Sabtu, April 21, 2012

Tadarus Al-quran & Tazkirah

Bismillah,




Lazimnya setiap hari jumaat kira - kira sejam setengah masa diperuntukan kepada warga Pejabat Mufti Negeri Sabah untuk sama - sama bertadarus al-Quran dan selepas itu sedikit tazkirah disampaikan oleh para ustaz secara bergilir-gilir yang menyentuh beberapa bab antaranya tafsir, feqah, sirah dan dakwah.Pada kebiasaannya tadarus ini dipimpin oleh SS Mufti Negeri Sabah. Alhamdulillah, majlis sedemikian setelah sekian lama diamalkan tentu saja banyak manfaatnya.

20/04/12, giliran saya untuk menyampaikan tazkirah. Saya menyentuh mengenai amalan solat, zikrullah dan membaca al-quran di rumah didatangi oleh malaikat rahmah. Sering Nabi SAW memberikan peringatan bahawa orang yang meninggalkan solat maka keberkatan hidup dan rezekinya akan dicabut dan Nabi SAW juga membawa perumpamaan mereka yang tidak solat ibarat "BANGKAI BERJALAN". Maknanya tiada guna muka hensome, cantik, putih melepak, gebu dan sebagainya dipandang oleh manusia tetapi di sisi Allah rupanya "BANGKAI BERJALAN". Agak-agak kalau tuan puan jalan di suatu laluan tetiba terjumpa seekor rusa ( versi sabah: payau ) yang telah mati tanpa kita ketahui kematiannya atas sebab apa, sanggup tak ambil dan lapah lalu buat sup payau (payau ni adalah daging fist class, orang semenanjung pun kalau datang sabah ada yang mesti cari daging payau). Tentu tidak kan, sebab ianya sudah menjadi bangkai dan kita rasa jijik dan kotor. Jadi, kalau orang tak solat?.... macam mana ye...

Oleh itu, kalau rumah hendak dimasuki malaikat rahmat kenalah banyakkan solat (solat sunat) di rumah. Solat fardhu?... solat fardhu bagi lelaki pergilah ke masjid atau surau berdekatan kerana itulah sebaik-baiknya.
Selain itu, perbanyakkan zikrullah dan membaca al-Quran di rumah juga membuatkan malaikat rahmat suka memasuki rumahnya. Kalau rumah tiap hari dengar lagu-lagu lagha (melalaikan) dipenuhi oleh aktiviti yang mendatangkan dosa dan maksiat maka rumah tersebut jauh dari rahmat bahkan dekat kepada azab membuatkan ahlinya juga turut hidup dalam keserabutan tanpa bahagia.

Tanda rumah itu berkat dan rahmat, ialah ahlinya hidup bahagia, suami tengok muka isteri rasa sejuk hati, isteri tengok suami rasa bahagia, lihat wajah anak-anak tambah bahagia. Jika suami seawal pagi pergi bekerja petangnya tak sabar - sabar balik rumah hatta tengok bumbung rumah tersebut pun sudah merasa sejuk hati dan bahagia. Itu tandanya "Rumahku syurgaku". Tapi, jika rumah tersebut tanpa berkat dan rahmatNYA, segala-galanya rasa serabut, penghuninya pun hidup lintang pungkang, tiaphari kedengaran tengking menengking, suami pukul isteri, si isteri pula plingkek (betulkah ejaan tu... :) ) anak-anak. Maka jadilah "rumahku nerekaku atau azabku"... kita mohon perlindungan kepada Allah SWT daripada perkara sedemikian.

Jika Solat, Zikrullah dan membaca al-Quran itu adalah budaya di rumah kita sudah pasti yang kita harapkan adalah "kesejahteraan dan kebahagian" anugerah Allah SAW di dunia dan akhirat. Itulah yang sering didoakan oleh Rasul SAW yang diriwayatkan oleh ibn majah, ahmad juga tercatat dalam kitab "al-Kabair" ;
اللهم انا نسالك العافية فى الدين والدنيا والاخرة
( Ya Allah berikanlah kami keafiatan [kesejahteraan dan kebahagiaan] kepada kami pada agama didunia serta akhirat ).

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada warga sepejabat ambillah peluang dan kesempatan untuk duduk bersama di dalam majlis tersebut, hanya sejam setengah berbanding berjam-jam dalam kita bekerja dalam seminggu untuk mendapatkan sedikit manfaat dan peringatan sebagai satu tarbiyyah untuk diri, keluarga dan masyarakat. Luangkan masa, hanya duduk dengar orang lain membaca al-quran pun kita memperolehi pahala.

Kalau boleh kosongkan masa ketika itu dan berilah laluan kepada hati kita mendengar wahyu Allah dan peringatan-peringatan yang baik agar kita menjadi orang yang baik - baik yang sukakan kebaikan dan dengan kebaikan itu kita sampai-sampaikan kepada sanak saudara dan masyarakat. Kalau ada keuzuran yang tidak mendesak adalah lebih baik duduk majlis ilmu yang pasti adanya RAHMAT ALLAH SWT.

Sekian, jazakumullah dan semoga kita memperolehi manfaat.



















- albelurani iPad

Jumaat, April 20, 2012

Fiqah Menguji dan mengasah Aqal

Bismillah...

siapa tak kenal Ustaz Azhar Idrus, namanya dikenali ramai dipelbagai lapisan masyarakat. Majlis ceramahnya sentiasa penuh. Lazimnya, sesi ceramahnya mempunyai soal jawab dan kaedah jawapannya sangat menarik orang yang mendengarnya. Sangat mudah untuk difahami dan menepati seperti yang dibincangkan oleh para ulama'.

Memang benar bab fiqah ni memang medan untuk menguji aqal, dalam menyampaikan jawapan kekadang perlukan kaedah yang membawa orang yang bertanya dapat berfikir akan kesohihannya.

Tidak hairan jika kita mengimbau kehidupan dan cara ulama - ulama dahulu mengeluarkan hukum sungguh hebat kefaqihan mereka selain mereka punyai ilmu yang selayaknya mereka juga punyai kemahiran penyampaian jawapan tersebut samada melalui penulisan atau percakapan.

Lihatlah jawapan UAI dalam bab renjis merenjis pengantin yang kebanyakkan menjadi amalan masyarakat melayu di bawah ini. Anda bolehlah memahaminya.

maknanya " renjislah jika pengantin itu adalah ayam, mafhum sebalik itu bahawa renjis bagi manusia tak boleh kerana yang layak direnjis itu adalah ayam".





sekian, moga ianya bermanfaat untuk diri yang tak kahwin lagi atau yang nak berkahwin lagi atau ibu bapa yang hendak mengahwini anak mereka.

Sekian, moga bermunafaat.

- albelurani iPad

Rabu, April 18, 2012

Kursus Asas Kiblat 2012

Bismillah...

Alhamdulillah, dipanjatkan syukur dan puji ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Muhammad SAW penghulu segala nabi dan rasul.

Antara perancangan Unit Kiblat, Bahagian Falak pada tahun 2012 ini adalah mengadakan kursus / bengkel arah kiblat berdasarkan dua konsep iaitu, pertama dengan anjuran sendiri oleh Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sabah dan kedua dengan membuat anjuran secara bersama daripada pihak luar.

Sehubungan itu, pihak Pejabat Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Kota Kinabalu telah telah menganjurkan bengkel tersebut dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Sabah yang sasaran bengkel tersebut adalah di kalangan pegawai / anggota / pegawai awam PDRM Negeri Sabah seramai 50 orang.

Objektif atau matlamat bengkel ini adalah untuk menjelaskan arah kiblat dari sudut syara’, memberikan penerangan tentang kaedah – kaedah penentuan arah kiblat, memberikan kemahiran dalam penentuan arah kiblat kepada para peserta dan menjelaskan garis penentuan arah kiblat di Negeri Sabah.

Bengkel tersebut telah berlangsung pada 22 – 23 Mac 2012 / 29 – 30 Rabiulakhir 1433H ( Khamis – jumaat) bertempat di Mes. Pegawai kanan & Masjid Nur Islam IPK Sabah dan Balai Cerap al-Biruni Tg. Dumpil, Putatan. Bengkel dianjurkan secara bersama antara Pejabat Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Kota Kinabalu dan Pejabat Mufti Negeri Sabah.

3 kertas kerja telah dibentangkan oleh Ust. Mohd. Jumat Abd. Razak Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sabah ketika bengkel tersebut yang bertajuk “Kiblat Menurut Syara’”, “ Kaedah Penentuan Arah Kiblat “ dan“ Kaedah Pencerapan Hilal Jamadilawal 1433H “ serta beberapa slot praktikum keadah penentuan arah kiblat mengguna pakai kaedah secara tradisional dan moden yang turut dikendalikan oleh fasilitator iaitu Ust. Mohd. Salam Md. Salleh dan Ust. Mohammad Hisham Yayah.

Seramai 50 orang dikalangan warga PDRM, IPK Kota Kinabalu telah menyertainya. YDH. DCP Dato’ Hj. Hamza bin Taib, Pesuruhjaya Polis Sabah telah merasmikan bengkel tersebut dan Majlis Perasmian Penutupan telah dirasmikan oleh Y.Bhg SS. Datuk Hj. Ahmad Alawi Hj. Adnan, Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

Bengkel tersebut telah diadakan di Masjid Nur Islam, IPK Kota Kinabalu manakala majlis perasmian penutupan diadakan di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah.

Seusai majlis perasmian penutupan para perserta telah menyertai aktiviti cerapan hilal jamadilawal 1433H yang diadakan di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah.

Semoga bengkel tersebut telah mencapai matlamatnya demi kebaikan para peserta dan dapat diamalkan dalam kehidupan agar ibadah yang dilalukan khasnya “solat” dapat dilaksanakan dengan sebaiknya tanpa ada sebarang curiga dan was – was yang berkaitan dengan arah kiblat.

Oleh itu, Pejabat Mufti Negeri Sabah khasnya di Bahagian Falak akan terus memasyarakatkan ilmu falak dengan melaksanakan bengkel / kursus / seminar bersama pihak – pihak yang berkenaan di negeri ini demi kemaslahatan masyarakat dalam melaksanakan ibadah solat.

Disediakan oleh ;

Bahagian Falak,

Pejabat Mufti Negeri Sabah.















Alhamdulillah

Bismillah...

Alhamdulillah, itulah lafaz seawalnya yang mampu diungkapkan oleh kerana sudah lama blog ini tidak diupdatekan dan hari ini baru sahaja dapat menulis dan insyaAllah pada hari - hari seterusnya demi mengejar pahala untuk akhirat dan juga menjadikan medan blog ini sebagai medan "manfaat" sesiapa yang membacanya untuk sedikit saham di akhirat kelak.

Facebook, laman sosial terkini lagi popular kepada semua peringkat umur antara sebab kenapa blog dan pemain - pemainnya juga merosot kurang dilawati. Ada juga web - web yang sungguh mashor sebelum ini beralih ke facebook kerana medannya lebih luas dan aktif yang boleh diakses setiap masa dan tempat. Oleh itu, sudah semestinya kita mengambil peluang terhadap pekembangan teknologi ini, apatah lagi jika ianya menganggap facebook ini sebagai medan untuk mencari pahala.

Walaubagaimanapun, blog juga punyai peranan dan kelebihan, saya yakin dan percaya pemain - pemain blog merasainya dan kebarangkalian untuk kembali aktif ada dalam jiwanya... mungkin saya begitu, insyaAllah...

Sekian, barakaallahu fikum.

Khamis, Disember 08, 2011

Gerhana Bulan Penuh 10 Disember 2011



Timbanglah...

Bismillah...

Terjumpa gambar ini di FB kawan, kecut perut gelak dibuatnya... waduh. Sekadar gurauan yang tidak disangka-sangka....


Kelas Khas Tahfiz

Bismillah...

Anda yang mempunyai anak berumur 7 tahun pada 2012 sangat dialu-alukan...



Ahad, November 27, 2011

Rukyah Hilal Muharam 1433H

Bismillah...


26 November 2011 bersamaan 30 Zulhijjah 1432 adalah tarikh terakhir mengikut kiraan hijriah. Tahun 1432H melabuhkan tirainya dan 1433H kunjung tiba. Suka atau sebaliknya manusia selagimana hayat dikandung badan akan berada di tahun 1433H.

Alhamdulillah, lazimnya dan memang menjadi tugas hakiki bagi saya untuk turun mencerap hilal muharam. Biasanya aktiviti ini turut disertai oleh pihak luar, namun kali ini dikhususkan kepada warga Pejabat Mufti Negeri Sabah (PMNS) atas hasrat Mufti Kerajaan Kerajaan Negeri Sabah agar warga pejabat mufti turut didedahkan dengan ilmu falak . Kebetulan ada beberapa orang staf yang baru sahaja memulakan tugas di PMNS.

Jika majlis cerapan rasmi seperti Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah seluruh warga PMNS turut bertugas dan kesempatan untuk mencerap hilal ketika majlis tersebut agak terhad. Oleh itu, cerapan hilal muharam ini adalah masa yang terbaik untuk diperjelaskan kepada mereka tentang ilmu falak khasnya mengenai hilal (anak bulan).

Pengisiannya dimulakan dengan sedikit taklimat mengenai anak bulan muharam yang bakal dicerap pada petang tersebut. Cerapan kali ini juga turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Mufti, Ust. Mohd Ariffin Ali dan Timbalan Pengarah JUPEM.

5.57 petang waktu ghurubnya (terbenamnya) matahari dan masuknya waktu solat maghrib maka dimulakan aktiviti cerapan sebelum solat maghrib ditunaikan. Jika berdasarkan hisab melalui data yang dibekalkan bahawa di Balai Cerap al-Biruni negeri Sabah waktu hilal terbenam pada jam 7.03 malam, tinggi hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam 13 darjah 31 minit 15 saat, jarak hilal dari matahari 14 darjah 54 minit, umur hilal pula telah menjangkau 28 jam 54 minit.

Berdasarkan data hisbiah tersebut, maka hilal telah lebih memenuhi kritiria imkanurrukyah (keboleh nampakkan) yang ditetapkan dan alhamdulillah seawal jam 6.01 petang hilal mula kelihatan dengan bantuan faktor keadaan cuaca yang baik.

Warga PMNS serta Timbalan Pengarah JUPEM SABAH khususnya rasa gembira kerana ini pengalaman pertama mereka dapat melihat hilal dalam aktiviti cerapan seperti ini. Maknanya, selain taklimat berkaitan ilmu cerapan yang mereka dengari dalam masa yang sama Allah telah memperlihatkan hilal kepada mereka dan ini bererti objektif dan matlamat aktiviti kali ini bagi saya adalah tercapai walau ada beberapa orang yang punyai keuzuran dalam menghadiri aktiviti ini...

Sekian, jumpa lagi cerapan hilal safar akan datang...
















Rabu, November 23, 2011

Tips Kiblat di Hotel dan Resort

Bismillah...

khasnya kepada penduduk dan masyarakat Sabah atau para musafir yang bermusafir ke Sabah dan menginap di hotel atau resort. Beberapa tips atau panduan bagi anda memastikan arah kiblat di hotel atau resort yang anda diami.

Alhamdulillah boleh dikatakan telah banyak kami tentusahkan arah kiblat di bilik-bilik hotel atau resort di negeri Sabah ini samada yang berbintang atau tidak ada langsung bintangnya. Kami berdasarkan permohonan bukan berdasarkan taraf bintang sesebuah hotel atau resort. Juga perkhidmatan kami adalah 100% percuma.

Setiap hotel atau resort yang telah diberikan pengesahan arah kiblatnya maknanya telah memenuhi syarat dan telah kami lawati ke hotel dan resort tersebut. Antara syarat yang perlu diketahui adalah :

1. Penandaan arah kiblat dibuat di keseluruhan bilik hotel dan resort tersebut, maknanya kami masuk ke bilik-bilik hotel tersebut tanpa ada terkecuali walaupun satu bilik untuk diletakkan tanda (stiker) kiblat yang betul.

2. Penanda arah kiblat diletakkan/dilekatkan di atas syiling bilik hotel atau resort. Jika anda melihat stiker arah kiblat dilekatkan selain dari syiling seperti dalam laci/almari maka hotel tersebut tiada pengesahan daripada kami ( Pejabat Mufti Negeri Sabah ). Jika pihak hotel mendakwa pihak kami ada memberikan pengesahan maknanya pengesahan dan sijil pengesahan terbatal serta merta disebabkan berlakunya gangguan terhadap penanda arah kiblat.

Jika syarat tersebut telah dipatuhi, surat dan dan sijil pengesahan dianugerahkan kepada hotel dan resort tersebut dan mereka akan paparkannya di ruang atau lobi hotel sebagaimana sijil halal. Ini memudahkan para pengunjung ke hotel tersebut mengerjakan solat berpandukan arah kiblat yang terdapat di dalam bilik hotel dan resort tersebut.

Jika surat dan sijil tidak dipaparkan anda berhak meminta untuk ditunjukkan sijil dan surat pengesahan tersebut agar dapat menghilangkan rasa was-was dalam melaksanakan solat. Itu pun jika pihak hotel dan resort mendakwa hotel dan resort mereka telah ditentusahkan kiblatnya oleh pihak kami. Berhati-hati, kerana kes sebegini pernah berlaku.

Setelah itu, jika pihak hotel dan resort telah menunjukkan sijil atau surat pengesahan arah kiblat, teramat penting juga anda hendaklah memerhatikan stiker arah kiblat di dalam bilik hotel tersebut ianya memenuhi syarat seperti di atas. Jika sebaliknya, anda hendaklah melaporkan perkara ini kepada kami di alamat berikut :

Pejabat Mufti Negeri Sabah
Tingkat 2, Blok B, wisma MUIS
Beg Berkunci 2070
88999 Kota Kinabalu

tel : 088218322
faks : 088263679

Atau anda boleh berhubung langsung dengan saya melalui FB : albelurani alfalaki atau ditalian 0195367902 untuk tindakan lanjut daripada kami. Kami juga amat berharap di atas kerjasama anda atas dasar " Bertolong-tolong dalam kebaikan dan tidak bertolong-tolong dalam kemungkaran dan kejahatan".

Seperkara lagi, stiker kiblat ( penanda arah kiblat ) di setiap hotel atau resort adalah berlainan ini kerana atas dasar menghormati pihak hotel dan resort agar penanda tersebut bersesuaian dengan mereka. Namun, sedikit masa lagi STIKER KIBLAT akan diselaraskan dan akan sama semuanya menunjukkan bahawa pengesahan tersebut adalah daripada pihak kami.

Semoga dengan sedikit tips dan panduan ini membantu dan memudahkan anda melaksanakan solat apabila anda menginap di hotel dan resort di negeri Sabah.

Barakaallahu fiikum.



Jumaat, November 18, 2011

sekadar cuba - cuba

Bismillah...

Ini hanya sekadar mencuba update blog melalui ipaid. Menyertakan gambar di bawah mungkin sedikit sebanyak ianya membawa kita berwaspada bila di lamun "CINTA" atau cuba - cuba buat khianat cinta isteri kepada suaminya.




Mungkin anda tersenyum cuma senyuman itu insyaAllah membuatkan kita berfikir tanda insaf.

Sekian.