Khamis, Disember 31, 2009

Anak Ke - 2

Bismillah...

Alhamdulillah pada 10 Muharram 1431H bersamaan 27 Disember 2009 hari ahad jam 1.18 petang telah lahir seorang cahaya mata perempuan untuk keluarga saya.

Situasi dan keadaan yang tidak dapat digambarkan. Masa yang sama saya berhadapan dengan exam akhir semester 5 bagi pengajian PBJJ UKM. Hari pertama exam iaitu hari sabtu 26 Disember 2009, malamnya isteri dah mula menunjukkan tanda - tanda sakit seakan-akan nak bersalin. Juga saya berdoa agar anak kat dalam perut dia keluar lepas abinya selesai exam.

Abg Long (Ameen) taajub dengan kehadiran adiknya... pertemuan mereka selepas 8 jam kelahiran

Nampaknya, seawal pagi ahad tu memang dah confirm isteri nak bersalin dan perlu dibawa ke hospital. Jam 9 pula waktu saya menjejaki kaki ke dewan peperiksaan.


Alhamdulillah, terpaksa mohon bantuan kepada Abg . Bashir dan Kak Zah untuk membawa ke Hospital. Dengan bantuan mereka, saya menuju ke lokasi exam manakala mereka bersama isteri saya ke hospital.

Dalam suasana itu, sehingga kelahiran anak, saya tidak dapat bersama dengan isteri. Apa kan daya, dan saya bersyukur kerana isteri memahami. Selesai exam sesi pagi saya ke hospital Likas tetapi isteri masih di dewan bersalin.


Jam 12.30 tengahari saya sekali lagi berpatah balik ke lokasi exam. Tengah mentelaah sedikit nota untuk exam sesi petang, jam 1.18 petang isteri menghubungi saya dan mengkhabarkan yang dia selamat bersalin. Hati menyebut alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Selesai exam saya terus bergegas ke hospital. Rupa-rupanya dia pun tak keluar lagi dari bilik bersalin. Apabila dah keluar, sempatlah juga saya azankan anak.

Nak digambarkan bertapa sukarnya menghadapi 2 keadaan yang sama-sama penting tanpa ada sokongan dan bantuan orang lain. Saya bersyukur dan awal-awal berdoa agar dipermudahkan segalanya sebelum ketibaan tarikh exam walaupun due isteri 07 Januari 2010 mungkin ada sebarang kemungkinan dan ujian yang besar untuk saya.

Berbanding dengan kelahiran Muhammad Al-Ameen, kami ditemani oleh ma & ayah mertua. Sekarang, segala-galanya kena berdikari.

Alhamdulillah, ada hikmahnya Allah awalkan kelahiran anak kedua saya. Rasa keseronokkan, kegembiraan dan segala rasa lagi yang dapat saya rasakan setelah berakhirnya exam selasa lepas. Rasa berakhirnya exam dan rasa leganya isteri selamat bersalin. Fuh.. tarik lega rasa hati. Syukur Alhamdulillah.

Sudah semestinya saya mensyukuri apa yang Allah SWT berikan dan tentukan untuk saya serta terima kasih juga untuk mu ya Allah kerana mengetemukan insan-insan yang baik hati dalam memudahkan urusan kami sekeluarga disaat keadaan yang amat sukar untuk dihadapi.

Di doakan agar mereka yang membantu kami Allah SWT anugerahkan dengan ganjaran yang sesuai untuk kalian.

Khamis, Disember 24, 2009

9A PMR 09 : TAHNIAH NURUL SYAKIRAH

Bismillah...

Alhamdulillah, saya sebagai abang ipar terasa amat gembira apatah lagi adik ipar saya tuan punya diri.

Hadiah kejayaan ini atas usaha gigihnya selama ini, Bersengkang mata, tak tidur malam, tak menikmati hari raya sangat...alhamdullillah segala pengorbanan itu berbaloi.

Dia bersekolah di Maahad Muhammadi Lilbanat, Kelantan setakat diberitahu oleh adik ipar saya, pelajar yang mendapat 9A di sana seramai 89 orang.

Waa, ramainya... adakah sekolah itu teramai yang mendapat 9A PMR bagi seluruh sekolah di negara kita? kalau ada sekolah lain yang ramai dari itu yang mendapat 9A mungkin berita di TV arus perdana akan siarkan... tapi kalaulah memang sekolah Maahad Muhammadi, Kelantan calonya paling ramai mendapat 9A adakah ia akan dihebohkan di TV?... tunggu je la..


Rabu, Disember 23, 2009

BERKONGSI PETUA MENDIDIK ANAK

ANAK ADALAH ANUGERAH, NIKMAT DAN RAHMAT DARI ALLAH. ANAK BOLEH JADI PERMATA, NAMUN KADANGKALA BISA MENGUNDANG FITNAH YANG BESAR UNTUK KITA IBU BAPANYA.

ANAK MENJENGAH USIA 2 TAHUN, MEMANG MENGUJI TAHAP IMAN DAN SABAR. ADA MASA KELETAHNYA SANGAT MENHIBURKAN, ADA JUGA KETIKA RAGAMNYA SUNGGUH MEMENINGKAN KEPALA.

KITA TERSEPIT, MAHU DIPUKUL? RASA KASIHAN, DAN SERING TERTANYA-TANYA WAJARKAH MEMUKUL ANAK DI USIA SEKECIL INI? JIKA TIDAK DIPUKUL, RISAU KITA MENJADI IBU BAPA YANG TIDAK TAHU MENGAJAR ANAK.....

ARTIKEL DARI : http://Ratuhati.com , http://malay.cari.com.my , http://www.mesra.net


Mengikut sesetengah pendapat, umur seperti ini perlu dimanjakan dan jangan sesekali dipukul. Sekiranya dia bersikap 'degil' sekalipun cuba la kaedah lain untuk mengurangkan degilnya itu. Kita dulu pun pernah melalui usia sebegini dan pernah bersifat degil(atau masih juga degil dah dewasa ni cuma cara nya berbeza kot). Antara kaedah yang boleh dicuba dan dipraktikkan adalah:

1. Cubalah cara ini:
  • 1. Semasa anak sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya diwaktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya(sub conscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).
  • 2.Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun - ubun orang yang ingin anda nasihati.
  • 3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al fatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam hati dan jangan putuskan zikir anda.
  • 4. Angkat ibu jari anda,kalau boleh janganlah di putuskan zikir didalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda.
  • 5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak.
2. Bacaan dari al-Quran yang boleh digunakan untuk mengurangkan masalah kedegilan dan panas baran anak:
  • Membaca surah Thaha ayat 1-5
  • Membaca surah Ikhlas, Fatihah, Ayat Kursi (1 kali )
  • Membaca bismillah 5 (3 kali )
3. Baca Ya Muqit berulang kali, kemudian tiupkan pada air dan bagi anak minum. Perlu selalu dibuat dan tawakal serta berserah pada Allah S.W.T.

4. Cara ini juga boleh dicuba
  • 1) Sewaktu bangun dari tidur pada waktu pagi, peluklah anak sebanyak 3 kali.
  • 2) Usapkan kepala anak dan berselawat sambil berniat di dlm hati (bergantung pada niat kita untuk si anak)
  • 3) baca al-fatihah dan baca surah taha ayat 1-5, kemudian baca doa Nabi Daud sebanyak 3kali. {"YA ALLAH LEMBUT KAN HATI ANAKKU (SEBUT NAMA)..SEBAGAIMANA ENGKAU LEMBUTKAn NABI DAUD AKAN BESI"} dan hembuskan pada makanan/minuman.
5. Amalan yang baik dan senang untuk kita amalkan untuk melembutkan hati anak-anak dan supaya mudah menerima pelajaran apa yang diajar oleh gurunya. Baca ayat [Al-Hasyr: surah 59 ayat 21] dan hembuskan pada ubun-ubun anak tiap-tiap pagi dan dan malam ketika anak hendak tidur.

"Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." [Al-Hasyr: surah 59 ayat 21]

Kaedah2 ini bukan sahaja boleh dipraktikkan untuk mengurangkan degil untuk anak kecil, malah boleh dilakukan keatas semua peringkat usia terutama untuk orang yang kita sayang. InsyaAllah, dengan izin Allah S.W.T segala usaha kita akan berhasil.


Rabu, Disember 16, 2009

Berita Kemalangan

Bismillah...

Pagi tadi saya telah menerima sms daripada rakan yang berkerja di JAKIM Sabah. Mengkhabarkan bahawa beberapa orang staff Pusat Latihan Dakwah Sikuati Kudat telah terlibat dalam satu kemalangan.

Mereka menaiki kereta jabatan TOYOTA UNSER untuk pergi ke program yang diadakan di Tanah Merah(kawasan daerah Kudat). Mereka yang terlibat adalah Sdr Pudin (pemandu), Kak Raini, Ust. Zulfadhli, Ust. Julkifli, Kak Kiah, Kak Midah dan Ibu Mariam.

Setakat ini, Kak Raini dirawat di Hospital Kudat hanya cedera biasa, Ust Jul patah kaki , Kak Kiah berlaku pendarahan dalaman, Ust. Zulfadhli cedera di pinggang dan mereka ini bersama kak Midah dibawa ke Hospital Queen K. Kinabalu. Sdr Pudin pula di Hospital Kota Marudu masih belum sedarkan diri. Manakala Ibu Mariam meninggal di tempat kejadian.

Dikatakan kemalangan berpunca apabila kereta yang mereka naiki masuk kawasan mendap dan terbabas lalu terbalik beberapa kali.

Rata - ratanya mangsa yang terlibat saya kenali kerana saya pernah berkhidmat hampir setahun di Pusat Latihan Sikuati Kudat pada tahun 2003.

Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang terlibat dan didoakan agar ruh Allahuyarhamah Ibu Mariam dicucuri rahmat Allah SWT. Bersabarlah dengan ujian ini dan kita bacakan al-Fatihah hadiahkan kepada Allahuyarhamah Ibu Mariam.

Isnin, Disember 07, 2009

Tauliah!

Bismillah...

Kuliah mingguan saya di Masjid As-Salam Kg. Contoh Petagas semalam sedikit riuh seketika disebabkan respon yang diberikan oleh jamaah apabila saya menyentuh bab TAULIAH.

Maklumlah bab TAULIAH mengajar agama ni telah meletus seluruh Malaysia gara - gara penangkapan Mantan Mufti Perlis Dr. Asri.

Cumanya dalam respon para jamaah semalam saya tertarik seorang jamaah yang mengutarakan pandangan bahawa semua umat Islam sebenarnya telah menerima tauliah daripada Nabi SAW. Beliau telah membacakan hadis :

Imbang Penuhبَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

" Sampaikan kepadaku walaupun sepotong ayat "
( Sohih Bukhari no. hadis 3202 )

Maknanya soal menyampaikan dakwah ini adalah tugas keseluruhan umat Islam berdasarkan apa yang Nabi SAW sabdakan di atas.

Memang ada benarnya bahawa dalam menyebarkan dakwah ini adalah tugas semua umat Islam namun dalam menyebarkan dakwah ini perlu ada seni. Bukan sahaja dalam nyanyian, tulisan dan sebagainya ada seninya bahkan dalam dakwah juga ada seninya. Itulah yang dikatakan USLUB AD-DAKWAH.

Ramai orang ghairah berdakwah tapi kita tak tahu apa yang cuba disebarkannya. Oleh itu TAULIAH adalah salah satu cara bagaimana hendak mengekang dan menghalang mereka - mereka yang cuba menyebarkan sesuatu perkara salah di sisi syarak.

Setiap negeri di Malaysia ni pula mungkin berbeza dari segi penguatkuasaan TAULIAH tersebut. Jika orang bertanya kepada saya, kenapa Dr. MAZA ditangkap hanya sebab tak de TAULIAH? mungkin jawab ringkas saya, anda bolehlah bertanya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Jika di Sabah, setakat ini belum ada lagi penangkapan mengenai pendakwah yang berdakwah tanpa TAULIAH, keadaan masih terkawal mungkin juga penguatkuasaan TAULIAHnya berlainan di negeri - negeri lain.

Para Dai'e yang benar lagi sohih tak kiralah di Sabah atau di negeri lain, tak usah takut jika anda menyebarkan sesuatu perkara yang baik dan diakui oleh masyarakat setempat. Teruskan buat kerja - kerja dakwah, sesungguhnya dalam berdakwah perlu bijak dan kreatif kerana hidup dalam berdakwah penuh keseniannya demi mencapai keredhaan Allah SWT.

Waallahua'alam.

Sabtu, Disember 05, 2009

HIV & AIDS


Bismillah...

Jumaat 04 Disember 2009, saya berpeluang menjadi khotib di Masjid Negeri Sabah. Tahun lepas memang ada senarai bertugas sebagai khotib tetapi apabila tiba masanya saya ada komitmen lain yang tidak dapat dielakkan dan ketika itu Ust. Nahar Matamin sebagai imam besar.

Ketika ini, Ust. Ibrahim Kisab Al-Hafiz sebagai Imam Besar telah menjemput saya dan saya menerimanya sebagai pengalaman pertama berkhutbah di Masjid Negeri Sabah.

Setelah membelek - belek beberapa teks khutbah daripada pelbagai sumber, ternyata teks khutbah daripada JAKIM berkenan di hati dan amat sesuai dengan senario dan keadaan terkini dengan sedikit tambahan.

Prinsip saya jika berkhutbah, setiap teks kena sesuai dengan jiwa saya sebagai khotib ketika itu dan pastikan teks tersebut hidup dengan isu-isu terkini agar khutbah itu nampak releven di samping itu skel penyampaian diperkemaskan dan kuasai sepenuhnya teks khutbah yang bakal disampaikan. Khotib kena memahami dahulu apa yang hendak disampaikan, insyaAllah jemaah juga akan paham.

Beberapa fakta yang menarik teks khutbah JAKIM bertarikh 04 Disember 2009 ialah :

Menurut sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia :

1. Sehingga Jun 2009, terdapat seramai 86,127 orang yang dijangkiti HIV dan seramai 14,955 orang pula telah dijangkiti AIDS. Dari jumlah pembawa AIDS ini didapati seramai 11,549 orang telah meninggal dunia. Purata sehari pembawa baru HIV yang dikesan ialah sebanyak 10 kes, AIDS pula 3 kes baru sehari dan berlaku 5 kes kematian sehari.

2. punca utama penyebaran HIV/AIDS ialah melalui pertukaran suntikan jarum iaitu melibatkan 53.2%, dan diikuti melalui perhubungan seks sebanyak 26.9% dan selebihnya melalui pemindahan darah dan jangkitan ibu mengandung kepada bayi.

3. paling membimbangkan kita ialah penyebaran HIV/AIDS melalui perhubungan seks semakin meningkat naik samada perhubungan seks melibatkan lelaki dengan wanita atau lelaki sesama lelaki atau homosexual. Berdasarkan perkembangan ini, maka terdapat tanda-tanda aktiviti seks ini di jangka menjadi punca utama penyebaran HIV/AIDS di negara ini.

4. Pembawa HIV/AIDA bagi wanita dan kanak-kanak juga sedang meningkat naik. Pada tahun 2004 wanita terlibat dengan HIV/AIDS adalah 10.8% tetapi pada tahun 2008 meningkat naik mencapai 19.1%. Manakala jumlah kanak-kanak bawah umur 12 tahun terlibat dengan HIV/AIDS pula seramai 1, 018 orang.

Sudah pasti fakta tersebut cukup membimbangkan kita. Dalam khutbah tersebut juga menegaskan bahawa Segala punca yang menyuburkan perkembangan HIV/AIDS hendaklah ditutup dan dihapuskan.

terdapat pihak yang mengeluarkan lesen-lesen perjudian dan pusat-pusat hiburan atas alasan memenuhi hak asasi manusia sedangkan kegiatan seperti inilah menjadi penyubur gejala sosial. Kemudian, satu pihak lain pula mengedarkan kondom untuk mencegah jangkitan kuman HIV/AIDS.

Kesannya, wujud pertentangan nilai dan amalan di antara pihak-pihak tertentu dalam masyarakat kerana satu pihak terus menerus menggali lubang manakala pihak yang lain pula menutup lubang yang tidak habis-habis.

Saranan tindakan yang perlu diambil bagi mencegah HIV/AIDS ini :

Pertama, Bagi mereka yang terlanjur dengan virus HIV/AIDS, wajarlah menginsafi kesilapan masa lalu dengan memperbanyakkan doa dan bertaubat, memperbanyakan amalan soleh dan bersama-sama dengan kerajaan dan masyarakat membantu mengawal penyebaran gejala HIV/AIDS.

Kedua, Menjadi kewajipan kepada anggota keluarga, jiran tetangga dan masyarakat keliling agar bersimpati kepada mereka yang mengidap HIV/AIDS dengan memberikan perlindungan dan sokongan moral demi kelangsungan hidup mereka. Jauhlah daripada sikap prejudis, meminggir dan memulau, kerana ia amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Ketiga: Menjadi kewajipan kepada ibubapa melipatgandakan pendidikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak anak memasuki zon mumaiyyiz dan akil baligh agar mereka menjadi remaja yang mempunyai jati diri mukmin yang kuat. Adalah tidak memadai sekadar menghantar anak-anak ke sekolah atau ke kelas fardhu Ain, namun kehidupan harian mereka di rumah dibiarkan tanpa dibimbing dengan didikan agama.

Keempat: Menjadi kewajipan kepada orang-orang yang beriman dan mempunyai bidang kuasa di agensi kerajaan dan swasta mempastikan peranan mereka tidak terlibat dalam menyuburkan perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum Allah, menggadai integriti muslim dan bersyubhat melakukan maksiat.

Kelima : Mereka yang diberikan kuasa sewajibnya mengambil dan menguatkuasakan hukum – hukum yang berkaitan dengan gejala zina yang hukumnya adalah bersifat Qat'i di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang tidak dapat tidak wajib dilaksanakan. Sudah sekian lama hukum ciptaan manusia digunakan, namun penawar penyakit HIV/ADIS tidak ditemui dan kita yakin penawar tidak akan kita temui selagimana hukum zina yang terdapat di dalam al-Quran tidak dilaksanakan. Allah SWT adalah pencipta kita sayugianya Allah SWT jugalah yang maha mengetahui apa masalah dan penyakit yang kita hadapi dan sudah pasti Allah SWT telah menyediakan penawar yang mujarab sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran bukan sekadar sebagai penawar sahaja bahkan ianya juga sebagai pencegahan dari berlakunya gejala zina secara berleluasa.

Waallahua'alam.

Teks Khutbah penuh daripada JAKIM klik di sini.


Rabu, Disember 02, 2009

Gambar - gambar jarang dapat dilihat berkenaan Kaabah



Pulley Zam Zam ini digunakan sejak kurun ke 40 Hijrah diperbuat dari tembaga

Pintu di Masjid Nabawi pada Zaman Khalifah Uthman r.a

Pintu Utama Kaabah

Frame Hajarul Aswad di zaman Khalifah Uthman r.a

Cincin tembaga yang memegang Qiswah (bidai kain) kaabah

Mimbar khutbah yg digunakan sejak tahun 1240 hijrah di Masjidil Haram

(Qiswah) Bidai pintu Kaabah

(Sitarah) Bidai hijau didalam Kaabah

(Sitarah) Bidai merah didalam Kaabah

Keratan Qiswah (Bidai) luar yg menutupi Kaabah

Contoh asas binaan Kaabah yang dibina semula pada tahun 65 hijrah
Pintu dan tiang lama Masjidil Haram

Penutup Maqam Nabi Ibrahim

Antara sulaman di Qiswah (Bidai) Kaabah

Khat pada dinding Masjidil Haram berhampiran telaga zam-zam di nukil pada tahun 1299 hijrah

Mizab Kaabah” dibuat dari kayu yang dicelup emas digunakan pada tahun 1273hijrah

Selasa, Disember 01, 2009

Ibadah Korban Berlalu

Bismillah...

Alhamdulillah kita telah pun meninggalkan yawmu tashrik dan pada hari ini masuk hari ke 15 Zulhijjah 1430H. Walaupun bulan zulhijjah belum melabuhkan tirainya namun kemuncak bulan zulhijjah adalah di hari AidilAdha dan yawmu tashrik yang membolehkan kita menjalankan ibadah korban sebagai menyahut sunnah nabi SAW dan nabi Ibrahim A.S.

Mereka yang berkemampuan dan diberikan hidayah Allah SWT sudah tentu ibadah korban telah dilaksanakan. Bagi si fakir dan miskin sudah pasti menikmati manfaat hasil ibadah korban mereka yang berkemampuan. Alhamdulillah, indahnya syariat Allah SWT yang maha adil kepada hamba - hambanya.

Semoga falsafah korban itu sama - sama kita hayati dan dapat menusuk ke dalam qalbu kita seperti mana Allah SWT jelaskan ayat 37 surah al-hajj :

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ


" Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah Telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik ".

Sebab turunnya ayat ini seperti yang dijelaskan dalam tafsir ibn Kathir Jld 5, mukasurat 431 :

" Adalah masyarakat jahiliah mengadakan sembelihan untuk tuhan - tuhan mereka lalu diletakkan ke atas tuhan - tuhan mereka daging sembelihan tersebut lalu memercikannya dengan darah sembelihan itu tadi maka turunnya ayat ini ".

Allah SWT tidak sama sekali menerima darah ataupun daging yang disembelih itu dan itu sebenarnya bukan nilaian Allah SWT. Bahkan Allah SWT itu maha kaya pemberi rezeki kepada semua makhluknya.

Tetapi nilaian yang sampai kepada Allah SWT adalah TAQWA iaitu sepertimana yang dijelaskan dalam tafsir at-Tobari Jld 18, mukasurat 641 yang menjelaskan mengenai ayat di atas:

إن اتقيت الله في هذه البُدن، وعملت فيها لله، وطلبت ما قال الله تعظيما لشعائر الله ولحرمات الله

Taqwa kepada Allah SWT terhadap sembelihan, mengerjakannya hanya untuk Allah SWT, menyahut seruan Allah SWT bagi membesarkan syiar dan kemuliaannya.

Maknanya hanya sifat Taqwa yang ada dalam diri sahaja yang menjadi hitungan Allah SWT terhadap sembelihan yang dijalankan iaitu dengan syarat hati yang penuh taqwa kepada Allah, mengerjakannya hanya untuk Allah SWT serta untuk membesarkan syiar dan kemuliaanNYA. Jika sebaliknya, ibadah korban yang di kerjakan hanya sia - sia.

Oleh kerana itu Allah SWT berfirman :

ذلك وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

" Demikianlah (perintah Allah). dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah . Maka Sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati" ( surah al-hajj ayat 32 )

Semoga ibadah korban yang telah dilaksanakan, Allah SWT terima dan ketaqwaan kita bertambah untuk menempuh hari - hari yang mendatang sehingga kita diberi peluang sekali lagi bertemu Aidil Adha akan datang seterusnya semoga ianya menjadi bekalan yang cukup berharga apabila kita menghadap Allah SWT di akhirat kelak. ameen....

Waallahua'alam.

Cerita HIJRAH pula menyusul selepas ini....