Jumaat, April 29, 2011

Pengajian Intensif Hadis 40 Siri 3

Selasa, April 26, 2011

Kurus - Kurus VS Boroi - Boroi

Bismillah...


Masih lagi bercerita mengenai Hari Keluarga PASTI 2011 di Tg. Aru ahad lepas. Antara aktiviti bagi kaum bapa ialah perlawanan bola sepak pantai. Sesungguhnya saya tidak bersedia mengikuti sebarang aktiviti malah saya hanya mengetahui aktiviti - aktiviti selain mewarna untuk anak - anak setelah saya hadir ke sana.

Namun, sudah agak lama saya tidak bermain bola dan memang minat dengan bola sepak saya tidak memikir panjang menyertai aktiviti kali ini walaupun hanya berseluar slaid bukan seluar sukan.

2 pasukan dan satu pasukan disertai tujuh orang. Yang dahsyatnya, 2 pasukan ini dinamakan pasukan kurus - kurus melawan pasukan boroi - boroi... waduh. Walau saya ditempatkan dipasukan boroi - boroi kami tetap menang setelah menewaskan pasukan kurus - kurus dengan jaringan 2 - 1.

Alhamdulillah meriah dan menyegarkan dengan aktiviti - aktiviti bermanfaat walaupun hanya masa yang singkat.






Ahad, April 24, 2011

Hari Keluarga PASTI 2011 (1)

Bismillah...


Hari ini 24 April 2011 telah diadakan Hari Keluarga Pasti 2011 yang melibatkan PASTI seluruh kawasan Putatan. Majlis ini berlangsung di Tg. Aru Beach bersebelahan dengan Restoran Rohayu dan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim di kalangan warga PASTI seluruh Putatan bersama dengan ahli keluarga masing - masing.

Berbagai aktiviti telah dijalankan antaranya :

1. Mewarna untuk kanak - kanak
2. Masakan tersedap
3. Pecah belon
4. Cabutan bertuah
5. Bola sepak pantai 7 sebelah
6. Kanak - kanak berhias

Majlis diatur sederhana tetapi cukup meriah. Jika sebelum ini kehadiran saya dalam majlis - majlis berkaitan PASTI hanya sebagai menyumbangkan tenaga untuk sedikit amanah yang diberikan tetapi kali ini kehadiran saya disebabkan anak sulung saya merupakan pelajar PASTI bermula tahun ini dan yang telah menjadi kanak - kanak PASTI.

Tahniah kepada seluruh ahli jawatankuasa di atas usaha ini semoga Allah memberikan kebaikan kepada antum sekalian.







Sabtu, April 23, 2011

Menorobos Tanda KeAGONGAN Sang PENCIPTA

Bismillah...




Jumaat, April 22, 2011

Bengkel Kiblat di Uitm Sabah

Bismillah...


Mulanya kami telah menerima permohonan menentukan arah kiblat daripada UiTM Sabah yang diuruskan oleh sahabat seperjuangan Ust. Fuad. Beberapa surau di blok - blok bangunan termasuk masjid UiTM telah ditentusahkan kiblatnya pada bulan Februari.

Memang sudah menjadi kebiasaan apabila saya menentusahkan arah kiblat maka dalam masa yang sama saya turut menjelaskan kaedah penentuan arah kiblat kepada pemohon. Agaknya, Ust. Fuad tertarik dan berminat dengan penjelasan saya maka beliau mencadangkan agar dapat dianjurkan satu bengkel mengenai kaedah - kaedah penentuan arah kiblat. Saya mengalu - alukan cadangan beliau kerana sebelum ini kami juga telah menerima undangan daripada Politeknik Kota Kinabalu untuk mengadakan kursus seperti ini pada tahun lepas.

20hb April maka terlaksanalah bengkel ini dan UiTM merupakan institusi pengajian tinggi kedua yang menganjurkan bengkel arah kiblat yang dikendalikan sepenuhnya daripada Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah. Bagi pihak kami, kursus / bengkel seperti ini amat dialu-alukan kerana misi kami adalah " MEMASYARAKATKAN @ MERAKYATKAN ILMU FALAK" khasnya di bumi sabah ini.


3 slot dalam pengisian bengkel yang dihadiri 30 orang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan UiTM. 2 kertas kerja saya bentangkan :

1. Bengkel pertama : Pengenalan Ilmu Falak dan Arah Kiblat Kesannya Terhadap Ibadah

2. Bengkel kedua : Kaedah - Kaedah Penentuan Arah Kiblat ( Kaedah Tradisional dan Kaedah Moden ).


3. Praktikum. Dilaksanakan dengan menyemak arah kiblat Masjid UiTM dengan menggunakan beberapa instrumen seperti Tedeolit, Total Station dan Kompas Prasmatik.

Objektif dan misi ketika saya menyampaikan ceramah berkaitan falak ( arah kiblat ) sekurang - kurang para pendengar dapat menguasai salah satu kaedah - kaedah penentuan arah kiblat dan dapat dipraktikkan setiap masa termasuklah mereka dapat menentukan arah kiblat di rumah masing-masing.


Alhamdulillah, terima kasih kepada UiTM atas kesudian menjemput kami untuk menjayakan bengkel ini sesuai dengan misi dan visi kami semoga apa yang disampaikan semuanya mendapat manfaat dan ibadah yang dikerjakan khasnya solat dilaksanakan dengan penuh kesempurnaan.

Waallahua'alam.

" MEMASYARAKATKAN DAN MERAKYATKAN ILMU FALAK ".









Jumaat, April 08, 2011

Ambuyat

Bismillah...


Hari jumaat rutinya warga di pejabat saya akan bertadarus al-Quran dan mendengar sesi tazkirah yang disampaikan secara bergilir - gilir di kalangan ustaz- ustaz.

Hari ini agak istimewa kerana ada beberapa orang warga pejabat yang berhajat untuk mengadakan jamuan selepas sesi tadarus. Cumanya hari ini kami membaca surah yasin dan doa kesyukuran yang dipimpin oleh SS Mufti Kerajaan Negeri Sabah.


Menu jamuan juga beraneka macam, sup ikan, sayur labu + sayur manis, ikan masak taucu dan ampap ( masakan versi Sabah ), kuih muih dan berbagai lagi.

Satu menu yang agak istimewa yang tidak pernah lagi dihidangkan di pejabat selama mana saya berkhidmat iaitu ambuyat. Ambuyat diperbuat daripada sagu dan cicahnya pula diperbuat daripada ikan dimasak secara berkuah. Senonimnya, ambuyat ini adalah makanan bagi suku Brunei dan suku Bisaya. Suku Brunei memanggilnya ambuyat dan suku Bisaya pula dipanggilnya ambolong. Tetapi diera globalisasi ini semua suku dan 1 Malaysia sama - sama memakannya, maknanya ambuyat ini pun telah dikenali ramai.


Seingat saya, pada tahun 2003 ketika saya berkhidmat di Pusat Latihan Dakwah Kudat pengetuanya telah menjemput para tenaga pengajar datang kerumahnya dan menu jamuan ketika itu adalah ambuyat yang pertama kali saya menjamahnya. Sehinggalah ke hari ini, ini adalah kali kedua saya menjamahnya. Waduh sodap juga rasanya.


Alhamdulillah, rezeki Allah telah berikan kepada warga pejabat untuk sama - sama dinikmati. Biasanya kalau tidak warga pejabat sendiri yang menyediakan jamuan ada juga pihak luar turut bersedekah dan minta untuk didoakan. Alhamdulillah... terima kasih yang telah membuat kebaikan.



Rabu, April 06, 2011

Cerapan Hilal Jamadilawwal 1432H

Bismillah...


30 Rabi'ulakhir 1432 bersamaan 04 April 2011 hari Isnin lalu seperti lazimnya kami turun mencerap anak bulan dan kali ini adalah untuk hilal Jamadilawwal 1432H sebagai aktiviti bulanan di Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah, Tg. Dumpil, Putatan Sabah.

Jika bulan lepas kami menerima tetamu daripada Pusat Latihan Khidmat Negara Kota Belud dan kali ini kami menerima seramai 20 orang yang dijemput khas di kalangan ahli jawatankuasa masjid sekitar Balai Cerap ini.

Masjid al-hilal, Masjid Nurul Jannah Kg. Petagas, Masjid Nurul Iman Kg. Pasir Putih Putatan dan Masjid As-Sobirin Kg. Sipanggil yang telah bersama dengan kami.




Taklimat dimulakan kemudian jamuan dan tepat jam 6.10 petang para tetamu mengambil posisi untuk sedia merukyah hilal. 5 buah tedeolit ( peralatan rukyah ) telah disediakan dan setiap peralatan dikawal oleh ahli - ahli teknikal di samping itu mereka turut menyampaikan maklumat mengenai cerapan hilal.


Aktiviti ini berjalan secara santai dan serba sedikit kami juga dapat memberikan sedikit ilmu falak berkaitan dengan rukyah hilal. Keputusan rukyah kali ini ialah hilal tidak kelihatan disebabkan awan tebal.

Alhamdulillah, rukyah hilal jamadilakhir akan datang pada 04 Mei 2011 ( rabu ) kami masih menunggu permohonan sesiapa yang ingin turut serta dalam aktiviti rukyah ini... sesiapa yang berminat bolehlah hubungi Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah di talian 088218322.

Sekian.