Rabu, Julai 29, 2009

Nikmat Gaji Untuk Ibu Bapa

Gambar hiasan

Bismillah...

Alhamdulillah, hari ni dah 30 Julai 2009 dan selang beberapa hari lagi kita akan berpindah ke bulan baru. Bagi mereka yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan, mesti mereka ini sudah pun menikmati gaji yang telah masuk beberapa hari yang lepas.

Saya teringat satu pesanan daripada seorang pensyarah saya masa mula - mula beliau masuk mengajar Madah Sejarah Perundangan Islam. Memandangkan ramai pelajar kuliah syariah yang asalnya daripada semenanjung, beliau berkata:

" kamu sungguh bertuah kerana Allah campakkan kamu di bumi Sabah ini yang ruang dakwahnya cukup luas untuk kamu. Sudah pastinya kamu berjauhan dengan keluarga, kekadang boleh bersama ibu bapa ataupun sebaliknya. Mungkin raya pun tak dapat nak balik. Hatta ibu bapa sakit pun belum tentu kamu dapat jenguk. Oleh itu, sebagai anak kena ambil berat tentang ibu bapa, setidak-tidaknya hantarlah sedikit wang untuk ibu bapa. Kalau tak dapat hantar banyak, hantarlah sedikit yang penting ada. Ibu bapa mungkin tak minta tapi biarlah kita beri sekurang - kurangnya mereka rasa mereka dihargai. Apa yang terjadi sekarang, kekadang kita berikan wang kepada ibu bapa sekiranya ada wang lebih daripada gaji kita, kalau tak ada maka tak berilah. Sudah bukan jadi keutamaan kepada kita bahawa memberikan wang kepada ibu bapa adalah lebih utama. Jika ini berlaku, maka inilah juga faktor rezeki yang diperolehi tidak ada keberkatan. Terutamanya bagi para suami, kerana kewajipan suami kepada ibu bapa adalah lebih awla berbanding dengan si isteri yang mana kewajipannya adalah kepada suami walaupun si isteri masih ada ibu bapa. Para isteri kena dorong dan tolong para suami agar mereka lebih bertanggungjawab dan berperanan kepada ibu bapa mereka, jangan para isteri menjadi penyebab para suami tidak bertanggungjawab dan tidak memperdulikan ibu bapa mereka".

Walaupun pensyarah saya mengatakan sedemikian mungkin juga dikhususkan kepada pelajar yang berasal dari semenanjung, namun saya juga turut tersentuh dan bermuhasabah diri. Apa yang dikatakan itu ada benarnya. Kekadang kita menghitung gaji, jawapannya memang tak cukup kerana banyak perkara lagi yang perlu dibayar dan berbagai - bagai alasan lagi. Saya yakin itulah antara jawapan mojiriti. Walaupun hakikatnya dengan pemberian kita itu tidak akan menyemai jasa mereka yang membesarkan kita sehingga kita menjadi orang ketika ini.

Jika nak tunggu cukup memang tak cukup - cukup. Cuma kita sahaja yang tidak menjadikan pemberian wang kepada Ibu bapa itu sebagai keutamaan. Amat beruntung jika itu kita jadikan keutamaan kerana itulah satu kaedah bagaimana gaji yang kita nikmati tiap - tiap bulan itu menjadi berkat yang pastinya ada kesenangan dan ketenangan hati.

Setelah mendengar tazkirah pensyarah saya itu, saya bermuhasabah dan tidak dinafikan kekadang hati kita ini lalai dan terlupa bahawa pemberikan wang kepada ibu bapa sempena kita menikmati gaji yang diterima tiap - tiap bulan tidak dijadikan sebagai satu keutamaan. Oleh itu, saya perbaiki keadaan dan beriltizam bahawa saya memperuntukkan satu jumlah khusus daripada gaji saya untuk saya berikan kepada ibu bapa dan ianya diutamakan sebelum saya melangsaikan bayaran - bayaran yang lain dalam keadaan saya senang ataupun dalam kesempitan. Kerana saya yakin soal rezeki adalah milik Allah SWT dan gaji yang dinikmati itu sebenarnya bukan bermakna untuk kita semata - mata tetapi mungkin ianya adalah rezeki orang lain yang hanya melalui kita sahaja.

Moga ada manfaat apa yang saya kongsikan melalui artikel ini kepada diri kita, yang baik adalah datangnya daripada Allah SWT dan lemah serta kekurangan itu adalah daripada diri saya yang faqir ini. Saya memohon ampun kepada Mu ya Allah dan maaf kepada yang membaca.

" Sesungguhnya kita insan daif, lemah dan kealpaan, segala nikmat datang dan pergi mengundang kita bersyukur, nikmat ditambah bagi yang syukur, azab disedia bagi yang kufur, rezeki melimpah beringatlah agar tiada hilang keberkatannya, dapat sedikit pun tidak mengapa diberi pahala berkatnya ada ".

Wallahua'alam.

0 ulasan:

Catat Ulasan