Khamis, Januari 20, 2011

Suraqah Bin Malik

Bismillah...

Saya tertarik dan mengagumi kisah Suraqah Bin Malik. Beliau merupakan antara orang yang kuat menentang dakwah Rasul SAW dan hampir membunuh Rasul SAW ketika perjalanan hijrah baginda ke Madinah.

Ketika pembesar kaum musyhrikin mekah menawarkan 100 ekor unta betina yang baik dengan syarat membawa Muhammad SAW samada hidup atau mati di hadapan pembesar mereka, Suraqah pun pantas menggapai pedang, panah dan kudanya tanpa diketahui oleh orang lain meluru menuju dimana Rasul SAW berada. Suraqah juga antara kabilah yang mahir menjejak seseorang di padang pasir dikenali sebagai penjejak yang hebat.

Kemahiran Suraqah dalam menjejak akhirnya dia bertemu dengan rombongan baginda Nabi SAW bersama dengan Abu Bakar dan penunjuk jalannya Abdullah Bin Uraiqith. Suraqah pun meluru ke arah mereka namun 3 kali percubaannya gagal kerana kaki kudanya terperosok menyebabkan dia terjatuh daripada kudanya.

Rasulullah SAW datang ke arahnya lalu memberikan pertolongan kepada Suraqah menyebabkan dia merasa teruja dengan sifat Nabi SAW ketika itu sedangkan Nabi SAW tahu kedatangan Suraqah adalah bertujuan untuk menangkapnya atau membunuhnya.

Melihat situasi itu maka berkata Suraqah " Ya Muhammad! Aku pasti agama engkau akan menang. Berjanjilah kepadaku, jika suatu hari nanti aku datang ke kerajaan engkau, maka engkau akan bermurah hati kepada aku. Tuliskanlah itu untukku" pinta Suraqah.

Rasulullah SAW mengarahkan Abdullah Bin Uraiqith menulisnya sesuatu mengenainya di atas sepotong kulit dan diberikan kepada Suraqah lalu Rasulullah SAW menawarkan sesuatu kepada Suraqah ;

" Bagaimana wahai Suraqah, jika pada suatu waktu engkau mengenakan mahkota kebesaran Kisra? " mahkota kebesaran Kisra bin Hurmuz ? kata Suraqah terkejut. " Ya, pakaian kebesaran Kisra bin Hurmuz!" jawab Rasulullah SAW menyakinkan.

Satu tawaran yang sukar untuk dipercayai dan menambahkan kebingungan Suraqah. Kemudian Suraqah kembali dan memberitahu sekumpulan orang yang sedang mencari Nabi SAW bahawa baginda tidak ditemui di jalan - jalan yang dilaluinya. Itu kata daripada seorang yang mahir menjejak dan sudah semestinya mereka mempercayai kata - kata itu.

10 tahun selepas itu, Suraqah bertemu Rasulullah SAW setelah Madinah di bawah pemerintahan baginda menyatakan keislamannya di hadapan baginda. Semenjak itu, Suraqah menjadi pendukung setia gerakan dakwah walaupun hanya berkesempatan bersama dengan baginda selama 9 bulan.

Suraqah sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyebarkan Islam. Sehinggalah di zaman pemerintahan Umar bin Khattab kerajaan parsi telah tewas dan telah ditakluk oleh kerajaan yang dipimpin oleh khalifah kedua itu.

Longgokan harta rampasan perang terlalu banyak melimpah ruah, di saat itu juga khalifah Umar menemui mahkota dan gelang kebesaran Kisra bin Hurmus lalu memanggil Suraqah bin Malik mengenakan pakaian kebesaran Kisra itu di tubuh Suraqah lengkap dengan seluar dan kasut. Kemudian Umar menyisipkan pedang dengan tali pinggang kebesaran Kisra. Mahkota diletakkan di kepala Suraqah dan memakaikannya gelang kebesaran itu ke dua - dua tangan Suraqah dengan diiringi laungan takbir.

Suraqah bin Malik terdiam mematung mengenang kebenaran ucapan Rasulullah SAW belasan tahun yang lalu.

Daripada kisah Suraqah ini banyak pengajaran yang dapat kita perolehi :

1. Sifat Rasulullah SAW yang pemaaf, sewajar ia menjadi contoh dan ikutan untuk kita.

2. Benarnya janji Rasulullah SAW. Khas untuk Suraqah yang mendapat janji yang baik untuknya daripada Rasulullah SAW. Perlu diingat Rasulullah SAW sering mengingatkan kita melalui sabdaannya mengenai peristiwa - peristiwa akhir zaman yang bakal berlaku. Oleh itu, ingatan untuk kita agar Allah pelihara kita daripada kejahatan dan bala bencana.

3. Hebatnya strategik Rasulullah SAW. Walau ditentang hebat namun Rasulullah SAW tetap mencari peluang agar musuh tunduk kepadanya kerana musuh - musuh yang menentang dakwahnya itu berbagai - bagai peringkat yang sedia untuk disemai hati mereka dengan dakwah baginda sesuai dengan fitrah kemanusiaannya.

Selebihnya... saya serahkan kepada pembaca untuk mengorek 'ibrahnya agar kebaikan dan manfaat itu diperolehi untuk diri, keluarga dan masyarakat... pakat - pakat sebarkan..

Waallahua'lam.

* Kisah ini saya petik daripada buku " Belajar Dari Dua Umar " karya Hepi Andi Bastoni. Secara jujur, membaca buku ini membangkitkan jiwa agar thabit dengan kerja - kerja dakwah... Allahu Rabbi.

0 ulasan:

Catat Komen