Isnin, November 22, 2010

Anugerah Sijil Kiblat

Bismillah...


Pada 08 November 2010 bersamaan 01 Zulhijjah 1431H satu Majlis Pengesahan dan Kesyukuran Sempena Selesai Kerja Menanda Arah Kiblat Hotel TaHa D'BAYU.

Kerja - kerja penentuan arah kiblat di hotel tersebut yang dikenali sebelum ini sebagai hotel Tabung Haji telah dilaksanakan sepenuhnya dan berakhir pada 04 November 2010 dengan jumlah bilik adalah sebanyak 108 buah bilik.

Kaedah yang telah saya gunakan adalah dengan menggunakan kedudukan bayang matahari dan penandaan arah kiblat dibuat di atas syiling setiap bilik tersebut.

Alhamdulillah pihak hotel telah berbesar hati untuk menganjurkan majlis ini. Dalam majlis tersebut, Pengarah Tabung Haji melalui ucapan alu - aluannya menyatakan bahawa majlis ini dianjurkan adalah bertujuan bagi meninggikan lagi syiar Islam di samping mempromosikan hotel ini kepada masyarakat. Beliau juga turut memaklumkan bahawa Hotel TaHa D'BAYU akan dibaik pulih dan diubah suai sepenuhnya yang bakal menampilkan hotel yang berteraskan Islam bermula tahun hadapan.

Penganugerahan Sijil Pengesahan Arah Kiblat ini telah disempurnakan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, SS Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan. Secara simboliknya sijil tersebut telah diberikan kepada Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah dan selepas itu diadakan sidang akhbar.

Turut serta dalam majlis ini ialah wakil daripada Jabatan Agama seperti JHEAINS, JAKIM Cawangan Sabah, NGO'S seperti YADIM dan YAPIEM dan Badan - Badan Korporat seperti Bank Rakyat dan Bank Islam.

Saya merakamkan tahniah dan terima kasih kepada pihak Hotel TaHa D'BAYU, Tabung Haji Negeri Sabah di atas penganjuran majlis ini. Majlis anjuran Hotel TaHa D'BAYU ini merupakan majlis julung - julung kali diadakan bagi menganugerahkan sijil pengesahan arah kiblat oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah. Semoga semuanya Allah limpahkan rahmat dan hidayahNYA.



0 ulasan:

Catat Ulasan