1.1 LAFAZ NIAT
i. Solat Gerhana Matahari
أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”
ii. Solat Gerhana Bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”
1.2 KAIFIAH MENGERJAKAN
i. Secara amnya, sembahyang sunat gerhana ini dikerjakan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Yang akmal dan sempurnanya dikerjakan sebanyak 2 rakaat dan setiap satu rakaat itu mempunyai 2 kali qiyam (berdiri) , 2 kali ruku’ dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat tersebut [2 rakaat, 4 qiyam (berdiri), 4 ruku’ dan 4 sujud].Yang lebih akmal dan lebih sempurna dikerjakan sebanyak 2 rakaat dan setiap rakaat 2 kali qiyam, 2 kali ruku’ dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-kedua rakaat [2 rakaat, 4 qiyam (berdiri), 4 ruku’ dan 4 sujud].
ii. Secara terperincinya seperti berikut ;
1. Kaifiah Pertama
Kaifiah ini lebih akmal dan afdhal iaitu dikerjakan dua rakaat. Setiap satu rakaat dilakukan dua qiyam (berdiri), dua ruku’ dan dua sujud dengan memanjangkan bacaannya iaitu seperti berikut ;
A. Rakaat Pertama ;
1. Niat dan Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa Iftitah ( الإفتتاح ) dan membaca ( التعوذ )
3. Membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Baqarah atau kadar panjang surah al-Baqarah.
4. Ruku’ dan membaca tasbih sekadar panjangnya 100 ayat
5. Bangun dari ruku’
6. Membaca al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau sekadar panjang bacaan surah tersebut
7. Ruku’ semula dan membaca tasbih sekadar panjang 80 ayat
8. I’tidal
9. Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 100 ayat
10. Duduk di antara dua sujud
11. Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 80 ayat
12. Berdiri rakaat kedua
B. Rakaat kedua ;
1. Membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Nisa’ atau kadar panjang surah al-Nisa’.
2. Ruku’ dan membaca tasbih sekadar panjangnya 70 ayat
3. Bangun dari ruku’
4. Membaca al-Fatihah dan membaca surah al-Maidah atau sekadar panjang surahnya.
5. Ruku’ semula dan membaca tasbih sekadar panjang 50 ayat
6. I’tidal
7 Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 70 ayat
8. Duduk di antara dua sujud
9. Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 50 ayat
10. membaca tasyahud akhir dan memberi salam
Ringkasnya, bagi kaifiah ini mempunyai 2 rakaat, 4 kali qiyam (berdiri), 4 kali ruku’ dan 4 kali sujud dengan bacaan setiap rakaat. Kaifiah ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith-hadith sahih.
2. Kaifiah Kedua ;
Kaifiah ini juga merupakan kaifiah yang akmal iaitu dikerjakan dua rakaat. Setiap satu rakaat dilakukan dua qiyam (berdiri), dua ruku’ dan dua sujud tanpa memanjangkan bacaannya iaitu seperti berikut ;
a. Rakaat Pertama ;
1. Niat dan Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa Iftitah ( الإفتتاح ) dan ta’awuz ( التعوذ )
3. Membaca surah al-Fatihah dan membaca mana-mana surah
5. Ruku’
6. Bangun dari ruku’
7. Membaca al-Fatihah dan membaca mana-mana surah
8. Ruku’ semula
9. I’tidal
10. Sujud
11. Duduk antara dua sujud
12. Sujud
13. Berdiri ke rakaat kedua. [ dilakukan seperti rakaat pertama iaitu dari membaca al-Fatihah dan diakhiri dengan Salam ]
Setelah selesai dari ini, dikira satu rakaat. Begitu juga dilakukan untuk rakaat kedua. Ringkasnya, bagi kaifiah yang kedua ini mempunyai 2 rakaat, 4 kali ruku’, 4 kali qiyam atau berdiri dan 4 kali sujud
3. Kaifiah Ketiga ;
Dikerjakan seperti mengerjakan sembahyang sunat biasa iaitu sebanyak 2 rakaat.
iii. Kaifiah solat gerhana ini ada disebutkan di dalam beberapa buah hadith sahih di antaranya hadith yang diriwayatakan oleh Imam Bukhari daripada Saidatina ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha menyatakan ;
كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ فَأَطَالَ الْقِرَاءَةَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَأَطَالَ الْقِرَاءَةَ وَهِيَ دُونَ قِرَاءَتِهِ الْأُولَى ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ دُونَ رُكُوعِهِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ ثُمَّ قَامَ فَصَنَعَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ قَامَ فَقَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ يُرِيهِمَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلَاةِ
“Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang, kemudian beliau ruku’ dan memanjangkan bacaan ruku’, kemudian baginda bangun daripada ruku’, (dalam berdiri yang kedua) membaca bacaan sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian beliau sujud, kemudian beliau berdiri dan melakukan sama seperti rakaat pertama Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan tidak berlaku kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupan (kelahiran) seseorang akan tetapi kedua-dua ini adalah tanda-tanda kebesaran Allah yang dilihatkan kepada hambanya, maka apabila kamu melihat fenomena tersebut, maka bergegaslah kamu melakukan solat gerhana”. [Bukhari, 4, Halaman 182 [ 998 ] ]
Dan di dalam hadith yang lain iaitu daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiyallahu ‘Anhuma menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w membaca kadar panjang surah al-Baqarah selepas membaca al-Fatihah pada qiyam pertama dalam rakaat pertama. [Bukhari, 4, Halaman 173 [ 993 ]]
iv. Di antara perkara yang disebutkan di dalam kitab fiqh mengenai sembahyang gerhana iaitu ;
· Disunatkan mandi sunat gerhana
· Disunatkan menyeru dengan laungan الصلاة جامعة
· menyaringkan bacaan bagi solat gerhana bulan dan memperlahankan bacaan bagi sembahyang gerhana matahari
v. Disunatkan membaca dua khutbah setelah selesai daripada sembahyang gerhana. Kaifiah Khutbah gerhana sama seperti khutbah jumaat dari segi rukun dan syarat sah khutbah. Isi kandungannya memberi penekanan supaya sentiasa bertaubat, bersedekah, mengamalkan perkara ma’ruf dan menjauhi yang mungkar dan seumpamanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan