Khamis, Oktober 01, 2009

Ujian Balik Ke Sabah

Bismillah...

Alhamdulillah, sejak 27 Hb lalu saya tidak dapat untuk mengupdatekan blog ini kerana laptop yang digunakan semenjak saya bercuti di negeri serambi Mekah adalah milik adik ipar yang kembali belajar di UDM pada 26hb lalu. Memang banyak cerita yang hendak dikongsikan bersama.

Namun saya mulakan cerita mengenai perjalanan balik ke Sabah setelah bercuti sempena hari raya aidilfitri di negeri serambi Mekah kira - kira 12 hari di sana.

29hb September hari selasa tarikh penerbangan balik saya sekeluarga ke Sabah. Jadual asal, Jam 6.45 pagi penerbangan kami dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur menaiki MAS dan 11.10 pagi dari KL ke Kota Kinabalu menaiki Air Asia.

Nak dijadikan cerita, penerbangan kami ke KL ditangguhkan dari jam 6.45 pagi ke jam 8.30 pagi. Hati mula risau sebab takut tak sempat untuk bekejar ke airport LCCT untuk penerbangan ke Sabah. Jika kami bertolak 8.30 pagi maknanya sampai di KLIA jam 9.30 pagi dan mempunyai masa dalam 1 jam setengah untuk ke airport LCCT, memang sempat lagi.

Jam hampir menunjukkan 8.30 pagi, sekali lagi MAS mengumumkan bahawa penerbangan ditangguhkan lagi kepada 9.30 pagi. Saya dan Isteri tergamam bercampur dengan hati yang resah dan geram dengan penangguhan ini yang menyebabkan penerbangan saya ke Sabah terganggu dan mengakibatkan saya terlepas kapal terbang.

Saya bertemu dengan pegawai MAS bagi mengajukan masalah ini, Jawapan mereka ringkas mereka tidak dapat menolong kerana MAS dan AIR ASIA tidak ada kerjasama jika berlaku kes - kes kelawatan seperti ini. Memang hampa dan kami meneruskan perjalanan juga ke KL.
Cuma harapan ketika itu supaya penerbangan AIR ASIA ke Sabah jam 11.10 pagi juga ditangguhkan.

Tiba di KLIA, kami terus ke LCCT menaiki Teksi tambangnya RM42.80 memakan masa dalam 15 - 20 minit. Jam 11.15 kami tiba di LCCT. Pesawat telahpun berangkat dan saya ke kaunter mengajukan masalah ini. Jawapannya juga ringkas, "Encik kena beli tiket baru." Saya bertanya, bila pula penerbangan seterusnya dan kos tambangnya berapa ?... jawabnya ...Next Flight jam 5.10 petang dan kos keseluruhan untuk 2 penumpang dan satu baby 2 tahun ke bawah ialah RM1166.00.

Ketika itu memang Allah SWT menguji kami. Jika nak dapatkan kos sebanyak itu memang kami tak mampu. Dalam keadaan sedemikian, kami cuba menenangkan keadaan dengan istighfar banyak - banyak. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Jam menunjukkan jam 12.00 tengahari dan anak pula meragam mungkin juga lapar dan kami ke Grand Food (medan selera) untuk melapangkan fikiran dan menenangkan hati seketika.

Ini kali pertama saya ke medan selera di LCCT ni walaupun sudah berkali - kali ke LCCT. Makanannya banyak pilihan, harganya pula lagi murah berbanding kedai - kedai makan yang ada di sekitar pintu pelepasan LCCT.

Dalam keadaan sedemikian maka benarlah firman Allah SWT :

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا* إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

" Maka sesungguhnya bersama kepayahan itu ada kesenangan dan sesungguhnya bersama kepayahan itu ada kesenangan ". ( surah As-Syarh ayat 5-6).

Alhamdulillah, Allah menguji kami namun DIA jugalah membuka pintu kesenangan apabila kak ipar sedia menghulurkan bantuan dan saya diketemukan seorang sahabat pada mulanya saya telah bertemu dengan beliau di Kota Bharu tetapi beliau menaiki AirAsia dan sekali lagi kami bertemu di LCCT yang mana penerbangannya ke Sabah jam 12.20 tengahari. Mereka inilah yang membantu kami dan hasil bantuan itu maka tertampungnya kos penerbangan kami ke Sabah.

Saya bergegas ke kaunter tiket dan membeli tiket. Alhamdulillah, sekali lagi Allah memberikan nikmatnya apabila kos awal adalah RM1166 dan kos yang saya dapat RM1066 kurang RM100. Syukur, walaupun kurangnya hanya RM100 tetapi ianya amat berharga.

Alhamdulillah, kami sampai di Kota Kinabalu jam 9.00 malam setelah berlepas dari LCCT jam 6.20 petang. Terima kasih di atas kesudian Ust. Redwan sekeluarga untuk jemput kami di airport.

Ada beberapa perkara dan hikmah yang boleh dikongsikan di atas apa yang telah berlaku kepada kami :

1. Berhati - hati apabila membeli tiket MAS. Jika dulu AIR ASIA kedengaran sering berlaku flight delay tetapi penyakit itu kini merebak kepada MAS bahkan sejak kebelakangan ini AIR ASIA kurang kedengaran mengenai masalah ini. Memang sebelum ini saya juga terdengar rungutan yang MAS sering berlaku flight delay.

2. Jika anda mempunyai Conecting Flight untuk ke beberapa destinasi biarlah beli tiket pada syarikat yang sama. Kalau MAS biarlah MAS seterusnya, kerana jika berlaku Flight delay dorang dapat bertanggungjawab atau biarlah jarak masa sesuatu conecting flight tersebut berbeza sekurang - kurangnya 7 jam walaupun berlainan syarikat penerbangan.

3. Kena banyakkan sabar. Jika nak diturutkan hati memang marah dan jika hilang kawalan mungkin juga boleh berlaku pergaduhan terutama ketika saya bertemu pegawai MAS yang memberi jawapan yang ringkas yang dia tak boleh buat apa jika berlaku kes seperti ini apatah lagi yang bersangkut paut dengan Syarikat Air Asia. Saya tanya kenapa flight delay? dia kata pilot tak cukup rehat kerana pesawat tiba lewat di Kota Bharu, salah disisi undang - undang penerbangan jika pilot terbang tak cukup rehat. Ish... Ish... tak de pilot simpanan ke! dah tahu tiba lewat kenapa tak atasi masalah ini sedangkan beratus - ratus penumpang akan bermasalah akibat flight delay. Maknanya, syarikat penerbangan kena memikirkan kebajikan penumpang jika berlaku kes - kes seperti ini. Tapi kesabaran itu yang penting agar Allah lapangkan kesempitan yang dihadapi.

4. Ujian Allah SWT ada di mana-mana dan bila - bila masa. Mungkin itu baru sedikit yang Allah SWT ujikan ke atas diri kami. Ketika saya di kaunter tiket ada seorang rakyat Indonesia nak balik ke jawa juga menghadapi kes yang sama ... petugas di kaunter juga menyuruhnya beli tiket baru ... " mungkin ada keringanan" jawabnya yang mengharap supaya dia dapat dibantu agar rombongan keluarganya seramai 4 orang dapat kembali ke Jawa, Indonesia. Sudah pasti kos tiket semasa lagi mahal daripada kos tiket promosi.

5. Musyawwarah (berbincang/mesyuarat). Alhamdulillah, Allah SWT kurniakan saya Isteri tempat untuk berbincang dan berkongsi ujian Allah yang dihadapi. Dengan wasilah ini, Allah SWT bukakan wasilah - wasilah lain bagi menyelesaikan ujian Allah SWT ini dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kak ipar Norazimah dan abe die sekeluarga serta sahabat saya Aswadi di atas pertolongan tersebut moga Allah membalasnya dengan perkara - perkara yang lebih baik. Saya doakan kak mah dan abe die sekeluarga terus dimurahkan rezeki dan saudara Aswadi juga didoakan dimurahkan rezeki dan dipercepatkan jodoh. Ameenn...

Moga ada manfaatnya...

Wallahua'alam.

0 ulasan:

Catat Komen