Selasa, April 13, 2010

Selamat Kembali Ke Fitrah

Bismillah...

Kelmarin 27 Rabi'ulakhir 1431 H bersamaan 12 April 2010 satu lagi tarikh keramat untuk saya dan adik Janet.

Sekembalinya saya menghadiri raptai bagi pembukaan Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan berlangsung pada 15 April 2010 ini, saya telah dihubungi oleh Cikgu Hashim ( antara orang kuat PUM Sabah ) untuk menghadiri satu majlis ringkas bagi mengislamkan seseorang.

Majllis tersebut diadakan di Masjid Negeri Sabah juga turut dihadiri oleh Ust. Murtadza, Tn. Hj. Janis dan 2 orang Ustazah dari Sekolah Menengah yang mengiringi seorang pelajar mereka untuk memeluk Islam.

Anggapan saya, kehadiran saya hanya untuk meramaikan dan memeriahkan majlis ringkas tersebut tetapi Cikgu Hashim meminta saya untuk mengislamkan pelajar tersebut.

Maklumat diri


Pelajar ini seorang perempuan bernama Janet yang menuntut di Sekolah Menengah SANZAC, Kota Kinabalu. Semua adik beradiknya telah memeluk agama Islam kecuali dia dan maknya. Atas kesedaran, dia hendak memeluk Islam dan telah memaklumkan maknya dan Alhamdulillah maknya tidak menentang mengenai hasratnya itu.

Acaranya

Saya mulakan dengan tazkirah ringkas berkaitan dengan Islam dan kelebihannya. Seawal soalan yang saya ajukan kepada pelajar tersebut adalah... adakah anda masuk Islam ini dengan kerelaan hati sendiri dan tanpa paksaan?... jawabnya YA... dan mimik wajahnya menggambarkan keikhlasan dan kesediaan untuk kembali kepada fitrah.

Sudah di taqdirkan

Memang bertepatan dengan hadis ke-3 Matan Arba'in karya Imam Nawawi RH yang menjelaskan mengenai Islam dibina atas 5 sendi (tiang) yang saya telah huraikan di kuliah maghrib mingguan di Masjid As-Salam Kg. Contoh, Petagas, Kota Kinabalu ahad lepas.

Kuncinya adalah SYAHADAH sebelum kewajipan - kewajipan yang lain seperti solat, puasa, zakat dan haji diamalkan. Huraian saya ringkas agar SYAHADAH yang akan dilafazkan lahir daripada hati yang luhur dan ikhlas melalui penyaksian yang hakiki yang dipandu dengan aqal yang waras.

Kembali kepada Fitrah


Selesai tazkirah tersebut, maka saya mengajak dan membimbing pelajar ini untuk berSYAHADAH. Sejurus Kalimah أشهد أن لاإله إلا الله dilafazkan maka bercucuranlah air matanya tanda ia memahami maksud apa yang dilafazkannya.

Saya katakan kepada dia, anda adalah orang yang terpilih menerima hidayah Allah dan telah kembali kepada fitrah bagaikan seorang bayi yang baru dilahirkan tanpa ada sedikit dosa ibarat kain putih (fitrah). Oleh itu jagalah kain putih itu daripada dikotori daripada noda dan dosa.


Dia juga telah memilih nama Islamnya tetapi saya nasihatkan pilihlah nama yang membawa maksud yang baik dengan meminta nasihat ustaz dan ustazahnya.

ALhamdulilah, ini adalah orang yang ke - 2 yang telah saya Islamkan hasil usaha yang gigih para ustaz dan ustazah. Mudah-mudahan adik ini terus mendapat bimbingan daripada ustaz dan ustazahnya di sekolah di samping dia mengikuti kelas - kelas agama yang telah dimaklumkan kepadanya.

" Ya Allah, engkau bantulah saudara baru kami ini agar terus thabat dalam keimanan dan senantiasa di bawah bimbinganMU dan berikanlah ganjaran di atas usaha kami ini...amin"


0 ulasan:

Catat Ulasan