Sabtu, Jun 05, 2010

Jauhi Syubhah

Bismillah...

Jika diperhatikan dalam Matan Arba'in karya Imam Nawawi RH hadis yang ke-6, Nabi SAW telah menjelaskan mengenai perihal HALAL, HARAM, SYUBHAH dan persoalan HATI.

Telah jelas perkara HALAL dan HARAM manakala perkara SYUBHAH pula nabi SAW telah membawa perumpamaan bahawa orang yang melakukan SYUBHAH diibaratkan seorang pengembala kambing yang menternak kambingnya berhampiran dengan kawasan larangan.

Pada zaman dahulu raja - raja arab juga mengembala kambing di suatu kawasan yang subur rumput-rumputnya yang mana kawasan tersebut adalah kawasan larangan bagi orang awam. Sesiapa yang mencoroboh kawasan itu akan menerima akibat dan hukuman.

Bahkan orang awam yang tidak mengendahkan larangan tersebut akan terus mengembala kambingnya berhampiran kawasan larangan itu. Kelakuan ini, tanpa disedari atau tanpa pilihan si pengembala maka kambing - kambingnya akan juga terjebak memasuki kawasan larangan itu kerana tertarik dengan rumput - rumput yang subur lagi menggiurkan.

Jika raja - raja punyai kawasan larangan, Raja segala raja iaitu Allah Rabbul Jalil juga punyai kawasan larangan iaitu segala perkara - perkara yang diTEGAH dan yang diHARAMKANNYA.

Oleh itu, mereka yang sering melakukan perkara SYUBHAH itu adalah mereka yang akan menjebakkan diri ke lembah DOSA.

Tidak ramai yang boleh dan berusaha bagi meninggalkan perkara SYUBHAH kerana ketidak jelasan ( kesamaran ) tentang kehalalan dan keharamannya menyebabkan ramai yang tidak mengetahuinya dan ianya memerlukan penilitian yang jitu.

Jaminan Nabi SAW bahawa mereka yang menjauhi perkara SYUBHAH adalah mereka yang terpelihara AGAMA dan KEHORMATAN DIRINYA.

Oleh kerana itu, antara sifat kewara'kan seseorang ialah meninggalkan semua perkara yang mengandungi unsur - unsur SYUBHAH.

Abu Ad-Darda' Radhiyallahu 'anhu telah berkata :

" Ketaqwaan yang sempurna ialah di mana seorang hamba itu takut kepada Allah sehinggakan dalam perkara - perkara sebesar zarrah sekalipun, termasuk meninggalkan sebahagian perkara yang pada pendapatnya halal kerana takut terjerumus pada hal yang haram".

Al-Hasan Al-Bashri Rahimahumullah berkata :

" Ketaqwaan itu akan terus berkekalan pada orang - orang yang muttaqin sehingga mereka meninggalkan banyak benda - benda yang halal kerana takut ianya haram".

Neraca yang sebaik - baiknya dalam kita menilai sesuatu perkara itu HALAL, HARAM mahupun SYUBHAH adalah dengan HATI yang bersih. HATI ibaratkan sebagai key control dalam diri seseorang. HATI yang BAIK maka anggota - anggota lain akan terdorong ke arah kebaikan. Jika sebaliknya maka nahas dan bahanalah diri kita dengan azab dan seksa Allah SWT, Na'uzubillah.

Moga Allah SWT merahmati kalian dan moga nukilan ini bermanfaat kepada diri yang dhoif ini dan juga diri - diri kalian.

Waallahua'alam.

p/s : Pengisian Kuliah mingguan di Masjid As-Salam, Kg. Contoh, Petagas Kota Kinabalu dan rujukan kitab adalah Al-Wafi Fi Syarhi Al-Arba'in An- Nawawi, Dr. Mustafa Al-Bugha & Muhyiddin Misto dan Kitab Hadis 40 terjemahan dan syarahnya oleh Mustafa 'Abdul Rahman.


0 ulasan:

Catat Ulasan