Khamis, September 10, 2009

Di Mana Pahala Solat Jamaah ?

Bismillah....

- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى وَابْنُ بَشَّارٍ قَالَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ سَمِعْتُ قَتَادَةَ يُحَدِّثُ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ

"Riwayat Muslim"
Maksudnya :

" Telah bersabda Nabi SAW : luruskan (samakan) saff kamu, maka sesungguhnya saff yang lurus itu adalah daripada kesempurnaan solat ".
( Sohih Muslim, muka surat 427, Juzu' 2 ).

Hadis ini menjelaskan bahawa ketika kita bersolat jamaah maka setiap soff hendaklah diluruskan ataupun di samakan. Nabi SAW sebelum mengangkat takbir, baginda akan melafazkan perintah di atas supaya para jamaah ketika itu meluruskan dan menyamakan soff. Ketika itu juga Saidina Umar akan memeriksa soff para jamaah dengan menggunakan pedangnya. Sesiapa yang tidak berada dalam keadaan lurus maka kakinya akan terhiris dengan mata pedang saidina Umar.

Ini menunjukkan betapa perkara ini adalah suatu perkara yang dititik beratkan oleh nabi SAW dalam hal solat berjamaah. Kesannya, jika soff tidak betul akan terjejaslah pahala jamaahnya berdasarkan maksud hadis di atas bahawa meluruskan soff itu adalah daripada kesempurnaan solat.

Maksud meluruskan dan menyamakan soff ini termasuklah merapat-rapatkan ahli jamaah sehingga bahu bertemu bahu dan tepi kaki bertemu dengan tepi kaki berdasarkan hadis nabi SAW :

فَإِذَا قَامَتْ الصَّلَاةُ فَاعْدِلُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بِالْمَنَاكِبِ فَإِنَّ اعْتِدَالَ الصُّفُوفِ مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ ثُمَّ لَا يُكَبِّرُ حَتَّى يَأْتِيَهُ رِجَالٌ قَدْ وَكَّلَهُمْ بِتَسْوِيَةِ الصُّفُوفِ فَيُخْبِرُونَهُ أَنْ قَدْ اسْتَوَتْ فَيُكَبِّرُ

( Kitab Muwatta', Juz 1, muka surat 313 )

Mafhumnya :

" maka apabila bangun untuk solat maka luruskanlah soff dan rapat-rapatkan (bahu-bahu bertemu bahu) sesungguhnya meluruskan soff itu adalah daripada kesempurnaan soff. Rasul SAW tidak akan mengangkat takbiratul ihram sehingga datang seorang lelaki yang ditugaskan untuk memeriksa soff memberitahu Rasul SAW bahawa soff telah betul dan lurus. Setelah itu, barulah Rasul SAW mengangkat takbiratulihram".

Jika diperhatikan para jamaah terutamanya yang menghadiri solat tarawih, perkara ini tidak diambil perhatian sepenuhnya. Waallahu'alam, adakah mereka ini tidak tahu? atau buat-buat tak tahu? atau terlupa?.

Sedikit cadangan dan langkah yang mungkin boleh memperbaiki keadaan ini :

1. Sebelum imam mengangkat takbirtul ihram, maka imam kena baca suruhan hadis tersebut dan terjemahkan agar para makmum memahami dan tahu apa yang perlu dilakukan.

2. Bagi imam, jangan mulakan solat selagi soff tak betul.

3. Bagi mereka yang mengetahui, mainkan peranan anda dan anda mulakan sendiri dengan merapat-rapatkan soff jangan ada ruang yang renggang.

4. Banyakkan ruang perbincangan dan sesi tazkirah mengenai perkara ini.

Solat berjamaah adalah perkara yang sangat-sangat di tuntut, oleh itu sama-samalah kita menjaga kesempurnaannya moga kita menerima hikmah disebalik tuntutan ini. Antara hikmahnya adalah agar hati - hati para muslimin dan muslimat dapat disatukan atas dasar agama Allah SWT. Dan mafhum salah satu hadis nabi SAW ialah jika soff tidak teratur dan tersusun maka akan membawa kepada perpecahan dan pertelingkahan di antara orang Islam. Mungkin juga salah satu sebab kenapa umat Islam sering berpecah belah adalah tak jaga soff ketika solat berjamaah.

Moga di bulan ramadhan dan diakhir ramadhan ini kita dapat memperbaiki keadaan ini agar Allah SWT menerima segala ibadah yang kita lakukan dan kita termasuk dalam golongan orang - orang yang bertakqwa.

"RAMADHAN YANG SAMA NAMUN NATIJAH YANG BERLAINAN, SEBAIK-BAIK NATIJAH ADALAH TAQWA"

Wallahua'alam.

1 ulasan:

Faridrashidi berkata...

Salam,

Apa khabar? semoga kita dapat mengejar ramadhan yang berbaki.

Catat Komen