01 Muharam 1432H bersamaan 07 Disember 2010 kita telah berada di tahun baru hijrah. Majlis sambutan diadakan di merata tempat dan tidak kurang juga dengan sms yang bertalu-talu diterima atau dihantar kepada kawan - kawan dan sahabat handai.
Kisah Hijrah
Dari kecil hingga ke besar kita sering mendengar cerita dan kisah hijrah Rasulullah SAW apabila masukknya 1 muharam. Ulasan oleh para penceramah daripada pelbagai sudut mengenai kisah hijrah ini semata - mata inginkan sesuatu pengajaran dan faedah dapat di kutip semaksimum yang mungkin agar dapat diamalkan dalam kehidupan kita. Sejauh mana kita mengamalkannya? Waallahua'alam.
Beberapa ayat di dalam Al-Quran Allah telah rakamkan mengenai peristiwa hijrah seperti ayat 97 - 100 surah an-Nisa', al-Anfal ayat 26 dan 72, surah at - Taubah ayat 19 - 22 dan 100. Kisah hijrah, antara kaum muhajirin dan ansar, kelebihan berhijrah dan dorongan berhijrah terkandung dalam ayat - ayat tersebut.
Keluar
Bila berbicara tentang hijrah, perkataan " keluar " tidak boleh dipisahkan kerana hijrah berlaku apabila Rasulullah SAW keluar meninggalkan Kota Mekah menuju ke Kota Madinah. Keluarnya Rasulullah meninggalkan Kota Mekah sudah pasti mempunyai misi dan visi tersurat dan tersirat. Tersurat seperti yang telah dijelaskan oleh para ilmuan Islam terdahulu dan tersirat itulah pengajaran ( istifadah ) yang sewajibnya kita fikirkan dan cari untuk diamalkan.
Syed Qutb dalam tafsirnya Fi Zilal Quran, Jilid 5, muka surat 308 :
وهجرة المسلم ما حرم الله عليه، كما قال صلى الله عليه وسلم: (والمهاجر من هجر ما حرم الله عليه). وهجرة أهل المعاصي حتى يرجعوا تأديبا لهم فلا يكلمون ولا يخالطون حتى يتوبوا.
" Hijrah seorang muslim adalah meninggalkan apa yang Allah haramkan, seperti apa yang Nabi SAW sabdakan ( mereka yang berhijrah itu adalah sesiapa yang berhijrah meninggalkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT ). Hijrah ahli maksiat pula adalah sehingga mereka kembali kepada akhlak yang dapat membentuk mereka, maka mereka tidak berkata - kata dan tidak bercampur gaul sehingga mereka bertaubat ".
Ulasan Syed Qutb itu adalah salah satu hijrah yang perlu kita lakukan. Perkara haram senantiasa terhidang di hadapan kita jauhi dan jika terlajak kembalilah..
Ganjaran Hijrah
Surah an-Nisa' ayat 100 :
" Barang siapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasulnya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ".
Ayat ini adalah ayat yang mendorong kita untuk berhijrah. Apa nak ditakutkan dengan hijrah. Ke mana kita nak berhijrah Allah telah sediakan rezeki dan kebaikan untuk kita walaupun awalnya kita terasa berat untuk melakukannya. Kisah kaum muhajirin dan ansar adalah contoh limpahan rezeki dan kebaikan kedua - dua kaum ini.
Ketika kita berhijrah lalu kematian datang menjemput, Allah tetap berikan ganjaran pahala kepada kita. Tetapi syaratnya hijrah wajiblah didasari semata - mata kerana Allah dan Rasulnya jika ingin ganjaran tersebut di atas.
Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengampun, raung rahmatNYA terlalu luas untuk kita. Oleh yang demikian itu, jika inginkan rahmat Allah maka wasilah hijrah adalah salah satu cara untuk kita memiliki rahmatNYA itu.
Hijrah .... hijrah ..... hijrah...
" 1 AQIDAH 1 UMMAH "
* Antara isi kandungan ceramah saya di Masjid Al-Hilal Tg. Dumpil, Putatan sempena sambutan Ma'al Hijrah 1432H ( 06 /12/2010 selepas maghrib ).
0 ulasan:
Catat Ulasan