Hari ini saya bersama kru di Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah mengadakan lawatan kerja bagi menentusahkan arah kiblat sebuah masjid dan surau di sekita Putatan.
1. Masjid Al-Hilal, Tg. Dumpil, Putatan
Lokasinya adalah berdekatan dengan Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah di Tg. Dumpil, Putatan. Senonimnya dengan nama Masjid Al-Hilal kerana lokasi aktiviti rukyah hilal adalah dalam kawasan masjid tersebut pada ketika dahulu.
koordinatnya Latitud : 5˚ 54’ 17” Longitud : 116˚ 02’ 22” dan Azimuth Kiblatnya adalah 290˚ 38’ 05”.
Alhamdulillah dengan adanya balai cerap tersebut maka masjid Al-Hilal dinaik taraf dan dibina semula dengan reka bentuk terkini.
Setibanya kami dilokasi jam 8.40 pagi masih belum kelihatan juruukur yang dilantik oleh kontraktor bagi kerja - kerja layout kedudukan masjid mengikut bering arah kiblat yang telah kami berikan.
Sebelum lawatan, saya telah maklumkan kepada kontraktor agar segala keperluan disediakan termasuklah juruukur agar kerja - kerja tersebut dapat diselesaikan sebelum kami tiba. Sekiranya perkara ini belum disediakan menyebabkan masa akan terbuang dan pengesahan tidak akan dapat diberikan.
Namun saya menyatakan kepada pihak kontraktor agar dapat menyiapkan kerja - kerja tersebut pada hari ini dan sementara itu kami ke lokasi berikutnya dan saya berharap ianya selesai setelah kami kembali semula ke lokasi tersebut.
Malangnya, kerja -kerja tersebut juga belum selesai dan kami tidak boleh menentusahkan lagi arah kiblat masjid tersebut.
2. Surau Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Ketiau - Tombovo
Lokasi surau tersebut terletak di daerah Putatan jalan Ketiau - Tombovo berhampiran dengan taman Ketiau dan SMK Tansau.
Koordinat surau tersebut adalah Latitud : 5˚ 52’ 22.09” dan Longitud : 116˚ 03’ 21.82” dan Azimuth arah kiblat adalah 290˚ 38’ 34.9”.
Sekolah ini adalah khas untuk golongan OKU dan satu - satunya sekolah OKU yang lengkap dengan asrama, surau, dewan dan beberapa lagi prasarana sesuai dengan golongan tersebut di negara ini.
Alhamdulillah, sekolah ini punyai surau tetapi pelik sebab binaan surau tersebut telah pun ditetapkan bangunannya yang berkedudukan 303˚ dan tidak boleh diubah walaupun kedudukan azimuth kiblat berada pada 290˚. Maknanya arah kiblat telah terserong dalam 13˚.
Saya dimaklumkan bahawa, kedudukan bangunan surau tidak boleh diubah kerana sudah termasuk dalam pakej keseluruhan sekolah tersebut dan ruang yang ada adalah terhad.
Keadaan ini juga menyukarkan kami untuk memberikan pengesahan. Setiap surau atau masjid yang dibina hendaklah mengikut azimuth kiblat yang telah ditetapkan berdasarkan koordinat di lokasi surau atau masjid itu dibina.
Jika bangunan surau telah ditetapkan dengan bering tertentu bukan mengikut azimuth kiblat sudah pasti pengesahan tidak akan diberikan dan ini bukanlah pengesahan untuk pembinaan baru tetapi kerja seperti ini adalah kerja - kerja semakan sahaja.
Oleh itu, kami tidak berikan pengesahan kepada surau tersebut bahkan kami mencadangkan agar pihak pemaju memaklumkan kepada kami semula jika bangunan surau tersebut siap dan kerja - kerja pemasangan karpet hendak dilaksanakan. Agar pemasangan karpet di surau tersebut benar - benar mengikut azimuth kiblat yang telah kami berikan.
Kesimpulan
Inilah antara situasi yang menyukarkan kami menentusahkan arah kiblat sesuatu masjid dan surau baru yang hendak dibina. Kami telah bersedia dan telah memaklumkan segala keperluan kepada pihak pemaju namun jika situasi sebegini berlaku menunjukkan pihak pemaju tidak bersedia dan ini akan melambatkan lagi pengesahan arah kiblat tersebut.
Perlu difahami, kerja - kerja arah kiblat ini hendaklah dilaksanakan dengan teliti dan cermat. Pihak kami wajib memastikan ianya terlaksana mengikut garis panduan yang telah dikuatkuasakan.
Kekadang terdengar kata - kata orang bahawa pihak kami lambat mengambil tindakan tetapi sebenarnya faktor kelambatan itu tidak diketahui orang. Contohnya apa yang telah berlaku pada hari ini.
Banyaknya faktor kelambatan ini adalah berpunca disebabkan pihak pemohon tidak mengikuti garis panduan yang telah bekali - kali pihak kami maklumkan.
Oleh itu, sesiapa yang hendak membina surau dan masjid khasnya di negeri Sabah pastikan anda benar - benar mengerti akan garis panduannnya dan bolehlah merujuknya ke Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah.
Waallahua'alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan