Isnin, Mei 04, 2009

Kuliah di Masjid Kg. Contoh PETAGAS

Bismillah...

Alhamdulillah, semalam merupakan hari ke dua saya berkuliah di Masjid Kg. Contoh Petagas, Kota Kinabalu. Salah seorang sahabat saya mencadangkan supaya saya dapat memberikan kuliah di masjid tersebut dan beliau telah berbincang serta mendapat persetujuan Ahli Jawatankuasa Masjid tersebut. Jadualnya ialah setiap hari ahad malam isnin.

Dalam siri - siri kuliah di masjid tersebut saya menggunakan kitab MATAN 'ARBA'IN karya IMAM NAWAWI RAHIMAHULLAH yang telah diterjemahkan oleh Al-Fadhil Ust Mustafa Abd. Rahman terbitan Pustaka Fajar. Kitab tersebut lengkap dengan terjemahan, martabat hadis, syarah dan fawaid (faedah-faedah) setiap hadis yang disyarahkan oleh pengarang. Kitab yang penuh dengan manfaat dan amat bersesuaian dengan mad'u di sekitar masjid tersebut kerana kitab ini mudah difahami dan telah diterjemahkan ke bahasa melayu.

Semenjak 2 kali berkuliah, saya masih lagi menekankan bahagian pertama kitab ini iaitu berkaitan dengan takrifan, kepentingan hadis, ilmu mustalah al-hadis dan riwayat para muhaddithin serta riwayat pengarang iaitu Imam Nawawi RH. Bahagian ke dua pula mengenai dengan 40 hadis yang dimuatkan oleh pengarang lengkap dengan syarahnya.

Alhamdulillah, ini merupakan medium untuk saya terus berbakti kepada agama bagi manfaat ummah dan juga manfaat untuk diri saya supaya ilmu yang tidak seberapa ini dapat dikongsi bersama untuk bekalan yang saya akan sembahkan di depan RABBUL JALIL serta merealisasikan tuntuan dan saranan baginda Muhammad SWT dalam sabdanya :

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

"Sampaikan kepadaku walaupun sepotong ayat"

( Hadis riwayat Bukhari hadis no. 3202 (juz 11, ms 277, Tirmizi hadis no. 2593 ( juz 9, ms 277) )

Masjid yang ada di sekitar masjid tersebut seperti masjid al-hilal Tg. Dumpil dan Masjid Nurul Iman Kg. Pasir Putih, Putatan juga punyai kuliah maghrib yang diisi oleh para ustaz. Alhamdulillah, nampaknya peranan masjid itu terus berkembang berbanding sebelum ini masjid hanya dijadikan tempat solat sahaja tanpa diisi dengan kuliah - kuliah ilmu. Sebenarnya para jemaah dahagakan ilmu dan buktinya ketika saya berkuliah kehadiran para jemaah sekitar 30 - 40 orang. Kehadiran seramai ini agak susah diperolehi terutamanya kuliah - kuliah agama seperti ini dalam konteks di sekitar Kota kinabalu. Ini menunjukkan bahawa masyarakat dahagakan ilmu dan kita yang punyai outoriti seperti ajk masjid kena memainkan peranan agar masjid - masjid dimanfaatkan sepenuhnya dengan siri - siri kuliah ilmiah untuk manfaat masyarakat di sekelilingnya.

Realiti sekarang ni, jadual kuliah pun kena atur elok - elok juga. Jika kuliah atau program agama dibuat hari sabtu malam ahad .. jawabnya tak ramai la yang hadir sebab berbagai alasan seperti kenduri kahwin la... balik kampung.. yang lagi dahsyatnya NANTI TERLEPAS KONSERT AKADEMI FANTASIA.

Sekurang - kurangnya para ustaz yang berkuliah ni dapat memperingatkan para jemaah apa yang boleh bagi Islam dan apa yang di larang oleh Islam. Biarlah berkuliah dan isi kuliah itu dikaitkan dengan isu semasa supaya para jemaah lebih memahami apa yang berlaku di depan mata perkara boleh atau pun sebaliknya dari sudut pandangan Islam. Nanti kalau terlalu akademik, kita je paham para jemaah pula mengantuk dan kuliah akan datang pula tak nak datang dah...

Wallahu'alam.

0 ulasan:

Catat Ulasan