Beberapa hari lagi ramadhan akan meninggalkan kita dan Aidilfitri pula kunjung tiba. Maka timbullah beberapa spikulasi mengenai tarikh hari raya, ada yang cuba memberi jawapan bahawa raya jatuh hari khamis dan ada yang cakap jatuh pada hari jumaat.
Ketua Pengarah JAKIM sendiri telah memberikan ulasan mengenai kaedah penetapan awal syawal dengan mengguna pakai kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria Imkanurukyah (kebolehnampakkan) mengikut matla' negara kita.
Tidak perlu saya mengulas kaedah ini sebab saya sudah pernah mengulasnya pada tahun lepas. Tetapi saya tertarik artikal sifu falak saya di blognya mengenai isu ini seperti berikut :
Menjelang puasa, tidak sehebat menjelang raya. Namun antara yang tidak kurang hebatnya, soalan 'bila tarikh hari raya?'. Menambahkan perisa, resepi dari Arab Saudi turut ditambah dalam resepi sedia ada, menjadikan rasanya bercampur aduk, menambahkan kehairanan di kalangan kita. Untuk mejelaskan ini, tidak dapat tidak pada fikir saya, perlulah dimulakan dari beberapa perkara asas dahulu, sebelum menuju isu sebenar di sini.
1. Anak Bulan . Istilah dalam bahasa melayu untuk menunjukkan fasa cahaya bulan yang kecil. Bukan bulan beranak. Seperti anak sungai dan anak tekak, konsepnya hampir sama. Dalam bahasa Arab,' هلال'. Al Quran merujuk hilal sebagai 'miqat', iaitu petunjuk waktu/masa, petanda perubahan masa. Dalam sistem takwim, petanda pertukaran bulan hijriyah. Kemunculan/kewujudan hilal sebagai sebab/wajaran untuk memulakan bulan baru, atau sebaliknya. Satu bulan sama ada 29 atau 30 hari, menjadikan hari ke 29 adalah tarikh untuk memastikan ada/tiada tanda (hilal) tersebut. Ketiadaan hilal pada hari ke 29 tidak bermaksud bulan tersebut tiada hilal, bahkan hilal wujud pada hari berikutnya (hari ke 30) tetapi ia tidak bermakna untuk penentuan, kerana tiada hari ke 31.
2. Terbit terbenam . Inilah konsep yang perlu difahami dengan jelas. Ada soalan - 'bolehkah berlaku hilal terbit selepas Isyak, atau tengah malam? Atau mungkinkah ia terbit lebih awal.. sebelum Maghrib lagi?' - menunjukkan tiadanya pengetahuan asas tentang terbit terbenam objek langit, terutama bulan dan matahari. Apa lagi soalan - 'jika Malaysia maghrib lebih awal dari Saudi, kenapa Saudi boleh nampak hilal sedangkan kita tidak?' - turut menyerlahkan salah faham ini.
Fenomena terbit terbenam adalah kesan pemerhatian dari permukaan bumi sahaja. Putaran bumi pada paksinya 24 jam satu pusingan bersamaan '1 hari suria', menyebabkan terbit terbenam ini berlaku. Putaran arah lawan jam, dari barat ke timur, menyebabkan penduduk planet bumi melihat objek langit (termasuk bulan dan matahari) terbit dari timur, dan terbenam ke barat. Itu pandangan dari bumi. Bagaimana jika pandangan dari angkasa jauh?
3. Sistem orbit . Sistem orbit atau pergerakan objek angkasa seperti bumi, bulan dan matahari. Al Quran menyebut semuanya bergerak (yasbahun) pada orbit masing-masing. Matahari juga mengorbit pusat galaksi. Kita tinggalkan bahagian ini. Kita bincang sistem suria sahaja, bulan pusing bumi, bumi pusing matahari, cukup. Bagaimana? Bulan pusing bumi, arah lawan jam. Bumi pada masa yang sama, pusing matahari, juga arah lawan jam. Apa yang berlaku adalah, bumi mengheret bulan bersama ketika pusing matahari. Lihat rajah di bawah.
4. Kenampakan Hilal. Semasa semua pusingan itu sedang berlaku, bulan dilihat pada fasa berbeza setiap hari dari pandangan bumi. Hilal adalah fasa antara new moon (disebut ijtimak) dengan crescent dalam rajah di atas. Perubahan saiz fasa cahaya hilal adalah bersamaan dengan perubahan posisi bulan pada orbitnya. Semakin lebar jarak dari ijtimak, semakin besar fasa cahaya hilal.
Bermakna, semakin lambat maghrib di permukaan bumi, semakin besarlah hilal yang dilihatnya (soalan di atas kerana memahaminya secara terbalik). Secara asasnya, hitungan awal boleh dilakukan dengan mengetahui detik waktu ijtimak, dibandingkan dengan waktu maghrib tempat masing-masing.
Berdasarkan rajah di atas, ijtimak hanya boleh berlaku sekali sahaja pada satu longitud bumi. Jika waktu ijtimak terlalu hampir dengan maghrib, bulan belum cukup lebar jaraknya, malah masih terlalu halus fasa cahayanya, untuk membolehkan ia kelihatan dari bumi. Di sinilah kenapa jika Malaysia tidak boleh kelihatan hilal, Arab Saudi mungkin boleh, kerana maghribnya lewat 5 jam dari Malaysia. Contoh, ijtimak berlaku jam 6 petang waktu Malaysia. Ketika itu Arab masih 1 tengahari. Ketika maghrib di Malaysia 7 malam, tempohnya baharu 1 jam. Terlalu singkat. Bila maghrib di Saudi, ketika itu Malaysia 12 malam, tempoh ijtimak ke ghurub saudi sudah 6 jam. Bulan sudah menjarak sedikit pada orbitnya. Hilal mungkin wujud. Apa lagi Saudi menggunakan kaedah WUJUD HILAL - suatu kaedah menentukan bulan baru berdasarkan bulan ada atas ufuk, tanpa mengambilkira boleh dilihat atau tidak - kaedah hisab hakiki. Berbeza dengan IMKANURRUKYAH - kaedah menentukan bulan baru berdasarkan bulan ADA DAN BOLEH DILIHAT. Merujuk hadis (صوموا لروءيته) kaedah kedua lebih dekat kehendak syarak.
5. Hitungan falak . Ini juga perlu difahami. Rukyah dilakukan untuk membentuk model kenampakan. Membina syarat. Syarat untuk menjustifikasikan hilal ada atau tidak, boleh kelihatan atau tidak. Apa jua hasilnya, sehingga ketepatan hitungan sudah mencapai tahap mustahil pada adatnya untuk silap, bukan bermakna kita hebat menjangka/mengira, tetapi perlu merenung, betapa hebatnya bulan dan matahari, termasuk bumi, gergasi di langit, mentaati perintah Allah swt, tidak mungkir dalam orbitnya sejak ribuan tahun, untuk berada pada tempatnya pada masa yang tepat. Tidak seperti manusia kan?
Tahap mana ketepatan itu? Ketepatan relatif. Bulan dan bumi, juga matahari berubah dalam orbitnya, mengecil atau melebar, menurut masa yang ditetapkan. Penemuan itulah menyebabkan hitungan zaman silam, tidak boleh digunakan lagi hari ini, tetapi dimurnikan dengan kemaskini penemuan semasa, menjadikan hitungan baharu lebih tepat. Jika difikirkan sebaliknya, hitungan masa kini, tidak boleh digunakan untuk menghitung fenomena masa silam. Saling memerlukan. Ini juga menyebabkan proses pemerhatian langit (rukyah) tidak boleh berhenti, kerana alam tidak berhenti berubah. Penemuan semasa, sesuai untuk jangkaan 10 - 20 tahun sahaja. Justeru untuk tahun seterusnya, kajian diteruskan. Anda juga boleh turut serta. Peluang terbuka. Minat perlu ada. Jom!
Bila raya?
Menurut hitungan, hilal tidak wujud pada petang Rabu 29 Ramadhan 1431, justeru menurut hitungan juga, Khamis akan menjadi hari ke 30 Ramadhan. Walau apa pun, pengesahan hanya melalui perisytiharan pada Rabu malam Khamis itu melalui media. Itu kuasa pemutus. Kalau tak nak ikut, diam sahaja. Kalau bising, itu boleh jadi fitnah. Boleh dihukum takzir.
WalLahu A'alaam.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.