Ahad, Oktober 31, 2010

Piala Malaysia Milik Kelate

Bismillah...

Piala Malaysia 2010 sah milik Kelantan setelah membenam Negeri Sembilan dengan jaringan 2 - 1.
Semangat penyokong - penyokong Kelantan.

Tahniah, tahniah, tahniah.... bola - bola juga, kepimpinan ulama' tetap disokong...


titik-titik nikmat dan anugerah Allah

Bismillah...

Saya tertarik dengan entry ummuameen mengenai kisah buah hati kami....

titik-titik nikmat dan anugerah Allah

DENGAN ASMA ALLAH YANG MAHA AGUNG

"CHILDREN LEARN WHAT THEY LIVE. AND LIVE WHAT THEY'VE LEARNED"

Rasanya baru semalaman , saya menangis dalam doa ketika 3 tahun ternanti-nanti kehadiran mereka. Anak memang bak permata....mungkin juga bak cahaya. Alhamdulillah, semoga anak-anak ini menjadi jambatan ummi dan abi menggapai redha dan syurga Ar Rahman.
Alhamdulillah Ya Allah atas hadiah, nikmat dan anugerah ini. Semoga zuriat kami ini mengasihi Mu dan mewarisi akhlak mulia kekasihMu Rasulullah SAW.

Iman Nurul'atifah....versi budak Jepun sejuk macamlah salji turun kat Sabah nih...=)




"Along sini....." jerit Ameen ketika saya tercari-carinya di kedai buku semalam. Kemahiran terbaru Abe Long Ameen sekarang buka buku dan bercerita (bercakap orang-sorang.....) Paling dia seronok kalau dalam buku tu saya katakan ada Abe Long dan adik Iman. Apalagi kalau Abe Long adalah ultraman!!

Saat kanak-kanak seusia Ameen, ceritalah apa saja pasti dia rasa kagum dan seronok mendengarnya. Walaupun ceritanya hanya bertajuk "SIPUT SEDUT BERKAWAN DENGAN SI TIKUS KURUS YANG KELAPARAN" - versi cerita ummi yang kehabisan idea tapi kena paksa jugak oleh anak untuk bacakan buku untuknya!



tinta normi : pasti inilah juga perasaan ma dan ayah saat besarkan kami adik beradik. Ya Allah ampunilah dosa ma dan ayah.Rahmatilah mereka, kasihilah mereka ya Allah...

DOA NORMI - si hamba Ar Rahman : "Ya allah andainya di luar sana masih ada hamba-hambaMu yang belum Dikau hadiahkan zuriat, perkenankanlah hajat mereka itu. Andai di luar sana masih ada suami isteri yang mengadu, merintih padaMu agar dihadiahkan zuriat penawar hati Dikau sampaikanlah hajat mereka.....amiiin Ya Rabbal A'lamin."

Khamis, Oktober 28, 2010

Praktikal

Bismillah...

Kursus masuk hari yang kedua para peserta telah diperkenalkan dengan peralatan yang digunakan dalam penentuan arah kiblat.

Peralatan yang diperkenalkan adalah peralatan moden seperti tedeolit, total station dan kompas prasmatik bertripod dan bagi peralatan tradisional seperti tongkat Istiwa.

Para peserta telah dilatih tatacara menggunakan perlatan - peralatan tersebut dengan dibimbing oleh penceramah, dab krew - krew Unit Falak Syarie Pejabat Mufi Negeri Sabah , Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Cawangan Sabah. Secara tidak langsung para peserta telah melaksanakan praktikal.

Tujuan praktikal ini diadakan adalah bagi persediaan para peserta untuk melaksanakan amali pada kes sebenar penentuan arah kiblat di sebuah surau pada hari terakhir. Penentuan atau semakan arah kiblat di surau tersebut yang akan dilaksanakan adalah hasil gerak kerja para peserta sama ada ianya tepat atau sebaliknya.











Rabu, Oktober 27, 2010

Peserta

Bismillah...

Seramai 40 orang peserta mengikuti Kursus Falak ( Kiblat ) Peringkat Negeri Sabah yang sedang berlangsung di Sabah Hotel, Sandakan. Hari ini masuk hari kedua.

Dirakamkan gambar - gambar peserta ketika mengikuti kursus ini :





Kursus Falak (Kiblat) Peringkat Negeri Sabah

Bismillah...


26 sehingga 28 Oktober 2010 saya berkampung di Sabah Hotel, Sandakan. Pakej 3 hari 2 malam di sini semata - mata mengikuti Kursus Falak (Kiblat) Peringkat Negeri Sabah. Kursus ini dianjurkan oleh pihak ILIM dengan kerjasama JAKIM Sabah, Pejabat Mufti Negeri Sabah dan JHEAINS.


Sasaran kursus adalah terumpu kepada Imam - imam di sekitar bahagian Sandakan, Kakitangan kerajaan yang terdiri daripada Jabatan Pendidikan, anggota tentera dan sebagainya.

Pelaksanaan kursus seperti ini telah masuk kali ke 3. Pada tahun 2008 ianya dilaksanakan di Kota Kinabalu, tahun 2009 di Tawau dan tahun ini di Sandakan.

Dr. Baharuddin Zainal dan En. Ahmad Taupan dari UNISZA ( Universiti Sultan Zainal Abidin , Terengganu ) merupakan sifu falak saya yang mengemudi dan selaku penceramah utama dalam kursus ini sepertimana pada siri - siri lepas.

Antara pengisian kursus ini ialah beberapa slot ceramah dengan tajuk yang menyentuh mengenai sistem koordinat yang merupakan asas dalam perkiraan ilmu falak selain huraian dan penerangan mengenai ilmu falak. Di samping itu, para peserta juga didedahkan beberapa kaedah penentuan arah kiblat dengan menggunakan beberapa peralatan.

Pengisian kursus secara teori dan amali adalah cara terbaik dalam mencapai objektif kursus ini yang akan didedahkan kepada peserta. Akhir kursus ini, para peserta akan melaksanakan amali dalam kes sebenar penentuan arah kiblat di lokasi sebuah masjid / surau. Selain itu, melalui kursus ini juga penerangan mengenai Prosedur Penentuan Arah Kiblat Negeri Sabah turut dijelaskan dan diterangkan kepada para peserta.

Mudah - mudahan para peserta memperolehi ilmu yang bermanfaat terutamanya ilmu falak yang berkaitan dengan arah kiblat untuk diamalkan dan dimanfaatkan kepada umat Islam.

Dr. Baharrudin Zainal

En. Ahmad Taupan



Selasa, Oktober 26, 2010

Hotel Penuh

Bismillah...

25 Oktober 2010 bermulanya saya bermusafir ke daerah Sandakan atas tujuan mengikuti kursus falak (arah kiblat) peringkat negeri Sabah atas anjuran bersama ILIM, Pejabat Mufti Negeri Sabah, JAKIM Sabah dan JHEAINS.

Saya tiba di Airport Sandakan jam 1.40 petang. Kelihatan ramai pembesar dan ahli politik dalam penerbangan yang sama. Seperti sedia maklum bahawa 26 hb Oktober adalah hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Batu Sapi, Sandakan dan DUN Galas di Kelantan.

Sudah pasti bandar Sandakan menjadi tumpuan bagi ahli - ahli politik. Kebetulan lokasi Batu Sapi berdekatan dengan bandar Sandakan. Itu saya tak kisah sebab kehadiran saya ke Sandakan bukan atas dasar politik tapi atas urusan rasmi kerja.

Saya telah dijemput oleh salah seorang staf JHEAINS Sandakan dan dibawa untuk mencari penginapan sebelum bermulanya kursus pada esok hari.

Bermulanya di kawasan bandar saya bertanyakan bilik hotel untuk disewa. Jawapan mereka semuanya penuh. Saya teruskan pencarian sehingga lokasi yang jauh dari bandar. Namun semuanya memberi jawapan yang sama.

Tibanya 2 orang lagi staf Pejabat Mufti melalui jalan darat dan saya meneruskan pencarian hotel bersama mereka sehinggalah masuk waktu maghrib. Walau bagaimanapun semua hotel tidak ada yang kosong. Rupa - rupanya pengumuman telah dihebahkan di Radio bahawa seluruh hotel di Sandakan telah penuh ditempah sempena penamaan calon dan kempen pilihan raya Batu Sapi bermula 26hb Oktober sehingga 04 November 2010.

Akhirnya, saya mengajak kawan - kawan bermalam di kampung iaitu di Beluran jaraknya 90KM dari bandar Sandakan lebih kurang 1 jam masa perjalanan. Dalam sedikit kepayahan dan kesukaran musafir kali ini ada sedikit hikmah yang dirasai apabila Allah memberikan keizinan untuk saya menatap wajah bapa dan mama kerana dapat balik ke kampung.

Alhamdulillah, malam tu kami tidur dengan selesa dan nyenyak mungkin juga kerana keletihan mencari hotel yang tiada kekosongan.

p/s :

Maaf kepada 2 orang sifu falak saya Dr. Baharuddin dan Ahmad Taupan kerana apa yang dirancang lain pula jadinya. Itulah kekuasaan Allah SWT, segala-galanya hanya dengan izinNYA.


Waallahu'alam.

Isnin, Oktober 25, 2010

Motorsikal Besar

Bismillah...


Setibanya saya di Airport Kota Kinabalu untuk bermusafir ke Sandakan, saya ternampak sebuah motorsikal besar berjenama kawasaki sedang berpaking di tepi jalan berhampiran pintu masuk menuju ke kaunter masuk.


Cantik juga motor ni. Saya keluarkan handphone lalu mengambil gambar. Saya ni minat juga bab - bab motor tetapi kalau besar sangat macam motor ni rasa tak ada selera untuk menunggangnya. Saya ada sebuah motor jenama honda Wave S 125cc, tujuan membelinya pun hanya untuk memudahkan saya ke masjid, pasar dan sesekali ditunggangi menuju ke pejabat mengelak daripada kesesakan jalan raya. Itupun sekiranya isteri cuti mengajar.

Apa jenis motor pun ianya tertakluk dengan tujuan si pemilik. Untuk bergaya atau untuk keperluan lain? terpulanglah yang penting ianya untuk kebaikan dan bukan untuk kemudharatan seperti rempit merempit atau lumba haram.

Ahad, Oktober 24, 2010

Jual Telur Masin

Bismillah....


"Assalamualaikum, Ustaz mau beli telur masin"... salah seorang anak murid mengaji saya datang di depan pintu rumah bertanyakan jika ingin membeli telur masin. Firdaus dan adiknya fauzan dan seorang kawan mereka aiman kesemuanya anak murid mengaji saya menaiki basikal masing - masing pusing seluruh taman menjual telur masin.

Ini kali kedua mereka sampai ke rumah dengan tujuan yang sama. Kami pula tidak melepaskan peluang kerana telur masin menjadi makanan kegemaran kami terutamanya isteri saya. Bubur nasi makan dengan telur masih berkuahkan kicap.... wah sodapnya.


Emak firdaus kawan karib kepada salah seorang staf di pejabat saya. Dengarnya, Emak firdaus tengah mengusahakan perniagaan telur masih. Alhamdulillah, hari ini dengan harga RM0.60 sebiji berbanding sebelumnya RM0.80, saya telah membeli sebanyak 20 biji.

Yang seronoknya, saya dapat melihat bagaimana anak - anak ini telah ditarbiyyah berniaga seawal umur mereka ini. Mengingatkan kembali nostalgia saya kecil - kecil dulu. Saya pernah menjual kuih muih, mee / bihun goreng keliling kampung. Peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila jualan saya jatuh ke tanah dan balik ke rumah tanpa membawa sebarang keuntungan.... sedihnya.. nasib baik mak tak marah..Rupa-rupanya apabila saya dah besar baru saya paham bahawa dalam berniaga UNTUNG DAN RUGI memang lumrah bagi orang yang berniaga.

Rezeki orang berniaga (perniagaan halal) adalah lebih baik kerana itu adalah hasil titik peluh mereka. Adatnya, lagi banyak berusaha maka banyaklah untungnya, malas berusaha maka tak dapat apa-apa.

Berniaga tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan. Oleh itu, berniagalah dengan perkara yang halal dan jangan dilupa mencari KEBERKATAN DALAM PERNIAGAAN kerana ianya akan memberikan keuntungan di dunia dan diakhirat.

Firdaus dan kengkawan kalau ada telur masin lagi mai la datang rumah ye...

Ahad, Oktober 17, 2010

2 & 124

Bismillah...

27 sehingga 30hb September 2010 lepas merupakan pemusafiran saya yang agak lama dalam kerja - kerja penentuan arah kiblat yang melibatkan 3 buah daerah iaitu Sandakan, Lahad Datu dan Kunak. Perjalanan saya melalui udara menaiki kapal terbang.

Sandakan

27 September 2010, di daerah Sandakan terdapat 2 buah surau baru didirikan di kawasan Projek Perumahan Rakyat Jalan Sibuga dan Jalan Sungai Manila. Lawatan saya ke lokasi pembinaan surau di Jalan Sibuga adalah lawatan kali ke - 2 yang mana pada lawatan pertama pihak pemohon tidak menyediakan juruukur menyebabkan pengesahan arah kiblat tertangguh.


Alhamdulillah, pembinaan surau di Jalan Sg. Manila telah bertepatan dengan garis panduan arah kiblat dan pengesahan telah diberikan.


Kedua - dua lokasi ini bakal menjadi penempatan bagi penduduk di sekitar kawasan tersebut dan beberapa buah blok bangunan telah dibina yang boleh menampung sehingga berpuluh ribu penduduk.



Penerbangan jam 7 pagi ke Sandakan dan balik ke Kota Kinabalu pada penerbangan jam 2 petang. Namun, peristiwa yang tidak saya dapat lupakan apabila kapal terbang telah meninggalkan saya. Sepatutnya sampai ke Kota Kinabalu jam 2.50 petang tetapi saya tiba jam 7.30 malam. Nasib badan....

Lahad Datu dan Kunak

28 sehingga 30 September 2010, misi penentuan arah kiblat diteruskan sebanyak 3 buah surau, 2 hotel dan sebuah asrama MPOB.

Surau SMK Agaseh, Lahad Datu hanya membuat semakan arah kiblat. Di dapati arah kiblat surau yang sedia ada tidak menepati arah sebenar kiblat. Alhamdulillah telah diperbetulkan dengan menggunapakai kaedah azimuth terbitnya matahari berdasarkan koordinat lokasi surau tersebut.


Saya meneruskan perjalanan ke SK. Silam. Sekolah ini terletak di tepi jalan menuju ke daerah Kunak lebih kurang 20KM dari bandar Lahad Datu. Malangnya kiblat surau yang akan dibina di sekolah ini tidak dapat disahkan memandangkan pihak pemohon tidak menyediakan jurukur. Saya tinggalkan dan berpesan agar pemohon dapat menyediakan segala keperluan dan memaklumkan kepada pihak kami.

Perjalanan diteruskan ke daerah Kunak. Sebuah surau yang telah siap dibina di Kg. Getah. Saya telah dimaklumkan oleh pihak Jawatankuasa Surau yang mana kiblat surau tersebut mereka telah tentukan menggunakan kaedah Istiwa' 'Azam pada 28 Mei lalu. Saya telah menyemak surau tersebut didapati arah kiblatnya tepat.



Sebenarnya, kaedah Istiwa' 'Azam adalah salah satu kaedah penentuan atau penyemakan arah kiblat yang tepat jika mengikut tatacara yang sebenar. Pihak Pejabat Mufti Negeri Sabah lazimnya mengwar - warkan perkara ini di radio Sabah dan media - media massa yang lain setiap tahun. Istiwa' 'Azam ini berlaku 2 kali setahun iaitu pada 28 Mei jam 5.26 petang dan 16 Julai 5.28 petang.

Saya kembali ke Lahad Datu bagi meneruskan misi kerja - kerja arah kiblat. Hotel Silam Dynasty mempunyai 80 buah bilik dan berbaki 30 buah bilik lagi yang belum ditentusahkan kiblatnya. Ini merupakan lawatan kali ke - 2. Alhamdulillah selesai di hari pertama saya di Lahad Datu.

Keesokkan harinya saya ke MPOB (saya tak ingat apa nama penuhnya dan seingat saya tempat ini tempat kursus bagi staf-staf yang berkaitan dengan hal ehwal sawit) dan jaraknya dari bandar Lahad Datu lebih kurang 18KM . MPOB mempunyai asrama yang baru siap dibina bagi kemudahan peserta kursus. Mempunyai 58 buah bilik dan 4 buah surau. Alhamdulillah saya telah menyelesaikan arah kiblat di tempat ini yang berakhir pada jam 1 tengahari.



Misi seterusnya ke Hotel Exekutif. Mempunyai 54 buah bilik keseluruhannya. Lokasinya hanya berhadapan Hotel Silam Dynasty. Alhamdulillah, saya telah selesaikan sebanyak 30 buah bilik. Selebihnya akan diselesaikan pada masa yang akan ditentukan kelak kerana ketika itu bilik - bilik tersebut dihuni oleh pelanggan. Biasanya hotel atau resort yang sedia ada yang ingin ditentukan kiblat tidak akan dapat diselesaikan dalam tempoh sehari kerana kesukaran untuk memasuki bilik yang telah dihuni oleh pelanggan melainkan pihak hotel atau resort bijak dalam bertindak.


Kesimpulannya, 3 buah surau tolak sebuah, 60 buah bilik di 2 buah hotel dan 62 bilik asrama MPOB telah ditentukan arah kiblat. 2 & 122 bermakna 2 buah surau dan 122 buah bilik termasuk 2 buah hotel dan Asrama MPOB.

Misi Arah Kiblat diteruskan.....

Ahad, Oktober 10, 2010

Kiblat di Sipitang

Bismillah...

24 hb September 2010 ( Khamis ) saya meneruskan pemusafiran ke Daerah Sipitang atas tujuan penentuan arah kiblat. Daerah Sipitang terletak di bahagian pedalaman ke arah selatan dan jaraknya hampir 200KM dari bandaraya Kota Kinabalu.

2 lokasi penentuan arah kiblat di daerah ini iaitu :

1. Bilik Solat Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sipitang


Terletak ditengah - tengah pekan Sipitang. Lokasinya amat strategik untuk dikunjungi oleh orang awam.

Struktur bangunannya agak unik sedikit. Berbentuk bulat dan mempunyai ruang bilik yang tidak selari dan berlainan sudut. Ini agak mencabar untuk saya mencari sudut yang sesuai bagi menetapkan arah kiblat di bilik solat yang ada di sana.

Kerja awalan, saya mulakan dengan mendapatkan koordinat lokasi menggunakan GPS model GARMIN seterusnya menghitung azimuth arah kiblat berdasarkan koordinat tersebut. Dengan GPS GARMIN juga saya membuat semakan awal arah kiblat.

Alhamdulillah, kaedah kedudukan azimuth matahari di sebelah pagi dan penggunaan kompas prasmatik telah saya gunakan bersesuaian dengan keadaan orentasi bangunan perpustakaan tersebut.

Penetapan arah kiblat selesai dan stiker arah kiblat telah dilekat di syiling bilik solat tersebut.


2. Masjid Baru Kg. Luagan

Perjalanan mengambil masa selama 10 minit dari pekan Sipitang. Pihak pemaju telah menanti kedatangan kami.

Masjid Kg. Luagan merupakan masjid baru bagi kampung tersebut. Prosedur penentuan arah kiblat bagi pembinaan masjid baru berlainan dengan prosedur bagi semakan masjid dan surau atau permis swasta @ kerajaan.

Seperti lazimnya saya mendapatkan koordinat tapak masjid tersebut dan membuat hitungan azimut kiblat.

Malangnya ketika kami sampai ke lokasi tapak pembinaan, juruukur yang sepatutnya wajib hadir tidak kelihatan. Pengesahan tidak dapat diberikan dan saya beredar balik sehingga gambar pun saya tiada mood nak ambil.