Ahad, April 11, 2010

Buang bayi

Bismillah...

Saya amat tertarikh dengan teks khutbah terbitan JAKIM pada 09 April 2010 lepas yang turut saya bacakan apabila saya bertugas sebagai khatib di Masjid Pasir Putih Putatan bagi menggantikan keuzuran khatib yang bertugas di samping jadual giliran saya sebagai khatib di masjid tersebut masih jauh waktunya.

Jadual asal, saya akan berkhutbah di Masjid Negeri Sabah pada 26hb April. Namun telah ditukar ke tarikh 09 April. Berlaku pertembungan jadual, saya utamakan di Masjid Nurul Iman Pasir Putih Putatan kerana saya telah memberikan persetujuan lebih awal berbanding pemakluman pertukaran jadual Khatib di Masjid Negeri Sabah.

Teks khutbah JAKIM ketika itu memang sangat releven dengan isu terkini iaitu isu pembuangan bayi yang hangat diperkatakan di media elektronik walaupun terdapat isu - isu yang tidak kurang hangatnya seperti APCO WoldWide ( One Malaysia One Israel ) dan kematian beberapa orang ahli parlimen yang membawa kepada pilihanraya kecil.

Ada kaitannya juga mengenai dengan artikel saya sebelum ini mengenai dengan Fatwa Hiburan. Kandungan teks khutbah tersebut seperti berikut :

Statistik

Menurut statistik daripada pihak berkuasa di dapati jenayah membuang bayi terus meningkat dari tahun ketahun. Umpamanya pada tahun 2009 sebanyak 79 kes berbanding 76 kes pada 2007 di seluruh negara. Sepanjang tempoh 2004 sehingga 2009 sebanyak 485 kes . Sebilangan besar suspek tergolong dalam kumpulan umur 18 hingga 25 tahun.

Faktor terjadinya jenayah ini

Mengikut kajian terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya jenayah ini. Faktor terbesar ialah keterlanjuran dalam menjalin hubungan percintaan, pergaulan dan amalan seks bebas sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak, institusi keluarga yang bermasalah tiada persefahaman, bergaduh atau bercerai

Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.

Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, ( VCD ) lucah serta gambar pornografi di dalam internet juga menjadi punca yang turut merangsang para remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.

Antara langkah - langkah mengelak berlakunya jenayah ini

Pertama - Menjadi masyarakat yang prihatin dengan situasi yang berlaku di sekeliling kita;

Kedua - Program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu;

Ketiga - Pihak yang bertanggungjawab perlulah mengawal pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama remaja;

Keempat - Program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dihentikan;

Kelima - Ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas;

Keenam - Hukuman berat kepada mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah pembuangan bayi perlulah diadakan;

Ketujuh - Bagi remaja yang terlanjur diinginkan janganlah membunuh bayi yang tidak berdosa. Berilah mereka peluang untuk hidup dan bersedialah untuk bertanggungjawab atas kesilapan diri bersama dengan pasangan masing-masing;

Kelapan- Masyarakat seterusnya tidak menghukum dan meminggir mereka yang tersilap malah memberi peluang kepada mereka kembali ke pangkal jalan.

Kesembilan - Dualatkan dan laksanakan hukum hudud yang berkaitan dengan jenayah zina ini. (tambahan albelurani )

Peringatan Allah SWT mengenai jenayah ini

Kepada kita dan remaja khasnya, mimbar ini ingin mengingatkan bahawa zina dan tindakan membuang bayi adalah merupakan perbuatan jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya di sisi Islam.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32:

Maksudnya: " Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." .

Manakala firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 93 pula ialah:

Maksudnya: " Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar " .

Saya yakin seluruh umat Islam mendengar akan khutbah ini dan semoga ianya kita perolehi peringatan dan nasihat yang baik.


Satu kempen KAMI PERIHATIN telah diadakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi pada 23 Mac 2010.

Saya turut menyokong kempen sedemikian, tetapi tidak hanya memadai kempen seperti itu sahaja bahkan adakan kempen mengenai dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berkaitan dengan hiburan melampau. Kerana dengan hiburan melampau ini juga antara penyumbang dalam perkembangan isu ini terus berlaku.

Barulah nampak anda benar - benar PERIHATIN. Nak harapkan pihak JAKIM dan jabatan - jabatan agama sahaja yang perihatin tetapi kementerian dan jabatan lain turut menyumbang dalam penganjuran hiburan - hiburan yang menjurus ke arah kemaksiatan.

Hiburan hukumnya harus menunjukkan Islam itu memenuhi naluri dan kehendak manusia tetapi ianya wajib bersesuaian dengan ketetapan syarak.


0 ulasan:

Catat Ulasan