Selasa, Ogos 30, 2011

27 Ramadhan 1432H

Bismillah...


27 Ramadhan 1432H berbetulan tarikhnya sama dengan 27 Ogos 2011. Hari Jumaat sebelum masuknya waktu maghrib, pejabat saya mengadakan majlis khatam al-Quran dan Iftor Jamai'e diadakan di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah dan majlis ini berakhir seusai solat tarawih.

Malam tersebut malam ke 27 Ramadhan saya mempunyai komitmen bagi memimpin qiam di Masjid Negeri Sabah bermula jam 2.00 pagi. Jam 1.30 pagi saya terpaksa menyatakan keuzuran kepada al-Fadhil Ust. Azamuddin sebagai penyelaras qiam kerana isteri sedang sakit-sakit menunjukkan tanda-tanda hendak bersalin.

Sebelum itu, saya pernah berbisik kepada isteri menyatakan bahawa alangkah baiknya jika dia bersalin di 27 Ramadhan. Selepas solat jumaat pada 26 Ramadhan juga saya ada menyatakan perkara ini kepada imam besar kebetulan hari tersebut saya ditugaskan sebagai khatib.



Seakan ianya menjadi doa, selepas solat subuh saya terus membawanya ke Hospital Likas. Anak sulung ditumpangkan di rumah kawan dan anak ke dua saya membawanya bersama. Ketika berada di depan Masjid Bandaraya air ketumban mula keluar dan saya memecut laju dan bernasib baik ketika itu jalan lengang.


Sampai 6.30 pagi di Hospital saya membawanya masuk ke bilik penilaian dan tidak beberapa lama kemudian isteri terus dibawa masuk ke dewan bersalin. Alhamdulillah, jam 7.40 pagi isteri selamat bersalin seorang baby lelaki, beratnya 2.45 kg.

Nampaknya doa saya termakbul, di sepuluh malam terakhir pada malam 27 ramadhan pula, sememangnya 10 malam terakhir adalah hari-hari yang sangat diharapkan oleh para MUTTAQIN yang sedang berpuasa iaitu agar dikurniakan LAILATULQADAR. Tidak kurang ramainya para ulama telah membahaskan bila berlakunya LAILATULQADAR, Nabi SAW telah memberikan gambaran yang ianya berlaku pada 10 malam terakhir, malam genap mahupun malam ganjil. Ramai ulama telah menyatakan bahawa berlakunya pada malam ke 27 Ramadhan. Waallahua'alam... itu adalah RAHSIA ALLAH.


Apa yang diharap kelahiran permata kami di sempena 10 malam terakhir mudah-mudahan ada barakahnya sepertimana doa-doa sahabat sebagai ucapan tahniah yang telah saya terima. Jazakumullah Khairal Jaza saya ucapkan kepada sahabat-sahabat yang membantu juga yang turut menyatakan tahniah dan doa. Semoga kita memperolehi taqwa ketika ramadhan melabuhkan tirainya dan kini syawal menjelma.

Salam Aidilfitri...


0 ulasan:

Catat Ulasan