Selasa, Ogos 30, 2011

27 Ramadhan 1432H

Bismillah...


27 Ramadhan 1432H berbetulan tarikhnya sama dengan 27 Ogos 2011. Hari Jumaat sebelum masuknya waktu maghrib, pejabat saya mengadakan majlis khatam al-Quran dan Iftor Jamai'e diadakan di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah dan majlis ini berakhir seusai solat tarawih.

Malam tersebut malam ke 27 Ramadhan saya mempunyai komitmen bagi memimpin qiam di Masjid Negeri Sabah bermula jam 2.00 pagi. Jam 1.30 pagi saya terpaksa menyatakan keuzuran kepada al-Fadhil Ust. Azamuddin sebagai penyelaras qiam kerana isteri sedang sakit-sakit menunjukkan tanda-tanda hendak bersalin.

Sebelum itu, saya pernah berbisik kepada isteri menyatakan bahawa alangkah baiknya jika dia bersalin di 27 Ramadhan. Selepas solat jumaat pada 26 Ramadhan juga saya ada menyatakan perkara ini kepada imam besar kebetulan hari tersebut saya ditugaskan sebagai khatib.



Seakan ianya menjadi doa, selepas solat subuh saya terus membawanya ke Hospital Likas. Anak sulung ditumpangkan di rumah kawan dan anak ke dua saya membawanya bersama. Ketika berada di depan Masjid Bandaraya air ketumban mula keluar dan saya memecut laju dan bernasib baik ketika itu jalan lengang.


Sampai 6.30 pagi di Hospital saya membawanya masuk ke bilik penilaian dan tidak beberapa lama kemudian isteri terus dibawa masuk ke dewan bersalin. Alhamdulillah, jam 7.40 pagi isteri selamat bersalin seorang baby lelaki, beratnya 2.45 kg.

Nampaknya doa saya termakbul, di sepuluh malam terakhir pada malam 27 ramadhan pula, sememangnya 10 malam terakhir adalah hari-hari yang sangat diharapkan oleh para MUTTAQIN yang sedang berpuasa iaitu agar dikurniakan LAILATULQADAR. Tidak kurang ramainya para ulama telah membahaskan bila berlakunya LAILATULQADAR, Nabi SAW telah memberikan gambaran yang ianya berlaku pada 10 malam terakhir, malam genap mahupun malam ganjil. Ramai ulama telah menyatakan bahawa berlakunya pada malam ke 27 Ramadhan. Waallahua'alam... itu adalah RAHSIA ALLAH.


Apa yang diharap kelahiran permata kami di sempena 10 malam terakhir mudah-mudahan ada barakahnya sepertimana doa-doa sahabat sebagai ucapan tahniah yang telah saya terima. Jazakumullah Khairal Jaza saya ucapkan kepada sahabat-sahabat yang membantu juga yang turut menyatakan tahniah dan doa. Semoga kita memperolehi taqwa ketika ramadhan melabuhkan tirainya dan kini syawal menjelma.

Salam Aidilfitri...


Selasa, Ogos 23, 2011

ISU RAYA 1432H

Bismillah…

Untuk makluman saya juga turut menerima email tersebut dan bagi saya ianya biasa sebab huraian yang dijelaskan dalam slide tersebut berkisar mengenai teknikal dan memang ada benarnya. TAPI ianya akan membuatkan orang awam yang membaca akan terkeliru jika tiada maklumat dan pengetahuan mengenai ILMU FALAK di tambah pula dengan persembahan slide yang dibuat cukup menarik perhatian.

CUMA secara ringkas ada beberapa perkara lagi yang perlu diberitahu atau dibaca bersama mengenai hilal (anak bulan) dari sudut pandangan syarak dan tidak hanya memadai maklumat yang diheboh2kan melalui email tersebut.

2 PERKARA TERSEBUT ADALAH :

1. SOAL " MATLA' " :

Matla ialah tempat terbitnya bulan samada dari sebelah barat ataupun sebelah timur yang menjadi rujukan perkiraan anak bulan di sesuatu negara.

Bagi negara Malaysia, stesen rujukan yang digunakan untuk penentuan awal bulan hijriah adalah Tanjung Atiam, Sabah bagi sebelah timur dan Tanjung Chinchin, Langkawi di sebelah barat. Dua stesen rujukan ini dipilih berdasarkan kesesuaian kedudukan geografinya di mana Tanjung Chincin berada pada rujukan paling barat manakala Tanjung Atiam pada rujukan paling timur merangkumi seluruh Malaysia (Rajah 1).



Soal matla’ ini telah perbahaskan oleh para ulama terutama ulama’ mazhab membawa kepada beberapa pandangan di kalangan mereka. Oleh itu, dengan berlakunya beberapa pandangan mengenai matla’ tersebut maka ada hubung kaitnya dengan perkara kedua iaitu:

2. KUASA PEMERINTAH :

Di Malaysia, Yang Dipertua Agong adalah ketua bagi umat Islam dan bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang melibatkan hak ehwal agama Islam termasuklah penentuan awal ramadhan, satu syawal dan 10 Zulhijjah yang bersangkut paut dengan ibadah umat Islam.

Pelaksanaan dalam kerja-kerja melihat anak bulan yang mengguna pakai kaedah rukyah dan hisab dilaksanakan oleh jabatan mufti seluruh Malaysia yang mana perlaksanannya melibatkan kajian syarak serta dari sudut teknikal mengenai anak bulan (hilal). Selain itu, wujudnya juga jawatankuasa teknikal yang diselaraskan oleh pihak JAKIM menghimpunkan beberapa pakar falak dan astronomi dalam hal ehwal falak termasuklah mengenai anak bulan.

Kerana itu, beberapa pandangan mengenai matla’ tersebut terjawab dengan adanya kuasa pemerintah di sesuatu Negara. Perkara ini dijelaskan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 2, muka surat 606 :

ولا خلاف فى أن للإمام الأمر بالصوم بما ثبت لديه : لأن حكم الحاكم يرفع الخلاف

Maksudnya :

“ Tiada khilaf Liimam al-Amri (pemerintah) memulakan puasa dengan apa yang sabit keduanya ( iaitu yang berkaitan dengan matla’ bulan atau matahari ) ; kerana sesungguhnya keputusan pemerintah mengangkat kekhilafan”.

( Boleh juga dirujuk mengenainya di dalam kitab Fathu al-Bari jilid 4 / 87, al-Majmuk jilid 6 / 300, Bidayah al-Mujtahid jilid 1 / 278, Tafsir al-Qurthubi jilid 2 / 296 ).

Secara teknikalnya bolehlah juga dijelaskan seperti berikut :

Rumusan analisis adalah berdasarkan kepada kriteria ketetapan Imkanur-rukyah yang telah dipersetujui bersama oleh anggota-anggota Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dalam Mesyuarat Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali Ketiga pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan. Kriteria tersebut (Rajah 2) adalah seperti berikut:

(a) Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3°.

ATAU

(b) Ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.


Bagi negara Malaysia, tarikh 29 Ramadhan 1432H adalah bersamaan dengan 29 Ogos 2011 (hari Isnin). Ijtimak dijangka berlaku pada jam 11:04 pagi. Data rukyah pada 29 Ramadhan 1432H adalah seperti berikut:


Bagi penentuan awal bulan hijriah, kriteria Imkanur-rukyah memadai dipenuhi pada salah satu stesen rujukan tersebut. Untuk penentuan awal Syawal 1432H, kriteria ini telah dipenuhi di Tanjung Chinchin. Justeru, Tanjung Atiam yang berada dalam matlak negara Malaysia bolehlah mengikuti ketetapan awal bulan yang sama dengan Tanjung Chinchin.

Bagi negara Brunei, ketetapan awal bulan utama di negara tersebut adalah berpandukan kepada rukyah semata-mata. Oleh itu, rukyah bagi menentukan awal Syawal di negara terbabit akan dilakukan pada 29 Ramadhan 1432H yang mana tarikh tersebut membetuli 30 Ogos 2011 di negara Brunei. Sekiranya anak bulan kelihatan di Brunei, maka negara tersebut akan menyambut hari raya puasa pada 31 Ogos 2011 dan sekiranya tidak kelihatan maka Ramadhan 1432H akan digenapkan kepada 30 hari dan 1 Syawal 1432H akan bersamaan 1 September 2011.

RUMUSANNYA:

Jangan risau bila berlakunya hari raya... apa yang pemerintah tetapkan ikut saja. jangan hirau dengan negara2 yang berhampiran seperti Brunei, filipin atau indonesia jika berlainan tarikh 1 syawal kerana kaedah penetapan 1 syawal negara kita berbeza dengan mereka dan sudah pasti para ulama' khasnya yang berkecimpung dengan ilmu FALAK di negara masing-masing mempunyai ijtihad mereka tersendiri.

Tentu sahaja persoalan ini timbul... KENAPA DALAM HAL HARI RAYA PUN UMAT ISLAM TIDAK DAPAT DISATUKAN? jawapannya sample saja... Malaysia pernah mengusahakannya sehingga tertubuhnya MABIMS ( MALAYSIA, BRUNEI, INDONESIA DAN SINGAPORA) dan telah pernah bermesyuarat (rujuk penjelasan di atas) yang telah berusaha menyatukan agar kaedah yang sama digunakan dalam penetapan 1 ramadhan, 1 syawal dan 10 zulhijjah iaitu menggunakan pakai kaedah RUKYAH DAN HISAB. tetapi sehingga kini tidak terlaksana... kerana apa? Waallahua'lam. Tu pun hanya malaysia je yang ikut.

Janganlah terkeliru dan jangan cuba2 mengelirukan diri dan pastinya kenalah ikut ' KEPUTUSAN PEMERINTAH' dalam hal ini. Kalau mahu ikut raya di negara lain maka bolehlah ke negara mereka.

Kepada pembuat email tersebut... saya hormati pandangan anda dan memang ada benarnya dari sudut teknikal namun bebebrapa maklumat terutamanya berkaitan dengan syarak perlulah diteliti dan dihalusi... bagi saya perkara ini tiada lah isunya sangat tapi apabila slide anda disebarkan melalui email secara umum maka ianya menimbulkan fitnah kepada orang awam yang tidak semuanya memahami dan mendalami ilmu FALAK.

Cadangan saya kepada anda ( pembuat email ) mai kita berbincang bersama - sama terutamanya bersama mereka yang memang ahli falak agar pandangan saudara itu kita teliti mungkin ada kebaikannya dan dapat bersama mencambahkan pengetahuan terutama berkaitan dengan ilmu falak mungkin APA YANG ANDA TAHU KAMI TAK TAHU DAN MUNGKIN APA YANG KAMI TAHU ANDA TAK TAHU..... KERANA ILMU ALLAH SWT TERLALU LUAS UNTUK KITA TEROKAI.

Satu lagi, orang mai datang bertanya... pahtu bilalah tarikh raya tahun ni? anda pun boleh jawab... jawapannya " tungguhlah pengishtiharan penyimpan mohor raja-raja".. heheheh... anda pun sebenarnya punyai ilmu falak.

SALAM RAMADHAN....

al-Faqir ila Rabbihi :

albelurani alfalaki.

Rabu, Ogos 10, 2011

TADARUS DI PMNS

Bismillah...




Alhamdulillah ramadhan kali ini julung kali diadakan tadarus al-quran secara jamaie bersama warga Pejabat Mufti Negeri Sabah.



Setiap hari bermula jam 7.40 sehingga 8.30 pagi dan tengahari bermula seusai solat zohor sehingga jam 1.30 petang. Setiap orang akan membaca sebanyak satu maqra' dan alhamdulillah sehingga kini setiap hari konsisten dapat 2 juzu'. Sehingga hari ini sebanyak 11 juzu' telah dihabiskan dan insyaAllah dianggarkan sebelum 26 ramadhan warga Pejabat Mufti akan khatam dan pada tarikh tersebut dipilih untuk diadakan sedikit majlis khatam serta ifthor jamaie.




Melalui tadarus ini warga PMNS mendapat manfaat selain ganjaran pahala di samping itu dapat memperbaiki bacaan kerana sudah pasti setiap bacaan akan disemak untuk diperbaiki.

InsyaAllah semoga dengan aktiviti sebegini Allah kuniakan TAQWA kepada kita sebagai natijah yang terbaik bagi mereka yang berpuasa. Selamat bertadarus....




SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK....

Isnin, Ogos 08, 2011

BERBUKA PUASA DI INTAN

Bismillah...


Arahan saya terima bagi menghadiri mewakili SS MUFTI ke majlis berbuka puasa bersama kakitangan perkhidmatan awam persekutuan dan negeri yang diadakan di INTAN SABAH.

Majlis dimulakan dengan ceramah santapan rohani yang disampaikan oleh Ust. Niclos Selvyster berkaitan dengan ramadhan dan sentuhannya mengenai rahmat kaitan pengalaman beliau sebagai seorang pendakwah bebas khusus dalam perbandingan agama.

Seterusnya berbuka puasa di dewan makan dengan menu yang ringan kemudian kami melaksanakan solat maghrib di surau Umar al-khattab. Setelah itu makan malam pula dengan juadah yang cukup berat sebelum isyak.

Solat isyak di sambung dan pihak urusetia mohon untuk saya mengimamkan solat tetapi saya tolak disebabkan tekak saya dipenuhi kahak kerana ketika berbuka tadi telah membelasah segelas air bandung sejuk dan tiada air pilihan.

Lazimnya saya berbuka dengan air kosong atau air bancuhan seperti kopi panas dan mengelak daripada meminum air sejuk terutama jika saya dijadualkan mengimami solat tarawih.

Solat tarawih hanya dilakukan lapan rakaat diteruskan solat witir tetapi saya keluar dan balik awal. Alhamdulillah selesai majlis. Sejujurnya saya kurang berminat menghadiri majlis seperti ini kerana akan mengubah rutin dan jadual khasnya di bulan ramadhan yang telah disusun.

Menu berbuka, waktu makan, solat tarawih dan sebagainya akan berubah pada kebiasaan berdasarkan rutin yang diatur. Mungkin waktu makan berat sebelum isyak menyebabkan perut penuh dan memalaskan badan untuk solat, 20 rakaat tarawih tapi hanya 8 rakaat saja yang dilaksanakan walau boleh sambung dirumah tetapi alangkah baiknya program seperti inilah para jemputan ditarbiyyah beribadah sebanyak mungkin dan baiknya lagi jika para pemimpin yang memulakannya.

Walau bagaimanapun, dipihak penganjur mengharapkan sesuatu yang bermanfaat begitu juga mereka yang menyertainya juga memperolehi manfaat, insyaAllah.

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK.


Ahad, Ogos 07, 2011

MUSAFIR TENTUTAKAN KIBLAT

Bismillah...






Seawal bulan ramadhan saya bermusafir ke sandakan dan beluran bagi menentukan arah kiblat beberapa surau, masjid dan sebuah hotel.

Surau di bangunan urusetia sandakan yang menempatkan beberapa jabatan kerajaan termasuk Jabatan Kehakiman Syari Negeri Sabah dan JHEAINS.

Kemudian bergerak ke kg. Istimewa jalan batu sapi menentukan arah kiblat sebuah masjid baru tetapi penentuan arah kiblat terbantut kerana pihak pemohon tidak menyediakan juruukur walau telah dimaklumkan.





Setelah itu saya bertolak ke Beluran. Surau perumahan pelantong telah disemak kiblatnya dan telah menepati azimut kiblat sebenar.




Kali ni sempat saya bermalam di kampung, berbuka puasa bersama keluarga dan bertarawih di masjid kampung. Imam qaryah jemput untuk mengimami tarawih tapi terpaksa ditolak kerana badan terasa letih.





Keesokannya 4 ramadhan, dua lokasi di daerah Beluran. Masjid Kg. Bakong - Bakong dan Masjid Kg. Rungus Baru, jalan yang sama menuju ke kedua-dua kampung tersebut tetapi jaraknya sejauh 100KM lebih dari pekan Beluran. Dalam bulan ramadhan memang bermujahadah betul demi melangsaikan amanah yang ditanggung.







Selesai penentuan kiblat di lokasi tersebut, saya bertolak terus ke bandar Sandakan kira-kira 150KM jaraknya bagi meneruskan kerja kiblat sebuah hotel baru (Hotel Best Westren) di bandar Letat batu 4 yang mempunyai 49 buah bilik. Saya tiba waktu asar dan kerja penentuan kiblat saya mulakan keesokan harinya memandangkan tubuh tersangat letih untuk menanti waktu berbuka.

Alhamdulilah, walau jarak dan lokasi agak meletihkan bermusafir pula di dalam bulan penuh barakah ini walau ada rukhsah untuk berbuka tetapi semuanya ini Allah masih lagi memberikan kekuatan untuk terus melangsaikan amanah seorang hamba Allah dan amanah kerja. Sebenarnya orang beriman itu lebih kuat di bulan ramadhan seperti yang tercatat dalam sejarah seperti peristiwa peperangan badar di kala tentera Islam berpuasa namun mereka mampu menang dalam peperangan tersebut. Ibrah dan pengajaran badar sayugianya menjadi pedoman untuk kita terus menjadi hamba Allah yang bertaqwa sesuai dengan matlamat dan tujuan bagi mereka yang bepuasa.

Salam Ramadhan al-Mubarak.

Sabtu, Julai 30, 2011

PULAU MANUKAN




Bismillah...

Kali pertama berkunjung ke pulau ini dan sememangnya berhasrat untuk sampai ke pulau ini kerana terdengar akan keindahan dan kecantikannya.

Alhamdulillah sampai juga saya ke pulau ini atas urusan kerja penentuan arah kiblat 12 buah chalet yang terdapat di sana.

Menaiki bot yang telah disediakan oleh pihak pemohon iaitu Manukan Resort. Pelabuhan sutera habour ke pulau manukan mengambil masa kira-kira 10 minit. Selainnya, saya bersama-sama dengan pelancong luar ke pulau tersebut.

Bermula di pelabuhan saya sudah tidak selesa disebabkan suasana yang menyakitkan pandangan membawa gelapnya hati. Para pelancong yang sememangnya berpakaian seperti di negara dorang yang tiada batas sempadan aurat. Apa boleh buat atas amanah kerja semuanya ini terpaksa di hadapi.

Setibanya di pulau saya cukup teruja keindahan dan kecantikan pemandangan di sana. Namun selera untuk mengambil gambar hilang begitu sahaja kerana keindahan dan kecantikan itu tercemar dengan kerendahan akhlak dan moral orang yang berkunjung ke sana. Benarlah kata-kata sahabat2 FB ada BIAWAK PASIR, DUGONG, DUYONG dan macam-macam lagi.

Namun saya sempat meninjau ke bilik pameran marin dengan memasuki secara percuma yang mempamerkan hidupan-hidupan laut. Saya tertarik dengan disuatu sudut memberikan info yang bermanfaat mengenai bahan-bahan buangan yang mengambil tempoh masa tertentu untuk reput.

Ini sahaja yang dapat saya kongsikan sempena kunjungan ke pulau manukan dan gambar di bawah ini memaparkan info tersebut dan moralnya JANGAN CEMARI ALAM INI DGN PERBUATAN BURUK IAITU MEMBUANG SAMPAH MERATA TEMPAT.

SEKIAN.

p/s: nak bagi nampak clear gambar ni sila klik gambar tersebut.....







Posted via Blogaway

Isnin, Julai 18, 2011

DISKUSI RAMADHAN 1432H


SELURUH MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR DAN SEBAR-SEBARKAN MAJLIS INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI KEBAIKAN....

Rabu, Julai 13, 2011

NASI KANDAR



Mungkin juga asal usul nasi kandar ni dari afghanistan. KANDAR semacam nama salah satu tempat di Afghanistan iaitu KANDAHAR.

Waallahua'lam sejauh mana kebenarannya. Apa-apa saya telahpun pekena nasi kandar sepinggin tengahri tadi memang sedap rasanya seperti dibayangkan dan dicari selama ini.

Nak tahu lokasinya di mana? Di city habour kota kinabalu restoran halimah nasi kandar. Harga boleh tahan tapi berbaloi.

Selamat merasa...

Identiti





Bismillah...

Berbicara mengenai identiti sudah pasti berbagai pandangan dan takrifan mengenainya. Oleh itu berbagai persoalan dibina untuk disediakan jawapannya seperti apakah identiti kita sebenar? Di mana hilangnya indentiti anda sebagai....?

Alhamdulillah, dikalangan umat manusia Allah swt pilih kita sebagai umat yang terbaik dan selamat apabila Islam menjadi anutan kita. Sungguh tidak ternilai nikmat ini. Jika ini adalah nikmat yang hebat sudah semestinya kita syukuri dengan hati, iqrar dan seluruh anggota kita.

Berbalik persoalan identiti, seorang yang menjadikan Islam itu pegangannya dan disyukurinya punyai jawapan mengenai identitinya kerana segala-galanya ada dalam Islam. Alquran dan as-Sunnah adalah perlembagaan yang nyata wajib diikuti oleh umat Islam apa jua keadaan hidup dimuka bumi Allah swt ini.

Krisis identiti yang dihadapi oleh umat Islam hari ini berpunca jauhnya seseorang itu daripada ruh al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi tuntutan wajib seorang yang beragama Islam.

Krisis aurat, arak, zina, hiburan melampau, rasuah, perompak hak orang lain, zalim dan sebagainya adalah menjadi fitnah terhadap umat Islam ketika ini. Puncanya adalah seperti disebutkan tadi. Ruh al-Quran dan as-Sunnah itu tidak meresap masuk ke lubuk jiwa umat Islam. Masyarakat tidak mampu dibentuk jiwanya dengan al-Quran dan as-Sunnah kerana penguasa meminggirkannya. Penguasa yang lahir juga hancur identitinya disebabkan hancurnya masyarakat yang akhirnya melahirkan penguasa yang tidak layak dan tidak beramanah seterusnya membenarkan sabda Nabi saw mafhumnya bahawa antara tanda-tanda kiamat adalah apabila amanah dijadikan sumber rezeki.

Oleh itu, berbanggalah dengan Islam yang kita anuti, jadikanlah Islam itu identiti kita yang sebenar, jika kita sebagai rakyat maka lahirkanlah generasi beracuankan Islam sepenuhnya dan jika kita sang penguasa maka tampilkanlah akhlak Islam dalam diri anda dan bimbinglah masyarakat anda menuju Allah swt nescaya anda akan disenangi dan disayangi rakyat kerana anda adalah payung rakyat dibawah naungan rahmat Allah swt.

Waallahua'lam.




Khamis, Julai 07, 2011

Ceramah Isra dan Mi'raj


Bismillah...

Bersempena bulan rejab yang tersingkap satu peristiwa anugerah Allah swt kpd hambaNya Muhammad saw iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj yang merupakan salah satu mukjizat nabi saw menguji keimanan dan jauh dari sudut kemampuan aqal untuk menyingkap kerelevannya.

Undangan telah saya penuhi di beberapa lokasi, bermula jemputan daripada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah, Ibu Pejabat Polis Kepayan dan Kota Kinabalu. Hikmah dan ibrah daripada kisah peristiwa ini dijelaskan dan terlalu banyak ibrahnya melalui peristiwa ini tetapi saya telah menyentuh ibrah seperti yang dijelaskan oleh Syekh Daud al-Fathoni dalam kitabnya Kifayah alMuhtaj mengenai beberapa perkara yang telah dipertontonkan kepada nabi saw.

SOLAT adalah ibrah terbesar dalam peristiwa ini, oleh itu saya lebih menjelaskan tentang kewajipan solat;

1. Mafhum hadis nabi saw mengenai solat itu adalah penghapus dosa sebagaimana seseorang yang mandi sebanyak 5 kali disungai berhadapan pintu rumahnya.

2. Surah al-Ankabut ayat 45 mafhumnya bahawa intipati bagi mereka yang mengerjakan solat adalah dijauhkan daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

3. Ibn Mas'ud berkata: barangasiapa yang meninggalkan solat maka tidak ada agama baginya.

4. Abu Darda' berkata ; tiada iman bagi mereka yang tidak solat.

Oleh itu, solat adalah perkara asas bagi orang Islam yang tiada alasan untuk ditinggalkan. Jika hendak melihat kesejahteraan masyarakat dan negara kita maka lihatlah solat mereka... Jika ramai yang tidak solat maka tidak hairanlah jika anda mendengar kes buang bayi, rasuah, zina berleluasa, dan pelbagai lagi masalah sosial di sekeliling kita.

Jom perkasakan solat pastikan anak2 sanak saudara kita mendirikan solat agar kita selamat daripada bala dan bencana sebagai azab daripada sang pencipta.

Waallahualam, barakaAllahu fikum.