Selasa, Jun 29, 2010

Klinik Falak

Bismillah...

Perasmian pameran dan ekspo jualan pagi tadi

Hari ini bermulalah pameran dan ekspo sempena majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang diadakan di Wisma MUIS, Kota Kinabalu Sabah. Pameran dan Ekspo ini telah dirasmikan pagi tadi oleh YB Datuk Hj. Nasir Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri. Bermula pada hari ini 29 Jun 2010 dan berakhir pada 03 Julai 2010.

Pejabat Mufti Negeri Sabah turut serta pada pameran kali ini. Kami menyediakan perkhidmatan KLINIK FALAK. Melalui klinik tersebut anda akan mengetahui tarikh lahir anda pada bulan hijriah berserta hari anda lahir dan umur anda serta bilangan hari anda hidup dimuka bumi Allah SWT. Selain itu, anda juga akan mengetahui kaedah penentuan arah kiblat dan taqwim waktu solat.

Terdapat 2 klinik pada pameran ini iaitu kilinik falak dan klinik qiraah. Klinik qiraah ini dikendalikan oleh Ma'ahad Tahfiz Sabah di mana anda boleh diuji dan disemak pembacaan al-fatihah anda.

Di booth Pejabat Mufti Negeri Sabah juga anda akan diberi penerangan tentang fatwa dan bermacam - macam lagi. Oleh itu, jangan lepaskan peluang ini dan jika anda datang berziarah jangan lupa berkunjung ke booth pameran kami. AHLAN WA SAHLAN..

Isnin, Jun 21, 2010

Mati Yang Indah

Bismillah...

Kematian pasti kunjung tiba. suka tak suka kita tetap bertemu dengan kematian. Cuma, sejauhmana persediaan dan kesediaan kita ke arah itu. Biasa kita mendengar ungkapan " cukuplah kematian itu sebagai peringatan ".

Apabila diri sendiri dilihat dan dimuhasabahkan, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan. Bekalan untuk kematian masih belum banyak dan dalam usaha untuk diperbanyakkan. Sebaik-baik bekalan adalah TAQWA.

Mati ketika sujud kepada Allah SWT, khabarnya ini berlaku di Arab Saudi

Mengimbau dan memerhati kematian yang berlaku disekelilingi kita dengan bermacam - macam rupa dan keadaan, tertanya diri.... kematianku bagaimana?... sudah pasti saya dan tuan - tuan mengharapkan agar kematian kita adalah sebaik - sebaik kesudahan.

Ada yang mati sebab sakit, kemalangan, ditimpah bala bencana dan berbagai lagi. Betapa mulianya apabila seorang insan itu mati di medan jihad semata - mata meninggikan kalimah Allah SWT dan itu adalah harapan dan cita - cita yang perlu ada dalam diri seseorang.

Untuk diri ini juga diri tuan - tuan, saya berpesan agar sama - samalah kita mempertingkatkan amal untuk kemantapan iman yang melahirkan jiwa - jiwa yang bertaqwa agar sekembalinya kita di hadapan Allah Rabbuljalil dengan kita meredhaiNYA dan Allah meredhai kita.

Waallahua'alam... sekadar ingatan moga bermanfaat.

Sabtu, Jun 19, 2010

Gerhana Bulan Separa 26 Jun 2010

Bismillah...


Gerhana separa bulan akan dapat disaksikan pada 26 Jun 2010.

Gerhana ini akan mengambil masa selama 5 jam 22 minit bermula dari sentuhan pertama bayangan penumbra bumi pada jam 4:57minit 21saat petang hingga sentuhan terakhir bayangan penumbra pada jam 10:19 minit 34 saat malam

Walaubagaimanapun disebabkan bayangan penumbra ini sukar dikesan menggunakan mata kasar, maka fenomena gerhana ini hanya jelas kelihatan apabila sentuhan pertama bayangan bumi yang lebih gelap dipanggil sebagai “umbra” mula kelihatan pada permukaan bulan bermula jam 6:16 minit 57 saat petang diikuti kemuncak gerhana bulan pada jam 7:38 minit 27 saat malam dan sentuhan terakhir “umbra” pada jam 8:59 malam 50 saat malam.

Apa yang dapat disaksikan semasa gerhana separa bulan ini ialah “bulan yang pada mulanya purnama penuh secara perlahan-lahan menjadi bulan separa dengan warna keperakan pada waktu gerhana kemuncak dan berubah kembali menjadi purnama selepas peringkat umbra berakhir”.

Bagi Malaysia, fasa penuh dari umbra pertama ke umbra terakhir hanya dapat disaksikan di kawasan Sabah sahaja dimana bulan dijangka akan mula terbit dan disaksikan bermula jam 6:17 petang, berbanding dengan kawasan Semananjung Malaysia dimana bulan hanya akan terbit dikawasan tersebut secara amnya pada jam 7:20 malam.

Sumber : PUSKAL

Bagi Pejabat Mufti Negeri Sabah dengan kerjasama Unit Sains dan teknologi serta PUSKAL serta beberapa jabatan sempena gerhana bulan ini diadakan beberapa aktiviti seperti berikut :

1. Solat Sunat gerhana bulan bermula selepas maghrib jam 6.50 petang
2. Mencerap gerhana bulan bermula jam 6.16 petang
3. Kuiz Sains Angkasa jam 4 petang (khas mereka yang terpilih sahaja)
4. Bengkel Teleskop jam 1.30 petang ( cara membuat teleskop untuk digunakan mencerap gerhana bulan dan ini hanya peserta yang terpilih sahaja)
5. Pameran bermula jam 10 pag - 9 mlm.
6. Mencerap objek samawi seperti zuhal dan lain - lain.

Semua aktiviti ini diadakan di BALAI CERAP AL-BIRUNI ,TG DUMPIL, PUTATAN, SABAH. Masyarakat di sekitar daerah Putatan dijemput hadir.

Waallahua'alam.

Jumaat, Jun 11, 2010

Fokus Sub. Khidmat Masyarakat PBJJ

Bismillah...

Ini adalah khas kepada sahabat - sahabat PBJJ UKM semester 6 bagi subjek Khidmat masyarakat. Anda dikehendaki memfokuskan tajuk - tajuk dan kompunen tersebut bagi persediaan peperiksaan akhir bagi semester 6. Butirannya seperti berikut :

KOMPONEN UTAMA PENTAD. KERAJAAN FOKUS PROGRAM PPJJ 1021-1023

· KAEDAH PENYELIDIKAN

· JENIS PENYELIDIKAN

· SUSUNAN PENYELIDIKAN

· KAEDAH TINJAUAN

· MASYARAKAT

· MASALAM DLM SIST. PERANCANGAN MASY

· UNSUR PENTING BUDAYA PENYAYANG

· PENYAYANG

· PENTADBIRAN BHG – SWAK

· SENARAI BERSAMA KJAAN PST/NEGERI

· BENTUK DASAR SOSIAL

· DASAR AWAM

· IKRAM

· CIRI PENYAYANG

· SIST PENDIDIKAN DI SEK

· PEMBANGUNAN MASY MENYELURUH

· PRINSIP BUDAYA IKRAM

· CIRI MASY

· PINCANGAN KELUARGA

· PKT PROSES PENILAIAN

· GOLONGAN BELIA

· PROGRAM RAKAN MUDA

· UNIT DI JPM

· LANTIKAN SU DEWAN

· MAHKAMAH DI Malaysia

· AGENSI KERAJAAN

· KEM – AKAUN SENDIRI

· KEMAS – 3K

· OBJEKTIF HAWA

· KEBERKESANAN DA

· KAEDAH PELAKSANAAN PEMBANGUNAN MASY

· PROSES PBENTUKAN DS

· DA – INFRASTRUKTUR

· T/JAWAB PELAKSANAAN SSBH ORGANISASI

· JENIS PERPADUAN

· BHG. EPU

· PENGUKURAN PERKAHWINAN

· PBENTUKAN HUB MANUSIA

· KAEDAH PENILAIAN

· AKTIVITI RAKAN MUDA

· KETUA NEGARA

· JAB. PENTING PKT NEGERI

· KUASA YDPA

· BADAN PERUNDANGAN

· SEBAB AHLI DEWAN KENA BERHENTI

· PENYELIDIKAN INTERPRESTASI

· KOMPONEN UTAMA PENT KERAJAAN

· MENTERI BERKAITAN


Pesan pensayarah :

" Fokus exam hm1021. Sila maklumkan kepada kawan-kawan yang dijangka tak dapat atau tak lihat email. Dan saya mohon panjangkan kepada kawan2 FSSK sekali yang tak ada email dalam simpanan saya. Selamat berjaya. 'Tolong menolong itu, satu pahala, ganjarannya amat besar. So, jgn ada perasaan iri hati dan x mau tolong orang yang susah atau tak tau maklumat. Terima kasih".

Sumber : Pensyarah subjek berkenaan.

Khamis, Jun 10, 2010

Kiblat di SMK Taun Gusi 2 dan Surau Nurbahari

Bismillah...

Alhamdulillah hari ini saya bermusafir di dua lokasi atas urusan rasmi iaitu menentusahkan dan membuat semakan arah kiblat. Lokasinya SMK Taun Gusi 2, Kota Belud dan Surau Nur Bahari yang terletak di Bandar Sierra, Telipok Kota Kinabalu.

Surau SMK Taun Gusi 2


SMK Taun Gusi 2 terletak lebih kurang 12 KM dari pekan Kota Belud. Turut serta dalam lawatan kami ialah Usatzah Fatmawati merupakan Penolong Pegawai Tadbir Agama Kota Belud.

Lokasi ini juga terletak
di tepi sebelah kanan menuju jalan ke Kudat lebih kurang 3 KM dari SMK Taun Gusi 1.

Kehadiran kami disambut oleh pihak pemaju/kontraktor lengkap dengan segala keperluan beserta dengan jurukur. Pemeriksaan dilakukan dengan mendapatkan koordinat melalui GPS untuk dibandingkan dengan koodinat yang telah diberikan oleh pihak kontraktor sebelum ini.

Langkah seterusnya pemeriksaan penandaan yang dibuat pada layout surau berdasarkan azimuth kiblat yang telah diberikan kepada mereka. Alhamdulillah segalanya mengikut garis panduan dan tepat apa yang telah ditentukan.

Oleh itu azimut arah kiblat bagi surau tersebut ialah ialah 290° 27' 59″ berdasarkan koordinat Latitud : 6° 26' 26.85” U dan Longitud : 116 ° 29' 14.8” T.





Surau Nur Bahari


Surau ini teletak di Bandar Sierra, Telipok lebih kurang dalam 30 KM daripada bandar Kota Kinabalu. Di bandar ini juga terletaknya kuaters bagi kakitangan Jabatan Maritim Malaysia wilayah Sabah dan Labuan.

Bandar Sierra merupakan kawasan perumahan tetapi tiada disediakan surau ketika ianya dibina. Ini juga satu kepelikkan di negeri Sabah apabila setiap kawasan perumahan dibangunkan masalahnya surau tidak disediakan. Alhamdulillah, saya telah mendengar khabar bahawa pihak atasan telah memandang serius perkara ini dan kebanyakkan kawasan perumahan yang hendak dibangunkan sejak kebelakangan ini telah dimasukkan juga bangunan surau.

Ketiadaan bangunan surau di kawasan ini, pihak Jabatan Maritim telah mengambil inisiatif dengan menjadikan sebuah rumah kedai sebagai surau agar solat berjemaah dan aktiviti - aktiviti yang melibatkan fardhu ain dan fardhu kifayah dapat dijalankan oleh penduduk di kawasan tersebut yang mojiritinya adalah umat Islam.

Setibanya kami dilokasi tersebut kami telah disambut oleh Tuan Hanapi dan Tuan Kamal. Surau tersebut telahpun digunakan dan mempunyai tanda arah kiblat. Kami hanya membuat semakan untuk mempastikan arah kiblat yang sedia ada betul ataupun sebaliknya sebelum pengesahan diberikan.

Alhamdulillah, setelah semakan dibuat didapati arah kiblat yang sedia ada adalah betul dan tepat untuk digunakan.Oleh itu azimut arah kiblat bagi surau tersebut ialah ialah 290° 35' 52.4″ berdasarkan koordinat Latitud : 6 ° 03' 33.49” U dan Longitud : 116 ° 10' 56.9” T.





Ahad, Jun 06, 2010

Palestin Tak Pernah Gentar!

Bismillah...


PALESTIN TAK PERNAH GENTAR ! Fatwa kontemporari dan Penyelesaiannya. itulah tajuk buku yang saya baru beli kelmarin dan telah saya khatamkan petang tadi seterusnya saya kuliahkan pada waktu maghrib sempena kuliah mingguan saya di Masjid As-Salam Kg. Contoh, Petagas Kota Kinabalu.

Buku tersebut adalah karya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Fatimah Syarha Mohd. Noordin, mempunyai 200 mukasurat, terbitan Telaga Biru.

Mempunyi 6 bab iaitu :

BAB 1 : YAHUDI, ZIONISME DAN FREEMASON

Menceritan tentang sejarah Yahudi yang menjadi musuh utama, indentiti Yahudi dewasa ini yang melahirkan beberapa saudagar yahudi memonopoli jenama terkaya dunia seperti Ralph Lauren ( POLO ), Larry Ellison (ORACLE), Sergey Brin (Google), Micheal Dell (Dell Computers) dan Howard Schultz ( Starbuck's).

Al-Quran juga telah menjelaskan 12 jenayah yang puak Yahudi telah lakukan.

Diterangkan juga maksud ZIONISME yang senonim dengan puak Yahudi ini iaitu mereka mencapai sesuatu matlamat itu dengan apa cara sekalipun " matlamat menghalalkan cara".

FREEMASON? satu perkara yang ada kaitannya dengan Yahudi iaitu satu gerakan dikenali sebagai Council 13 yang mana strukturnya disusun dengan penuh teliti, sulit dan rumit. Kelab - kelab Yahudi yang terlibat dengan council 13 ini adalah :

1. Iluminati
2. Freemason
3. Lions club
4. Rotary Club
5. Rotaract Club

BAB 2 : PEREBUTAN BAITUL MAQDIS DI PALESTIN

Pembukaan kota Baitul Maqdis oleh Saydina Umar RA, beberapa tanda yahudi akan tersungkur.

Masjid Al-Aqsa ada ukurannya dan beberapa pendirian ulama mengenai Masjid Al-Aqsa dan Al-Quds. Islam pemilik sebenar bumi Palestin dan sejarah puak Yahudi mengambil alih bumi Palestin.

Persoalan, kenapa semua yahudi tidak berpindah ke Palestin? ada jawapannya.

BAB 3 : YAHUDI PENGGANAS DAN PENGHANCUR MANUSIA

Menceritakan tentang kezaliman Yahudi dibumi Palestin, pembongkaran penyelewangan kitab Talmud yang menjadi rujukan yahudi menyeru melakukan keganasan dan beberapa tipu daya mereka.

Menjelaskan mengenai protokol - protokol yahudi dan terbongkarnya beberapa keputusan muktamar zionis pertama yang ada kaitannya dengan konspirasi antarabangsa.

BAB 4 : DUNIA MENJADI SAKSI, YAHUDI MENGHISAP DARAH GAZA

Sejarah gaza, Resolusi Malaysia terhadap serangan Israel terhadap Gaza.
Juga memaparkan pendapat tokoh ulama dan pemimpin berhubung isu Palestin seperti:

1. Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh
2. Presiden Iran, Mahmud Ahmadi Nejad
3. Perdana Menteri turki, Recep Tayyip Erdogan
4. Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abd Aziz
5. Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang
6. Penasihat PKR, DSAI
7. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak

BAB 5 : FATWA ULAMA

Tindakan serangan berani mati ( AMALIYAH ISTISYAHADIAH ) dibahaskan oleh beberapa tokoh ulama untuk menafikan pandangan yang tidak mengiktirafkan bentuk serangan sedemikian.

Beberapa tokoh ulama telah memberikan pandangan serta dalil dan beberapa pendapat daripada ahli - ahli fiqh mengenainya.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi telah memberikan kesimpulan :

" Mereka telah menjual diri mereka untuk Allah, mereka dibunuh demi mempertahankan agama-NYA. Mereka telah dituduh membunuh diri dan menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan. Padahal mereka itu, insyaAllah adalah para pemburu syahid di sisi Allah ".

BAB 6 : PENYELESAIN ISU PALESTIN

Dijelaskan bagaimana Rasulullah SAW menyelesaikan isu yahudi. juga digariskan 12 langkah praktikal untuk terlibat dalam jihad di Palestin iaitu :

1. Memantapkan diri dengan Islam
2. menolong Umat Islam dengan apa cara seperti dengan jiwa raga, harta benda, sokongan semngat dan roh serta sokongan politik.
3. Boikot Produk Yahudi Zionis (senarai ada dilampirkan dlm buku ini juga klik disini)
4. Negara Islam Bersatu
5. Negara jiran Membantu
6. memberi Sumbangan Ubat Ubatan dan makanan
7. Derma Jihad
8. Bantuan Senjata
9. Solat Hajat
10. Tunjuk Perasaan
11. Tingkatkan Kesedaran Tentang Bahaya Yahudi Zionis (seawal kelahiran)
12. Bongkar Strategi Media Barat.

Penjelasan tentang peranan Barrack Hussein Obama dalam isu Palestin di selongkar. Konspirasi terhadap sekatan ke atas Gaza yang telah berlangsung 3 tahun sehingga kini juga dijelaskan.

Persoalan, adakah orang yahudi berjaya menegakkan kerajaan mereka? jawapannya TIDAK, melalui buku ini akan diperjelaskan hujjah-hujjahnya. Kehancuran rejim israel Yahudi ini akan tiba turut dijelaskan.

*********************************************

Alhamdulillah, khatamnya saya membaca buku ini semacam menambahkan lagi semangat dalam isu Palestin ini. Isu plaestin bukan isu rakyat Palestin sahaja tetapi ia adalah isu umat Islam sejagat.

Selagi umat Islam tidak merasai ianya adalah isu bersama maka bermuhasabahlah, ditakuti iman kita sudah jauh meninggalkan kita. Kerana jika kita menghayati isu palestin ini dari kaca mata IMAN, insyaAllah kita akan sedaya upaya mencari jalan untuk membantu saudara - saudara kita di bumi Palestin yang ketika ini mereka sedang di penjara di kawasan yang luas dinafikan hak mereka dengan berbagai - bagai sekatan yang telah memasuki tahun yang ke - 3.

Saya menyeru, ayuh terus membantu dan berdoa agar penderitaan mereka berakhir dan saya cadangkan agar sahabat - sahabat/tuan/puan dapatkanlah buku ini untuk membacanya dan hayatinya agar kita lebih dapat memahami dan merasai berkenaan Isu Palestin ini yang hanya berharga RM22 bagi Sabah dan Sarawak, RM20 untuk semenanjung.

Bagi di negeri Sabah bolehlah berkunjung ke Pustaka Aslam di Kingfisher Likas atau layari http://kedaihuffaz.blogspot.com.

Waallahua'alam.

Sabtu, Jun 05, 2010

Jauhi Syubhah

Bismillah...

Jika diperhatikan dalam Matan Arba'in karya Imam Nawawi RH hadis yang ke-6, Nabi SAW telah menjelaskan mengenai perihal HALAL, HARAM, SYUBHAH dan persoalan HATI.

Telah jelas perkara HALAL dan HARAM manakala perkara SYUBHAH pula nabi SAW telah membawa perumpamaan bahawa orang yang melakukan SYUBHAH diibaratkan seorang pengembala kambing yang menternak kambingnya berhampiran dengan kawasan larangan.

Pada zaman dahulu raja - raja arab juga mengembala kambing di suatu kawasan yang subur rumput-rumputnya yang mana kawasan tersebut adalah kawasan larangan bagi orang awam. Sesiapa yang mencoroboh kawasan itu akan menerima akibat dan hukuman.

Bahkan orang awam yang tidak mengendahkan larangan tersebut akan terus mengembala kambingnya berhampiran kawasan larangan itu. Kelakuan ini, tanpa disedari atau tanpa pilihan si pengembala maka kambing - kambingnya akan juga terjebak memasuki kawasan larangan itu kerana tertarik dengan rumput - rumput yang subur lagi menggiurkan.

Jika raja - raja punyai kawasan larangan, Raja segala raja iaitu Allah Rabbul Jalil juga punyai kawasan larangan iaitu segala perkara - perkara yang diTEGAH dan yang diHARAMKANNYA.

Oleh itu, mereka yang sering melakukan perkara SYUBHAH itu adalah mereka yang akan menjebakkan diri ke lembah DOSA.

Tidak ramai yang boleh dan berusaha bagi meninggalkan perkara SYUBHAH kerana ketidak jelasan ( kesamaran ) tentang kehalalan dan keharamannya menyebabkan ramai yang tidak mengetahuinya dan ianya memerlukan penilitian yang jitu.

Jaminan Nabi SAW bahawa mereka yang menjauhi perkara SYUBHAH adalah mereka yang terpelihara AGAMA dan KEHORMATAN DIRINYA.

Oleh kerana itu, antara sifat kewara'kan seseorang ialah meninggalkan semua perkara yang mengandungi unsur - unsur SYUBHAH.

Abu Ad-Darda' Radhiyallahu 'anhu telah berkata :

" Ketaqwaan yang sempurna ialah di mana seorang hamba itu takut kepada Allah sehinggakan dalam perkara - perkara sebesar zarrah sekalipun, termasuk meninggalkan sebahagian perkara yang pada pendapatnya halal kerana takut terjerumus pada hal yang haram".

Al-Hasan Al-Bashri Rahimahumullah berkata :

" Ketaqwaan itu akan terus berkekalan pada orang - orang yang muttaqin sehingga mereka meninggalkan banyak benda - benda yang halal kerana takut ianya haram".

Neraca yang sebaik - baiknya dalam kita menilai sesuatu perkara itu HALAL, HARAM mahupun SYUBHAH adalah dengan HATI yang bersih. HATI ibaratkan sebagai key control dalam diri seseorang. HATI yang BAIK maka anggota - anggota lain akan terdorong ke arah kebaikan. Jika sebaliknya maka nahas dan bahanalah diri kita dengan azab dan seksa Allah SWT, Na'uzubillah.

Moga Allah SWT merahmati kalian dan moga nukilan ini bermanfaat kepada diri yang dhoif ini dan juga diri - diri kalian.

Waallahua'alam.

p/s : Pengisian Kuliah mingguan di Masjid As-Salam, Kg. Contoh, Petagas Kota Kinabalu dan rujukan kitab adalah Al-Wafi Fi Syarhi Al-Arba'in An- Nawawi, Dr. Mustafa Al-Bugha & Muhyiddin Misto dan Kitab Hadis 40 terjemahan dan syarahnya oleh Mustafa 'Abdul Rahman.


Jumaat, Jun 04, 2010

Kamera & Man

Bismillah...


Antara jawatankuasa yang telah dibentuk dalam melaksanakan Program Khidmat Masyarakat anjuran Persatuan PBJJ UKM Pusat Kota Kinabalu adalah jawatankuasa fotografi & Penerbitan yang diketuai oleh saudara Fuad Othman.

Akhi Fuad

Tugasannya adalah merakam segala aktiviti dan menyediakan tayangan multimedia semasa majlis penutupan. Alhamdulillah segalanya terlaksana.


Walaupun saya tidak menganggotai jawatankuasa tersebut tetapi saya juga mengambil sedikit peranan sebagai cameraman ketika lawatan ziarah ke Hospital Queen Elezebath memandangkan sahabat - sahabat di jawatankuasa ini sibuk menyiapkan tayangan multimedia dan kamera yang saya gunakan adalah milik akhi Fuad.



Kamera yang digunakan oleh akhi Fuad adalah kamera DSLR NIKON. Sesekali menggunakannya memang terasa satu kepuasan. Semasa program tersebut, kami telah menjemput seorang wartawan Sabah Times.

Wartawan Sabah Times

Pemerhatian saya tertumpu kepada kamera DSLR yang mereka gunakan. Secara peribadi saya turut merakamkan beberapa gambar melalui kamera peribadi CASIO 10.1 MP.

Sudah menjadi impian untuk memiliki sebuah kamera DSLR 550D Canon. Semoga ianya tercapai dan diluaskan serta dimurahkan rezeki untuk itu. Minat dah ada, skill untuk mengambil gambar ada lah sikit dan perlu belajar lagi kepada mereka yang mahir.

Kawan - kawan pun sudah memberikan cadangan bahawa DSLR 550D Canon memang mantop dan bagus. Tapi kena tunggu rezeki lebih sikit untuk saya memilikinya seterusnya dapat join sekali dengan kangkawan se DSLR.

Khamis, Jun 03, 2010

Program Khidmat Masyarakat

Bismillah...


Pada 29 Mei 2010 (sabtu) Program Khidmat Masyarakat telah diadakan oleh Persatuan Pelajar PBJJ UKM Pusat Kota Kinabalu.

Persatuan PBJJ ini meliputi tiga fakulti iaitu fakulti syariah, dakwah dan kepimpinan serta FSSK seramai 70 orang mahasiswa dan mahasiswi.

Bagi subjek Khidmat Masyarakat adalah diwajibkan lulus dan pada semester lepas kami telah diajar mengenai subjek ini secara teori. Apabila semester 6 ketika ini kami dikehendaki melaksanakannya secara praktikal.


Pembentukkan jawatankuasa telah dibentuk diketuai oleh Ust. Muhammad Suid sebagai pengarah program. Sekali lagi saya diamanahkan sebagai pengacara majlis.

Beberapa siri mesyuarat telah diadakan bagi memenuhi kriteria program ini dan beberapa siri perbincangan sehingga ada yang terpaksa bersengkang mata hanya untuk mempastikan program ini dijalankan dengan sesempurna yang mungkin.


Program khidmat masyarakat ini dilaksanakan di Kolej Yayasan Sabah yang merupakan tempat pengajian bagi PBJJ pusat Kota Kinabalu.


Alhamdulillah program ini telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Pusat Kembangan Pendidikan (PKP) UKM, kolej KYS dan juga Hospital Queen Elezebth serta Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sabah ( PUM Sabah ) yang membawa tema " SETITIS DARAH JIWA TERSELAMAT, SEDIKIT BANTUAN MERINGANKAN BEBAN ".

Di samping itu, program ini juga turut dihadiri wakil kepada Pengarah PKP UKM bagi merasmikan penutupan program ini dan turut menyampaikan sumbangan kepada faqir misikin dan kepada pelajar - pelajar miskin.

Antara pengisian program ini adalah :

1. Penyampaian sumbangan kepada 25 keluarga faqir miskin dan 22 orang pelajar miskin.


Alhamdulillah pihak kami telah memberikan sumbangan tersebut dalam bentuk barangan dan keperluan dapur yang berjumlah RM50 satu keluarga dan pelajar miskin. Sumbangan tersebut adalah hasil sumbangan mahasiswa dan mahasiswi PBJJ sendiri.

2. Derma darah




Tengah mendengar wasiat daripada Ust. CB...kikiki

Dengan adanya kerjasama pihak Hospital QE, mereka telah menghantar satu pasukan bagi menjayakan program ini. Penderma darah adalah dikalangan mahasiswa/wi dan individu yang datang setelah program ini turut dibuka kepada orang awam.

3. Ziarah hospital.


Kami turut berziarah ke hospital Queen Elezebeth dan beberapa wad yang kami telah ziarahi. Sebelum itu kami turut diberi penerangan oleh kakitangan hospital sebelum kami memasuki wad yang hendak diziarahi.



Alhamdulillah, semua mahasiswa/wi yang turut serta dapat merasai sendiri pengalaman menziarahi pesakit secara beramai - ramai disamping membawa sedikit buah tangan untuk pesakit. Bagi pesakit muslim kami turut mendoakan secara beramai - ramai agar mereka cepat disembuhkan oleh Allah SWT. Bagi pesakit non muslim kami memberikan kata - kata semangat agar bersabar di atas ujian ini.


Kawan saya iaitu cikgu ( lupa pula namanya... non muslim ) katanya, "bagus juga kita buat begini dapatlah juga memberatkan pahala kita".

4. Tazkirah


Sebelah pagi, kami bersama beberapa keluarga faqir miskin. Sebelum sumbangan diberikan kami telah sajikan mereka dengan sedikit pengisian rohani yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ust. Mukhlis Ali Kasim, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sabah bagi menjinakkan hati - hati mereka agar lebih lurus kepada Allah SWT walaupun keadaan mereka sedemikian.

5. Sumbangan Khas


Sumbangan khas ini adalah diberikan kepada seorang pelajar lepasan diploma Tahfiz Al-Quran Al-Qiraat Maahad Tahfiz Negeri Sabah yang akan melanjutkan pengajiannya pada bulan september ke Shoubra, Mesir.

Sumbangan diperolehi daripada individu - individu tertentu yang ikhlas agar ianya dapat disampaikan kepada pelajar ini melalui program ini. Saya juga turut menyeru sesiapa yang hendak memberikan sumbangan kepada adik ini bolehlah dapatkan maklumatnya di sini.

Alhamdulillah akhirnya program ini terlaksana dengan jayanya. Wakil PKP UKM turut merasa teruja dengan penganjuran program ini kerana pihak jawatankuasa program mampu wujudkan kerjasama dengan pihak - pihak lain dan dapat menyumbangkan sumbangan kepada yang memerlukan sesuai dengan matlamat program ini.

Tahniah kepada tuan pengarah Ust. Mohammad Suid kerana telah dapat mengemudi bahtera dengan jayanya walaupun terpaksa menghadapi karenah - karenah orang - orang bawahan yang bermacam - macam ragam.


Tahniah juga kepada seluruh jawatankuasa yang telah memberikan sepenuhnya komitmen dan ada yang bersengkang mata bagi menyiapkan beberapa perkara untuk kejayaan program ini.


Akhirnya.... ucapkan tahniah kepada diri anda sendiri (mahasiswa/wi PBJJ Kota Kinabalu ) kerana anda telah memberi sumbangan dalam menjaya program ini. Nilaian dunia, mungkin anda akan mendapat A @ B dalam subjek ini tetapi nilaian Allah, moga kita diberikan ganjaran setimpalnya di atas sumbangan kita kepada program yang cukup bermanfaat ini. amin....... ya RABB.

Waallahua'alam.