Ahad, November 27, 2011

Rukyah Hilal Muharam 1433H

Bismillah...


26 November 2011 bersamaan 30 Zulhijjah 1432 adalah tarikh terakhir mengikut kiraan hijriah. Tahun 1432H melabuhkan tirainya dan 1433H kunjung tiba. Suka atau sebaliknya manusia selagimana hayat dikandung badan akan berada di tahun 1433H.

Alhamdulillah, lazimnya dan memang menjadi tugas hakiki bagi saya untuk turun mencerap hilal muharam. Biasanya aktiviti ini turut disertai oleh pihak luar, namun kali ini dikhususkan kepada warga Pejabat Mufti Negeri Sabah (PMNS) atas hasrat Mufti Kerajaan Kerajaan Negeri Sabah agar warga pejabat mufti turut didedahkan dengan ilmu falak . Kebetulan ada beberapa orang staf yang baru sahaja memulakan tugas di PMNS.

Jika majlis cerapan rasmi seperti Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah seluruh warga PMNS turut bertugas dan kesempatan untuk mencerap hilal ketika majlis tersebut agak terhad. Oleh itu, cerapan hilal muharam ini adalah masa yang terbaik untuk diperjelaskan kepada mereka tentang ilmu falak khasnya mengenai hilal (anak bulan).

Pengisiannya dimulakan dengan sedikit taklimat mengenai anak bulan muharam yang bakal dicerap pada petang tersebut. Cerapan kali ini juga turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Mufti, Ust. Mohd Ariffin Ali dan Timbalan Pengarah JUPEM.

5.57 petang waktu ghurubnya (terbenamnya) matahari dan masuknya waktu solat maghrib maka dimulakan aktiviti cerapan sebelum solat maghrib ditunaikan. Jika berdasarkan hisab melalui data yang dibekalkan bahawa di Balai Cerap al-Biruni negeri Sabah waktu hilal terbenam pada jam 7.03 malam, tinggi hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam 13 darjah 31 minit 15 saat, jarak hilal dari matahari 14 darjah 54 minit, umur hilal pula telah menjangkau 28 jam 54 minit.

Berdasarkan data hisbiah tersebut, maka hilal telah lebih memenuhi kritiria imkanurrukyah (keboleh nampakkan) yang ditetapkan dan alhamdulillah seawal jam 6.01 petang hilal mula kelihatan dengan bantuan faktor keadaan cuaca yang baik.

Warga PMNS serta Timbalan Pengarah JUPEM SABAH khususnya rasa gembira kerana ini pengalaman pertama mereka dapat melihat hilal dalam aktiviti cerapan seperti ini. Maknanya, selain taklimat berkaitan ilmu cerapan yang mereka dengari dalam masa yang sama Allah telah memperlihatkan hilal kepada mereka dan ini bererti objektif dan matlamat aktiviti kali ini bagi saya adalah tercapai walau ada beberapa orang yang punyai keuzuran dalam menghadiri aktiviti ini...

Sekian, jumpa lagi cerapan hilal safar akan datang...
















Rabu, November 23, 2011

Tips Kiblat di Hotel dan Resort

Bismillah...

khasnya kepada penduduk dan masyarakat Sabah atau para musafir yang bermusafir ke Sabah dan menginap di hotel atau resort. Beberapa tips atau panduan bagi anda memastikan arah kiblat di hotel atau resort yang anda diami.

Alhamdulillah boleh dikatakan telah banyak kami tentusahkan arah kiblat di bilik-bilik hotel atau resort di negeri Sabah ini samada yang berbintang atau tidak ada langsung bintangnya. Kami berdasarkan permohonan bukan berdasarkan taraf bintang sesebuah hotel atau resort. Juga perkhidmatan kami adalah 100% percuma.

Setiap hotel atau resort yang telah diberikan pengesahan arah kiblatnya maknanya telah memenuhi syarat dan telah kami lawati ke hotel dan resort tersebut. Antara syarat yang perlu diketahui adalah :

1. Penandaan arah kiblat dibuat di keseluruhan bilik hotel dan resort tersebut, maknanya kami masuk ke bilik-bilik hotel tersebut tanpa ada terkecuali walaupun satu bilik untuk diletakkan tanda (stiker) kiblat yang betul.

2. Penanda arah kiblat diletakkan/dilekatkan di atas syiling bilik hotel atau resort. Jika anda melihat stiker arah kiblat dilekatkan selain dari syiling seperti dalam laci/almari maka hotel tersebut tiada pengesahan daripada kami ( Pejabat Mufti Negeri Sabah ). Jika pihak hotel mendakwa pihak kami ada memberikan pengesahan maknanya pengesahan dan sijil pengesahan terbatal serta merta disebabkan berlakunya gangguan terhadap penanda arah kiblat.

Jika syarat tersebut telah dipatuhi, surat dan dan sijil pengesahan dianugerahkan kepada hotel dan resort tersebut dan mereka akan paparkannya di ruang atau lobi hotel sebagaimana sijil halal. Ini memudahkan para pengunjung ke hotel tersebut mengerjakan solat berpandukan arah kiblat yang terdapat di dalam bilik hotel dan resort tersebut.

Jika surat dan sijil tidak dipaparkan anda berhak meminta untuk ditunjukkan sijil dan surat pengesahan tersebut agar dapat menghilangkan rasa was-was dalam melaksanakan solat. Itu pun jika pihak hotel dan resort mendakwa hotel dan resort mereka telah ditentusahkan kiblatnya oleh pihak kami. Berhati-hati, kerana kes sebegini pernah berlaku.

Setelah itu, jika pihak hotel dan resort telah menunjukkan sijil atau surat pengesahan arah kiblat, teramat penting juga anda hendaklah memerhatikan stiker arah kiblat di dalam bilik hotel tersebut ianya memenuhi syarat seperti di atas. Jika sebaliknya, anda hendaklah melaporkan perkara ini kepada kami di alamat berikut :

Pejabat Mufti Negeri Sabah
Tingkat 2, Blok B, wisma MUIS
Beg Berkunci 2070
88999 Kota Kinabalu

tel : 088218322
faks : 088263679

Atau anda boleh berhubung langsung dengan saya melalui FB : albelurani alfalaki atau ditalian 0195367902 untuk tindakan lanjut daripada kami. Kami juga amat berharap di atas kerjasama anda atas dasar " Bertolong-tolong dalam kebaikan dan tidak bertolong-tolong dalam kemungkaran dan kejahatan".

Seperkara lagi, stiker kiblat ( penanda arah kiblat ) di setiap hotel atau resort adalah berlainan ini kerana atas dasar menghormati pihak hotel dan resort agar penanda tersebut bersesuaian dengan mereka. Namun, sedikit masa lagi STIKER KIBLAT akan diselaraskan dan akan sama semuanya menunjukkan bahawa pengesahan tersebut adalah daripada pihak kami.

Semoga dengan sedikit tips dan panduan ini membantu dan memudahkan anda melaksanakan solat apabila anda menginap di hotel dan resort di negeri Sabah.

Barakaallahu fiikum.



Jumaat, November 18, 2011

sekadar cuba - cuba

Bismillah...

Ini hanya sekadar mencuba update blog melalui ipaid. Menyertakan gambar di bawah mungkin sedikit sebanyak ianya membawa kita berwaspada bila di lamun "CINTA" atau cuba - cuba buat khianat cinta isteri kepada suaminya.




Mungkin anda tersenyum cuma senyuman itu insyaAllah membuatkan kita berfikir tanda insaf.

Sekian.