Ahad, Mac 15, 2009

Istimewanya Perundangan Islam

Bismillah....

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas pemberian nikmatNYA yang tidak sudah - sudah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW penutup bagi para nabi dan rasul. Moga kami terus menjadi hamba yang taat pada MU ya Rabb dan menjadi pengikut setia kepada mu ya Rasulullah SAW.

Hari ini dan kelmarin 14hb kuliah Pengajian Berterusan Jarak Jauh (PBJJ) Universiti Kebangsaan Malaysia diteruskan. Alhamdulillah jadual kuliah pada semester 4 agak renggang sikit tidak seperti semester lepas tiap-tiap minggu ada kuliah. Sebenarnya saya sedang menyambung pengajian lagi diperingkat Sarjana Muda setelah hampir 4 tahun bekerja selepas sahaja menamatkan diploma pada tahun 2002. Sekarang ni dah masuk tahun 2 di semester 4 dibidang pengajian Islam ( Syariah ).

Pada semester ini juga kami telah diasingkan dan masuk mengikut kelas program masing - masing. Hanya kelas Syariah dan dakwah & kepimpinan Islam sahaja yang dibuka di Kota Kinabalu. Semester sebelum ini, 2 kelas tersebut disatukan kerana subjek pembelajaran adalah sama manakala semester ini diasingkan kerana subjek yang diajar adalah mengikut takhasus bidang yang diambil.

Bermula kelmarin subjeknya iaitu Sejarah Perundangan Islam dan hari ini Sistem Undang - Undang di Malaysia. Mengikuti topik yang dibahaskan oleh pensyarah kedua - dua subjek tersebut membuatkan saya rasa bertuah kerana dapat menimba ilmu mengenai subjek tersebut. Pensyarah telah membincangkan subjek tersebut dengan penuh ilmiah dan telah mengaitkan beberapa isu terkini agar pelajar - pelajar mudah memahami subjek tersebut.

Subjek Sejarah Perundangan Islam telah dibincangkan bermula dengan pengenalan Perundangan Islam, Perundangan sebelum zaman kedatangan Islam kemudian perundangan ketika zaman Rasulullah SAW diikuti para sahabat, para Tabi'in dan selepas itu era Taqlid yang bermula dari tahun 351 hijrah sehingga hari ini sehingga pembentukkan mazhab - mazhab yang muktabar dalam fikah Islam.

Apa yang menarik dalam perbincangan tersebut adalah yang berkaitan dengan keistimewaan Perundangan Islam itu sendiri yang dinyatakan seperti berikut :

1. Perundangan Islam adalah undang - undang penamat dari Allah SWT yang bersifat menyeluruh maha suci daripada kesalahan dan kekurangan.

2. Perundangan Islam terkandung padanya arahan kerohanian dan pembersihan jiwa.

3. Perundangan Islam telah menyediakan 2 balasan iaitu balasan didunia yang di atur pelaksanaannya oleh pihak berkuasa dan di akhirat yang di atur oleh Allah SWT.

4. Hukuman Islam dinilai dari dua sudut iaitu lahiriah dan rohaniah.

5. Perundangan Islam menyediakan balasan tiap - tiap kebaikan dan kejahatan.

6. Kuasa penggubal undang - undang dan syariat Islam hanya milik Allah SWT.

7. Perundangan Islam ini adalah penyudah bagi syariat langit sebelum ini.

Begitulah kajian para sarjana Islam mengenai perundangan Islam, indahnya perundangan yang Allah SWT telah sediakan untuk manusia. Masalahnya adakah Umat Islam memahaminya apatah lagi nak beramal dengannya? apakah sumbangan kita ke arah nak mendaulatkan perundangan ini? kita yakin bahawa telah ada usaha untuk mendaulatkan undang - undang ini tapi adakah kita memberi sokongan kepada mereka atau menjadi batu penghalang pelaksanaannya?. Kita tak boleh bergantung harap kepada undang - undang ciptaan manusia kerana ia tidak lari dari kesalahan berbanding peraturan yang Allah SWT dah tetapkan.

Oleh itu, jadilah kita orang yang menyumbang ke arah pembentukan Islam yang syumul dari segenap kehidupan, mudah - mudahan hasil sumbangan kita bukan untuk generasi sekarang bahkan untuk menyelamatkan generasi Umat Islam akan datang. Allah SWT yang mencipta kita, jadi segala permasalahan kembalilah kepada Allah SWT kerana Allah sahajalah maha mengetahui apa keperluan kita sebenarnya.

Waallahu'alam.




0 ulasan:

Catat Ulasan