PEJABAT MUFTI NEGERI SABAH
KHUTBAH PERTAMA
GERHANA MATAHARI SEPARA
PADA 29 MUHARRAM 1431H / 15 JANUARI 2010M
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ . أَشْهَدْ أَنْ لا إِلهَ إِلَّا الله وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَه ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُه ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ
Sidang Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah ٍS.W.T
Saya berpesan kepada diri saya dan kaum muslimin sekaliannya, marilah kita mempertingkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah S.W.T. dengan kita melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya hanya keredhaan dan keberkatan dariNya sahaja, maka kita akan beroleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat kelak.
Sidang Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah S.W.T
Alhamdulillah, kita menadahkan tangan merafa’kan syukur kepada Allah S.W.T, pencipta segala sesuatu yang berada di langit dan bumi, memperedarkan bumi di atas paksinya sehingga terjadinya siang dan malam, mengerakkan perjalanan bulan mengelilingi bumi di atas garisan orbitnya membentuk fasa-fasa bulan sebagai panduan bagi manusia, menyusun perubahan matahari pada kedudukannya bermula terbit dari arah timur dan terbenam di barat serta mengatur peredaran dan pergerakan segala makhluk di alam cakerawala dengan penuh tersusun dan aturan Yang Maha Kuasa dan Kehendak Allah S.W.T. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-‘Araf, ayat 54 ;
إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثاً وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
Bermaksud ;
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Ia bersemayam di atas Arasy, Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan cepat (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
Alhamdulillah, dengan Qudrat dan IradahNya jua kita telah diberikan peluang dan ruang masa untuk menyaksikan pada hari dan detik ini salah satu fenomena alam iaitu Gerhana Matahari Separa yang berlaku di Negara kita khususnya di Negeri Sabah dengan kadar peratusannya yang berbeza. Kejadian ini mengambarkan betapa besarnya kekuasaan dan keagungan Allah S.W.T yang telah mengatur kejadian alam ini agar manusia mentadabbur dan bertafakkur serta memikirkan mengenainya semoga kita menjadi hambaNya yang beriman lagi bertaqwa dan bersyukur dan di atas segala nikmatNya.
Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Furqan, ayat 61-62 ;
تَبَارَكَ الَّذِي جَعَلَ فِي السَّمَاءِ بُرُوجاً وَجَعَلَ فِيهَا سِرَاجاً وَقَمَراً مُنِيراً * وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ خِلْفَةً لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يَذَّكَّرَ أَوْ أَرَادَ شُكُوراً
Bermaksud ;
Maha Suci Allah yang telah menjadikan di langit tempat-tempat peredaran (gugusan-gugusan) bintang dan Dia menjadikan juga padanya Matahari serta bulan yang bercahaya dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu memikirkan kebesaranNya atau mahu bersyukur atas segala nikmatNya.
Sidang Muslimin dan Muslimat Yang Di kasihi Allah S.W.T
Fenomena Gerhana Matahari Separa yang kita saksikan pada saat ini tidak hanya dilihat dan ditinjau dari kaca mata sains astronomi semata-mata, bahkan kejadian ini perlu dihalusi dan dihayati dari kaca mata Islam agar peristiwa ini memberikan keinsafan dan peringatan kepada kita sekalian pada hari yang dijanjikan oleh Allah S.W.T iaitu hari kiamat. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Qiyamah, ayat 7-13 ;
فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ. وَخَسَفَ الْقَمَرُ. وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ. يَقُولُ الإِنْسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ الْمَفَرُّ .كَلَّا لا وَزَرَ . إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ. يُنَبَّأُ الإنْسَانُ يَوْمَئِذٍ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ
Bermaksud ;
Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila mata terbeliak (kerana gerun dan takut), Dan bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): "Ke manakah hendak melarikan diri?" sekali-kali tidak ! tidak ada lagi tempat perlindungan! Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali. Pada hari itu, manusia diberitahu apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan atau lalaikan”.
Di dalam surah al-Isra’, ayat 59, Allah S.W.T menegaskan ;
وَمَا نُرْسِلُ بِالْآياتِ إِلَّا تَخْوِيفاً
Bermaksud ;
Dan kami tidak memberikan tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti (melahirkan rasa gerun dan takut ) .
Kita amat bersyukur kerana kejadian gerhana matahari separa yang terjadi hari ini merupakan pertemuan Matahari, bulan dan bumi dalam keadaan sejajar atau sebaris masih berada di kedudukan garisan peredarannya sendiri sehingga menyebabkan sebahagian cahaya matahari tidak sampai ke bumi. Cuba kita bayangkan sekiranya pertemuan ketiga-tiga planet ini berada di landasan yang sama ? Sudah tentu berlaku sesuatu yang kita tidak akan duga. Maha Suci dan Kuasa Allah yang telah mengatur segalanya dengan sempurna.
Jika kita menghayati dan mengimbau sejenak keadaan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W ketika berlakunya fenomena gerhana ini pada zamannya S.A.W melalui hadith-hadith sahih seperti yang diriwayatkan oleh Sahih Bukhari dan Muslim dari Abi Musa mengkhabarkan ;
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ فَأَتَى الْمَسْجِدَ فَصَلَّى بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ رَأَيْتُهُ قَطُّ يَفْعَلُهُ وَقَالَ هَذِهِ الْآيَاتُ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لَا تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنْ يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِ عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ
Bermaksud ;
“Ketika terjadi gerhana matahari di zaman Rasulullah s.a.w, maka Rasulullah s.a.w tersentak dan terkejut serta merasa ketakutan hari kiamat akan tiba, Rasulullah s.a.w menuju ke Masjid dan lantas bersembahyang gerhana dengan keadaan berdiri (qiyam), ruku’ dan sujud yang panjang kadar (daripada biasa) aku melihat dia (Rasulullah s.a.w) begitu bersungguh melakukannya, Rasululllah s.a.w bersabda ; Gerhana ini merupakan tanda-tanda yang Allah utuskan (berlaku) bukan kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupan (kelahiran) seseorang namun gerhana ini diutuskan (berlaku) bagi memberikan rasa takut dan gerun kepada hambanya, maka apabila kamu melihat fenomena ini maka bersegeralah kamu ingat kepada Allah, bermunajat dan memohon ampun kepadanya”.
[ Lafaz dari Sahih Bukhari : [999] , Muslim : [1518] ]
Imam Nawawi menjelaskan hadith ini di dalam syarahnya mengenai keadaan “ketakutan” yang dialami oleh Rasulullah s.a.w melalui hadith sahih ini bahawa gerhana tersebut merupakan tanda yang muncul sebelum tanda-tanda kiamat yang lain seperti terbit matahari dari barat ke timur atau keluar Dajjal atau gerhana tersebut sebahagian daripada tanda-tanda ( kiamat ) .
Sidang Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah
Demikian halnya keadaan Rasululah s.a.w melahirkan rasa takut kepada azab Allah S.W.T seolah-olah hari kiamat bakal tiba, sehingga digambarkan lagi di dalam sebuah hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Nasa’ie di dalam sunannya daripada Abdullah bin Amr menceritakan ketika berlaku gerhana di zaman Rasulullah s.a.w menangis sambil berdoa untuk umatnya di dalam sujud ;
لَمْ تَعِدْنِي هَذَا وَأَنَا فِيهِمْ لَمْ تَعِدْنِي هَذَا وَنَحْنُ نَسْتَغْفِرُكَ
Bermaksud ;
“Engkau telah berkata yang Engkau tidak akan menyiksa umatku sedang aku bersama mereka, Engkau telah berkata tidak akan menyiksa (umatku) selagi kami meminta keampunan kepadaMu..” [ sunan al-Nasa’ie [1465] – Sahih ]
Rasulullah s.a.w juga diperlihatkan gambaran kenikmatan syurga dan azab neraka ketika solat gerhana sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam sahihnya. Rasulullah s.a.w menjelaskan kepada para sahabatnya bahawa ia hampir mencapai setandan buah dari syurga sehingga baginda berasa gembira. Di samping itu, diperlihatkan juga berbagai siksaan Neraka sehingga digambarkan oleh Rasulullah s.a.w “kemudian aku melihat neraka dan belum pernah aku melihat pandangan yang ngeri seperti itu dan aku melihat kebanyakkan penghuninya adalah wanita” (kerana kebanyakkan wanita ini ingkar dan tidak menghargai kebaikan suami mereka) والعياذ بالله
[ Maksud Hadith Sahih Bukhari [993] , Sahih Muslim [1512] ]
Sidang Muslimin dan Muslimat yang dikasihi sekalian
Bagaimana pula halnya dengan keadaan kita ? Adakah kita merasa sebagaimana yang dirasai oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w ? Adakah kita merasa takut dan gerun dengan tanda-tanda atau kejadian seumpama ini yang merupakan peringatan Allah kepada hamba-hambaNya yang membuat mungkar dan maksiat . Adakah kita yakin bahawa kehidupan kita pada hari ini sudah menjamin tempat ke Syurga atau sebaliknya?والعياذ بالله
Jika ditinjau suasana kehidupan kita pada hari ini, kita melihat berbagai perbuatan mungkar disajikan seperti perbuatan zina, membuang bayi, meminum arak, pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan, permainan judi, rasuah berleluasa dan sempama lagi perbuatan mungkar dan maksiat yang lain dilakukan tanpa segan silu dan tanpa rasa bersalah, tanpa rasa berdosa dan menyesal dengan apa yang dilakukan bahkan ia menjadi bahan lawak jenaka dan dibangga-banggakan untuk dihebahkan.
Percayalah, bahawa kerosakan dan kefasadan di muka bumi ini berlaku akibat perbuatan manusia sendiri yang engkar pada perintah Allah S.W.T . Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Rum, ayat 41 :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ
الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Bermaksud ;
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Sidang Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah S.W.T
Jika kemaksiatan dan kemungkaran terus berlaku, kita bimbang kehidupan kita akan menjadi gelap gelita segelap bulan menutupi cahaya matahari, kita bimbang sinar kehidupan kita di dunia ini tidak seperti yang kita harapkan sebagaimana kita harapkan cahaya matahari bersinar kembali menyinari bumi ini.
Oleh itu, Kejadian Gerhana dan tanda-tanda yang berlaku di dunia ini memberi peringatan dan kesedaran kepada manusia agar bermuhasabah serta bertaubat kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
0 ulasan:
Catat Ulasan