Jumaat, Mac 13, 2009

Bersama Dengan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia

Bismillah....

Alhamdulillah, alangkah indah hidup dengan nikmatMU ya Allah. Ya Allah berikan aku kekuatan untuk sentiasa syukur ke hadratMU.



Selepas sahaja memberi ceramah sempena Maulidur Rasul SAW malam tadi di Masjid Kg. Pasir Putih Putatan dan solat isyak berjemaah serta sedikit jamuan bersama jemaah, saya terus bergegas ke Restoran Rohayu, KK untuk menyambut ketibaan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia ( YAM ) iaitu Cikgu Hussin Ismail bersama Tn. Hj Hamid Othman, Setiausaha Agong Yayasan Amal Malaysia.

Sebenarnya petang tadi Ust. Redwan ( Setiausaha YAM Cawangan Sabah ) telah menghubungi saya supaya menjemput mereka bersama Pengerusi dan Setiausaha YAM di Airport Kota Kinabalu yang akan tiba jam 7.30 malam. Memandangkan masa yang sama saya pula kena berceramah. Walau bagaimanapun, ada juga sahabat yang boleh datang menjemput mereka iaitu saudara Aswadi.



Kehadiran mereka sebenarnya adalah bagi merasmikan mesyuarat agong YAM Cawangan Sabah. Alhamdulillah dapat juga bersua muka bersama aktivis dan orang kuat YAM.

Ramai juga sahabat - sahabat yang datang di kalangan YAM Cawangan Sabah dan sahabat yang lain. Acara dimulakan dengan makan malam, lepas tu ada sedikit Ucapan yang dimulakan dengan Pengerusi YAM Cawangan Sabah iaitu Tn. Hj Khairan Untoh yang banyak menceritakan mengenai pencapaian YAM semenjak 2 tahun ditubuhkan di negeri Sabah. Beliau turut menjelaskan, dengan pencapaian itu maka ramai masyarakat Sabah mengenali YAM dengan aktiviti kebajikan dan kemanusiaan.



Selepas itu, setiausaha YAM pula yang berucap dan akhirnya Pengerusi YAM memberikan sedikit Ucapan.

Beberapa patah ucapan yang diberikan memberikan motivasi kepada saya dan juga sahabat - sahabat yang lain iaitu :

1. Beliau mengimbau mula-mula penubuhan YAM, membawakan perumpamaan begini " Benih yang ditanam dengan baik akan menghasilkan buah yang baik dan merendang mekar ". maknanya penubuhan YAM dengan hati yang tulus ikhlas akan menghasilkan gerak kerja yang baik yang mana tidak pernah terbayang YAM mampu membuat kerja - kerja yang tak pernah terfikir sebelum ini. Buktinya : YAM telah dikenali ramai di peringkat antarabangsa dengan kerja kebajikan dan kemanusia. YAM pernah menghantar bantuan di beberapa negara yang dilanda bencana contohnya di Acheh ( Thunami ), Jogjakarta,Bam di Iran, Pakistan dan lain-lain. Hingga ada lokasi tersebut, kedatangan YAM merupakan kedatangan NGO's Islam pertama dalam memberikan bantuan kemanusiaan.

2. Beliau turut menjelaskan bahawa bencana ini disebabkan oleh 2 sebab iaitu dengan kejahatan manusia dan bencana alam. Oleh itu beliau telah menceritakan bagaimana YAM telah menghantar bantuan kemanusiaan di GAZA, sebelum itu di Mindanao selatan Filipina yang mana lokasi tersebut menerima bencana hasil daripada kerja - kerja jahat manusia. Banyak kutipan derma dan sumbangan untuk GAZA oleh rakyat malaysia, YAM telah diamanahkan untuk menyampai sumbangan tersebut kepada GAZA dan misi tersebut telahpun dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan tulus dan ini menyebabkan banyak pihak memberikan kepercayaan kepada YAM. Beliau juga menceritan bagaimana beliau mengalami keadaan yang cukup genting apabila beliau melalui kawasan peperangan ketika misi menghantar bantuan ke Mindanao selatan Filipina. 600 ribu rakyat di mindanao menjadi pelarian dan menghadapi krisis kemiskinan, kekurangan bekalan makanan, ubat - ubatan sehinggakan MAGGIE buatan Malaysia 3 pek dijual dengan harga RM10 disana. Suasana orang perempuan beranak dan manusia mati di tengah padang sudah menjadi normal di sana disebabkan krisis yang dialami oleh rakyat Mindanao.




Allahuakbar... mendengar cerita dan berita tersebut, membuatkan diri ini bertanya, banyak lagi rupanya amanah dan tanggungjawab yang belum selesai. MasyaAllah ... kagum dengan gerak kerja amal yang telah dilaksanakan oleh Pengerusi YAM, pengorbanannya amat tinggi.

InsyaAllah, saya menyeru kepada saya dan sahabat - sahabat sekalian untuk beramal agar dapat memberi manfaat kepada orang lain. YAM Cawangan Sabah, Jom mantapkan gerak kerja dan kita berharap inilah bekalan yang bakal kita persembahkan di hadapan Rabbul Jalil di akhirat kelak.

" SEBAIK - BAIK MANUSIA IALAH MEREKA YANG MEMBERIKAN MANFAAT KEPADA YANG LAIN "

Waallahu'alam.

0 ulasan:

Catat Ulasan