Bismillah...
Alhamdulillah, dikesempatan ini Allah SWT masih lagi mengurniakan taufik dan hidayah kepada kita serta limpahan nikmat yang tidak henti – henti.
Sekali lagi pada 15 Januari 2010 bersamaan 29 Muharram 1431H hari Jumaat seluruh penduduk bumi akan dapat memerhati satu lagi tanda keagungan Allah SWT iaitu Gerhana Matahari.
Dalam Kitab Sahih Muslim, Jilid 4, halaman 463, nombor hadis 1516 :
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِمَا عِبَادَهُ وَإِنَّهُمَا لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ
Maksud:
Dari Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang”
( Riwayat Muslim )
Bagi umat Islam, fenomena ini merupakan salah satu wasilah untuk mempertingkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT kerana fenomena ini bukan hanya diperhatikan dengan mata kasar bahkan ianya membawa kita sebagai umat Islam memerhati serta mentadabbur tanda – tanda kebesaran Allah SWT dengan mata hati. Kerana itu juga, Islam telah mensyariatkan solat sunat gerhana matahari sebagai cara untuk kita mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepadaNYA. Malah hukum solat sunat gerhana matahari adalah sunat muakkad sepertimana solat sunat aidilfitri dan aidiladha.
Secara amnya gerhana matahari berlaku apabila kedudukan matahari, bulan dan bumi berada dalam keadaan sejajar (sebaris). Ini menyebabkan bulan melindungi cakera matahari daripada pemerhati di bumi.
Semasa gerhana matahari, bulan akan kelihatan perlahan-lahan melindungi cakera matahari yang menyebabkan beberapa tempat di muka bumi ini akan mengalami 3 jenis gerhana iaitu samada ianya gerhana penuh, gerhana annulus ataupun separa. Gerhana Matahari akan berlaku ketika fasa bulan baru dan pada masa yang sama Bulan melintasi laluannya di antara Matahari dan Bumi supaya Matahari tertutup sebahagian atau keseluruhannya.
Secara umumnya di Malaysia, Gerhana matahari separa akan dapat disaksikan di seluruh negara pada 15 Januari 2010 dan gerhana matahari ini akan bermula seawal jam 2:56 petang dan berakhir jam 5:44 petang yang mana Matahari terlindung oleh Bulan mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40% di bahagian utara Semenanjung Malaysia pada waktu petang. Peratus Matahari dilindungi oleh Bulan semakin mengurang ke bahagian tengah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Waktu terjadinya gerhana ini dan peratus bulan menutupi matahari agak berbeza di beberapa lokasi di Malaysia disebabkan faktor geografi.
Di kawasan Kota Kinabalu, Sabah, gerhana matahari akan bermula jam 3:47:18 p.m (sentuhan pertama). kemuncak gerhana 4:44:30 p.m (sentuhan kedua) dan akan berakhir jam 5:35:36 p.m (sentuhan akhir) serta Peratus gerhana adalah 13.5 %. Maknanya waktu solat gerhana matahari bagi kawasan Kota Kinabalu adalah bermula jam 3:47:18 p.m sehingga 5:35:36 p.m.
Suasana ketika itu bagi kawasan Kota Kinabalu, gerhana hanya akan dapat dilihat apabila Bulan menutupi Matahari secara perlahan sehingga liputan maksimum tercapai iaitu sebanyak 13.5 % pada jam kira-kira 4:44 p.m. Pada akhir sentuhan kira-kira jam 5:35 p.m bayangan Bulan mula hilang secara perlahan.
0 ulasan:
Catat Ulasan