Khamis, Januari 14, 2010

Kaifiat Solat Gerhana Matahari

1.1 LAFAZ NIAT


i. Solat Gerhana Matahari

أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”


ii. Solat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”


1.2 KAIFIAH MENGERJAKAN

i. Secara amnya, sembahyang sunat gerhana ini dikerjakan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Yang akmal dan sempurnanya dikerjakan sebanyak 2 rakaat dan setiap satu rakaat itu mempunyai 2 kali qiyam (berdiri) , 2 kali ruku’ dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat tersebut [2 rakaat, 4 qiyam (berdiri), 4 ruku’ dan 4 sujud].Yang lebih akmal dan lebih sempurna dikerjakan sebanyak 2 rakaat dan setiap rakaat 2 kali qiyam, 2 kali ruku’ dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-kedua rakaat [2 rakaat, 4 qiyam (berdiri), 4 ruku’ dan 4 sujud].

ii. Secara terperincinya seperti berikut ;

1. Kaifiah Pertama

Kaifiah ini lebih akmal dan afdhal iaitu dikerjakan dua rakaat. Setiap satu rakaat dilakukan dua qiyam (berdiri), dua ruku’ dan dua sujud dengan memanjangkan bacaannya iaitu seperti berikut ;

A. Rakaat Pertama ;

1. Niat dan Takbiratul Ihram.

2. Membaca doa Iftitah ( الإفتتاح ) dan membaca ( التعوذ )

3. Membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Baqarah atau kadar panjang surah al-Baqarah.

4. Ruku’ dan membaca tasbih sekadar panjangnya 100 ayat

5. Bangun dari ruku’

6. Membaca al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau sekadar panjang bacaan surah tersebut

7. Ruku’ semula dan membaca tasbih sekadar panjang 80 ayat

8. I’tidal

9. Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 100 ayat

10. Duduk di antara dua sujud

11. Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 80 ayat

12. Berdiri rakaat kedua

B. Rakaat kedua ;

1. Membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Nisa’ atau kadar panjang surah al-Nisa’.

2. Ruku’ dan membaca tasbih sekadar panjangnya 70 ayat

3. Bangun dari ruku’

4. Membaca al-Fatihah dan membaca surah al-Maidah atau sekadar panjang surahnya.

5. Ruku’ semula dan membaca tasbih sekadar panjang 50 ayat

6. I’tidal

7 Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 70 ayat

8. Duduk di antara dua sujud

9. Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 50 ayat

10. membaca tasyahud akhir dan memberi salam

Ringkasnya, bagi kaifiah ini mempunyai 2 rakaat, 4 kali qiyam (berdiri), 4 kali ruku’ dan 4 kali sujud dengan bacaan setiap rakaat. Kaifiah ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith-hadith sahih.

2. Kaifiah Kedua ;

Kaifiah ini juga merupakan kaifiah yang akmal iaitu dikerjakan dua rakaat. Setiap satu rakaat dilakukan dua qiyam (berdiri), dua ruku’ dan dua sujud tanpa memanjangkan bacaannya iaitu seperti berikut ;

a. Rakaat Pertama ;

1. Niat dan Takbiratul Ihram.

2. Membaca doa Iftitah ( الإفتتاح ) dan ta’awuz ( التعوذ )

3. Membaca surah al-Fatihah dan membaca mana-mana surah

5. Ruku’

6. Bangun dari ruku’

7. Membaca al-Fatihah dan membaca mana-mana surah

8. Ruku’ semula

9. I’tidal

10. Sujud

11. Duduk antara dua sujud

12. Sujud

13. Berdiri ke rakaat kedua. [ dilakukan seperti rakaat pertama iaitu dari membaca al-Fatihah dan diakhiri dengan Salam ]

Setelah selesai dari ini, dikira satu rakaat. Begitu juga dilakukan untuk rakaat kedua. Ringkasnya, bagi kaifiah yang kedua ini mempunyai 2 rakaat, 4 kali ruku’, 4 kali qiyam atau berdiri dan 4 kali sujud

3. Kaifiah Ketiga ;

Dikerjakan seperti mengerjakan sembahyang sunat biasa iaitu sebanyak 2 rakaat.

iii. Kaifiah solat gerhana ini ada disebutkan di dalam beberapa buah hadith sahih di antaranya hadith yang diriwayatakan oleh Imam Bukhari daripada Saidatina ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha menyatakan ;

كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ فَأَطَالَ الْقِرَاءَةَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَأَطَالَ الْقِرَاءَةَ وَهِيَ دُونَ قِرَاءَتِهِ الْأُولَى ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ دُونَ رُكُوعِهِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ ثُمَّ قَامَ فَصَنَعَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ قَامَ فَقَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ يُرِيهِمَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلَاةِ

“Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang, kemudian beliau ruku’ dan memanjangkan bacaan ruku’, kemudian baginda bangun daripada ruku’, (dalam berdiri yang kedua) membaca bacaan sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian beliau sujud, kemudian beliau berdiri dan melakukan sama seperti rakaat pertama Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan tidak berlaku kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupan (kelahiran) seseorang akan tetapi kedua-dua ini adalah tanda-tanda kebesaran Allah yang dilihatkan kepada hambanya, maka apabila kamu melihat fenomena tersebut, maka bergegaslah kamu melakukan solat gerhana”. [Bukhari, 4, Halaman 182 [ 998 ] ]

Dan di dalam hadith yang lain iaitu daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiyallahu ‘Anhuma menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w membaca kadar panjang surah al-Baqarah selepas membaca al-Fatihah pada qiyam pertama dalam rakaat pertama. [Bukhari, 4, Halaman 173 [ 993 ]]

iv. Di antara perkara yang disebutkan di dalam kitab fiqh mengenai sembahyang gerhana iaitu ;

· Disunatkan mandi sunat gerhana

· Disunatkan menyeru dengan laungan الصلاة جامعة

· menyaringkan bacaan bagi solat gerhana bulan dan memperlahankan bacaan bagi sembahyang gerhana matahari

v. Disunatkan membaca dua khutbah setelah selesai daripada sembahyang gerhana. Kaifiah Khutbah gerhana sama seperti khutbah jumaat dari segi rukun dan syarat sah khutbah. Isi kandungannya memberi penekanan supaya sentiasa bertaubat, bersedekah, mengamalkan perkara ma’ruf dan menjauhi yang mungkar dan seumpamanya.


Teks Khutbah Gerhana Matahari


PEJABAT MUFTI NEGERI SABAH

KHUTBAH PERTAMA

GERHANA MATAHARI SEPARA

PADA 29 MUHARRAM 1431H / 15 JANUARI 2010M


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ . أَشْهَدْ أَنْ لا إِلهَ إِلَّا الله وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَه ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُه ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

أَمَّا بَعْدُ فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ


Sidang Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah ٍS.W.T

Saya berpesan kepada diri saya dan kaum muslimin sekaliannya, marilah kita mempertingkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah S.W.T. dengan kita melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya hanya keredhaan dan keberkatan dariNya sahaja, maka kita akan beroleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat kelak.


Sidang Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah S.W.T


Alhamdulillah, kita menadahkan tangan merafa’kan syukur kepada Allah S.W.T, pencipta segala sesuatu yang berada di langit dan bumi, memperedarkan bumi di atas paksinya sehingga terjadinya siang dan malam, mengerakkan perjalanan bulan mengelilingi bumi di atas garisan orbitnya membentuk fasa-fasa bulan sebagai panduan bagi manusia, menyusun perubahan matahari pada kedudukannya bermula terbit dari arah timur dan terbenam di barat serta mengatur peredaran dan pergerakan segala makhluk di alam cakerawala dengan penuh tersusun dan aturan Yang Maha Kuasa dan Kehendak Allah S.W.T. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-‘Araf, ayat 54 ;


إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثاً وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ


Bermaksud ;

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Ia bersemayam di atas Arasy, Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan cepat (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Alhamdulillah, dengan Qudrat dan IradahNya jua kita telah diberikan peluang dan ruang masa untuk menyaksikan pada hari dan detik ini salah satu fenomena alam iaitu Gerhana Matahari Separa yang berlaku di Negara kita khususnya di Negeri Sabah dengan kadar peratusannya yang berbeza. Kejadian ini mengambarkan betapa besarnya kekuasaan dan keagungan Allah S.W.T yang telah mengatur kejadian alam ini agar manusia mentadabbur dan bertafakkur serta memikirkan mengenainya semoga kita menjadi hambaNya yang beriman lagi bertaqwa dan bersyukur dan di atas segala nikmatNya.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Furqan, ayat 61-62 ;


تَبَارَكَ الَّذِي جَعَلَ فِي السَّمَاءِ بُرُوجاً وَجَعَلَ فِيهَا سِرَاجاً وَقَمَراً مُنِيراً * وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ خِلْفَةً لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يَذَّكَّرَ أَوْ أَرَادَ شُكُوراً


Bermaksud ;

Maha Suci Allah yang telah menjadikan di langit tempat-tempat peredaran (gugusan-gugusan) bintang dan Dia menjadikan juga padanya Matahari serta bulan yang bercahaya dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu memikirkan kebesaranNya atau mahu bersyukur atas segala nikmatNya.


Sidang Muslimin dan Muslimat Yang Di kasihi Allah S.W.T


Fenomena Gerhana Matahari Separa yang kita saksikan pada saat ini tidak hanya dilihat dan ditinjau dari kaca mata sains astronomi semata-mata, bahkan kejadian ini perlu dihalusi dan dihayati dari kaca mata Islam agar peristiwa ini memberikan keinsafan dan peringatan kepada kita sekalian pada hari yang dijanjikan oleh Allah S.W.T iaitu hari kiamat. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Qiyamah, ayat 7-13 ;


فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ. وَخَسَفَ الْقَمَرُ. وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ. يَقُولُ الإِنْسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ الْمَفَرُّ .كَلَّا لا وَزَرَ . إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ. يُنَبَّأُ الإنْسَانُ يَوْمَئِذٍ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ


Bermaksud ;

Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila mata terbeliak (kerana gerun dan takut), Dan bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): "Ke manakah hendak melarikan diri?" sekali-kali tidak ! tidak ada lagi tempat perlindungan! Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali. Pada hari itu, manusia diberitahu apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan atau lalaikan”.

Di dalam surah al-Isra’, ayat 59, Allah S.W.T menegaskan ;


وَمَا نُرْسِلُ بِالْآياتِ إِلَّا تَخْوِيفاً


Bermaksud ;

Dan kami tidak memberikan tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti (melahirkan rasa gerun dan takut ) .


Kita amat bersyukur kerana kejadian gerhana matahari separa yang terjadi hari ini merupakan pertemuan Matahari, bulan dan bumi dalam keadaan sejajar atau sebaris masih berada di kedudukan garisan peredarannya sendiri sehingga menyebabkan sebahagian cahaya matahari tidak sampai ke bumi. Cuba kita bayangkan sekiranya pertemuan ketiga-tiga planet ini berada di landasan yang sama ? Sudah tentu berlaku sesuatu yang kita tidak akan duga. Maha Suci dan Kuasa Allah yang telah mengatur segalanya dengan sempurna.


Jika kita menghayati dan mengimbau sejenak keadaan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W ketika berlakunya fenomena gerhana ini pada zamannya S.A.W melalui hadith-hadith sahih seperti yang diriwayatkan oleh Sahih Bukhari dan Muslim dari Abi Musa mengkhabarkan ;


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ فَأَتَى الْمَسْجِدَ فَصَلَّى بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ رَأَيْتُهُ قَطُّ يَفْعَلُهُ وَقَالَ هَذِهِ الْآيَاتُ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لَا تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنْ يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِ عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ


Bermaksud ;

“Ketika terjadi gerhana matahari di zaman Rasulullah s.a.w, maka Rasulullah s.a.w tersentak dan terkejut serta merasa ketakutan hari kiamat akan tiba, Rasulullah s.a.w menuju ke Masjid dan lantas bersembahyang gerhana dengan keadaan berdiri (qiyam), ruku’ dan sujud yang panjang kadar (daripada biasa) aku melihat dia (Rasulullah s.a.w) begitu bersungguh melakukannya, Rasululllah s.a.w bersabda ; Gerhana ini merupakan tanda-tanda yang Allah utuskan (berlaku) bukan kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupan (kelahiran) seseorang namun gerhana ini diutuskan (berlaku) bagi memberikan rasa takut dan gerun kepada hambanya, maka apabila kamu melihat fenomena ini maka bersegeralah kamu ingat kepada Allah, bermunajat dan memohon ampun kepadanya”.

[ Lafaz dari Sahih Bukhari : [999] , Muslim : [1518] ]


Imam Nawawi menjelaskan hadith ini di dalam syarahnya mengenai keadaan “ketakutan” yang dialami oleh Rasulullah s.a.w melalui hadith sahih ini bahawa gerhana tersebut merupakan tanda yang muncul sebelum tanda-tanda kiamat yang lain seperti terbit matahari dari barat ke timur atau keluar Dajjal atau gerhana tersebut sebahagian daripada tanda-tanda ( kiamat ) .


Sidang Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah


Demikian halnya keadaan Rasululah s.a.w melahirkan rasa takut kepada azab Allah S.W.T seolah-olah hari kiamat bakal tiba, sehingga digambarkan lagi di dalam sebuah hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Nasa’ie di dalam sunannya daripada Abdullah bin Amr menceritakan ketika berlaku gerhana di zaman Rasulullah s.a.w menangis sambil berdoa untuk umatnya di dalam sujud ;


لَمْ تَعِدْنِي هَذَا وَأَنَا فِيهِمْ لَمْ تَعِدْنِي هَذَا وَنَحْنُ نَسْتَغْفِرُكَ


Bermaksud ;

“Engkau telah berkata yang Engkau tidak akan menyiksa umatku sedang aku bersama mereka, Engkau telah berkata tidak akan menyiksa (umatku) selagi kami meminta keampunan kepadaMu..” [ sunan al-Nasa’ie [1465] – Sahih ]

Rasulullah s.a.w juga diperlihatkan gambaran kenikmatan syurga dan azab neraka ketika solat gerhana sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam sahihnya. Rasulullah s.a.w menjelaskan kepada para sahabatnya bahawa ia hampir mencapai setandan buah dari syurga sehingga baginda berasa gembira. Di samping itu, diperlihatkan juga berbagai siksaan Neraka sehingga digambarkan oleh Rasulullah s.a.w “kemudian aku melihat neraka dan belum pernah aku melihat pandangan yang ngeri seperti itu dan aku melihat kebanyakkan penghuninya adalah wanita” (kerana kebanyakkan wanita ini ingkar dan tidak menghargai kebaikan suami mereka) والعياذ بالله

[ Maksud Hadith Sahih Bukhari [993] , Sahih Muslim [1512] ]


Sidang Muslimin dan Muslimat yang dikasihi sekalian


Bagaimana pula halnya dengan keadaan kita ? Adakah kita merasa sebagaimana yang dirasai oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w ? Adakah kita merasa takut dan gerun dengan tanda-tanda atau kejadian seumpama ini yang merupakan peringatan Allah kepada hamba-hambaNya yang membuat mungkar dan maksiat . Adakah kita yakin bahawa kehidupan kita pada hari ini sudah menjamin tempat ke Syurga atau sebaliknya?والعياذ بالله


Jika ditinjau suasana kehidupan kita pada hari ini, kita melihat berbagai perbuatan mungkar disajikan seperti perbuatan zina, membuang bayi, meminum arak, pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan, permainan judi, rasuah berleluasa dan sempama lagi perbuatan mungkar dan maksiat yang lain dilakukan tanpa segan silu dan tanpa rasa bersalah, tanpa rasa berdosa dan menyesal dengan apa yang dilakukan bahkan ia menjadi bahan lawak jenaka dan dibangga-banggakan untuk dihebahkan.


Percayalah, bahawa kerosakan dan kefasadan di muka bumi ini berlaku akibat perbuatan manusia sendiri yang engkar pada perintah Allah S.W.T . Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Rum, ayat 41 :


ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ

الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ


Bermaksud ;

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).


Sidang Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah S.W.T


Jika kemaksiatan dan kemungkaran terus berlaku, kita bimbang kehidupan kita akan menjadi gelap gelita segelap bulan menutupi cahaya matahari, kita bimbang sinar kehidupan kita di dunia ini tidak seperti yang kita harapkan sebagaimana kita harapkan cahaya matahari bersinar kembali menyinari bumi ini.


Oleh itu, Kejadian Gerhana dan tanda-tanda yang berlaku di dunia ini memberi peringatan dan kesedaran kepada manusia agar bermuhasabah serta bertaubat kepada Allah Yang Maha Berkuasa.


Rabu, Januari 13, 2010

PENGERTIAN KALIMAH KUSUF DAN KHUSUF

Bismillah...

1. Perkataan atau kalimah Kusuf ( كسوف) dalam bahasa Arab merujuk kepada Gerhana Matahari, manakala kalimah Khusuf ( خسوف ) pula, merujuk kepada gerhana Bulan.

2. Dalam kitab Sahih Muslim, Jilid 4, halaman 2553 menyatakan maksud Khusuf ialah hilang warna matahari atau bulan, manakala Kusuf pula bermaksud berubah warnanya.

3. Di dalam kitab al-Manhaji, Jilid 1, halaman 240, karangan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafaal-Bugha dan Al Syarbaji secara ringkas ada menyebutkan Kusuf menurut makna dari bahasa Arab ialah terlindung sinar matahari samada sebahagian atau keseluruhannya, manakala khusuf pula ialah terhalang cahaya bulan samada sebahagian atau keseluruhannya.

4. Dalam al-Quran al-Karim telah menggunakan kalimah Khusuf khusus untuk bulan, firman Allah SWT. dalam surah al-Qiyamah, ayat 8:

وَخَسَفَ الْقَمَرُ
"dan bulan hilang cahayaNya "

Sumber Rujukan : Irsyad Hukum Mengenai Sembahyang Sunat Gerhana daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Bagaimana Gerhana Matahari Berlaku?

Bismillah...

Alhamdulillah, dikesempatan ini Allah SWT masih lagi mengurniakan taufik dan hidayah kepada kita serta limpahan nikmat yang tidak henti – henti.

Sekali lagi pada 15 Januari 2010 bersamaan 29 Muharram 1431H hari Jumaat seluruh penduduk bumi akan dapat memerhati satu lagi tanda keagungan Allah SWT iaitu Gerhana Matahari.

Dalam Kitab Sahih Muslim, Jilid 4, halaman 463, nombor hadis 1516 :

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِمَا عِبَادَهُ وَإِنَّهُمَا لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ

Maksud:

Dari Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang”

( Riwayat Muslim )

Bagi umat Islam, fenomena ini merupakan salah satu wasilah untuk mempertingkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT kerana fenomena ini bukan hanya diperhatikan dengan mata kasar bahkan ianya membawa kita sebagai umat Islam memerhati serta mentadabbur tanda – tanda kebesaran Allah SWT dengan mata hati. Kerana itu juga, Islam telah mensyariatkan solat sunat gerhana matahari sebagai cara untuk kita mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepadaNYA. Malah hukum solat sunat gerhana matahari adalah sunat muakkad sepertimana solat sunat aidilfitri dan aidiladha.

Secara amnya gerhana matahari berlaku apabila kedudukan matahari, bulan dan bumi berada dalam keadaan sejajar (sebaris). Ini menyebabkan bulan melindungi cakera matahari daripada pemerhati di bumi.

Semasa gerhana matahari, bulan akan kelihatan perlahan-lahan melindungi cakera matahari yang menyebabkan beberapa tempat di muka bumi ini akan mengalami 3 jenis gerhana iaitu samada ianya gerhana penuh, gerhana annulus ataupun separa. Gerhana Matahari akan berlaku ketika fasa bulan baru dan pada masa yang sama Bulan melintasi laluannya di antara Matahari dan Bumi supaya Matahari tertutup sebahagian atau keseluruhannya.

Berlakunya gerhana matahari separa di abndar-bandar utama di Malaysia

Secara umumnya di Malaysia, Gerhana matahari separa akan dapat disaksikan di seluruh negara pada 15 Januari 2010 dan gerhana matahari ini akan bermula seawal jam 2:56 petang dan berakhir jam 5:44 petang yang mana Matahari terlindung oleh Bulan mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40% di bahagian utara Semenanjung Malaysia pada waktu petang. Peratus Matahari dilindungi oleh Bulan semakin mengurang ke bahagian tengah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Waktu terjadinya gerhana ini dan peratus bulan menutupi matahari agak berbeza di beberapa lokasi di Malaysia disebabkan faktor geografi.

Di kawasan Kota Kinabalu, Sabah, gerhana matahari akan bermula jam 3:47:18 p.m (sentuhan pertama). kemuncak gerhana 4:44:30 p.m (sentuhan kedua) dan akan berakhir jam 5:35:36 p.m (sentuhan akhir) serta Peratus gerhana adalah 13.5 %. Maknanya waktu solat gerhana matahari bagi kawasan Kota Kinabalu adalah bermula jam 3:47:18 p.m sehingga 5:35:36 p.m.

Suasana ketika itu bagi kawasan Kota Kinabalu, gerhana hanya akan dapat dilihat apabila Bulan menutupi Matahari secara perlahan sehingga liputan maksimum tercapai iaitu sebanyak 13.5 % pada jam kira-kira 4:44 p.m. Pada akhir sentuhan kira-kira jam 5:35 p.m bayangan Bulan mula hilang secara perlahan.

Waallahua'alam.

Isnin, Januari 11, 2010

Aktiviti Sempena Majlis Cerapan Gerhana Matahari Separa

Bismillah...

Alhamdulillah, dengan ini adalah dimaklumkan bahawa Pejabat Mufti Negeri Sabah dengan kerjasama agensi – agensi kerajaan serta NGO menganjurkan MAJLIS CERAPAN GERHANA MATAHARI SEPARA yang diadakan seperti butiran berikut :

TARIKH : 15 JANUARI 2010 / 29 MUHARRAM 1431H
MASA : BERMULA JAM 9.00 PAGI SEHINGGA JAM 8.00 MALAM
TEMPAT: BALAI CERAP AL-BIRUNI NEGERI SABAH, TG. DUMPIL, PUTATAN.


Antara aktiviti yang diadakan bersempena dengan majlis ini adalah :

1. Cerapan Gerhana Matahari yang bermula pada jam 3:47:18.8 p.m sehingga 5:35:36.3 p.m ( Kawasan Kota Kinabalu).

2. Solat Sunat Gerhana Matahari pada jam 4.10 petang.

3. Pameran Falak serta Sains dan Teknologi bermula jam 9.00 pagi.

4. Kuiz dan Teka Teki.

5. Tayangan Video yang berkaitan dengan astronomi.

6. Bual bicara mengenai gerhana matahari.

7. Pencerapan malam iaitu mencerap keindahan Planet Musytari dan nebula orion yang terdapat di buruj biduk bermula jam 6 petang sehingga jam 8 malam.

Oleh yang demikian, semua rakyat Sabah dan orang awam dijemput hadir beramai – ramai ke majlis ini. Jika ada sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Pejabat Mufti Negeri Sabah di talian 088218322.

Waktu Gerhana Bandar - Bandar Utama di Sabah

Bismillah....

Hari mencerap gerhana matahari separa iaitu pada 15 Januari 2010 jumaat ni. Bersama ini disertakan waktu gerhana matahari separa yang berlaku di sekitar kawasan negeri Sabah untuk memudahkan umat Islam menunaikan solat sunat gerhana matahari (kusuf) :



Jumaat, Januari 08, 2010

Majlis Cerapan Gerhana Matahari Separa


Bismillah...

Pada tarikh 15 Januari 2009 bersamaan 29 Muharram 1431H hari jumaat satu lagi fenomena alam berlaku iaitu gerhana matahari sudah pasti membuktikan keesaan dan keagongan Allah SWT.

Di Malaysia, para penduduk Malaysia hanya dapat memerhatikan fenomena gerhana matahari ini dalam bentuk separa berbanding di tempat laluan utama gerhana iaitu yang merentasi benua Afrika, kemudian melalui Lautan Hindi di mana gerhana akan berada pada fasa paling lama iaitu 11 m 8 saat.

Pejabat Mufti Negeri Sabah akan menganjurkan cerapan gerhana ini di peringkat negeri Sabah seperti butiran berikut :

Tarikh : 15 Januari 2009 / 29 Muharram 1431H (jumaat)
Masa : 3.00 petang - 5.45 petang

Tempat : Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Tanjung Dumpil, Putatan, Kota Kinabalu.
Penglibatan : Terbuka kepada seluruh rakyat Sabah dan orang awam.

Antara aktiviti :

1. Taklimat / penerangan mengenai gerhana matahari separa
2. Pencerapan gerhana matahari separa
3. Solat Sunat Gerhana Matahari (Solat sunat kusuf )
4. Pameran

Jika ada sebarang pertanyaan bolehlah berhubung ke Pejabat Mufti Negeri Sabah 088-218322 atau ke talian 0195367902.

InsyaAllah maklumat mengenai gerhana matahari separa akan saya muatkan ke blog ini dari masa ke semasa sehingga hari cerapan.

Oleh itu, dijemput datang beramai - ramai dan jangan lupa bawa sejadah kot - kot la kawasan solat yang disediakan tidak mencukupi.

sekian.

Rabu, Januari 06, 2010

IMAN NURUL'ATIFAH

Bismillah...

Alhamdulillah hari Ahad lepas - 3 Januari genap seminggu usianya, pusat pun dah jatuh pada Subuh hari ke 6. Saya tahnikkan dengan air zam zam dan kurma kemudian kepalanya dicukur . Sebelum ini, Muhammad Al-Ameen tok chek (ayah mertua) yang tahnikkan. Puteri kedua ini kami namakan Iman Nurul'atifah.


Isteri saya "jatuh cinta" dengan nama "AL 'ATIFAH" tatkala menelusuri buku tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - SIRAH NABAWIYAH INSAN TELADAN SEPANJANG ZAMAN. Menunggu giliran untuk pemeriksaan bulanannya di klinik dia habiskan dengan membaca bab berkaitan isteri tercinta Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah RA. Disebabkan mulianya dan terjaga Saidatina Khadijah, dia disegani oleh semua pembesar Quraisy. Hingga diberi gelaran "Al 'Atifah At Tohirah" iaitu wanita yang murni dan suci, seorang saudagar yang baik, jujur, bertimbang rasa dan simpati. (m/s 267: bab Khadijah Kaya Dengan Kelembutan Budi).

Berbincang dengan saya, saya pun suka dengan gelaran Saidatina Khadijah yang murni dan suci ini.

Semoga anak ini mewarisi kemuliaan isteri kesayangan Nabi SAW..... ini doa abi, ini doa ummi sayang....

Ahad, Januari 03, 2010

Ke Rahmatullah

Bismillah...

Tarikh 02 Januari 2010 hari sabtu seawal 6 pagi pemilik blog http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/ iatu Ust. Abidin Omar telah kembali ke rahmatullah.

Secara peribadi saya agak mengenali beliau melalui dunia blog dan kekadang membuka blognya untuk tatapan dan mendapatkan maklumat - maklumat semasa. Walaupun tak pernah bersua muka namun melalui blog rasa pautan ukhwah itu ada.

Semoga rohnya dicucuri rahmat Alllah SWT dan ditempatkan bersama orang - orang yang diampunkan Allah SWT. Juga diucapkan takziah kepada keluarga dan sanak saudara Allahuyarham. Al-Fatihah.