Ahad, November 27, 2011

Rukyah Hilal Muharam 1433H

Bismillah...


26 November 2011 bersamaan 30 Zulhijjah 1432 adalah tarikh terakhir mengikut kiraan hijriah. Tahun 1432H melabuhkan tirainya dan 1433H kunjung tiba. Suka atau sebaliknya manusia selagimana hayat dikandung badan akan berada di tahun 1433H.

Alhamdulillah, lazimnya dan memang menjadi tugas hakiki bagi saya untuk turun mencerap hilal muharam. Biasanya aktiviti ini turut disertai oleh pihak luar, namun kali ini dikhususkan kepada warga Pejabat Mufti Negeri Sabah (PMNS) atas hasrat Mufti Kerajaan Kerajaan Negeri Sabah agar warga pejabat mufti turut didedahkan dengan ilmu falak . Kebetulan ada beberapa orang staf yang baru sahaja memulakan tugas di PMNS.

Jika majlis cerapan rasmi seperti Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah seluruh warga PMNS turut bertugas dan kesempatan untuk mencerap hilal ketika majlis tersebut agak terhad. Oleh itu, cerapan hilal muharam ini adalah masa yang terbaik untuk diperjelaskan kepada mereka tentang ilmu falak khasnya mengenai hilal (anak bulan).

Pengisiannya dimulakan dengan sedikit taklimat mengenai anak bulan muharam yang bakal dicerap pada petang tersebut. Cerapan kali ini juga turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Mufti, Ust. Mohd Ariffin Ali dan Timbalan Pengarah JUPEM.

5.57 petang waktu ghurubnya (terbenamnya) matahari dan masuknya waktu solat maghrib maka dimulakan aktiviti cerapan sebelum solat maghrib ditunaikan. Jika berdasarkan hisab melalui data yang dibekalkan bahawa di Balai Cerap al-Biruni negeri Sabah waktu hilal terbenam pada jam 7.03 malam, tinggi hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam 13 darjah 31 minit 15 saat, jarak hilal dari matahari 14 darjah 54 minit, umur hilal pula telah menjangkau 28 jam 54 minit.

Berdasarkan data hisbiah tersebut, maka hilal telah lebih memenuhi kritiria imkanurrukyah (keboleh nampakkan) yang ditetapkan dan alhamdulillah seawal jam 6.01 petang hilal mula kelihatan dengan bantuan faktor keadaan cuaca yang baik.

Warga PMNS serta Timbalan Pengarah JUPEM SABAH khususnya rasa gembira kerana ini pengalaman pertama mereka dapat melihat hilal dalam aktiviti cerapan seperti ini. Maknanya, selain taklimat berkaitan ilmu cerapan yang mereka dengari dalam masa yang sama Allah telah memperlihatkan hilal kepada mereka dan ini bererti objektif dan matlamat aktiviti kali ini bagi saya adalah tercapai walau ada beberapa orang yang punyai keuzuran dalam menghadiri aktiviti ini...

Sekian, jumpa lagi cerapan hilal safar akan datang...
















0 ulasan:

Catat Ulasan