Memaparkan catatan dengan label Balai cerap albiruni. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Balai cerap albiruni. Papar semua catatan

Ahad, November 27, 2011

Rukyah Hilal Muharam 1433H

Bismillah...


26 November 2011 bersamaan 30 Zulhijjah 1432 adalah tarikh terakhir mengikut kiraan hijriah. Tahun 1432H melabuhkan tirainya dan 1433H kunjung tiba. Suka atau sebaliknya manusia selagimana hayat dikandung badan akan berada di tahun 1433H.

Alhamdulillah, lazimnya dan memang menjadi tugas hakiki bagi saya untuk turun mencerap hilal muharam. Biasanya aktiviti ini turut disertai oleh pihak luar, namun kali ini dikhususkan kepada warga Pejabat Mufti Negeri Sabah (PMNS) atas hasrat Mufti Kerajaan Kerajaan Negeri Sabah agar warga pejabat mufti turut didedahkan dengan ilmu falak . Kebetulan ada beberapa orang staf yang baru sahaja memulakan tugas di PMNS.

Jika majlis cerapan rasmi seperti Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah seluruh warga PMNS turut bertugas dan kesempatan untuk mencerap hilal ketika majlis tersebut agak terhad. Oleh itu, cerapan hilal muharam ini adalah masa yang terbaik untuk diperjelaskan kepada mereka tentang ilmu falak khasnya mengenai hilal (anak bulan).

Pengisiannya dimulakan dengan sedikit taklimat mengenai anak bulan muharam yang bakal dicerap pada petang tersebut. Cerapan kali ini juga turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Mufti, Ust. Mohd Ariffin Ali dan Timbalan Pengarah JUPEM.

5.57 petang waktu ghurubnya (terbenamnya) matahari dan masuknya waktu solat maghrib maka dimulakan aktiviti cerapan sebelum solat maghrib ditunaikan. Jika berdasarkan hisab melalui data yang dibekalkan bahawa di Balai Cerap al-Biruni negeri Sabah waktu hilal terbenam pada jam 7.03 malam, tinggi hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam 13 darjah 31 minit 15 saat, jarak hilal dari matahari 14 darjah 54 minit, umur hilal pula telah menjangkau 28 jam 54 minit.

Berdasarkan data hisbiah tersebut, maka hilal telah lebih memenuhi kritiria imkanurrukyah (keboleh nampakkan) yang ditetapkan dan alhamdulillah seawal jam 6.01 petang hilal mula kelihatan dengan bantuan faktor keadaan cuaca yang baik.

Warga PMNS serta Timbalan Pengarah JUPEM SABAH khususnya rasa gembira kerana ini pengalaman pertama mereka dapat melihat hilal dalam aktiviti cerapan seperti ini. Maknanya, selain taklimat berkaitan ilmu cerapan yang mereka dengari dalam masa yang sama Allah telah memperlihatkan hilal kepada mereka dan ini bererti objektif dan matlamat aktiviti kali ini bagi saya adalah tercapai walau ada beberapa orang yang punyai keuzuran dalam menghadiri aktiviti ini...

Sekian, jumpa lagi cerapan hilal safar akan datang...
















Khamis, Julai 07, 2011

Cerapan Hilal Sya'aban 1432H

Bismillah...


Seperti lazimnya kami di Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah turun membuat cerapan bagi hilal Sya'aban pada 02 Julai 2011/ 30 Rejab 1432 lalu.

Kali ini kami mengundang bersama pelajar - pelajar Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah, Kota Kinabalu. Taklimat ringkas mengenai Balai Cerap dan aktiviti cerapan hilal kali ini telah saya sampaikan.


Alhamdulillah, hilal kali ini kelihatan dan para pelajar cukup teruja dan seronok melihat hilal yang merupakan kali pertama turut serta dalam aktiviti sebegini. Turut serta dalam rombongan pelajar-pelajar ini ialah Ust. Saudin sebagai guru pengiring mereka dan beliau juga turut teruja dapat melihat sendiri hilal (anak bulan) walaupun sudah beberapa mengikuti aktiviti cerapan ini.


Untuk makluman, cerapan hilal akan datang iaitu hilal ramadhan, syawal serta zulhijjah kami tidak akan menjemput mana - mana pihak untuk turut serta dalam aktiviti tersebut kerana ketika itu adalah majlis rasmi kerajaan termasuklah seluruh negeri di Malaysia bagi penentuan awal ramadhan, hari raya aidilfitri dan aidiladha yang telah ada jemputan-jemputan khas ke majlis tersebut namun kebiasaannya ruang untuk orang awam juga disediakan.

Sekian, BarakaAllahu fikum.

Rabu, April 06, 2011

Cerapan Hilal Jamadilawwal 1432H

Bismillah...


30 Rabi'ulakhir 1432 bersamaan 04 April 2011 hari Isnin lalu seperti lazimnya kami turun mencerap anak bulan dan kali ini adalah untuk hilal Jamadilawwal 1432H sebagai aktiviti bulanan di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah, Tg. Dumpil, Putatan Sabah.

Jika bulan lepas kami menerima tetamu daripada Pusat Latihan Khidmat Negara Kota Belud dan kali ini kami menerima seramai 20 orang yang dijemput khas di kalangan ahli jawatankuasa masjid sekitar Balai Cerap ini.

Masjid al-hilal, Masjid Nurul Jannah Kg. Petagas, Masjid Nurul Iman Kg. Pasir Putih Putatan dan Masjid As-Sobirin Kg. Sipanggil yang telah bersama dengan kami.




Taklimat dimulakan kemudian jamuan dan tepat jam 6.10 petang para tetamu mengambil posisi untuk sedia merukyah hilal. 5 buah tedeolit ( peralatan rukyah ) telah disediakan dan setiap peralatan dikawal oleh ahli - ahli teknikal di samping itu mereka turut menyampaikan maklumat mengenai cerapan hilal.


Aktiviti ini berjalan secara santai dan serba sedikit kami juga dapat memberikan sedikit ilmu falak berkaitan dengan rukyah hilal. Keputusan rukyah kali ini ialah hilal tidak kelihatan disebabkan awan tebal.

Alhamdulillah, rukyah hilal jamadilakhir akan datang pada 04 Mei 2011 ( rabu ) kami masih menunggu permohonan sesiapa yang ingin turut serta dalam aktiviti rukyah ini... sesiapa yang berminat bolehlah hubungi Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah di talian 088218322.

Sekian.







Isnin, April 04, 2011

Sinopsis Anak Bulan Jamadilawal 1432H

Bismillah...

Hari ini cerapan hilal ( anak bulan ) Jamadilawal 1432H bakal dicerap di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah, Tg. Dumpil, Putatan Sabah dan begitu juga di lokasi - lokasi cerapan oleh anggota falak di Unit Falak Syarie seluruh Jabatan Mufti setiap negeri.

Sinopsis hilal Jamadilawwal 1432H di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah, Tg. Dumpil, Putatan Sabah seperti berikut :


InsyaAllah, cerapan kali ini kami menjemput ahli jawatankuasa Masjid di sekitar Balai Cerap untuk sama - sama mencerap dan kami turut memberikan taklimat mengenai ilmu falak berkaitan dengan cerapan hilal. Ahli jawatankuasa masjid yang dijemput adalah :

1. Masjid Al-Hilal
2. Masjid Nurul Iman, Kg. Pasir Putih
3. Masjid As-Sobirin
4. Masjid Nurul Jannah, Kg. Petagas.

Selamat mencerap kepada seluruh rakan - rakan falak di negeri - negeri lain.

Sekian.

Jumaat, Disember 17, 2010

Buruj Orion

Bismillah...

Pada 16 Dis. 2010 lepas, telah diadakan aktiviti cerapan malam secara tidak rasmi. Hanya saya seorang di Unit Falak Syarie dan turut ditemani seorang kawan iaitu saudara Husin di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah bermula jam 11.30 malam sehingga 3 pagi.

Cerapan tersebut adalah sempena fenomena Meteor berjatuhan banyak di langit yang bermula 11 sehingga 17 Disember 2010.

Buruj Orion dan Buruj Gemini cantik serta bintang - bintang kelihatan cantik di langit, Meteor pula hanya sekali sekala melintasi. Sukar untuk menangkap gambar Meteor. Jika 14hb lalu mungkin mudah kerana ketika itu memang hari kemuncak Meteor bersepah di langit.

Berbekalkan kamera Canon 550D, tumpuan dan fokus malam tersebut adalah mengambil gambar buruj orion dan buruj gemini di sekitar Balai Cerap Al-biruni Negeri Sabah.

Alhamdulillah dan Subhanallah suasana malam tersebut amat mengasyikan dan mengingatkan diri akan keagungan dan kekuasaan Allah SWT apabila cuaca yang baik memaparkan imej - imej bintang serta buruj - buruj tersebut kelihatan indah di langit.

Jom tengok imej yang sempat diambil :

Set : f/5.0, Shutter 30", ISO 3200.

Set : f/5.0, Shutter 30", ISO 3200.

Set : f/5.0, Shutter 30", ISO 800.

Set : f/5.0, Shutter 30", ISO 3200.

Set : f/5.0, Shutter 30", ISO 1600.

Set : f/4.0, Shutter 30", ISO 1600.

Set : f/5.0, Shutter 30", ISO 1600.

Set : f/6.3, Shutter 30", ISO 6400.

Jumaat, November 05, 2010

Persediaan

Bismillah...


Esok 06 November 2010 bersamaan 29 Zulkaedah 1431H Majlis Melihat Anak Bulan Zulhijjah 1431H diadakan di seluruh negara. Di Sabah lokasi untuk melihat anak bulan adalah di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Tg. Dumpil, Putatan.

Alhamdulillah, segala persiapan telah disediakan bagi majlis tersebut yang akan dihadiri beberapa orang kenamaan negeri. Dengan kerjasama jabatan dan agensi - agensi kerajaan yang lain diharap majlis kali ini berjalan lancar dan teratur.

Sabah adalah negeri yang terawal bagi melihat anak bulan kerana matahari lebih awal terbenam berabnding di negeri - negeri lain.

Mudah - mudahan segala berjalan lancar....