Khamis, Mac 10, 2011

Re-Treat Hala Tuju JAKIM Sabah

Bismillah...


3 hari 2 malam saya berkampung di Hotel Berjaya Palace, Kota Kinabalu bagi menghadiri kursus Re – Treat Hala Tuju JAKIM Cawangan Sabah bermula 06 sehingga 08 Mac 2011 dianjurkan oleh JAKIM Cawangan Sabah. Walaupun perbincangan ini lebih tertumpu dengan hala tuju JAKIM namun kursus tersebut turut dihadiri wakil di setiap jabatan dan agensi Kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO’S) Islam yang lain.

Kehadiran saya adalah mewakili Pejabat Mufti Negeri Sabah dan antara jabatan dan institusi agama yang hadir adalah JHEAINS, Pusat Zakat Sabah, Baitulmal, manakala NGO’S seperti CONCERN, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, SAHABAT, ABIM, USIA, Persatuan Ulama Malaysia Sabah (PUM) dan Universiti Malaysia Sabah serta UiTM wakil institusi pengajian tinggi yang ada di negeri ini.

Turut hadir pengarah – pengarah bahagian dan pusat – pusat latihan JAKIM di seluruh negeri. Pengisian kursus ini adalah lebih tertumpu dengan program dan agenda JAKIM Cawangan Sabah ( Plan Strategik ) bagi tempoh 5 tahun bermula 2011 sehingga 2016. Satu sesi ceramah dan 3 kali berbengkel dalam kumpulan merupakan pengisian kursus ini. Dimulakan dengan ceramah yang disampaikan oleh En. Musaddik Abd Masjid, Timbalan Pengarah Bahagian Saraan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Setelah itu kami dibahagikan 3 kumpulan yang terdiri daripada kumpulan 1 iaitu kumpulan Dakwah, Pengarah JAKIM Sabah sebagai ketuanya dan ahlinya di kalangan pengerusi – pengerusi NGO’S, pengarah – pengarah jabatan serta pengawai – pegawai JAKIM. Kumpulan 2 pula kumpulan PUSAT LATIHAN yang diketuai oleh Ust. Razali Shahbudin dan ahli – ahlinya di kalangan pegawai – pegawai JAKIM yang berkhidmat di Pusat –Pusat Latihan JAKIM seluruh Malaysia bersama wakil – wakil NGO’S. Saya pula di kumpulan 3 kumpulan KAFA dan TAKMIR yang diketuai oleh mantan pengarah JAKIM Sabah.

Alhamdulillah, walaupun bengkel ini adalah hanya membincangkan hala tuju JAKIM tetapi saya cukup kagum pendekatan JAKIM Sabah di atas sifat kerjasamanya terhadap jabatan, agensi dan NGO’S dalam merealisasikan hala tuju mereka dengan menjemput mereka ini untuk duduk semeja bagi mendapatkan pandangan dan idea memantapkan strategik seterusnya tindakan yang bakal diambil.

Merenung dan memahami bait kata – kata ucapan Ketua Pengarah JAKIM Y.Bhg Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, mesranya saya memanggilnya Ust. Wan ketika beliau Pengetua ( kini pengarah ) Darul Quran akhir tahun 1999 lalu yang menekankan bahawa JAKIM Sabah dalam melaksanakan kerja – kerja Dakwah di bumi Sabah ini jangan lupa sahabat – sahabat ( istilah yang digunakan menunjukkan jiwa yang tawadhuk – pandangan albelurani ) samaada di kalangan jabatan dan agensi agama atau NGO’S Islam yang lain. Dibuktikan sendiri oleh Y.Bhg Dato’ dengan pemerhatian saya selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah JAKIM turun ke setiap negeri bertemu dengan pengarah jabatan dan agensi serta ketua – ketua NGO’S termasuklah kunjungan beliau ke Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Secara peribadi saya amat kagum kepimpinan Ust. Wan sebabnya saya pernah menjadi anak murid beliau walaupun dalam tempoh masa yang singkat. InsyaAllah di lain masa saya akan catatkan sedikit memori ketika bersama beliau.

Akhirnya, saya merakamkan tahniah dan syabas kepada sahabat – sahabat di JAKIM Sabah terutamanya mantan pengarahnya Ust. Aziz Mohammad yang telah bertukar ke ibu pejabat dan telah digantikan oleh Y.Bhg Ust. Haji Ahmad Zaki Hj. Arshad di atas undangan kepada Pejabat Mufti Negeri Sabah bersama – sama memerah fikiran untuk menghasilkan natijah terbaik bagi memantapkan dakwah di bumi Sabah ini yang sewajibnya menjadi amanah kita bersama.

Jazakumullah Khairal Jaza’..


















p/s : kepada sahabat – sahabat terutamanya Ust Fadhli bin Ahmat bersama barisan urusetianya ana ucapkan syabas dan tahniah moga Allah memberkati antum sekalian. Barakaallahu fikum….

Ahad, Mac 06, 2011

Cerapan Hilal Rabi'ulahir 1432H

Bismillah...


Alhamdulillah cerapan hilal Rabi'ulakhir 1432 telah dilaksanakan pada 05 Mac 2011 / 30 Rabi'ulawal 1432.

Cerapan kali ini kami telah menerima tetamu dari PLKN Kota Belud seramai 25 orang yang diketuai oleh Tuan Anuar, Komanden Kem PLKN Kota Belud.

Majlis dimulakan dengan saya menyampaikan sedikit taklimat mengenai Balai Cerap dan aktiviti cerapan yang akan dilakukan pada hari tersebut.

Dengan pendedahan sedikit ilmu falak terutama yang berkaitan dengan cerapan hilal, para rombongan nampak sungguh berminat untuk melakukan aktiviti cerapan. Kebanyakkan mereka adalah kali pertama berkunjung ke Balai Cerap dan mereka amat teruja dengan landscape dan panorama yang menenangkan minda.

tepat jam 6.10pm, semuanya telah bersedia untuk mencerap dengan menggunakan 4 buah peralatan total setation dan sebuah teleskop yang telah kami sediakan. 6.28PM matahari terbenam, para pencerap hanya mempunyai masa selama 15 minit sahaja untuk hilal dicerap kerana hilal terbenam pada jam 6.43pm.

Keadaan cuaca mulanya hujan renyai - renyai tetapi berhenti ketika matahari mula terbenam dan keadaan kaki langit diufuk barat kelihatan awan tebal yang sedikit memenuhi ruang langit ufuk barat.

Keputusannya, hilal tidak kelihatan disebabkan keadaan awal yang tebal. Jika mengikut hisabnya hilal telah memenuhi kretiria iaitu ketinggian hilal adalah 3 darjah, jarak lengkung hilal 7 darjah dan umur hilal ketika itu adalah 13 jam.

Kretiria secara hisabiah yang telah ditetapkan adalah ketinggian hilal adalah tidak kurang daripada 2 darjah, jarak lengkung hilal tidak kurang daripada 3 darjah atau umur hilal tidak kurang 8 jam.

Ada dikalangan rombongan yang datang berbsik dengan saya, "ini adalah pengalaman baru" katanya lagi " selama ini kita hanya tahu melalui pengumuman di TV mengenai bila raya dan puasa, tapi kali ini kami tahu macam mana kaedah yang digunakan bagi menentukan hari raya dan puasa".

Itulah visi dan misi kami akan cuba sedaya upaya agar ilmu falak terus dikembangkan di negeri ini. Yang istimewanya ada juga yang hadir bersama rombongan tersebut di kalangan bukan Islam mendengar penjelasan dan penerangan mengenai ilmu falak yang telah saya sampaikan. Moga bermanfaat untuk mereka.

InsyaAllah aktiviti rukyah hilal Jamadilawal akan datang kami akan menjemput ahli jawatankuasa masjid dan surau di sekitar Balai Cerap al-Biruni.

Jumpa lagi...





















Sabtu, Februari 26, 2011

Mesyuarat Agong YAM Sabah

Bismillah..


Alhamdulillah pada 19 Februari 2011 (sabtu) telah berlangsungnya mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah di Permai D'Velley Ratau, Kota Kinabalu. Turut hadir bagi merasmikan mesyuarat adalah En. Abd. Hamid, Setiausaha Agong YAM.

Kehadiran hampir keseluruhan jawatankuasa ke mesyuarat ini menggambarkan kesediaan mereka untuk memikul tanggungjawab yang bakal digalas.

Mesyuarat Agong YAM Sabah bertujuan untuk melantik kepimpinan baru bagi sesi 2011-2013 dan persediaan bagi mesyuarat agong pusat yang akan berlangsung pada bulan April.

Tuan Haji Khairan Untoh terus diberikan kepercayaan sebagai amanah bagi memimpin YAM Sabah bersama dengan beberapa orang jentera baru bagi memantapkan lagi YAM Sabah dalam mengerakkan kerja - kerja kebajikan dan dakwah di negeri Sabah ini.

Seronok melihat sahabat - sahabat bermesyuarat yang sedia untuk mewakafkan diri masing - masing dalam melaksanakan misi dan visi YAM Sabah. Saya tidak dapat hadir bersama mereka kerana ketika itu saya masih lagi di Mersing, Johor.

Barisan kepimpinan yang baru akan saya paparkan di intri ini kerana masih lagi menunggu maklumat tersebut daripada setiausaha YAM Sabah.

Doa kami harapkan daripada tuan - tuan / puan - puan agar kami diberikan keafiatan, keberkatan, kerahmatan oleh Allah SWT untuk kami melaksanakan amanah ummah ini seterusnya untuk kemaslahatan ummah keseluruhannya.

" AMAL KERANA ALLAH "

Barakallahu fikum...

p/s : gambar - gambar di bawah adalah ehsan daripada FB sahabat saya Ahmad Fawwaz Shahabuddin.






Rabu, Februari 23, 2011

Aku dan Ikhwan Muslimun ( Yusof Qardhawi )

Bismillah...


Buku " AKU DAN AL IKHWAN AL MUSLIMUN " karya Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi baru saya terima kiriman sahabat saya Ust. Zakaria, D' Halal Shope dari Kelantan. Baru 2 hari bersama buku ini dan dalam proses untuk menghabiskannya yang mempunyai 364 muka surat.

Buku ini telah dicetak pada disember 2010 berbahasa Malaysia dan sebelum ini ianya telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia. Asalnya adalah berbahasa arab.

Alhamdulillah, saya membaca dan menghayatinya menimbulkan motivasi dalam diri. Buku ini menceritakan bagaimana Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi mendapat tarbiyyah dan didikan daripada Ikhwan Muslimin seperti kata - katanya ini :

" Aku ingin berterus terang mengatakan, bahawa aku memperolehi manfaat agama yang begitu besar dari Al-Ikhwan Al-Muslimun. Aku memperoleh faedah yang sangat banyak dari dakwah ikhwan. Dakwah Ikhwan telah memperluas cakerawala fikiranku memahami Islam secara utuh, sebagaimana disyariatkan Allah SWT, sebagaimana tertera dalam kitab-NYA, seperti diserukan Rasul-NYA dan difahami oleh para sahabatnya. Islam adalah agama dan dunia, dakwah dan negara, aqidah dan syariat, ibadah dan kepimpinan, mushaf dan.....".

Seusia muda beliau telah menerima tarbiyyah al-Ikhwan dan bertemu dengan ulama - ulama besar Ikhwan seperti Hasan al-Banna, Muhammad al-Ghazali, Muhammad al-Bahi, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb dan ramai lagi.

Saya cukup tertarik kata - kata Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi ketika mana mereka menerima berita mengenai syahidnya Hasan al-Banna ditembak dalam usia 42 tahun :

" Al-Banna tidak berkesempatan untuk mengarang atau menulis buku ilmiah yang besar. Tetapi beliau telah mencetak ribuan tokoh besar yang mengisi dunia dengan buku-buku dan ilmu yang bermanfaat. Cukuplah ribuan tokoh yang dicetak oleh Hasan Al-Banna itu telah memenuhi seluruh pelusuk dunia. Cukuplah dakwah menyeluruh yang disampaikannya tersebar ke setiap penjuru Timur dan Barat, Utara dan Selatan! Cukuplah nama baik yang ditinggalkannya telah menambah usianya seolah - olah beliau memiliki usia yang panjang ".

Jika diimbau kata - kata di atas maka realiti hari ini sepertimana yang terjadi di Mesir ada benarnya. Hasan al-Banna telah menanamkan benih dalam memperjuangan Islam dan menggerakkan umat Islam yang tidur ibaratkan buih - buih di lautan untuk bangun menentang penjajah barat dan musuh Islam. Bermula era 1940 an dan akhirnya Hosni Mubarak jelmaan pemimpin sekular di antara pemimpin di Mesir tumbang tersungkur awal tahun 2011.

Maknanya kemenangan itu bukan diimpikan secepat kilat tetapi biarlah gerak kerja Islam itu tetap berterusan walaupun sehabis nyawa kita.

Saya mengesyorkan agar kalian dapat memiliki buku ini untuk memotivasikan diri anda samada anda seorang pelajar, mahasiswa, penjawat awam, ahli akademik, pemimpin atau anda yang menganggap Ikhwan Muslimin itu pengganas atau sebagainya. Dengan membacanya anda akan ketemu jawapannya.... insyaAllah.

Selasa, Februari 22, 2011

Falak : PLKN Kota Belud

Bismillah...


Arahan yang datang tidak sampai 24 jam menghendaki saya berceramah mengenai ilmu falak di PLKN Kota Belud. Jadual asal majlis ini akan diadakan pada 14 Februari 2011 ( Isnin ) namun ianya dicepatkan pada 12 Februari. Saya dimaklumkan pada petang sehari majlis ini bermula.

Tajuk diberikan mengenai dengan ilmu falak. Ilmu falak ini agak umum. Walau bagaimanapun, dalam ceramah tersebut saya cuba menjelaskan dengan ringkas mengenai arah kiblat, cerapan (rukyah) anak bulan dan waktu solat dengan tempoh masa hanya 2 jam. Slide sempat juga saya sediakan.

Ketibaan kami disambut oleh komanden PLKN bersama kakitangan di sana. Saya dipahamkan jumlah keseluruhan pelatih adalah seramai 315 orang yang terdiri daripada pelbagai agama yang datang dari negeri - negeri seluruh Malaysia.

Ceramah bermula di hadapan pelatih - pelatih termasuk para kakitangan yang diketuai Komanden. Ilmu falak diperkenalkan dengan menghuraikan maksud ilmu falak berdasarkan definasi “ Ilmu falak ialah Salah satu cabang ilmu sains tabie yang mengkaji tentang perjalanan badan – badan cekerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang – bintang “.

Melalui definasi tersebut huraian saya dikaitkan dengan cerapan anak bulan , arah kiblat dan taqwim. Huraian dan penerangan hanya secara umum sebagai pengenalan ilmu falak yang memakan masa hampir 2 jam. Diakhir ceramah saya menayangkan simulasi cerapan bagi menguji pskologi dan mental para pelatih sebagai persediaan seorang pencerap. Sedikit praktikal bersama peralatan yang kami bawa seperti tedeolit dan kompas prasmatik.

Alhamdulillah, 2 jam lebih saya bersama mereka amat menyeronokkan di samping mendengar beberapa kisah dan cerita komanden mengenai PLKN Kota Belud. Di samping itu, promosi untuk kunjungan ke Balai Cerap al-Biruni turut saya jelaskan kepada mereka untuk aktiviti cerapan (rukyah bulanan). Komanden amat berminat untuk mengikuti rukyah hilal rabi'ulakhir akan datang dan mereka akan mengutus surat bagi maksud tersebut. Ahlan wa sahlan...