Sabtu, Januari 30, 2010

Planet Marikh

Bismillah...


Planet Marikh mengiringi bulan perigee. Anda akan dapat lihat sebuah objek seperti bintang yang amat cerah berwarna oren-kemerahan menyinari langit di kawasan langit tersebut berhampiran dengan bulan.

Itulah planet Marikh, planet ke-4 di dalam sistem suria kita dan berada pada kedudukan Istiqbal dengan Bumi.

Istiqbal merupakan satu keadaan di mana planet-planet yang berada di dalam orbit yang lebih jauh daripada Bumi, berada pada kedudukan sederet relatif kepada Bumi dan Matahari. Di dalam kes ini, Marikh-Bumi-Matahari akan berada pada satu garisan yang hampir lurus. Ini bermaknanya, sebaik sahaja matahari terbenam, Marikh akan terbit.

Pusingan planet Marikh (atau juga dikenali sebagai planet Merah) bagi setiap kedudukan istiqbal ialah setiap 26 bulan.

Ketika ini, Marikh akan berada paling hampir dengan Bumi, dan kita akan dapat melihat ciri-ciri permukaannya dengan begitu jelas dan mudah.

Namun, disebabkan orbit Marikh dan Bumi tidak seragam jauhnya daripada Matahari, maka jarak Marikh-Bumi bagi setiap kejadian istiqbal berbeza-beza. Jika anda masih ingat, tahun 2003 yang mana ketika itu Marikh berada pada jarak yang paling hampir dengan Bumi jika dibandingkan dengan kedudukan istiqbal yang lain.

Kali ini, Marikh tidaklah berada amat hampir tetapi mencukupi untuknya bersinar dengan cerah dan menarik perhatian kita. Kiraan falak menunjukkan kecerahan hampir menyamai kecerahan bintang paling cerah di langit, iaitu bintang Sirius.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk menorobos Marikh di sepanjang bulan Januari dan Februari ini!

Sumber :

Jom Menorobos Bulan

Bismillah...

sebelum ini saya ada khabarkan mengenai dengan fenomena bulan perigee yang mana kedudukan bulan lebih hampir dengan bumi dan kesannya cahaya bulan terang benderang daripada biasa.

Keadaan ini pula diindahkan lagi dengan kecerahan planet marikh yang menghampiri sang bulan. Subhanaallah, alhamdulillah, Allahuakbar.

Hari ini 14 Safar 1431H/30 Januari 2010 bulan sedang mengembang sudah pasti fenomena ini jelas kelihatan jika cuaca baik. Ayuh menorobos bulan dan marikh moga hati kita melihatnya dengan membesarkan Allah SWT.

Jom menorobos...

Jumaat, Januari 29, 2010

Minyak Kelantan

Bismillah...


Sungguh hairan dengan senario pemerintahan di Kelantan dan saya yakin tidak sama dengan negeri - negeri lain.

Dikhabarkan satu majlis, dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan solat isyak kemudian solat hajat yang diimami sendiri oleh menteri besarnya bersempena dengan tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Kelantan. Di pentas ini juga bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah turut berceramah. Berita lanjut klik di sini.

Kehadiran rakyat kelantan yang begitu ramai untuk mengetahui apa cerita sebenarnya royalti minyak yang dituntut oleh Kerajaan kelantan daripada Kerajaan Pusat yang sememangnya itu adalah hak kelantan.

Mereka hadir dengan rela hati tanpa ada disediakan bas atau pengangkutan free atau sebarang ganjaran berbentuk wang di atas kehadiran mereka itu. Bahkan berjayanya pimpinan Tok Guru mentarbiyyah rakyat Kelantan dengan membawa rakyat Kelantan bergantung harap dengan Allah SWT apa jua bentuk tekanan, penafian hak rakyat Kelantan dan sebagainya.

Segala-galanya mereka kembalikan urusan kepada Allah SWT dengan cara pemimpin serta rakyat jelata menadah tangan memohon bantuan Allah SWT. Walau apa pun bentuk tekanan, fitnah dan penafian hak bagi rakyat Kelantan oleh pihak - pihak tertentu, Kelantan tetap berdiri teguh di bawah naungan Allah SWT kerana Pemimpin dan rakyat jelatanya takut akan Allah SWT dalam memenuhi syarat Pemimpin dan Rakyat yang BERIMAN dan BERTAQWA kepada Allah SWT.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

" Jikalau sekiranya penduduk - penduduk negeri itu BERIMAN dan BERTAQWA, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya".
(al-a'araf ayat 96 )

Waallahua'alam.

Bulan PERIGEE

Bismillah...


Hari ini 29 Januari 2010 ( jumaat ) bersamaan 13 Safar 1431H mungkin anda dapat saksikan bagaimana bulan berbentuk PERIGEE.

Apa yang dimaksudkan bulan perigee ? bulan perigee bermaksud ia pada jarak yang paling hampir dengan bumi di dalam orbit sebulannya.

Oleh itu, jangan rasa pelik jika Bulan Purnama yang kelihatan malam ini nampak macam besar sikit, kerana ia memang pun agak besar, iaitu 14% lebih besar dan 30% lebih terang!

Bonus bagi kita semua, Marikh akan berada hampir dengan Bulan, dan kebetulan juga ia berada di posisi Istqibalnya untuk tahun 2010.

Amat menarik kerana ia boleh dikatakan sebagai fenomena 2 dalam 1, di dalam satu malam/tarikh yang sama.

Satu lagi tanda kebesaran Allah SWT. Oleh itu, tengok - tengoklah ke langit malam ini jika cuaca baik dengan munculnya bulan sama ada dengan mata kasar atau dengan menggunakan peralatan seperti teleskop dan berzikirlah agar kita lebih hampir kepadaNYA.

Rujukan :

http://www.falak-online.net/portalfalak/content/28/1/2010/bulan-perigee-lagi-marikh-pun-nak-ikut-sekali

Kelmarin

Bismillah...

Kelmarin 28 Januari 2010 (khamis) sepatutnya saya membawa anak yang baru lahir sebulan lalu ke klinik untuk pemeriksaan rutin dan selepas itu ke Pejabat dan kebetulan juga pada hari tersebut pejabat saya juga sedang menganjurkan gotong royong bulanan untuk kali pertama pada tahun ini demi menyahut seruan pihak atasan.

Namun, sekembalinya saya dari pejabat pada hari rabu, mula terasa badan yang kurang menyenangkan seakan - akan nak demam. Semangat dikuatkan kerana lepas maghrib kelas al-Quran berjalan seperti biasa dan akan menyiapkan makanan untuk anak dan isteri.

Selesai sahaja mengajar al-quran, kaki mula sakit dan rasa kesejukkan pada tapak kaki masuk hingga ke tulang. Amat sakit dan menyukarkan saya untuk berjalan. Walaupun isteri masih dalam pantang terpaksalah dia yang menyiapkan makan malam.

Ketika itulah saya merasakan bahawa sakit lama kembali semula. Pernah ketika saya di Darul Quran penyakit yang sama saya alami menyebabkan saya terdampar di katil sepanjang hari hanya gagahkan badan bangun untuk solat itupun dalam keadaan merangkak.

Jadi, malam itu juga kaki teramat sakit dan badan mula panas. Hanya berbekalkan minyak panas yang disapu di kaki kanan. Bangun untuk menunaikan solat subuh dalam keadaan duduk dan ke bilik air terpaksa merangkak.

Oleh itu, jadual asal untuk membawa anak ke klinik dan ke pejabat bersama - sama dengan warga pejabat bergotong royong akhirnya berubah. Hari itu saya mohon MC dan anak dibawa ke klinik hanya di sebelah petang.

Alhamdulillah, mungkin ini satu kaffarah atau peringatan untuk diri agar lebih menghargai nikmat kesihatan itu dengan lebih menghampirkan diri kepada Allah SWT. Hari ini seperti biasa saya ke pejabat walaupun jalan masih lagi terinjut - injut.

Rabu, Januari 27, 2010

Anda Kenalkah Siapa ini?

Bismillah...


Dalam menyelusuri rakan - rakan di FB maka ternampaklah gambar ini. Tak perlu saya perkenalkan memang semua dah maklum.

Apa yang anda dapat tafsirkan? sudah pasti bermacam - macam penafsiran anda. Sedikit coretan juga tafsiran yang saya petik dari FB akhi Firuz al-Jengkari :

Assalammua'alaikum dan salam muafakat..:)

Sedikit coretan kisah Umar Abdul Aziz : Suatu ketika Umar bin abdul aziz pulang ke rumah dan menangis sehingga isterinya bertanya “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau mejawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jabatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’ kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang jika aku tidak dapat menjawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah saw’’ Isterinya juga turut mengalirkan air mata.

~Bersederhanalah wahai pemimpin, istiqomah dgn perjuangan Islam, serta cakna akan apa yg kamu pimpin~

Tinta albelurani :

Jika anda pemimpin, anda akan dihormati jika jiwa anda jiwa yang ditarbiyyah dengan al-Quran dan as-Sunnah yang sanggup bersama dengan golongan do'afa' (lemah) dan Masakin (miskin). Jika anda melihat ke bawah anda tidak akan mudah lupa diri dan jika anda terus mendongak ke atas nescaya anda akan terus dihina penduduk langit dan bumi dan amat malang Allah SWT memurkai anda kerana itu Nabi SAW adalah manusia yang sentiasa berdamping dengan golongan do'afa' dan masakin dan golongan inilah yang menyukai baginda SAW.

Mungkin doa mereka lebih mustajab untuk kita ketika kita berada di persada dunia yang tinggi melangit.

Waallahua'alam.

Jumaat, Januari 22, 2010

KASINO DI PUTATAN

Bismillah....

Sumber : http://abunuha.wordpress.com


Sebut saja daerah Putatan, terbayang di kepala sebuah daerah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Dari Kg Petagas, ke Kg Ulu, sehingga Kg Ketiau, Kg Serigai, Kg Lembising dan Kg Lok Kawi Baru di hujung. Patah balik Kg Meruntum, Kg Sipanggil, Kg Pasir Putih, Kg Sri Pandan, Kg Linsuk Bersatu, Kg Tg Dumpil, Kg Contoh dan Kg Muhibbah, majoriti penduduknya beragama Islam.

Setiap kampung mempunyai masjid atau suraunya sendiri.

Begitu juga taman-taman perumahannya seperti Taman Pasir Putih, Teluk Villa, Taman Ketiau, Taman Bersatu, Taman Jumbo, Taman Union, Taman Friendship, dan lain-lain majoriti penduduknya beragama Islam.

Bak kata seorang sahabat, Putatan bagaikan jantung umat Islam di sebelah pantai barat.

Selain masjid dan surau yang berselerak dan bergerak aktif, Putatan juga dikaitkan dengan sejarah kewujudan USIA kerana persatuan Islam terawal lahir di sini, iaitu Persatuan Islam Putatan.

Di daerah ini juga bekas TYT pertama, Ketua Menteri ke-3 dan Yang Dipertua USIA pertama dikebumikan. Di sini juga dikebumikan Allahyarham Datuk Awang Sahari bekas Pengarah Dakwah USIA yang terkenal itu.

Di kawasan berhadapan dengan Pasaraya Servay Putatan, berdiri megah sebuah bangunan kasino.

Bangunan berwarna coklat bertulis Airways itu khabarkan akan beroperasi sedikit masa lagi. Baru-baru ini iklan untuk mencari pekerja khususnya sebagai pelayan sudah dibuka. Ini adalah khabar duka buat umat Islam.

Sebenarnya kalau yang tidak perasan, berdekatan simpang empat Putatan itu (simpang masuk ke Giant) memang ada sebuah bangunan lama Airways 2 aras mempunyai ruang untuk mesin slot judi dan cafe.

Maklumat yang saya terima dan selidiki, premis berkenaan akan berpindah ke bangunan baru yang 3 kali ganda lebih besar daripada bangunan lama. Maka itulah mereka memerlukan pekerja yang lebih ramai.

Dalam tinjauan saya ke bangunan lama Airways itu, memang ada dicatatkan larangan berjudi keatas orang Islam tetapi pekerja di sana memaklumkan kepada saya bahawa orang Islam kerap ke sana dan memaksa mereka agar dibenarkan masuk untuk bermain mesin slot judi.

Berdekatan dengan kasino ini, ada beberapa buah masjid dan surau.

Masjid Kg Sipanggil, Masjid Daerah (yang sedang dibina), Masjid Jamek Kg Ulu Putatan, Surau Kg Tebongan, Surau Kg Sailan dan Masjid Kg Ketiau. Rasa saya jika kesemuanya melaungkan azan akan kedengaran hingga ke kawasan kasino ini.

Di Putatan, ada Bangunan Balai Cerap milik Pejabat Mufti. Di Putatan, ramai Yang Berhormat bermastautin di sini. Timbalan Ketua Menteri & ADUN Petagas, Ahli Parlimen Sipitang, ADUN Pantai Manis Papar.

Di Putatan ramai ketua jabatan dan para alim ulama tinggal. Mayor, Mufti, Pengarah SIRIM, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah. Di Putatan ada UMNO Bahagian, ada PKR Cabang dan PAS Kawasan. Tolonglah.

Dahulu di bangunan lama Airways mungkin tidak ramai tahu dan perasan. Kini ia benar-benar di laluan utama masyarakat hendak membeli belah di bangunan pasaraya Servay dan jalan pintas ke Kg Ulu Putatan.

Putatan majoriti umat Islam, apa perlunya kasino itu yang bakal merosakkan generasi masyarakat?

Kalau umat Islam di Putatan tidak melakukan sebarang usaha untuk menentangnya, atau tiada langsung sekelumit perasaan benci dan marah kepada perkara mungkar, maka terpulanglah kepada Allah untuk memutuskan urusanNya.

Wallahi, saya akan melaksanakan kempen untuk menentangnya.

Tinta albelurani :

Sememangnya darah dalam tubuh ni menggelegak dengan kemunculan pusat maksiat di daerah Putatan. Bukan itu sahaja, malah saya dapati satu lagi pusat maksiat iaitu sebaris dengan jalan masuk ke Bank Simpanan Nasional (BSN) sudah bertapak sekian lama.

Sememangnya Putatan dikenali sebagai kawasan orang Islam namun mudah dibolosi dengan adanya pusat - pusat mungkar dan maksiat sudah pasti ini adalah strategik halus musuh Islam yang akan menghancurkan generasi belia - belia ataupun beliau - beliau Islam di daerah ini. Harap pihak berwajib yang saya yakin rata-ratanya adalah orang Islam sewajibnya menyedari perkara ini dan ambil tindakan sewajarnya.

Sekiranya anda beralasan "ala pusat - pusat maksiat tu hanya untuk orang bukan Islam " adakah anda jamin bahawa orang Islam tidak akan memasukinya. Sudah pasti tiada jaminan untuk itu.

Ayuh! bertindak apa yang perlu agar mereka sedar ( orang yang memusuhi Islam ) bahawa orang Islam tidak semudah itu untuk diperkuda-kudakan.

Isnin, Januari 18, 2010

Imej Gerhana Matahari Separa

Bismillah...

15 Januari 2010 (Jumaat), Pejabat Mufti Negeri Sabah dengan Kerjasama Unit Sains dan Teknologi (UST), Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Cawangan Sabah (JUPEM), Pertubuhan Sains Kg. Lingkudau Ranau (PUSKAL), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan beberapa agensi kerajaan yang lain telah menganjurkan majlis cerapan dan solat gerhana matahari.

Bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.30 pagi adalah pameran daripada pihak UST dan Pejabat Mufti. Jam 2.30 petang majlis bermula dengan kehadiran para tetamu jemputan kemudian jam 3.20 petang taklimat mengenai gerhana matahari separa telah disampaikan oleh Dr. Mustafa Nasir (PUSKAL). 4.10 petang solat sunat gerhana di masjid al-Hilal.

Memandangkan cuaca kurang baik dengan turunnya hujan dan langit ditutupi dengan awan tebal sejak awal pagi sehingga petang maka sebarang imej gerhana matahari langsung tidak dapat dirakam dari Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah.

Cuma imej dapat diperolehi daripada Balai Cerap Langkawi melalui siaran langsung yang telah dibuat di laman web PUSKAL-SABAH.

Berikut adalah imej - imej dipetik dari Balai Cerap Langkawi :







Sabtu, Januari 16, 2010

Wahai Perokok?


Bismillah...

Tidak perlu saya huraikan hukum bagi perokok kerana ianya telah jelas dan telah diketahui umum. Haram ataupun makruh itulah hukumnya yang telah ulama perselisihkan. Walaupun hukumnya makruh yang dipegang oleh kebanyakkan perokok namun makruh tersebut adalah yang menjurus ke arah haram.

Kesimpulannya, menghisap rokok oleh si perokok tidak ada hukum yang mengharuskan ataupun sunat. Perhatikan gambar di atas moga dengan mentadabbur gambar tersebut para perokok boleh meninggalkan rokok dan boleh hidup tanpa rokok.

Sekadar peringatan, moga bermanfaat.

Khamis, Januari 14, 2010

KHUTBAH KEDUA

KHUTBAH KEDUA
GERHANA MATAHARI SEPARA
29 MUHARRAM 1431H/15 JANUARI 2010

الحمد لله الَّذِي خَلَقَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ . أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْـكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلى يَوْمِ الدِّيْن

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، اِتَّقُوْا اللهَ حَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah S.W.T

Marilah kita mempertingkatkan Iman dan Taqwa dengan menjunjung syariat Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya. Dengan demikian itu, kita akan beroleh rahmat dan ‘inayah dari Allah S.W.T .

Sidang Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, daripada ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha, setelah Rasulullah s.a.w selesai bersembayang sunat gerhana, Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbahnya ;

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَإِنَّهُمَا لَا يَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَكَبِّرُوا وَادْعُوا اللَّهَ وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ إِنْ مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرَ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا وَلَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا أَلَا هَلْ بَلَّغْتُ

Bermaksud ;

“Sesungguhnya matahari dan bulan itu termasuk tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya terjadi gerhana bukan karena kematian atau tidak juga kerana kehidupan (kelahiran) seseorang. Oleh sebab itu, jika kamu melihat kejadian atau fenomena gerhana ini, maka bertakbirlah, berdoalah kepada Allah, kerjakanlah solat dan bersedekahlah! Wahai umat Muhammad, tidak seorang pun lebih cemburu (marah) daripada Allah, bila hambanya lelaki maupun perempuan berbuat zina. Wahai umat Muhammad, demi Allah, seandainya kalian tahu apa yang aku ketahui, tentu kalian lebih banyak menangis dan sedikit tertawa. Ingatlah! Bukankah aku telah menyampaikan”. [sahih Bukhari [ 398 ] dan sahih Muslim lafaznya [1499]]

Oleh itu, Mimbar ingin mengajak kepada muslimin dan muslimat sekalian untuk melihat peristiwa ini sebagai satu pengajaran dan peringatan untuk kita kembali kepada Islam dan beramal dengan syariahNya dengan sepenuhnya, beramal soleh serta bertaubat kepadaNya di atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan selagimana kita masih diberi kesempatan dan peluang untuk bernafas di muka bumi ini dan selagimana pintu taubat masih terbuka luas.

Sesunguhnya, Allah S.W.T Maha Pengasih lagi Maha merahmati hambanya serta menerima taubat hambanya. Allah S.W.T berfirman di dalam surat al-Nur, ayat 31 ;

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Bermaksud ;

dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Dalam ayat lain, Allah S.W.T berfirman di dalam surah Hud, ayat 3;

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

Bermaksud ;

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu, kemudian hendaklah kamu bertaubat kepadaNya; ( Jika kamu mengerjakan yang demikian ) nescaya dia akan memberi kamu (di dunia) kenikmatan yang baik ( terus menerus ) kepadamu hingga ke suatu waktu yang telah ditentukan, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar.

Semoga kehidupan kita sentiasa dirahmati dan diberkati Allah S.W.T dan ditempatkan bersama para al-Anbiya’, al-Siddiqin, al-Syuhada dan al-Solihin, mereka inilah sebaik-baik teman.

اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.

اَللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعْوَاتِ وَقَاضِىَ الْحَاجَاتِ.

اَللّهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ وَالسَّكِينَةَ وَالسَّلاَمَةَ وَالْعَافِيَةَ وأن تشمل بعنايتك إلى صاحب المعالي توان يغ ترأوتام يغ دفرتوا نكري سابه . اَللهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ عَلَى السَّلاَطِيْنِ الْكِرَامِ وَجَمِيْعِ وُلاَةِ الْمُسْلِمِيْنَ الْعِظَامِ الَّذِيْنَ قَضَوْا بِالْحَقِّ وَبِهِ كَانُوْا يَعْدِلُوْنَ.

اللهُمَّ يَا دَافِعَ الْبَلاءِ وَيَا كَاشِفَ الوَبَاءِ ، إِصْرِفْ عَنَّا البَلاَءَ وَالوَبَاءَ وَالْأَمْرَاضَ وَالأَسْقَامَ وَالفِتَنَ وَالِمحَنَ ، وَأَزِلَّ عَنَّا وَعَنْهُمُ الشُّكُوْكَ وَالْأَوْهَامَ بِمَنِّكَ وَكَرَمِكَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

وصلَّى الله على سيدنا محمَّدٍ وَعَلى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ . وَالْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

Sumber : Pejabat Mufti Negeri Sabah.


Kaifiat Solat Gerhana Matahari

1.1 LAFAZ NIAT


i. Solat Gerhana Matahari

أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”


ii. Solat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”


1.2 KAIFIAH MENGERJAKAN

i. Secara amnya, sembahyang sunat gerhana ini dikerjakan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Yang akmal dan sempurnanya dikerjakan sebanyak 2 rakaat dan setiap satu rakaat itu mempunyai 2 kali qiyam (berdiri) , 2 kali ruku’ dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat tersebut [2 rakaat, 4 qiyam (berdiri), 4 ruku’ dan 4 sujud].Yang lebih akmal dan lebih sempurna dikerjakan sebanyak 2 rakaat dan setiap rakaat 2 kali qiyam, 2 kali ruku’ dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-kedua rakaat [2 rakaat, 4 qiyam (berdiri), 4 ruku’ dan 4 sujud].

ii. Secara terperincinya seperti berikut ;

1. Kaifiah Pertama

Kaifiah ini lebih akmal dan afdhal iaitu dikerjakan dua rakaat. Setiap satu rakaat dilakukan dua qiyam (berdiri), dua ruku’ dan dua sujud dengan memanjangkan bacaannya iaitu seperti berikut ;

A. Rakaat Pertama ;

1. Niat dan Takbiratul Ihram.

2. Membaca doa Iftitah ( الإفتتاح ) dan membaca ( التعوذ )

3. Membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Baqarah atau kadar panjang surah al-Baqarah.

4. Ruku’ dan membaca tasbih sekadar panjangnya 100 ayat

5. Bangun dari ruku’

6. Membaca al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau sekadar panjang bacaan surah tersebut

7. Ruku’ semula dan membaca tasbih sekadar panjang 80 ayat

8. I’tidal

9. Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 100 ayat

10. Duduk di antara dua sujud

11. Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 80 ayat

12. Berdiri rakaat kedua

B. Rakaat kedua ;

1. Membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Nisa’ atau kadar panjang surah al-Nisa’.

2. Ruku’ dan membaca tasbih sekadar panjangnya 70 ayat

3. Bangun dari ruku’

4. Membaca al-Fatihah dan membaca surah al-Maidah atau sekadar panjang surahnya.

5. Ruku’ semula dan membaca tasbih sekadar panjang 50 ayat

6. I’tidal

7 Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 70 ayat

8. Duduk di antara dua sujud

9. Sujud dan membaca tasbih sekadar panjang 50 ayat

10. membaca tasyahud akhir dan memberi salam

Ringkasnya, bagi kaifiah ini mempunyai 2 rakaat, 4 kali qiyam (berdiri), 4 kali ruku’ dan 4 kali sujud dengan bacaan setiap rakaat. Kaifiah ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith-hadith sahih.

2. Kaifiah Kedua ;

Kaifiah ini juga merupakan kaifiah yang akmal iaitu dikerjakan dua rakaat. Setiap satu rakaat dilakukan dua qiyam (berdiri), dua ruku’ dan dua sujud tanpa memanjangkan bacaannya iaitu seperti berikut ;

a. Rakaat Pertama ;

1. Niat dan Takbiratul Ihram.

2. Membaca doa Iftitah ( الإفتتاح ) dan ta’awuz ( التعوذ )

3. Membaca surah al-Fatihah dan membaca mana-mana surah

5. Ruku’

6. Bangun dari ruku’

7. Membaca al-Fatihah dan membaca mana-mana surah

8. Ruku’ semula

9. I’tidal

10. Sujud

11. Duduk antara dua sujud

12. Sujud

13. Berdiri ke rakaat kedua. [ dilakukan seperti rakaat pertama iaitu dari membaca al-Fatihah dan diakhiri dengan Salam ]

Setelah selesai dari ini, dikira satu rakaat. Begitu juga dilakukan untuk rakaat kedua. Ringkasnya, bagi kaifiah yang kedua ini mempunyai 2 rakaat, 4 kali ruku’, 4 kali qiyam atau berdiri dan 4 kali sujud

3. Kaifiah Ketiga ;

Dikerjakan seperti mengerjakan sembahyang sunat biasa iaitu sebanyak 2 rakaat.

iii. Kaifiah solat gerhana ini ada disebutkan di dalam beberapa buah hadith sahih di antaranya hadith yang diriwayatakan oleh Imam Bukhari daripada Saidatina ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha menyatakan ;

كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ فَأَطَالَ الْقِرَاءَةَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَأَطَالَ الْقِرَاءَةَ وَهِيَ دُونَ قِرَاءَتِهِ الْأُولَى ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ دُونَ رُكُوعِهِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ ثُمَّ قَامَ فَصَنَعَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ قَامَ فَقَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ يُرِيهِمَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلَاةِ

“Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang, kemudian beliau ruku’ dan memanjangkan bacaan ruku’, kemudian baginda bangun daripada ruku’, (dalam berdiri yang kedua) membaca bacaan sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian beliau sujud, kemudian beliau berdiri dan melakukan sama seperti rakaat pertama Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan tidak berlaku kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupan (kelahiran) seseorang akan tetapi kedua-dua ini adalah tanda-tanda kebesaran Allah yang dilihatkan kepada hambanya, maka apabila kamu melihat fenomena tersebut, maka bergegaslah kamu melakukan solat gerhana”. [Bukhari, 4, Halaman 182 [ 998 ] ]

Dan di dalam hadith yang lain iaitu daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiyallahu ‘Anhuma menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w membaca kadar panjang surah al-Baqarah selepas membaca al-Fatihah pada qiyam pertama dalam rakaat pertama. [Bukhari, 4, Halaman 173 [ 993 ]]

iv. Di antara perkara yang disebutkan di dalam kitab fiqh mengenai sembahyang gerhana iaitu ;

· Disunatkan mandi sunat gerhana

· Disunatkan menyeru dengan laungan الصلاة جامعة

· menyaringkan bacaan bagi solat gerhana bulan dan memperlahankan bacaan bagi sembahyang gerhana matahari

v. Disunatkan membaca dua khutbah setelah selesai daripada sembahyang gerhana. Kaifiah Khutbah gerhana sama seperti khutbah jumaat dari segi rukun dan syarat sah khutbah. Isi kandungannya memberi penekanan supaya sentiasa bertaubat, bersedekah, mengamalkan perkara ma’ruf dan menjauhi yang mungkar dan seumpamanya.