Khamis, Ogos 20, 2009

Hari Ini Rukyah Hilal Ramadhan 1430H

Bismillah...

Pintu Gerbang Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Tg. Dumpil, Puatan, Sabah.

Seperti yang sedia maklum hari ini adalah tarikh melihat anak bulan Ramadhan 1430H. Sudah semestinya seluruh jabatan mufti di Malaysia sibuk kerana jabatan inilah dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan kerja - kerja rukyah hilal bagi menetapkan 1 Ramadhan 1430H jatuh pada esok hari atau lusa (sabtu).

Di Sabah, Pejabat Mufti Negeri Sabah telahpun membuat persediaan bermula 2 bulan lepas dengan mengatur beberapa siri mesyuarat bersama dengan jabatan - jabatan yang berkaitan bagi melicinkan perjalanan majlis rukyah hilal ramadhan ini. Majlis ini adalah majlis rasmi bagi kerajaan negeri Sabah yang di galas oleh Pejabat Mufti sebagai penyelaras. Majlis ini juga turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah.

Bangunan Balai Cerap AL-Biruni.

Lokasi rasmi bagi melihat anak bulan ini adalah di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Tanjung Dumpil, Putatan. Satu - satunya tempat melihat anak bulan yang telah diwartakan di negeri Sabah.

Sejak kebelakangan ini juga saya telah dihubungi beberapa kenalan, sahabat, keluarga bertanyakan bila mulanya puasa. Saya yakin, orang yang telah mendalami ilmu falak memang telah mengetahui jawapannya secara zanniyyah sahaja.

Total Station...Antara Peralatan Rukyah.

Perlu diingat, mungkin jawapannya boleh dilihat melalui kalender tahunan hijriah namun kaedah penentuan bagi takwin tersebut adalah berdasarkan dengan kaedah Imkanurrukyah (kebolehnampakkan anak bulan) termasuklah bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Namun sepertimana ketetapan beberapa dalil samaada daripada Al-Quran mahupun al-Hadis suruhan Rukyah (melihat) itu perlu dilaksanakan. Maknanya, bagi bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah, Rukyah dititik beratkan kerana bulan - bulan tersebut ada kaitannya dengan ibadah khusus bagi umat Islam. Dengan kecanggihan sekarang ini dengan data pengiraan anak bulan sudah dapat dimiliki dan diketahui keadaan anak bulan tersebut yang dikenali sebagai hisab/hisabiah (pengiraan), namun alat pengiraan itu mungkin tidak tepat atau sekiranya tepat kekadang berlaku kesilapan dan yang pastinya segala peralatan pengiraan itu adalah ciptaan manusia, manusia pula sudah semestinya tidak akan lari dari kesilapan dan kekurangan.

Teleskop pun digunakan untuk merukyah hilal

kebanyakkan orang yang mempelajari ilmu falak ini yang telah mengetahui kedudukan anak bulan melalui hisabiah kekadang mengambil remeh tentang aktiviti rukyah yang merupakan suruhan Allah dan Rasul. Itu bagi mereka yang telah mempelajari ilmu falak, bayangkan bagi mereka yang sebaliknya yang hanya bertaqlid dan mengeluarkan sesuatu pandangan kekadang mengeluarkan keputusan bila mulanya berpuasa dan hari raya yang akan menambahkan kekeliruan dan kecelaruan keadaan. Sebenarnya bagi ahli falak yang benar-benar menghayati ilmu tersebut, sudah pasti Rukyah ini merupakan aktiviti yang cukup penting disamping menggunakan kaedah hisabiah. Mungkin segi hisabnya anak bulan itu tidak kelihatan, tetapi mungkin juga ketika rukyah, Allah SWT nampakkan anak bulan. Bak kata Tuan Guru Falak saya (Dr. Baharuddin Zainal ) :

" Sebagai ahli falak, sekiranya secara hisabiyyah anak bulan tidak kelihatan maka ahli falak tetap juga turun untuk merukyah hilal tersebut untuk memastikan hilal tersebut benar-benar tidak kelihatan begitulah juga sebaliknya ".

Apabila orang bertanya kepada saya, bila mula berpuasa? saya akan jawab wallahu'alam, ikut kalender mungkin itu jawapannya tapi secara zanniyyah yang pastinya tunggu keputusan daripada Penyimpan Mohor Besar Raja - Raja Malaysia kerana itulah keputusan muktamadnya kerana segala keputusan hasil rukyah (secara Qat'iyyah) di seluruh Malaysia dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja - Raja.

Wallahua'alam.

0 ulasan:

Catat Ulasan