Rabu, Mac 31, 2010

Kucing Comel

Bismillah...


Kucing comel yang pernah saya nampak apabila saya berkunjung ke sebuah kedai jahit untuk mengambil baju yang telah dibaiki.

Tuan kedai yang memang saya kenali kerana saya sering tempah baju di kedainya bertanyakan hukum menjual kucing. Saya telah jelaskan kepadanya.

Saya juga terfikir mungkin juga dia punyai bisnes jual kucing selain kedai jahit yang sedia ada. Andaian saya silap kerana dia menyatakan bahawa beliau adalah peminat memelihara kucing.
Sebelum ini dia asyik memberikan kucing peliharaannya kepada orang yang lain.

Saya diperlihatkan seekor anak kucing yang comel diasingkan daripada ibunya kerana seekor anaknya lagi telah dimakan oleh si ibu kucing. Dahsyat juga kucing ni makan anak sendiri.


Dia memberitahu bahawa beliau mempunyai 15 ekor kucing spesis yang sama di rumahnya. Saya cukup tertarik melihat si anak kucing ini. Rasa macam nak pelihara tetapi saya ini hanya minat melihat sahaja untuk memelihara kucing jauh lagi la. Nampaknya tak boleh jadi macam ABU HURAIRAH yang masyhur dengan sayangnya dia kepada kucing.

Beliau berjanji akan memberikan kepada saya sekiranya ada anak kucing yang baru. Saya berbesar hati untuk menerimanya dan saya akan beri kepada sahabat - sahabat yang minat kucing.

Selasa, Mac 30, 2010

Karnival PASTI Kawasan Sepanggar

Bismillah...

28 Mac 2010 telah berlangsung karnival Pasti Kawasan Sepanggar yang telah diadakan di Taman Puterajaya, Telipok. Karnival ini bermula semenjak 27hb lagi. Jika tahun lepas karnival seperti ini digabungkan dengan satu majlis iaitu karnival Pasti Pantai Barat yang menggabungkan Pasti-Pasti di bahagian pantai barat Sabah. Tetapi tahun ini dipisahkan.

Antara pengisiannya adalah seperti Ceramah, bacaan tahlil, solat hajat perdana, malam kesenian Islam, kuliah subuh, sukaneka, khidmat perubatan percuma, khidmat perubatan Islam, Ekspo Produk Halal dan Pameran.

Kehadiran penduduk di sekitar taman tersebut dan juga yang datang berkunjung memang mengkagumkan dan menunjukkan program - program seperti ini sebenarnya mendapat sokongan dan sambutan oleh masyarakat setempat. Di samping dengan kehadiran ibu bapa bagi pelajar - pelajar Pasti yang memberi sokongan sepenuhnya kepada anak - anak mereka dalam setiap acara yang diikuti.

Saya berkesempatan menghadirinya kerana zaujah saya bersama dengan sahabat - sahabatnya membuka gerai jualan di gerai NISA'. Antara produk yang mereka jual adalah pakaian muslimah, tudung kanak-kanak, kek beraneka macam, telekung, buku - buku agama, minuman dan sebagainya.

Mereka ini aktif berjualan melalui online (alam maya), kali ini mereka berjual secara nyata. Siapa mereka ini dan apa yang mereka jual ?... saya mengajak para pembaca ke blog mereka seperti di bawah ini :

1. http://kedaihuffaz.blogspot.com
2. http://gerairizqi.blogspot.com
3. http://neenakeksarawak.blogspot.com
4. http://bajumuslimahkk.blogspot.com

* he.. he.. tolong promosi ni..

Alhamdulillah, syabas saya ucapkan kepada semua petugas dan sahabat - sahabat yang telah menjayakan program ini. Moga dengan hati yang ikhlas dan penat lelah sehingga peluh jatuh mengalir akan menjadi saksi di hadapan Allah SWT dan diterimanya sebagai amal yang soleh kerana hidup kalian yang inginkan Islam terus subur mekar di bumi Sabah khasnya dan Malaysia amnya.

Teruskan perjuangan kerana perjuangan itu belum selesai....

Wallahua'alam.



Gambar sekitar Karnival tersebut :



Bakal jadi anak - anak Pasti

Sukaneka


Pameran dan khidmat perubatan percuma

Acara melukis... ibu bapa turut memberi sokongan kepada anak - anak mereka

Memandangkan yang berjualan ada anak kecil, secara tak sengaja belakang meja jualan jadi macam nursery...

Wa.. sibuk promot barang...

Mencuba kek beraneka macam... sambil promot sambil cuba...sodap.

Semoga berjualan ada berkatnya dan untung dunia akhirat... amin.

Rabu, Mac 24, 2010

ZALIMNYA!


Bismillah...

Terlihat gambar ini yang menunjukkan tidak berperikemanusiaan dan pelakunya adalah bersifat binatang, rasa geram dan tersentuh hati ini.

Kenapa? mengapakah? boleh jadi begini. Sehari dua ini terdengar cakap-cakap orang atas yang mengatakan bahawa mereka amat sedia dengan apa yang berlaku.

Tidak salah anda bersedih, tapi cukup malang jika hanya bersedih tanpa ada sebarang tindakan. Cari puncanya. Kita tak sedar atau buat - buat tak sedar puncanya ada didepan mata tetapi kita membutakan mata dan memekakkan telinga demi keuntungan dunia walau terpaksa bergadai maruah.

Ingat!!!... kita semua akan dipersoalkan dan lagi dahsyat orang yang berkuasa yang punyai kuasa tetapi tidak menggunakan kuasa itu untuk mencegah bahana ini terus berlaku. Kami yang di bawah kekuasaan anda mengharapkan supaya kami dibimbing ke jalan yang sebenarnya.

Wallahua'alam.

Media Islam


Bismillah...

Ceramah Al-Fadhil Ust. Zahazan Mohammed di Surau Riadhosolihin, Austral Park, Kota Kinabalu pada 22 Mac 2010 Isnin lepas ada menyentuh mengenai bentuk serangan yang cuba meruntuhkan Islam melalui media.

Beliau akan menyentuh bab ini diakhir setiap ceramah beliau di merata tempat. Untuk memiliki sebuah saluran TV yang bercorak Islamik memang agak mustahil kerana ianya memerlukan kos yang terlalu tinggi sehingga berjuta - juta harganya.

Namun bukan bermakna jalan untuk menyebarkan Islam melalui media tertutup rapat bahkan mereka telah berusaha walaupun usaha mereka ini sedikit sekurang-kurangnya sumbangan untuk Islam itu ada.

Iaitu mereka telah mewujudkan majalah SOLUSI sebuah majalah ilmiah untuk tatapan umum. Keluarannya bukan berdasarkan bulanan tetapi berbentuk isu semasa yang relevan setiap masa.

SOLUSI ini bukan majalah yang memperagakan tubuh seseorang, bukan juga menceritakan bab masak memasak dan juga cerita artis - artis bahkan ianya penuh dengan ilmiah yang menceritakan tentang soal hukum hakam, isu semasa, sirah dan sebagainya yang sudah pasti sesuai dibaca oleh semua peringkat.


Kebanjiran bahan - bahan cetak dan media - media yang menghancurkan akhlak dan Islam itu sendiri, maka dengan kemunculan SOLUSI ini sekurang - kurangnya ia dapat mengembalikan Umat Islam ke jalan yang sepatutnya. Penampilannya dari segi fizikal dengan cetakan yang cukup berkualiti sesuai untuk dijadikan koleksi bahan ilmiah dengan penal penulis yang diiktiraf ilmu mereka oleh masyarakat sejagat.

Ayuh, sudah tiba masanya kita memberikan sokongan terhadap usaha ini. Kita tak mampu untuk menerbitkan dan menghasilkan majalah sehebat ini tetapi memadailah kita menjadi penyebar majalah ini agar umat Islam memperolehi manfaat darinya.

Harapan dan saranan Al-Fadhil Ust. Zahazan. InsyaAllah sama - sama kita tunaikan demi kebaikan dan taqwa.

Anda boleh dapatkan SOLUSI setiap keluaran di PUSTAKA ASLAM (stokis telaga biru di Sabah ) di Kingfisher, LIKAS dan juga pengedar - pengedarnya di seluruh Kota Kinabalu dan selainnya ataupun dengan albelurani sendiri....:-).

Sekian...


Selasa, Mac 23, 2010

TazkiatunNAFSI

Bismillah...

TazkiatunNAFSI bermaksud proses pembersihan hati. Saya amat teruja huraian mengenainya yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ust. Zahazan Mohammed melalui satu slot ceramah pada Isnin malam selasa lepas di Surau Riadhussolihin, Austral Park, Kota Kinabalu.

Kehadirannya di bumi Sabah ini adalah atas jemputan PETRONAS dalam satu ceramah pada jam 2.30 petang 23 Mac 2010. Di kesempatan itu, kehadirannya lebih bermakna apabila tibanya sahaja di airport Kota Kinabalu pada malam 22 Mac terus di bawa ke surau tersebut untuk berceramah.

Kehadiran para jemaah memang di luar jangka. Setahu saya, maklumat mengenai ceramah ini hanya melalui SMS sahaja, itupun tak sampai sehari SMS mengenainya disebarkan.

5 langkah dalam membersihkan hati yang telah al-Fadhil Ust berikan iaitu :

1. Membaca al-quran dan mentadabbur

Cara untuk mentadabbur ketika membaca al-Quran ada 2 cara iaitu :

PERTAMA = mestilah seseorang itu menguasai dan belajar bahasa arab.

KEDUA = Membaca bersama terjemahan ketika membaca al-Quran.
Al-Fadhil Ust membawa contoh bagaimana kehidupan salah seorang ulama Malaysia iaitu Almarhum Ishak Baharom. Amalan yang tak pernah beliau tinggalkan ketika hayatnya adalah membaca al-quran tidak kurang 200 ayat sehari dan banyak berpuasa.

Sehinggakan dalam usia almarhum 70an, kelihatan wajahnya masih lagi bercahaya dan tidak kelihatan terlalu tua (awet muda).

2. Kurangkan Makan

Antara faktor mematikan hati adalah disebabkan banyaknya makan yang membawa kepada terlalu kenyang. Bagi menghindarkan hati yang rosak disebabkan perkara ini maka seharusnya membanyakkan puasa dan kurangkan makan.

3. Solat tahajjud ( qiamullail )

Qiamulail merupakan senjata yang ampuh bagi umat Islam yang mana amalan ini semakin dilupakan. Bahkan melalui amalan ini hati dapat dibersihkan kerana sebaik-baik waktu adalah di 1/3 malam untuk mengadu domba kepada Rabbul Jalil.

4. menziarahi orang-alim


Dengan menziarahi orang alim kita akan memperolehi nasihat - nasihat yang boleh membersihkan hati dan menunjukkan jalan menuju ALLAH SWT berbanding golongan fasik yang hanya menceritakan bab keduniaan yang membawa rosaknya hati seperti bicara mereka mengenai dengan artis sana sini, game, rancangan tv dan sebagainya.

5. berzikir/istighfar

Memperbanyakkan zikir dan istighfar merupakan ramuan bagi membersihkan hati. Istighfar sekurang - kurangnya 70 kali sehari sebagaimana Nabi SAW yang tidak kurang daripada 70 kali beristighfar dalam sehari.

Sebenarnya tip dalam membersihkan hati ini telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh al-Fadhil ust dengan membawa beberapa huraian kitab dan contoh daripada kisah - kisah sejarah Islam sebelum ini.

Namun memadailah dengan kesempatan dan ingatan yang sempat saya rakamkan tanpa sebarang alat. Moga kita perolehi manfaat untuk kita amalkan 5 cara dalam TAZKIATUNNAFSI ( proses penyucian hati) tersebut.

Waallahua'alam.

Isnin, Mac 22, 2010

Ceramah Ust. Zahazan Mohammed

Bismillah...

Kpd Datuk/Datin/Tuan/Puan dan seluruh muslimin dan muslimat, dijemput untuk menghadiri ceramah :

UST. ZAHAZAN MOHAMMED pada 22 Mac 2010 jam 8.30 malam di Surau Austral Park, Kota Kinabalu....

Jom tambahkan ilmu untuk tingkatkan iman dan takwa dan mantapkan amalan.

Jumaat, Mac 19, 2010

Rukyah Hilal Rabi'ulakhir 1431H

Bismillah...

16 Mac 2010 bersamaan 30 Rabi'ulawwal 1431H seperti lazimnya saya bersama beberapa kru Unit Falak Syarie (UFS) Pejabat Mufti Negeri Sabah dan Pemangku Timbalan Mufti Al-Fadhil Ust. Mohd Ariffin Ali dan beberapa ahli teknikal daripada JUPEM Sabah turun mencerap hilal Rabi'ulakhir 1431H bertempat di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah.

Cerapan kali ini diserikan dengan kehadiran beberapa staf JAKIM Cawangan Sabah seramai 13 orang yang diketuai oleh Al-Fadhil Ust Shamsuri, Penolong Pengarah Unit Dakwah. Alhamdulillah, perancangan mereka untuk turut serta dalam cerapan hilal bersama kami terlaksana. Rata-ratanya yang hadir adalah dikalangan penggerak - penggerak dakwah.

Sesi taklimat

Program dimulakan dengan saya memberikan taklimat mengenai dengan Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah dan mengenai dengan aktiviti cerapan hilal. Kemudian sedikit jamuan. Jam 6 petang cerapan dimulakan.

SS Datuk Mufti sedang mengatakan sesuatu kepada Ust. Shamsuri

Aktiviti cerapan kali ini juga turut dihadiri oleh Mufti Kerjaan Negeri Sabah, SS Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan.


Seperti yang telah dimaklumkan bahawa tujuan mereka turut serta dalam aktiviti ini adalah untuk mendalami lagi ilmu cerapan ini sesuai dengan saranan Pengarah JAKIM agar pendakwah didedahkan dengan pelbagai ilmu di samping itu juga mereka berpeluang melihat sendiri Balai Cerap ini. Maklumlah ada dikalangan mereka yang belum pernah sampai ke sini.


Sinopsis bagi hilal rabi'ulakhir 1431H yang telah dicerap adalah seperti berikut :


Walau bagaimanapun hilal tidak kelihatan disebabkan awan dan juga keadaan berjerebu.


Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada rombongan JAKIM Cawangan Sabah di atas kesudian untuk berkunjung ke Balai Cerap Al-Biruni, Mudah-mudahan kerjasama dan ukhwah ini berpanjangan dalam meninggikan lagi syi'ar Islam di negeri Sabah ini.

Gambar kenangan

Waallahua'alam.

Khamis, Mac 18, 2010

Adik-AdikKu = Akhir

Bismillah...

Rancangan realiti adik2ku yang ditayangkan di TV1 sampai ke peringkat akhir yang berlangsung :

Tarikh : 18 Mac 2010 ( Khamis - malam ini )
Di : TV1
Masa : 9.00 malam

Siapa yang akan digelar Penda'i Kecil? Jom kita tengok sama - sama malam ini.

Selasa, Mac 16, 2010

Ada hikmahnya

Bismillah...

Pada 15 dan 16 Mac saya bercuti. Jadual asal 13hb mac saya bertolak balik kampung sekeluarga. Ditaqdirkan 13hb tu saya mengalami sakit lama iaitu sakit kaki yang sangat-sangat. 2 hari sebelum itu pun kaki dah terasa sakit.

Setibanya hari nak balik kampung ianya bertambah sakit. Perjalanan balik kampung mengambil masa 6 jam, jika diteruskan mungkin akan mendatangkan mudarat. Kami mengambil keputusan untuk menangguhkan balik kampung. Saya menghubungi emak memaklumkan kami tak dapat balik. Waallhua'alam apa perasaannya, maklumlah hampir setahun setengah isteri, ameen tak balik kampung, Iman pula dah masuk 3 bulan pun tak pernah balik kampung.

Redha apa yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya dan sebenarnya saya terasa akan hikmahnya. 3 perkara atau hikmah yang dapat saya rasakan :

1. Yuran Pengajian

Cuti sehari dua ini saya manfaatkan sepenuhnya dengan mengurus yuran pengajian. 1 semester RM2400 perlu dibayar. Alhamdulillah tinggal 3 semester. Hanya berharap wang simpanan KWSP sahaja untuk melangsaikan yuran.

Pernah memohon biasiswa selaku kakitangan kerajaan tapi malangnya tak dapat kerana jawatan yang disandang belum di TETAPKAN. berbaki 3 semester jumlah yang perlu dibayar RM7200.

Kelmarin saya pergi ambil borang pengeluaran di KWSP dan cek baki di akaun dua. Dengan baki yang ada hanya mampu bayar yuran untuk satu semester sahaja. Selebihnya kena usaha jalan lain untuk menampung yuran tersebut.

Hikmahnya, saya dapat uruskan yuran pengajian saya walaupun masih tak selesai dan dapat tahu yang baki di akaun dua tak cukup menampung yuran baki semester yang ada. Terpaksa kena berusaha lebih lagilah.

2. Kedai MAMAK

Setelah berurusan di bangunan KWSP saya ke Kompleks Karamunsing untuk mencari sedikit keperluan dan pergi ke AMBANK yang berhampiran.

Waktu tengahari, rasa perut dah mula menyanyi. Jika lambat makan, penyakit gastrik akan muncul seperti sebelum ini.

Di Kompleks Karamunsing, Kota Kinabalu ada sebuah kedai makan MAMAK di aras bawah berhampiran dengan mesin ATM dari pelbagai bank.

Sebelum ini saya pernah masuk pekena roti telur dan teh tarik. Juga memerhatikan kedai tersebut dan tak silap saya memang ada tulisan ayat - ayat quran di samping ada beberapa pekerja perempuan yang bertudung.

Tapi kelmarin sekali lagi saya ke sana memandangkan nyanyian perut yang semakin berirama. Saya order nasi beriani ayam dan teh tarik sejuk.

Rasa macam ada yang tak kena. Sekali lagi saya memerhatikan dinding kedai, sudah tidak terdapat ayat - ayat quran. Mula timbul rasa curiga.

Saya panggil pekerja lelaki MAMAK tu, secara direct saya bertanya... " kau MUSLIM ka? " dia jawab..." I'am HINDU" ... wa terkedu saya, sudah sepinggan nasi beriani dan teh tarik saya habiskan. Saya tanya lagi ..."siapa owner kedai ni"... dia jawab... "JOE".

Ini sudah sah, sebenarnya kedai ini bukan milik orang MUSLIM bahkan ia juga akan mengelirukan orang Islam kerana adanya pekerja perempuan yang bertudung. Ada 2 pekerja lelaki berbangsa india, ingatkan Muslim tetapi sebaliknya.

Patutlah juga, apabila saya masuk ke kedai makan tersebut saya diperhatikan lain macam sahaja oleh pengunjung kedai itu. Mungkin mereka hairan seorang yang berkopiah dan berbaju raihan masuk kedai itu.

Hikmahnya, maka tahulah saya dan dapat saya memberi tahu bahawa kedai tersebut tidak wajar dikunjungi oleh orang Islam kerana ianya kedai makan yang bukan dimiliki oleh orang ISLAM jika mengikut nama owner yang diberitahu.

Ini juga akan menyamai kes - kes restoran di semenanjung yang heboh sekarang ini yang owner dan pekerjanya bukan MUSLIM tetapi berlagak bagaikan MUSLIM semata - mata menarik orang - orang ISLAM ke restoran mereka.

Rasanya pihak berwajib segeralah ke sana dan buatlah sesuatu. Saya yakin ada orang - orang Islam yang berkunjung ke sana. Cara mereka memang mengelirukan dengan menampilkan pekerja wanita yang bertudung.

Dah habiskan sepinggan nasi beriani dan teh tarik, rasa macam nak muntah. Astagfirullah... hanya memohon keampunan kepada Allah SWT.

3. Ambil Darah

Sebelah petang jam 2 saya ke Klinik Kesihatan Putatan untuk cek sakit kaki. Asalnya nak pergi sebelah pagi tetapi saya menjangkakan pagi mesti ramai orang disebabkan hari mula berkerja.

Ikut rasa hati memang tak nak pergi. Memandangkan isteri pun mendesak, emak pula mengarahkan pergi hospital.... pergi la juga.

Jumpa pula dengan doktor yang spoting, dia tanya sakit apa saya jawab sakit kaki. Tetiba dia bercerita yang David Bechkam tak boleh main di piala dunia jun ini disebabkan dia mengalami kecederaan semalam melibatkan kecederaan serius di buku lali. Nampak kecewa dia. Ini mesti peminat England.

Saya dibagi ubat penahan sakit dan kurangkan bengkak. Tapi yang tak bestnya dia nak ambil darah untuk mengesan penyakit apa yang ada. Di samping itu dapat mengesan jika ada penyakit yang melibatkan jantung, buah pinggang dan sebagainya.

Dalam sejarah hidup saya, kes ambil darah ini hanya berlaku ketika saya berumur 9 tahun ketika saya ditahan di hospital beluran disebabkan mengalami demam panas. Punyalah sakit ketika diambil darah dengan jarumnya yang panjang. Semenjak dari itu memang jadi fobia apabila nak ambil darah.

Kelmarin adalah kali kedua. Berdebar la juga, hinggakan nurse pun tengok lain macam ja melihat saya macam dalam ketakutan. Apabila saya bagitau yang ini adalah baru kali kedua, tersenyum sempoi dia.

Hikmahnya, dapatlah saya berjumpa dengan doktor bagi mengesan penyakit yang saya alami yang berlanjutan sekian lama semenjak saya di Darul Quran lagi dan agak kerap datang semenjak kebelakangan ini.

Keputusan pemeriksaan darah hanya dapat diketahui 2 minggu selepas itu. Biasalah kerajaan dan percuma berbanding swasta cepat tapi berbayar yang boleh tahan juga kosnya.

Mudah-mudahan tidak ada penyakit..... InsyaAllah... amin.. Saya mengharapkan doa kalian.

Alhamdulillah, sesuatu perancangan yang telah kita atur dengan sebaiknya belum pasti ianya dapat dilaksanakan. Mungkin ada halangan dan perkara diluar jangka. Yang penting kita kena redha dan berbaik sangka kerana disitu ada rahsia tersembunyi (hikmah) yang Allah SWT telah sediakan sebagai yang terbaik untuk kita.

Waallahua'lam.

Sabtu, Mac 13, 2010

Masjid Cina


Bismillah...

Biasa kita dengar Masjid India yang berada di Jalan India Kuala Lumpur. Pernahkah anda mendengar Masjid Beijing yang membayangkan negara china?

Masjid Beijing bukan letaknya di China tapi di Rantau Panjang Kelantan. Inilah salah satu lokasi yang menarik apabila anda berkunjung ke Kelantan.

Jumaat, Mac 12, 2010

Solat Sunat Istisqa'

Bismillah...

Pagi tadi telah berlangsung solat sunat istisqa' (mohon hujan) oleh kerajaan negeri Kelantan.
Harakahdaily.net melaporkan :

" Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi. Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut ".

Alhamdulillah, di kala kita diuji dengan ketiadaan air Allah SWT telah sediakan solat sunat Istisqa' , jika kita berhajat maka Allah telah syariatkan solat sunat hajat, jika kita mohonkan keampunannya Allah telah syariatkan solat sunat taubat.

Cara dan bagaimana kita memohon kepadaNYA segala-galanya sudah tersedia. Cuma hanya manusia bongkak, takabbur dan sombong sahaja tidak mahu tunduk dan patuh syariat yang Allah SWT telah sediakan.

Waallahu'alam.

Selasa, Mac 09, 2010

Aktivis HAMAS dibunuh agen Mossad

Bismillah...

Mungkin anda akan rasa boring membaca artikal ini kerana terlalu panjang, namun BACALAH mungkin ianya bermanfaat untuk kita yang masih hidup yang mana kita sebenarnya menuju kematian. Mati? ya mati... SYAHID itu adalah cita - cita kami. selamat membaca :

mahmud mabhuh senyum

Mahmud Mabhuh, aktivis HAMAS yang dibunuh agen Mossad di Dubai ditunjukkan gambarnya dalam keadaan senyum. Cara pembunuhannya seperti filem Hollywood atau Bollywood seperti cerita di bawah.

Yahudi dan agen Yahudi dikenali semenjak lama sebelum Nabi Muhammad SAW sebagai bangsa jahat. Mereka membunuh Nabi dan pengikut Nabi. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah hendak diassasinate oleh Yahudi dengan mencampakkan batu besar dari atas rumah tempat Nabi SAW berteduh.Allah mengkhabarkannya kepada Baginda melalui Jibril as.

Sheikh Ahmad Yaasin berderai kepalanya akibat peluru berpandu dari Apache. Serpihan darah dan daging memenuhi jalan dan dinding rumah. Tetapi wajahnya seakan tersenyum ‘menerima akibat’ dari sebuah jihad. Isteri saya ngeri apabila melihat wajah mayat-mayat yang mati secara ngeri, tetapi tidak wajah Sheikh Ahmad Yaasin. Para syuhada Palestin ramai yang wajahnya demikian. Barangkali inilah yang disebut oleh Nabi SAW, mafhumnya: ‘Sesiapa yang kasih bertemu Allah, Allah kasih bertemunya’.

Cara Mossad bunuh Mahmoud

mossad ikut

GAMBAR rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Mahmoud (dalam bulatan) diekori oleh dua pembunuhnya di Hotel Al Bustan Rotana, Dubai pada Januari lalu.


NEW YORK – Seperti filem di Hollywood mengenai kisah pembunuhan.

Akhbar New York Post kelmarin menyenaraikan cara satu skuad pembunuhan membunuh seorang komander Hamas, Mahmoud al-Mabhouh di sebuah hotel mewah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Januari lalu.

Skuad pembunuhan itu sebelum ini dikaitkan dengan agensi perisikan Mossad milik Israel.

Menurut akhbar itu, Mahmoud yang dilahirkan di Kem Jabalia di Genting Gaza pada 1960 pernah menculik dan membunuh dua askar Israel pada 1989 di Palestin.

Selepas pembunuhan itu diketahui oleh umum, Israel berikrar akan membalas dendam manakala Mahmoud melarikan diri tetapi dia tidak keluar daripada pergerakan Hamas.

Mahmoud kemudiannya dilaporkan menyeludup senjata api dan bahan letupan kembali ke Gaza dari Syria yang merupakan tempat tinggalnya yang baru.

Lebih 20 tahun lalu, dia membantu Hamas mendapatkan peluru peluru berpandu buatan Iran yang mampu terbang ke negara-negara jirannya.

Komander Hamas itu hampir dapat ditangkap Israel tetapi dia berjaya menyeludup masuk ke Syria.

Namun, pihak perisikan Israel kemudiannya mendapat maklumat bahawa Mahmoud akan berada di Dubai pada bulan lalu untuk membeli senjata api dari penjual senjata Iran.

Komander Hamas itu kemudian menempah penerbangan menerusi Internet.

Apabila Mahmoud tiba di Dubai, dia menghubungi isterinya dan memberitahu lokasi tempat tinggalnya.

Beberapa pegawai Hamas mengaku tindakan Mahmoud menghubungi isteri itu mendedahkan dia pada bahaya.

Ia merupakan waktu terbaik untuk melakukan serangan.

Berdasarkan bukti yang ditemui menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pasport yang dipalsukan, pihak berkuasa Dubai memutuskan bahawa terdapat satu skuad elit membunuh Mahmoud.

Skuad pembunuh yang didakwa pihak berkuasa Dubai seramai 17 orang termasuk seorang wanita menggunakan muslihat dan taktik yang biasanya dapat dilihat dalam novel-novel tulisan bekas diplomat Amerika Syarikat (AS), Jason Bourne.

Ketua Polis Dubai, Dahi Khalfan Tamim percaya 99 peratus bahawa Mossad merupakan dalang pembunuhan Mahmoud.

Walaupun mendapat kritikan antarabangsa, Israel tidak mengesahkan atau menafikan melakukan operasi membunuh Mahmoud.

Apa yang diketahui ialah satu pasukan yang mendapat latihan tinggi memasuki Dubai untuk melakukan operasi itu yang berlanjutan selama 10 jam.

Operasi itu bermula lewat malam pada 19 Januari lalu.

Menjejaki komander Hamas itu bermula apabila dua ejen lelaki berlepas ke Dubai dengan membawa pasport yang mengisytiharkan namanya sebagai Michael Bodenheimer dan James Leonard Clarke iaitu masing-masing dari Jerman dan Britain.

Tidak lama kemudian, sebuah lagi pesawat yang membawa seorang wanita kurus lampai berumur dalam lingkungan 30-an, memakai cermin mata dan mendakwa dari Ireland dengan menggunakan nama Gail Folliard tiba.

Wanita itu terbang dari Paris dengan seorang lelaki Ireland, Kevin Daveron berdasarkan nama pada pasport palsu.

Kamera pemantauan Dubai merakamkan imej empat orang berkumpul di sebuah lapangan terbang di bandar raya itu.

Mereka kemudian berpecah.

Wanita kurus lampai itu mendaftar masuk ke hotel Al Bustan Rotana yang didiami komander Hamas tersebut.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang menggelarkan dirinya, Peter Elvinger mendakwa dari Perancis melakukan perbuatan sama dengan wanita berkenaan.

Dia mendaftar di bilik 237 tidak jauh dari bilik Mahmoud.

Dua lagi ejen yang dapat dilihat pada kamera CCTV itu menuju ke sebuah hotel lain.

Pada keesokan harinya, terdapat 17 orang dari pasukan pembunuh berada di Dubai dengan menggunakan pasport palsu.

Mangsa mereka ialah Mahmoud.

Kamera litar tertutup menunjukkan komander Hamas itu mengembara seorang diri yang dianggap sebagai pilihan yang mencetuskan tanda tanya bagi seorang lelaki sepertinya yang mempunyai beberapa pengawal peribadi dan mengetahui dia berada dalam senarai orang dikehendaki Israel.

Menurut akhbar Daily Mail, Mahmoud yang tiba di Dubai diekori oleh satu pasukan peninjau itu yang dibantu dengan alat pengesan diletakkan di kereta sewanya.

Dia antara anggota pasukan itu ialah Daveron yang menggunakan rambut palsu untuk menyembunyikan kepalanya yang botak.

Di hotel tersebut, wanita yang kurus lampai itu menunggu di lobi.

Dia menghabiskan masa pada waktu pagi dengan membeli-belah di kedai mewah, bermain cinta dengan kerani hotel dan melihat pintu depan hotel.

Pembunuh itu tidak bercakap antara satu sama lain secara terus.

Menurut akhbar-akhbar Israel, mereka berkomunikasi dengan menggunakan telefon bimbit yang perbualannya tidak dapat dikesan.

Apabila Mahmoud mendaftar masuk ke hotel al Bustan, Daveron dan wanita kurus lampai itu berundur dan dua lagi ejen muncul.

Kamera CCTV menunjukkan dua lelaki berambut hitam mengekori komander Hamas itu semasa dia berjalan ke lif.

Dengan membawa raket tenis, seluar pendek, baju T dan kasut sukan dengan stoking putih, lelaki-lelaki tersebut tidak mencetuskan syak wasangka Mahmoud.

Pada pukul 8 malam, semasa Mahmoud berada di dalam bilik hotel, skuad pembunuh itu bersedia untuk bertindak.

Wanita kurus lampai itu dilihat tersenyum menerusi kamera CCTV dengan memakai rambut palsu membuat tinjauan terakhir di depan bilik Mahmoud.

Dia kemudian menghilangkan diri. Empat orang lelaki muda yang mengembara dalam dua kumpulan pergi ke bilik komander Hamas itu.

Namun yang mencetuskan misteri ialah bagaimana ejen-ejen itu memasuki bilik Mahmoud dan apakah yang terjadi pada pintu bilik komander Hamas tersebut.

Itu yang menyebabkan pihak berkuasa Dubai kehairanan.

Adakah lelaki itu mengetuk dan berpura-pura seperti kakitangan hotel?

Atau adakah sebagai suspek mereka memasuki bilik itu dengan menggunakan gajet perisikan yang canggih?

Beberapa minit selepas pukul lapan malam, mereka sudah memasuki bilik Mahmoud.

Empat puluh minit kemudian, komander Hamas itu ditemui mati.

Ejen-ejen itu meletakkan lampu meja tidur berjauhan dan menggantungkan wayar itu pada satu gajet yang membunuh Mahmoud dengan kejutan elektrik.

Beberapa penyiasat percaya anggota-anggota skuad pembunuh itu cuba untuk mewujudkan seperti serangan jantung sebelum melemaskannya dengan menggunakan bantal.

Terdapat kesan terbakar pada dadanya.

Pada pukul 8.46 malam empat pembunuhnya dengan tenang keluar dari biliknya dan skuad pembunuh itu berkumpul semula di sebuah lif selain meletakkan tanda jangan ganggu di depan bilik Mahmoud.

Empat orang daripada skuad itu meninggalkan hotel tersebut selang beberapa minit dengan memakai pakaian seperti mereka mahu pergi bermain golf.

Wanita tinggi lampai itu dan baki pasukan pembunuh itu keluar dari Dubai dalam tempoh dua jam dengan menuju ke distinasi berlainan serta menaiki penerbangan berbeza.

Kakitangan hotel kemudian menemui mayat Mahmoud pada waktu pagi.

Apa yang anehnya ialah, bilik dikunci dari dalam.

Pihak berkuasa Dubai masih memikirkan bagaimana pembunuh tersebut mendapat kad kredit berpangkalan di AS untuk membiayai operasi pembunuhan tersebut.

Namun, terdapat spekulasi bahawa wujud seorang lagi pembunuh yang memanjat bilik Mahmoud dan keluar dari biliknya.

Bekas penganalisis Asia Barat untuk Jabatan Pertahanan AS, Graeme Bannerman menyatakan terdapat kemungkinan pembunuh itu tidak mengetahui bahawa di Dubai, terdapat kamera litar tertutup yang merakamkan setiap geri mereka.

Secara faktanya, pembunuh itu dianggap amatur kerana gambar mereka dirakamkan oleh kamera litar tertutup sehingga menyebabkan ada tanggapan bahawa Israel dianiayai oleh sebuah saingan perisikan yang mahu pembunuhan Mahmoud dipersalahkan ke atas Mossad.

“Orang ramai boleh berkata bahawa ia bukannya profesional seperti dikendalikan Mossad kerana pada kebiasaannya tidak ada kesan ditinggalkan oleh agensi perisikan itu.

“Namun, apa yang pasti keberkesanan (operasi bunuh itu) telah diperkatakan,” kata Bannerman.

“Pada masa ini, dengan terdapat kamera pemantauan, suasana tidak seperti pada 30 tahun lalu.

“Ia sukar untuk melakukan (pembunuhan) pada zaman kini.

“Namun, di Israel, tidak ada sesiapa pun yang mempersoalkan ia (pembunuhan) itu telah dilakukan oleh Mossad,” tambahnya.

Pada perkembangan terbaru, Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman kini sedang berunding dengan beberapa pegawai di Eropah bagi meyakinkan bahawa negaranya tidak mempunyai kaitan dengan penggunaan pasport palsu oleh pembunuh Mahmoud.

Pembunuh komander Hamas itu memasuki Dubai dengan menggunakan pasport Britain, Ireland, Perancis dan Jerman. – Agensi

Sumber :

http://www.niknasri.com/?p=2766#more-2766

Penda'ie Kecil

Bismillah...

Tak sangka TV1 satu boleh menerbitkan rancangan seperti ini. Memang keyakinan saya TV1 boleh jadi hebat daripada TV - TV lain dengan syarat orang yang memimpin itu kena hebat misi ke arah kebaikannya.

Secara peribadi saya ni memang kureng tengok siaran - siaran di TV1 melainkan siaran yang berunsur agama. Kalau nak tengok berita pun tunggu siaran sukan sahaja kerana nak banding laporan sukan dengan tv - tv lain TV1 lebih baik sikit la.... berita - berita lain? boleh tengok dan dengar tapi kalau nak percaya? Waallahua'alam...

Siaran yang saya maksudkan ialah rancangan ADIK-ADIKKU bersiaran jam 6.30pm ISNIN HINGGA JUMAAT - ulangan 9.30am ISNIN HINGGA JUMAAT. Sekarang sudah masuk hari-hari terakhir. 18 MAC nanti adalah PERTANDINGAN AKHIR dan rasanya hari ini sudah masuk di peringkat separuh akhir.

Kalau tak salah, saya ada mendengar ulasan mengenai rancangan ini bersama dengan penerbitnya di udara Radia IKIM.FM pada ahad lepas yang menyatakan bahawa rancangan ini mengetengahkan bakat seramai 20 penda'ie kecil yang menunjukkan persembahan melalui pidato yang disusuli dengan tarannum, nasyid, bacaan surah dan sebagainya.

Memang saya adalah peminat rancangan ini cuma waktu siarannya yang kurang sesuai bagi rakyat di negeri sabah dan sarawak. Ketika ini waktu maghrib dalam jam 6.30 petang. Mungkin pihak penerbit dapat memikirkan waktu siarannya disesuaikan untuk negeri seluruh Malaysia.

Cerita dan info mengenai rancangan ini bolehlah berkunjung ke blog ZAUJATI HABIBATI. Walaupun tak banyak rancangan yang membawa kepada kebaikan berbanding rancangan mungkar dan maksiat di TV-TV, sekurang - kurangnya program seperti ini ada dan diharapkan akan diperbanyakkan lebih daripada rancangan mungkar dan maksiat.

Ayuh dan jom kita tengok sama-sama.. saya meminati adik Qayyim Nizar.

Isnin

Bismillah...

Pernah kita mendengar nama harian bermula isnin sehingga ahad ada yang menggunakannya sebagai nama seseorang.

Mungkin anda pernah mendengar namanya si Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat (saya "a"nya dibuang satu), sabtu. Untuk selasa dan ahad saya belum pernah lagi berjumpa orang yang bernama sedemikian.

Pemasyhuran nama bagi seseorang itu mungkin ada sejarah dan kaitan kepada peristiwa sesuatu atau juga sekadar glamour ataupun bagi yang mengambil nama daripada nama - nama para nabi, sahabat nabi dan ulama - ulama berharap agar anak mereka dapat mencontohi keperibadian mereka.

Kesimpulannya, yang amat penting biarlah nama yang diberikan itu adalah maknanya yang baik-baik. Ada apa pada hari isnin ? Seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad RA daripada Ibnu "Abbas yang mafhumnya (1) :

1. Rasullullah SAW dilahirkan pada hari isnin
2. Rasulullah SAW diangkat menjadi rasul pada hari isnin
3. Rasulullah SAW keluar berhijrah juga pada hari isnin
4. Rasulullah SAW tiba di madinah semasa hijrah pada hari isnin
5. Rasulullah SAW wafat pada hari isnin
6. Rasulullah SAW diberi kepercayaan untuk mengangkat Hajar al-Aswad ketika ka'abah dibangunkan oleh quraisy juga pada hari isnin.

Waallahu'alam.

Rujukan :

(1) Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al-Linggi, Biografi Bercahaya MUHAMMAD RASULULLAH SAW, Khazanah al-Linggi, m/s 5.

Isnin, Mac 08, 2010

Setahun

Bismillah...
12 Rabi'ulawal 1430H bersamaan 09 Mac 2009 sehingga 12 Rabi'ulawwal 1431H bersamaan 26 Februari 2010 lalu maka genaplah umur blog ini setahun.
Alhamdulillah, walaupun tidaklah seaktif mana dalam memberikan sesuatu dalam blog ini namun hadaf (tujuan) utama pembinaan blog ini agar sesiapa yang berkunjung memperolehi manfaat. Itulah yang diharapkan dan itulah yang saya cuba berikan yang terbaik melalui blog ini walaupun tidak selayaknya.
Sudah semestinya kebaikan itu yang dicari oleh semua orang semata - mata mengharapkan balasan daripada Allah SWT dan semoga apa yang dipaparkan ianya menjadi jariah yang baik serta bekalan yang bermakna apabila bertemu denganNYA.
Syukran Jazilan kepada para pengunjung kerana sudi berkunjung ke blog ini. Ambillah yang baik dan yang tak baik tu kuburkan ia dan sekiranya ada teguran, cadangan, pandangan, idea dan sebagainya bolehlah dimaklumkan kepada saya melalui saluran yang sedia ada dalam blog ini. Saya sangat alu-alukan...

Isnin, Mac 01, 2010

Bayang Searah Kiblat di LHDN

Bismillah...


19 Februari 2010 lalu saya telah menyampaikan ceramah mengenai kaedah penentuan arah kiblat di LHDN Kota Kinabalu. Ini merupakan jemputan pertama daripada jabatan kerajaan bagi saya menyampaikan ceramah yang berkaitan dengan ilmu falak.

Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BAKTI) LHDN, Kota Kinabalu memang aktif mengadakan tazkirah, ceramah dan kuliah - kuliah ilmu pada setiap minggu.

Saya dimaklumkan oleh En. Hakim kebetulan anaknya anak murid saya bahawa kali ini mereka ingin merasai kuliah lain daripada yang lain maksudnya sebelum ini mereka sering mendengar tazkirah atau ceramah yang berkaitan dengan Fiqh, Aqidah dan sebagainya. Tapi kali ini yang berkaitan dengan ilmu falak yang jarang - jarang didengari.

Saya telah menerangkan berbagai kaedah penentuan arah kiblat yang menggunakan makhluk - makhluk Allah SWT yang lain kerana setiap kejadian itu bukanlah sia - sia bahkan ada fungsinya tersendiri. Contohnya dengan menggunakan Matahari dan Bintang.

Antara kaedah penentuan arah kiblat yang boleh digunakan adalah:

1. Menggunakan bayang matahari searah kiblat
2. Menggunakan kedudukan terbit dan terbenam matahari
3. Menggunakan buruj-buruj atau bintang - bintang
4. Menggunakan fenomena ISTIWA' 'AZOM
5. Menggunakan peralatan ukur.

Dalam ceramah tersebut kelima - lima saya telah terangkan dan jelaskan secara teori namun kaedah nombor 1 saya telah tunjukkan juga secara amali.

Kebetulan pada hari tersebut di kawasan Kota Kinabalu bayang searah kiblat terhasil pada jam 9.25 pagi. Cara menggunakan kaedah ini adalah seperti berikut :

1. Tegakkan tiang ( tegak 90 darjah ) atau kalau dah ada tiang tegak yang sedia ada lagi bagus. Matahari terbit di sebelah timur akan menghasilkan bayang daripada tiang tersebut yang jatuh ke arah barat.

2. Maknanya, bayang yang jatuh ke arah barat itu adalah arah kiblat sebenar menuju ke kaabah. Perhatikah rajah di bawah :


Bagi mengetahui masa yang tepat bayang searah kiblat sesuatu lokasi hendaklah seseorang itu mahir dalam rumuz matematik dan beberapa formula pengiraan.

Kaedah ini amat senang dan tanpa ada sebarang kos berbanding dengan menggunakan peralatan ukur. Hanya menggunakan ciptaan Allah SWT yang berada disekeliling kita yang tiap - tiap hari kita ketemukkannya.

Apabila saya bandingkan hasil kaedah ini dengan arah kiblat di surau LHDN didapati sama. Seronok dan rasa lega kakitangan LHDN yang arah kiblat surau mereka tepat. Sekembalinya saya ke pejabat, rupa-rupanya surau tersebut memang Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah pernah menentusahkan kiblatnya sebelum ini. Alhamdulillah...

Kami menanti jemputan anda kerana adalah menjadi misi kami untuk menyebarkan ilmu falak di negeri ini khasnya dan Malaysia umumnya.

Waallahu'alam.