Rabu, April 18, 2012

Kursus Asas Kiblat 2012

Bismillah...

Alhamdulillah, dipanjatkan syukur dan puji ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Muhammad SAW penghulu segala nabi dan rasul.

Antara perancangan Unit Kiblat, Bahagian Falak pada tahun 2012 ini adalah mengadakan kursus / bengkel arah kiblat berdasarkan dua konsep iaitu, pertama dengan anjuran sendiri oleh Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sabah dan kedua dengan membuat anjuran secara bersama daripada pihak luar.

Sehubungan itu, pihak Pejabat Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Kota Kinabalu telah telah menganjurkan bengkel tersebut dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Sabah yang sasaran bengkel tersebut adalah di kalangan pegawai / anggota / pegawai awam PDRM Negeri Sabah seramai 50 orang.

Objektif atau matlamat bengkel ini adalah untuk menjelaskan arah kiblat dari sudut syara’, memberikan penerangan tentang kaedah – kaedah penentuan arah kiblat, memberikan kemahiran dalam penentuan arah kiblat kepada para peserta dan menjelaskan garis penentuan arah kiblat di Negeri Sabah.

Bengkel tersebut telah berlangsung pada 22 – 23 Mac 2012 / 29 – 30 Rabiulakhir 1433H ( Khamis – jumaat) bertempat di Mes. Pegawai kanan & Masjid Nur Islam IPK Sabah dan Balai Cerap al-Biruni Tg. Dumpil, Putatan. Bengkel dianjurkan secara bersama antara Pejabat Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Kota Kinabalu dan Pejabat Mufti Negeri Sabah.

3 kertas kerja telah dibentangkan oleh Ust. Mohd. Jumat Abd. Razak Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sabah ketika bengkel tersebut yang bertajuk “Kiblat Menurut Syara’”, “ Kaedah Penentuan Arah Kiblat “ dan“ Kaedah Pencerapan Hilal Jamadilawal 1433H “ serta beberapa slot praktikum keadah penentuan arah kiblat mengguna pakai kaedah secara tradisional dan moden yang turut dikendalikan oleh fasilitator iaitu Ust. Mohd. Salam Md. Salleh dan Ust. Mohammad Hisham Yayah.

Seramai 50 orang dikalangan warga PDRM, IPK Kota Kinabalu telah menyertainya. YDH. DCP Dato’ Hj. Hamza bin Taib, Pesuruhjaya Polis Sabah telah merasmikan bengkel tersebut dan Majlis Perasmian Penutupan telah dirasmikan oleh Y.Bhg SS. Datuk Hj. Ahmad Alawi Hj. Adnan, Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

Bengkel tersebut telah diadakan di Masjid Nur Islam, IPK Kota Kinabalu manakala majlis perasmian penutupan diadakan di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah.

Seusai majlis perasmian penutupan para perserta telah menyertai aktiviti cerapan hilal jamadilawal 1433H yang diadakan di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah.

Semoga bengkel tersebut telah mencapai matlamatnya demi kebaikan para peserta dan dapat diamalkan dalam kehidupan agar ibadah yang dilalukan khasnya “solat” dapat dilaksanakan dengan sebaiknya tanpa ada sebarang curiga dan was – was yang berkaitan dengan arah kiblat.

Oleh itu, Pejabat Mufti Negeri Sabah khasnya di Bahagian Falak akan terus memasyarakatkan ilmu falak dengan melaksanakan bengkel / kursus / seminar bersama pihak – pihak yang berkenaan di negeri ini demi kemaslahatan masyarakat dalam melaksanakan ibadah solat.

Disediakan oleh ;

Bahagian Falak,

Pejabat Mufti Negeri Sabah.















0 ulasan:

Catat Ulasan