sunnah.

Allah SWT berfirman ayat 36 surah al-Ahzab :

" Dan tidak sayugianya bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNYA memutuskan (sesuatu hukum) ada lagi bagi mereka (hak) memilih dari urusan mereka".

Oleh itu segala isu dan permasalahan kembalikan ia kepada syariat Allah kerana Syariat Allah menjamin sesorang itu terhadap nyawanya, maruahnya, hartanya dan keturunannya.

Waallahua'lam.

0 ulasan:

Catat Ulasan