Isnin, Mac 14, 2011

Ceramah Maulidurrasul 1432H (1)



Bismillah...

Pada tahun 2006 saya telah hadir ke lokasi pangkalan TLDM Sepanggar atas urusan menentusahkan arah kiblat masjid yang diberi nama ketika ini ialah Masjid Ibn Batutah. Keadaan jalan dan persekitaran ketika itu yang masih dalam pembinaan amat menyukarkan. Kami terpaksa melalui jalan kampung. Jarak dari jalan besar ke lokasi tersebut hanya 4 KM (lebih kurang) tetapi memandangkan jalan yang teruk tempoh masa yang diambil adalah setengah jam untuk sampai ke tapak pembinaan masjid.

Alhamdulillah hari ini jauh lebih baik dan selesa, jalan highway telah dibina, kompleks TLDM dilengkapi beberapa prasarana dan kemudahan untuk anggotanya seramai 4000 orang lebih dan juga di tempat ini berlabuhnya 2 buah kapal selam aset pertahanan Malaysia yang canggih.

Kehadiran saya sekali lagi ke kompleks TLDM adalah atas jemputan ceramah sempena Sambutan Maulidurrasul 1432H peringkat TLDM Sepanggar. Undangan datang ke pejabat dan SS Mufti Kerajaan Negeri Sabah telah memberi kepercayaan kepada saya bagi memenuhi undangan ini.

Selain berceramah saya juga turut diamanahkan bagi mengadili pertandingan sepanduk. Para anggota turut berarak dan berselawat beramai – ramai.

Sesi ceramah diadakan di dalam Masjid Ibn. Batutah yang cukup indah. 3 ayat al-Quran saya petik dan huraikan berkaitan dengan keputeraan Baginda SAW. Surah al-Baqarah ayat 119 :

“ Sesungguhnya kami (Allah ) utuskan engkau Muhammad dengan kebenaran iaitu berita gembira dan peringatan, dan janganlah engkau persoalkan tentang golongan ahli – ahli neraka”.

Antara tujuan Allah utuskan Muhammad SAW adalah pembawa berita gembira dan peringatan. Sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Tafsir Ibn Kathir bahawa Ibn Hatim daripada Ibn Abbas meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda : “ berita gembira itu adalah syurga dan peringatan itu adalah peringatan daripada api neraka”.

Sayugianya, gerak kerja nabi SAW inilah yang sewajibnya kita teruskan iaitu memberi khabar gembira iaitu hal – hal syurga Allah SWT kepada semua manusia dan peringatkan mereka tentang peritnya seksa api neraka Allah SWT. Bukti kita sayang nabi SAW maka laksanakanlah tugas ini.

Ulasan Ayat kedua iaitu surah ali ‘imran ayat 31 :

Katakanlah (Muhammad SAW ) kepada mereka jika mereka cinta akan Allah SWT maka ikutilah aku (Muhammad SAW) dan Allah akan mengampuni dosa – dosa kamu dan Allah SWT itu maha pengampun lagi maha penyang “.

Huraian mengenai ayat ini di Tafsir Ibn Kathir mengatakan bahawa ayat ini adalah pemutus hukum bagi mereka yang mengatakan cinta kepada Allah tetapi tidak mahu menempuh jalan yang dilalui oleh nabi SAW.

Diterangkan pada surah at - taubah ayat 42 yang mafhumnya bahawa ayat ini menjelaskan sifat orang munafik yang enggan bersama Rasulullah SAW ketika peperangan tabuk. Malah mereka memberikan alasan bermacam – macam.

Bukti kecintaan kita kepada Allah SWT adalah jika kita sanggup menempuh perjalanan dan kehidupan seperti nabi SAW. Kalimah “ IKUTILAH AKU “ dalam ayat di atas adalah mengikut segala syariat yang dibawa oleh Rasul SAW.

Tidak memberi kesan walaupun sedikit “cinta” itu kepada Allah SWT, tetapi perlu diingat satu bala dan bahana jika Allah SWT tidak “cinta (redha)” kepada kita. Oleh itu, ikut dan laksanakan segala syariat Allah SWT yang dibawa oleh nabi SAW kerana itu jalan untuk kita mendapat “cinta” daripada Allah SWT.

Ada 1 ayat lagi iaitu ayat 107 surah al-Anbia’ yang cukup terkenal sering diungkapkan oleh umat Islam pada bila – bila masa terutama ketika Maulidurrasul. Mungkin anda boleh merujuka tafsirnya di kitab - kitab tafsir …

bersambung....






0 ulasan:

Catat Ulasan