11 Disember 2010 bersamaan 05 Muharram 1432 H saya sempat menghadiri satu sesi kuliah bagi membincangkan tajuk Krismas : Hukum merayakannya yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ust Aziz Bongsu, Pensyarah UiTM Kota Kinabalu dianjurkan oleh Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah.
Seperti yang dikhabarkan oleh pihak penganjur bahawa kehadiran muslimin dan muslimat kali ini amat membanggakan. Ini kerana tajuk tersebut adalah sesuai untuk di ketengahkan memandangkan ketibaan sambutan Krismas semakin hampir.
Kuliah ini telah menceritakan mengenai sejarah perayaan krismas sehingga hukum merayakannya. Terdapat ramai pendapat para sarjana dan ilmuan Islam membahaskan mengenai hukum merayakannya. Di sini saya selit beberapa pendapat para fuqaha' mengenai hukum merayakan krismas ini yang ada sedikit kaitan huraian yang telah di bawa oleh al_fadhil Ust Aziz semasa kuliah tersebut :
Ibnul Qayyim berkata :
“Hendaklah behati-hati jangan sampai terjerumus sebagaimana orang-orang bodoh, ke dalam ucapan-ucapan yang menunjukkan redha mereka terhadap agamanya. Seperti ucapan mereka, “Semoga Allah membahagiakan kamu dengan agamamu”, atau “memberkatimu dalam agamamu”, atau berkata, “Semoga Allah memuliakanmu”.
Memberi tahni’ah kepada orang-orang kafir hal-hal yang diperbolehkan (mubah) adalah dilarang jika mengandungi makna yang menunjukkan rela kepada agama mereka. Adapun memberikan tahni’ah atas hari-hari raya mereka atau syi’ar-syi’ar mereka adalah haram hukumnya dan sangat dikhuwatirkan pelakunya jatuh kepada kekufuran. (Sheikh Dr. Soleh Bin Fauzan al-Fauzan, Kitab at-Tauhid, jil. 1 di bawah tajuk al-Wala’ wal Bara’).
Dr. Safar Bin Abdul Rahman al-Hawali di dalam laman web beliau mendakwa akan sepakatnya semua para fuqaha akan haramnya menghadiri perayaan bukan Islam dan bersama merayakannya. Beliau menyebut salah seorang ulama dari mazhab Malik yang bernama Abu Abdillah Abdul Rahman Bin al-Qasim al-Misri yang menganggap sesiapa yang hanya membeli tembikai sempena dengan perayaan bukan Islam, dia seolah-olah telah membeli seekor babi untuk disembelihkan.
pandangan/pendapat ulama mazhab Hanafi pula lebih keras, sehingga ada yang berpendapat kufurnya seseorang yang hanya memberikan hadiah berupa sebiji telur pada hari tahun baru Parsi dalam bentuk memuliakannya.
"Tidak boleh bagi seorang muslim untuk dia bersama orang-orang kuffar dalam (menyambut) perayaan-perayaan mereka, dan untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan dalam perayaan mereka, (demikian juga tidak boleh) untuk dia bercuti dari bekerja (untuk menyambut perayaan tersebut) samaada perayaan itu perayaan keduniaan ataupun keagamaan, kerana ini termasuk dalam bertasyabbuh (menyerupai) musuh-musuh Allah yang diharamkan dan termasuk dalam tolong menolong dengan mereka dalam perkara yang batil. Telah thabit dari Nabi saw, sabda baginda : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk salah seorang dari mereka." Allah swt pula berfirman : "Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara yang baik dan takwa, dan jangan kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah seseungguhnya Allah amat keras seksaannya."(al-Maidah : 2)"
Dr. Yusur al-Qaradhawi yang lebih ringan dalam masaalah ini, yang mana beliau berpendapat boleh seseorang muslim menyampaikan tahniah kepada perayaan Ahli Kitab tetap melarang untuk menyambut sekali perayaan bukan Islam. Beliau menyebut :
"Ini adalah daripada hak-hak bersama, jika seseorang ahli kitab datang dan menyampaikan tahniah dengan perayaan kamu (muslim) dan bersama dalam kesedihan dan musibah yang menimpa kamu dan mengucapkan takziah kepada kamu. Maka apakah pula larangan untuk kamu mengucapkan tahniah dengan perayaan mereka dalam kegembiraan mereka dan mengucapkan takziah dalam musibah yang menimpa mereka ? Allah swt berfirman (maksudnya) : "Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa." (al-Nisa :86) Beliau menyambung dengan mengatakan : "Ini tidak bermakna kita menyambut perayaan itu bersama mereka, adapun ianya hanyalah ucap tahniah semata-mata, ini termasuk dalam berbuat baik dan adil yang datang bersama agama ini (Islam)"
Fatwa mengenai perkara ini telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia :
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
2. Walaubagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.
Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Keputusan :
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;
1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya;
i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
Contohnya:
i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;
ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;
iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.
3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini. Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Contohnya:
i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
ii. Berpakaian yang menjolok mata;
iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;
iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.
4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”. Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.
Contohnya:
i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;
ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam; iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.
Sumber :
1. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-mengucapkan-tahniah-dan-ucapan-selamat-bersempena-perayaan-agama-
2. http://putera.forumotion.com/sudut-agama-f58/hukum-merayakan-sambutan-perayaan-orang-kafir-xmas-cny-sebagainya-t6463.htm
************************************************************
Walaupun perkara ini ada khilaf dan pandangan ulama mengenainya namun sekiranya kita masih ragu - ragu, hilangkan keraguan tersebut dengan menggunakan pakai mana-mana pandangan yang sesuai dengan situasi kita. Namun berusahalah keluar daripada khilaf kerana itu yang jalan terbaik seperti kaedah fiqh ada mengatakan :
" الخروج من الخلاف مستحب "
Maksudnya : keluar daripada perkara khilaf itu adalah lebih baik.
Semoga dengan dalil dan hujjah di atas kita lebih terpandu dalam menghadapi situasi mengenai sambutan krismas yang akan datang berdasarkan pimpinan syarak.
Waallahua'alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan