Isnin, November 30, 2009

Korban YAM Sabah

Bismillah...

Sudah beberapa hari saya tidak menulis disebabkan hambatan kerja sama ada rasmi atau sebaliknya yang datang bertubi - tubi seminggu lalu.

Hari ini hari terakhir bagi yawmu tashrik. Bagi mereka yang ingin menjalankan ibadah korban punyai masa lagi sehingga waktu ghurub iaitu tenggelamnya matahari pada petang ini.

Alhamdulillah, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah tahun ini telah menerima penyertaan orang ramai bagi ibadah korban yang membolehkan 4 ekor lembu dikorbankan.

Pada mulanya penyertaan telah ditutup 2 -3 hari sebelum raya aidiladha dan hanya seekor lembu sahaja yang bakal dikorbankan. Sehari sebelum raya pula, ramai yang datang bertanya adakah penyertaan masih dibuka.

Mulanya berat juga nak terima memandangkan anggota YAM Cawangan Sabah ramai balik beraya di kampung. Melainkan beberapa orang sahabat dan saya yang diamanahkan untuk mengatur ibadah korban anjuran YAM cawangan Sabah tahun ini.

Alhamdulillah, kami membuka penyertaan semula sehari sebelum raya dan tutup pada petang 10 Zulhijjah. Dalam masa 1 hari setengah, penyertaan dalam ibadah korban ini cukup memberansangkan dan 4 ekor lembu dapat dikorbankan. Maklumat hanya dihantar melalui sms kepada kawan - kawan. Itu pun masih ada yang bertanya sama ada penyertaan masih dibuka ketika saya selesai menyampaikan ceramah sempena Aidiladha di Masjid Nurul Iman, Sabindo Lok Kawi selepas maghrib 28 November 2009 / 11 Zulhijjah 1430 lalu.

Lembu - lembu tersebut telah dikorbankan di 3 buah kampung. 2 ekor lembu di kampung payas - payas , Kota Belud yang dihadiri sendiri oleh Pengerusi YAM cawangan Sabah Tn Hj. Kahiran Untuh, seekor di Kg. Jawa Kimanis, Papar dan seekor lagi di Kg. Lapasan, Jalan Salut Tuaran yang telah di uruskan oleh Ust. Hj. Nahar Matamin , Timbalan Pengerusi YAM Sabah.

Sememangnya YAM Cawangan Sabah adalah salah satu Ngo's yang menjalankan kerja - kerja amal dan kebajikan. Program ibadah korban merupakan program tahunan yang bertujuan membantu masyarakat Islam yang memerlukan bantuan hasil sumbangan masyarakat Islam yang berkemampuan bagi sama - sama mengambil peluang kelebihan dan fadhilat di bulan Zulhijjah. Semoga gerak kerja amal yang dijalankan menjadi bekalan yang berharga apabila kita bertemu dengan Allah SWT kelak. Amin.....

Jumaat, November 27, 2009

Eid Al-Adha Mubarak.

Bismillah...


Kullu 'aam wa antum fi alf khair.






Jumaat, November 20, 2009

Anak Awak Nak Ke Mana?

Bismillah...

Alhamdulillah ungkapan tanda bersyukur dan diiringi dengan titisan air mata. Senario ini jelas kelihatan semenjak 2 hari lepas kerana bagi mereka yang punyai anak atau sanak saudara di tahun enam sudah pasti ada yang gembira kerana keputusan UPSR telahpun keluar.

Sudah semestinya ibu bapalah yang paling gembira jika anaknya mendapat 5A. Tidak kurang juga ibu bapa ada yang bersedih kerana anaknya mendapat keputusan tidak seperti apa yang mereka harapkan.

Bagi yang tak berjaya atau kurang berjaya, sabar-sabarlah kerana perjalanan masih jauh. Tidak semestinya kegagalan kali ini akan menutup langkah kita seterusnya. Islam telah mengajar agar kita lebih redha dan yang amat penting bermuhasabahlah untuk memperbaiki diri anak-anak untuk lebih cemerlang pada masa akan datang.

" Ba anak kau mau hantar ke sekolah mana lepas ni ". Ungkapan versi Sabah , mungkin kedengaran daripada mulut ibu bapa ketika ini yang sibuk memilih sekolah peringkat menengah yang lebih baik untuk anak - anak.

Mungkin yang cemerlang sudah semestinya akan di hantar ke sekolah berasrama penuh. kekadang seronok juga melihat gelagat ibu bapa yang sedang memikir mengenai kemasukan anak - anak ke sekolah menengah. Macam tak sabar - sabar menanti suasana ini untuk anak sendiri.

Dalam kesibukan tersebut, sedikit sebanyak saya juga turut bersuara mengutarakan pandangan. Jika saya dipohon untuk memberikan pandangan, saya akan berkata sedemikian :

1. Yang amat penting pilihlah sekolah agama. Kerana apa? sebab di sana anak kita akan lebih mengenali dan mempelajari tentang kehidupan dunia dan akhirat. Sekarang sekolah agama pun ada yang bertaraf sekolah berasrama penuh dan di Sabah khususnya memang ada.

2. Sekiranya anak anda keputusan UPSR nya kurang memuaskan tapi anda memang berminat hantar anak ke sekolah agama? bagaimana? jika di Sabah mungkin agak terhad nak masukkan ke sekolah agama kerana sekolah agama yang sedia ada inginkan keputusan yang baik. Sebenarnya anda ada jalan bagi meneruskan niat baik itu tapi anda (ibu bapa) kena banyak berkorban dengan menghantar anak bersekolah agama ke semenanjung kerana di sana banyak pilihan. biar jauh, rasa sedih, takut, risau dan macam - macam lagi, insyaAllah jika niat anda baik sudah pastinya Allah SWT akan menghilangkan segala mehna tersebut dan insyaAllah anak - anak anda akan menjadi insan yang sebenarnya.

3. Biarlah ibu bapa sediakan yang terbaik untuk anak - anak dengan menggunakan neraca agama Islam sebagai penghitung dalam meletakkan soal pendidikan untuk anak - anak. Kita mungkin menangis kerana dengan umur 12 tahun anak - anak kita telah gembirakan kita di atas kejayaan mereka. Tapi perlu diingat perjalanan mereka masih jauh, oleh itu didikan agama wajib diambil berat kerana sejauh mana pun perjalanan kita dan mereka, InsyaAllah kita tetap berada di atas jalan yang Allah SWT redhai.

Jadi nak hantar anak ke sekolah mana? saya akan jawab, hantarlah ke sekolah agama. Anda nak anak - anak anda jadi doktor? Arkitek? Engginer? ahli saintis dan sebagainya?. Sekolah agama pun punyai jalan untuk menuju ke arah itu. Sekolah agama bukan setakat menjanjikan anak - anak jadi doktor, arkitek, engginer,ahli saintis dan sebagainya bahkan akan menghasilkan lebih dari itu iaitu doktor, arkitek, engginer,ahli saintis dan sebagainya yang mampu hafal al-Quran, menjaga agamanya dan hidup matinya hanyalah untuk Islam.

Nak cari mana sekolah agama macam itu? ada, tak di Sabah semenanjung ada. Anda kena berusaha dan berkorban jika sayangkan anak kerana anak - anak adalah aset penting sebagai penyelamat kita di dalam kubur nanti sebelum kita mengadap Allah SWT di akhirat kelak.

Waallahu'alam.

Selasa, November 17, 2009

Anak Bulan Zulhijjah 1430H/2009

Bismillah...

Hari ini 17 Nov. 2009 bersamaan 29 Zulkaedah 1430H Unit Falak di seluruh jabatan Mufti negeri, ahli - ahli falak akan turun mencerap (merukyah) bagi hilal (anak bulan) Zulhijjah.

Aktiviti ini juga adalah aktiviti terakhir dalam tahun 1430H sebelum kita akan melangkah ke tahun baru pada bulan muharram akan datang.

Bagi Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah aktiviti merukyah ini dijalankan setiap bulan hijriah. Bagi buan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah aktiviti cerapan dikatogerikan sebagai acara rasmi peringat negeri Sabah.

Untuk anak bulan zulhijjah yang bakal dicerap petang ini, beberapa data yang telah diperolehi melalui kaedah hisabiah bertempat di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah yang terletak pada Koordinat dan butiran seperti berikut :

Latitud : 54' 19" U
Longitud : 116˚ 02' 12" T

Ijtima' Berlaku pada 3.14 pagi (17 Nov. 2009 )

1. Matahari terbenam : Jam 5.56 petang
2. Hilal terbenam : Jam 6.17 Petang
3. Umur hilal : 15 jam 03 minit
4. Ketinggian hilal ketika matahri terbenam : 56' 30"
5. Jarak lengkung hilal ke matahari : 7˚ 25' 16"

Jika dilihat data - data tersebut peluang untuk hilal kelihatan adalah cerah tetapi ini pun bergantung dengan keadaan cuaca sekiranya mengizinkan. Jika hilal kelihatan dengan ketinggian hanya maknanya ini adalah satu rekod terbaru kerana dengan ketinggian tersebut hilal amat sukar kelihatan di Sabah mahupun di seluruh Malaysia.

Oleh itu, kepada seluruh ahli -ahli rukyah dan ahli - ahli falak selamat merukyah hilal zulhijjah petang ini. Semoga segala persediaan rohani dan jasmani telah pun tersedia.

Bila raya ? tunggu keputusan rasmi daripada penyimpan mohor besar raja - raja Malaysia malam ni ye...

Wallahua'alam.

Pengumuman Program: Kursus Perubatan Islam

Bismillah...

BERMINAT MENGIKUTI KURSUS PERUBATAN ISLAM BERSIRI

Professional IslamicSupport And Norture Group (PISANG) Sabah
dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia akan mengadakan
kursus perubatan Islam secara bersiri yang
akan dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Darus Syifa Kuala Lumpur.
Syarat-syarat pengambilan peserta ialah melalui proses perbincangan/temuduga.

Tarikh temuduga peserta ialah pada ketetapan berikut:

Tarikh
:
21.11.2009 (Sabtu)

Tempat:
Pej. Yayasan Amal Malaysia Cwgn Sabah, Tmn. Pasir Putih
Putatan K.Kinabalu

Masa:
8.30 A.M - 12.30 P.M
2.00 P.M - 05.00 P.M

Syarat-syarat utama:

1. Boleh membaca Al-Quran
2. Mesti menamatkan semua modul (92 jam)

Sesiapa yang berminat, sila hadir dalam sesi perbincangan/temuduga.
Atau menghubungi penama berikut:

1.Ust Rozhan Yacub (016-8484512)
2.Ust Azman Jupri (016-8307944)
3.Mohd Wafi (0168184774)
4.En. Janis Abdullah (0138693148)

Mereka yang berjaya akan dihubungi melalui SMS, telefon atau surat.

Isnin, November 16, 2009

Masih adakah lagi ghuraba'? Jika ada, kitakah ghuraba' itu?

Bismillah...

Di saat orang lain memilih untuk meminum arak, kita menjadi terasing kerana sibuk mencari makanan yang halal.

Di kala orang lain terbiasa dengan skirt dan boxer, kita ganjil kerana tegar mempertahankan jubah dan kopiah di kepala.

Ketika orang lain merasa senang dengan bermain golf, kita dianggap pelik kerana berhenti dari permainan semata-mata untuk mengerjakan solat.

Tatkala orang lain merasa bangga punya kekasih yang ramai, kita diherdik dan diketawakan kerana masih belum punya teman wanita.

Jika orang lain sibuk memperkenalkan budaya barat, kita dianggap jumud kerana kita menghidupkan sunnah nabi SAW.

Jika orang lain sibuk ber undang-undangkan ciptaan sendiri, maka kita dikatakan ketinggalan zaman kerana kita memperjuangkan dan mendaulatkan syariat Allah SWT.

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tooba lil Ghurabaa’!

Sumber : http://www.munauzaattakiri.blogspot.com/
Sedikit editing oleh albelurani.

Rukyah Hilal Zulhijjah 1430H/2009


Bismillah...

Setelah majlis rukyah bagi bulan Syawal 1430 berlalu sebulan lepas maka muncul lagi aktiviti rukyah rasmi yang ketiga dan penutup bagi tahun 1430H iaitu majlis rukyah (melihat) hilal Zulhijjah 1430H/2009 bagi menetapkan bila jatuhnya 1 Zulhijjah membolehkan tarikh 10 Zulhijjah 1430 H diketahui adalah merupakan hari yang ditunggu - tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia.

Bagi umat Islam yang sedang menunaikan haji 10 Zulhijjah merupakan hari kemuncak dan umat Islam yang lain meraikannya dengan aktiviti korban.

Majlis Penyimpan Mohor Raja-Raja Malaysia dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong Malaysia bahawa tarikh melihat anak bulan Zulhijjah 1430H adalah pada 17 November 2009 bersamaan 20 Zulkaedah 1430 ( Selasa ).

Bagi di negeri Sabah, tempat rasmi bagi melihat anak bulan bertempat di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Tg. Dumpil, Putatan, Kota Kinabalu Sabah.

Laporannya akan menyusul kemudian...


Ahad, November 15, 2009

Konvensyen PASTI Bahagian Pantai Barat Sabah Kali Ke - 19 (2)

Bismillah...

Dalam Konvensyen Pasti kali ini Pasti Nurfathonah, Taman Union Putatan hanya 3 orang pelajarnya yang konvo. Mereka ialah Dg. Nuha Wafiyyah Mohd. Akmal, Maryam Jamilah Mohd Khalil dan Syaheera Sharmaine Mohd Sazrie Hafiez.

Lagi Photo Shot yang saya sempat rakamkan.

Pelajar PASTI Nurfathonah Taman Union Putatan :


Mereka diiringi oleh Cikgu Yusni sebelum naik ke pentas

Dg. Nuha Wafiyyah Mohd. Akmal ( anak abu nuha corner )

Maryam Jamilah Mohd Khalil

Syaheera Sharmaine Mohd Sazrie Hafiez

Yang baju hijau tu pun pelajar PASTI Nurfathonah hadir penyeri majlis, ameen pula cuba nak tiru jarinya tapi itulah jadinya...

Suasana Konvo :

YDP Putatan menyampaikan sijil kepada Dg. Nuha

Wah... Ust. Hafizullah mengacarakan majlis turut diperhatikan oleh Zaiem.

Cantik Banner, warnanya hijau menenangkan hati melihatnya..


Amal Saifuddin menyerahkan risalah kepada pengunjung (he..he.. lakonan semula)

Nasi lemak syima... nasi lemak baru keluar di pasaran. Dengar kata nasi lemaknya laris..


Sabtu, November 14, 2009

Konvensyen PASTI Bahagian Pantai Barat Sabah Kali Ke - 19 (1)

Bismillah...

Konvensyen PASTI Kali Ke-19 Bahagian Pantai Barat Sabah telah diadakan pada 14 November 2009 bertempat di Sabah Trade Center, Likas Kota Kinabalu.

Beberapa photo shot yang sempat saya rakamkan :














Khamis, November 12, 2009

Nak Cari Kawan ?

Bismillah...

Merujuk firman Allah SWT 2 tempat di dalam al-Quran :

1. Ayat 28 Surah al-Kahfi :

وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ

" dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah kami lalaikan dari mengingati kami, serta menuruti hawa nafsunya "

Ayat ini memberikan panduan kepada kita mengenai bagaimana hendak mencari kawan iaitu Jangan sama sekali kita mengikuti mereka - merka yang telah dilalaikan hatinya daripada mengingati Allah SWT.

Yang dimaksudkan orang yang lalai itu sepertimana kata Al-Imam AL-Hafiz "Imanuddin Abi al-Fida' Ismail Bin Umar Ibn Kathir :


شغل عن الدين وعبادة ربه بالدنيا

" Orang yang lalai itu adalah lalai daripada beragama dan beribadat kepada tuhannya disebabkan dengan dunia "

( Tafsir Al-Quran Ibn Kathir : Jld 5, ms 154 ).

Maknanya, hal -hal dunia yang padanya mereka menjadi lalai sehingga tanggungjawab sebagai HAMBA ALLAH SWT tergadai maka golongan inilah yang perlu jauhi.

Sebagai contoh, jam 5.00 petang pergi beriadah bersama - sama dengan kawan - kawan mungkin bermain bola, golf dan sebagainya. Waktu maghrib semakin hampir namun kita masih lagi leka dan terus bermain. Kita nak berhenti tapi kawan kata tunggulah dulu. Jika kita ikut mereka maknanya kita telah mengikuti mereka yang lalai.

Contohnya lagi, mungkin ada juga yang sembang bab bisnes di kedai kopi dan shopping di Kompleks membeli bela pada masa yang sama waktu solat telah masuk tetapi tidak dihiraukan maknanya mereka ini juga dilalaikan dengan hal-hal dunia. Sama juga tengok TV di rumah sehingga TV sendiri mengumandangkan azan tapi tetap juga tidak mendirikan solat.

Jadi golongan mana yang perlu kita hampiri dan dekati yang boleh dijadikan kawan atau sahabat? perhatikan ayat seterusnya ....

2. Ayat 15 surah Loqman :

وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أنابَ إليَّ

" ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku "

Ayat ini menjelaskan bahawa ikutilah golongan yang kembali kepada Allah. Siapakah yang dikatakan golongan kembali kepada Allah itu ?

Pandangan Abu Ja'far bin Jarir :

واسلك طريق من تاب من شركه ورجع إلى الإسلام واتبع محمدا صلى الله عليه وسلم

" Turutilah jalan mereka yang bertaubat daripada mensyirikannya (Allah) dan kembali kepada Islam dan turutilah Muhammad SAW "

( Tafsir At-Tobari : Jld 20, ms 139 )

Maknanya, turutilah jalan mereka yang sentiasa bertaubat dalam erti kata yang lain sentiasa memohon keampunan Allah SWT supaya diri tidak terjebak dalam mensyirikkan Allah SWT. Dengan cara kembali kepada Islam dan menuruti apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Contoh, jika tadi pergi riadah bersama dengan kawan - kawan, bersembang di kedai kopi bab bisnes dan bershoping di kompleks membeli bela ketika masuk waktu solat maka seolah - olah mereka ini membesarkan sesuatu selain membesarkan Allah SWT (Syirik) tetapi sekiranya mereka bergegas menyahut seruan Allah SWT maka ikutilah mereka Kerana itulah jalan yang sepatutnya kita ikuti dan mereka itulah golongan yang boleh kita jadikan sebagai kawan ataupun sahabat.

Kesimpulannya, kita buat hal - hal dunia tidak salah selagimana tidak melanggari batas - batas syarak dan tidak melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT. Ahli Tasawwuf ada mengatakan :

" Letakkan hal-hal dunia itu di tangan bukannya di hati "

maknanya, berkawanlah bersama mereka yang meletakkan dunia itu di tangan sahaja yang hanya menjadikan dunia jambatan untuk menikmati kebahagian di akhirat kelak dan hindarilah mereka yang mengambil dunia itu yang meletakkannya di hati kerana sudah pastinya mereka ini golongan yang lalai mengingati Allah SWT bahkan sentiasa mengikuti nafsu untuk memiliki dunia serta seisinya.

Wallaallahua'alam.


* Petikan Kuliah maghrib Akhlak dan Tasawuf malam pertama saya di surau taman limauan, Kinarut setiap hari rabu malam khamis. Kitab yang saya gunakan malam tersebut adalah kitab Indahnya Hidup Bersyariat karangan Dato' Islmail Kamus. Menyentuh dengan maudu' Akhlak dan Tasawuf saya akan gunakan pelbagai kitab dengan merujuk kitab - kitab utama seperti ihya' 'Ulumuddin, Riadyussolihin dan lain - lain mengikut kesesuaian mad'u.

Selasa, November 10, 2009

Apa Alasan Anda Tinggalkan Solat?

Bismillah...

Apa alasan anda untuk tinggalkan solat? jawapannya sudah pasti tidak ada alasan untuk tinggalkan solat dan jawapan ini semangnya sudah diketahui umum melainkan mereka yang memang tidak mengetahui dengan sebab mereka tidak diberitahu atau tidak berusaha untuk tahu.

Tapi, amat malang bagi mereka yang tahu tapi buat-buat tak tahu dan mengambil remeh tentang solat. Apa keadaan sekalipun pun samada keadaan aman atau sebaliknya, ketika sihat, lapang, susah, senang, sakit dan sebagainya solat tetap didirikan. Ini bukan bermakna umat Islam itu diberatkan dengan perkara solat tetapi itu adalah satu kewajipan yang tidak dapat tidak, suka atau tak suka solat WAJIB dilaksanakan.

Indahnya Islam itu, Islam tidak membiarkan umatnya terkapai-kapai tanpa ada panduan dalam melaksanakan solat. Semuanya sudah ada panduan. Cuma kita mahu ataupun tidak sahaja.

Oleh itu, Solat itu adalah perintah Allah SWT dan hak Allah SWT, jangan sesiapa pun yang cuba melanggar perintah dan mencabuli hak Allah SWT jika ingin digelar sebagai HAMBA YANG BERTAKWA.

Renungilah sabdaan Nabi SAW ini :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ طَهُورًا وَمَسْجِدًا

" Rasulullah SAW telah bersabda : Dijadikan kepadaku bumi ini adalah bersih (suci) dan sebagai tempat sujud (solat)."

( Sohih Muslim : Juz 3 : m/s 109 dan Sunan Abi Daud : Juz 2 : m/s 81 )

Renungilah, fikirkanlah dan bermuhasabahlah dengan sabdaan Nabi SAW tersebut disamping itu tatapilah gambar - gambar di bawah ini agar hati - hati kita kembali mengingati Allah SWT :















Isnin, November 09, 2009

Di temuramah

Bismillah....
Dari Kiri : Salah seorang AJK Masjid, En. Roslee, Hj. Jefri

26 Oktober 2009 lalu satu temujanji saya bersama Tn. Hj. Jafree, Pengerusi Masjid Al-Hilal Tg. Dumpil, Putatan dan merupakan salah seorang siswa UMS dlam pengajian Islam.

Tujuan mereka adalah untuk menemuramah saya dan Isteri. Ini adalah salah satu tugasan mereka dalam menyiapkan assigment yang telah dipertanggungjawabkan oleh pensyarah mereka dalam subjek pengajian Al-Quran ( Pensyarah mereka subjek ini adalah abu nuha ).

Mereka berlima cuma datang 2 orang. Kami bertemu di masjid al-hilal. Yang datang En. Roslee Sumin dan Hj. Jafree. Saya juga dimaklumkan ada dikalangan ahli mereka yang non muslim.

Temuramah dimulakan dan beberapa soalan dilontarkan bermula dengan pengenalan diri. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan saya cuba memberikan pandangan serta kerjasama sepertimana mereka harapkan. Dalam masa yang sama disini jugalah saya cuba menerapkan betapa pentingnya kita hampir dengan al-Quran sesuai dengan tajuk yang diberikan iaitu "menemuramah beberapa orang hafiz al-Quran, tentang kaedah menghafaz al-Quran dan menjaganya, pengalaman pahit manis mereka dan seumpamanya".

Gambar kenangan

Kesempatan yang ada, saya cuba yakinkan mereka bahawa golongan penghafaz Al-Quran punyai kelebihan dan tanggungjawab tersendiri dalam memertabatkan al-Quran itu sendiri. Persepsi kononnya golongan penghafal al-Quran hanya boleh jadi imam semata-mata. Bahkan sebaliknya telah terbukti golongan ini ada yang serba boleh. Mungkin masa untuk kita menghafal quran sudah terlewat tetapi biarlah kita berikan peluang ini kepada anak - anak. Saya bawakan contoh, bahawa kerajaan negeri Kelantan mensasarkan 10 tahun akan datang akan ada setiap keluarga yang menghafal al-Quran. Sekarang di negeri Kelantan pusat - pusat menghafaz al-Quran tumbuh bagaikan cendawan. He.. he.. semangat juga dorang mendengarnya.

Mereka tanya apa harapan saya terhadap generasi akan datang? jawapan saya, untuk diri saya sendiri saya mengharapkan agar zuriat saya akan menjadi penghafaz al-Quran kerana itulah sumber segala ilmu dan begitulah juga ulama-ulama muktabar terdahulu seawal umur 6 tahun ke bawah mereka telah menjadi HAFIZ. Selain itu, saya meletakkan azam supaya saya sendiri dapat mengasaskan sebuah pusat tahfiz di negeri Sabah ini. Untuk generasi akan datang, saya akan terus menerangkan dan meyakinkan kepada masyarakat agar anak - anak mereka juga dapat menghafal al-Quran. Bukan untuk dilagukan apatah untuk dibanggakan bahkan adalah untuk meyebarluaskan lagi ajaran yang ada di dalam al-Quran itu sendiri.

Terima kasih kepada abu nuha kerana memberi peluang kepada albelurani menjelaskan perkara yang sememangnya matlamat saya dan juga terima kasih kepada Hj. Jefri dan En. Roslee & geng kerana temuramah tersebut. Moga ada manfaat untuk diri saya dan juga kalian.

" MELAHIRKAN GENERASI AL-QURAN YANG UNIK"

Waallahu'alam.