Khamis, Jun 10, 2010

Kiblat di SMK Taun Gusi 2 dan Surau Nurbahari

Bismillah...

Alhamdulillah hari ini saya bermusafir di dua lokasi atas urusan rasmi iaitu menentusahkan dan membuat semakan arah kiblat. Lokasinya SMK Taun Gusi 2, Kota Belud dan Surau Nur Bahari yang terletak di Bandar Sierra, Telipok Kota Kinabalu.

Surau SMK Taun Gusi 2


SMK Taun Gusi 2 terletak lebih kurang 12 KM dari pekan Kota Belud. Turut serta dalam lawatan kami ialah Usatzah Fatmawati merupakan Penolong Pegawai Tadbir Agama Kota Belud.

Lokasi ini juga terletak
di tepi sebelah kanan menuju jalan ke Kudat lebih kurang 3 KM dari SMK Taun Gusi 1.

Kehadiran kami disambut oleh pihak pemaju/kontraktor lengkap dengan segala keperluan beserta dengan jurukur. Pemeriksaan dilakukan dengan mendapatkan koordinat melalui GPS untuk dibandingkan dengan koodinat yang telah diberikan oleh pihak kontraktor sebelum ini.

Langkah seterusnya pemeriksaan penandaan yang dibuat pada layout surau berdasarkan azimuth kiblat yang telah diberikan kepada mereka. Alhamdulillah segalanya mengikut garis panduan dan tepat apa yang telah ditentukan.

Oleh itu azimut arah kiblat bagi surau tersebut ialah ialah 290° 27' 59″ berdasarkan koordinat Latitud : 6° 26' 26.85” U dan Longitud : 116 ° 29' 14.8” T.





Surau Nur Bahari


Surau ini teletak di Bandar Sierra, Telipok lebih kurang dalam 30 KM daripada bandar Kota Kinabalu. Di bandar ini juga terletaknya kuaters bagi kakitangan Jabatan Maritim Malaysia wilayah Sabah dan Labuan.

Bandar Sierra merupakan kawasan perumahan tetapi tiada disediakan surau ketika ianya dibina. Ini juga satu kepelikkan di negeri Sabah apabila setiap kawasan perumahan dibangunkan masalahnya surau tidak disediakan. Alhamdulillah, saya telah mendengar khabar bahawa pihak atasan telah memandang serius perkara ini dan kebanyakkan kawasan perumahan yang hendak dibangunkan sejak kebelakangan ini telah dimasukkan juga bangunan surau.

Ketiadaan bangunan surau di kawasan ini, pihak Jabatan Maritim telah mengambil inisiatif dengan menjadikan sebuah rumah kedai sebagai surau agar solat berjemaah dan aktiviti - aktiviti yang melibatkan fardhu ain dan fardhu kifayah dapat dijalankan oleh penduduk di kawasan tersebut yang mojiritinya adalah umat Islam.

Setibanya kami dilokasi tersebut kami telah disambut oleh Tuan Hanapi dan Tuan Kamal. Surau tersebut telahpun digunakan dan mempunyai tanda arah kiblat. Kami hanya membuat semakan untuk mempastikan arah kiblat yang sedia ada betul ataupun sebaliknya sebelum pengesahan diberikan.

Alhamdulillah, setelah semakan dibuat didapati arah kiblat yang sedia ada adalah betul dan tepat untuk digunakan.Oleh itu azimut arah kiblat bagi surau tersebut ialah ialah 290° 35' 52.4″ berdasarkan koordinat Latitud : 6 ° 03' 33.49” U dan Longitud : 116 ° 10' 56.9” T.





0 ulasan:

Catat Ulasan