Bot yang kami naiki... Ust. Rahim (berdiri) menunjukkan tempat duduk untuk saya
Bismillah...
Hari kedua dalam kembara falak 28 April 2009 (selasa) saya ke Pulau Sebatik Tawau bagi membuat penyemakan arah kiblat Masjid Al-Khairat Kg. Bergosong. Kami menaiki bot khas yang dimiliki oleh imam qariah Kg. Bergosong iaitu Imam Amir Kasan Al-Yaman dan rombongan kami disertai oleh Al-Fadhil Ust. Rahim, Penolong Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Tawau dan Ust. Sobri.
Sempat juga ambil gambar Kapal Kontena...
Setibanya kami di kg. Bergosong yang merupakan kampung kepada Y.Bhg Hj. Rumaling Epit, Timbalan Pengarah JHEAINS kami terus ke masjid tersebut bagi penyemakan arah kiblat. Selesai semakan kiblat kami pula disajikan air kelapa fresh yang diambil dari pokok kelapa yang berada disekeliling masjid. Minum airnya serta makan isinya sungguh lazat dan dapat juga menghilangkan dahaga. Suasana dan keadaan di Pulau Sebatik tenang juga dilengkapi dengan kemudahan seperti sekolah, jalan raya ada yang berturap dan juga sebuah balai polis yang besar pun ada juga. Cuma air masih lagi bersumberkan air hujan. Saya dimaklumkan oleh Ust. Sobri bahawa Pulau Sebatik ini terbahagi kepada 2 iaitu sebelahnya Indonesia dan sebelahnya lagi Malaysia dan pernah keluar berita sebelum ini (tak ingat bila dan tv berapa) ruang tamunya di Malaysia dan dapurnya di Indonesia. Semasa dalam perjalanan tetiba je handphone bertukar line Indonesia. Ramai penduduknya pula bertani dan ada juga sebagai nelayan. Kerja telah selesai tetapi masih belum dapat bertolak balik disebabkan hujan turun.
Perjalanan balik ke bandar Tawau merupakan pengalaman yang tidak dapat kami lupakan. Laut bergelora maklumlah hujan baru sahaja berhenti. Bot yang kami naiki bergerak laju dan menghempas ombak dan sememangnya perlu dipandu laju dan jika tidak bot akan dimasuki air. Kopiah yang saya pakai tercabut dan jatuh ke laut, mujurlah boleh diambil semula. Rasa macam nak tercabut perut, hentakkan sungguh kuat dan saya pun hilang selera untuk mengambil gambar ketika itu hanya khusyuk membetulkan posisi tempat duduk dan sekali sekala menyebut Allahuakbar. Dalam hati, risau perahu ni pecah dan terbelah sahaja. Rupanya apa yang saya fikir itu juga yang difikir oleh En. Sulaiman dan Ust. Salam. Inilah perjalanan menaiki bot yang dahsyat menghadapi ombak yang saya alami berbanding sebelum ini menghadapi ombak ketika saya bersama sahabat Ust. Ariffin dan Ust. Moktar dari Pulau Bom Bom ke jeti Semporna.
Alhamdulillah, akhirnya Allah SWT selamatkan kami dan mungkin juga Allah SWT nak rasakan bahawa dahsyatnya keadaan ini tetapi bagaimana pula dahsyatnya apabila berada di padang mahsyar kelak. SUBHANALLAH... ALHAMDULILLAH... ALLAHUAKBAR.
"YA ALLAH LINDUNGILAH KAMI DARIPADA KEDAHSYATAN DI PADANG MAHSYAR"
0 ulasan:
Catat Ulasan